Utusan Online - Pahang |
- Pantau berterusan harga barang
- Jadikan 2014 musim cemerlang bagi pasukan Tok Gajah
- Baiki segera tebing runtuh
Pantau berterusan harga barang Posted: 16 Jan 2014 10:15 AM PST PENGGUNA MENGHARAP Pemantauan harga barangan secara berterusan dan tindakan tegas oleh Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan penting bagi memastikan semua peniaga mematuhi peraturan. - Gambar hiasan Saudara Pengarang, Isu kenaikan harga barang bukan sahaja terhad kepada makanan, malah meliputi perkhidmatan dan barangan lain jelas amat merunsingkan orang ramai terutama yang berpendapatan rendah. Bukan hendak menyalahkan mana-mana pihak, tetapi kesan kenaikan harga ini terutama barang keperluan harian amat ketara sekali. Jadi, adalah diharapkan pihak berwajib membuat pemantauan harga secara berterusan bagi memastikan tidak berlaku kenaikan harga tanpa asas. Pemantauan ini perlu dilakukan di semua jenis premis perniagaan termasuk pasar, kedai runcit dan sebagainya. Proses ini penting bagi memastikan keadaan terkawal dan tidak berlaku banyak perubahan kenaikan harga terutama barangan keperluan asas. Pihak berwajib perlu turun padang dengan mengadakan lawatan ke kawasan-kawasan terpilih untuk bertemu peniaga serta pengguna bagi memantau dan mencari punca kenaikan harga barangan. Saya amat berharap, kerajaan akan melipatgandakan penguatkuasaan bagi mengheret para peniaga yang tidak bertanggungjawab ke muka pengadilan. Sementara itu, saya turut berterima kasih kepada kerajaan yang mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Khas Kabinet Menangani Kos Sara Hidup yang bertujuan menangani setiap isu berkaitan kenaikan kos hidup rakyat ketika ini. Diharap pengumuman yang dibuat Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu akan dapat membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat terutama golongan berpendapatan rendah dan miskin. Saya juga berharap semua menteri seperti yang diarahkan supaya turun padang untuk melihat secara lebih dekat isu tersebut melalui portfolio masing-masing. Terima kasih juga kepada kerajaan kerana telah menubuhkan satu makmal khas yang bertujuan mengkaji langkah-langkah mengurangkan beban rakyat, harap makmal ini dapat memainkan peranannya sebaik mungkin. |
Jadikan 2014 musim cemerlang bagi pasukan Tok Gajah Posted: 16 Jan 2014 10:15 AM PST PENYOKONG PAHANG, Sokongan padu penyokong Pahang diharap mampu menyemarakkan semangat juang pasukan Tok Gajah untuk menghadapi cabaran Liga Malaysia musim ini. - Gambar Hiasan Saudara Pengarang, SETELAH berehat panjang selepas aksi Piala Malaysia 2013, kini pasukan Tok Gajah tampil dengan imej baharu untuk mengharungi Liga Malaysia (Liga M) musim ini. Kehadiran beberapa muka baharu termasuk ketua jurulatih, Ronald Smith yang menggantikan Dollah Salleh serta dua pemain import iaitu Dickson Nwakaeme dan Zeshan Rehman diyakini mampu memantapkan pasukan Pahang. Penyokong kini sudah tidak sabar untuk melihat aksi pembuka tirai (perlawanan Sumbangsih) berdepan juara Liga Super musim lalu, Lions XII bagi merebut Piala Sultan Ahmad Shah di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada malam ini. Berdasarkan situasi semasa, saya rasa Pahang tidak menghadapi sebarang masalah untuk menjulang piala tersebut dan memungut tiga mata penuh kerana beraksi di laman sendiri. Gandingan Dickson Nwakaeme dan Matias Conti di bahagian serangan memberi keyakinan kepada kami untuk terus memberi sokongan dan semangat kepada skuad Tok Gajah. Kejayaan menjulang Piala Sultan Ahmad Shah sudah pasti menjadi penyuntik semangat untuk Pahang memburu lebih banyak kejuaraan selain mengekalkan status juara Piala Malaysia. Apa yang pasti adalah, Stadium Darul Makmur bakal dipenuhi lautan kuning para penyokong yang semakin meningkat tanpa mengira usia. Saya yakin Ronald Smith mampu membawa perubahan dan pemain kini bertekad untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak di negeri Pahang. Kepada penyokong setia Tok Gajah, ayuh kita berkunjung ke stadium sama ada di laman sendiri mahu pun tempat lawan untuk memberi sokongan padu kepada para pemain dengan menerapkan disiplin yang baik. |
Posted: 16 Jan 2014 10:15 AM PST INSAN WASPADA, Tebing runtuh di jalan raya menghala ke Lepar Utara berdekatan Felda Kota Gelanggi Dua, Jerantut mengundang kebimbangan pengguna jalan raya. Saudara Pengarang, SAYA merupakan penduduk Felda Kota Gelanggi Dua, Jerantut melahirkan rasa bimbang mengenai kejadian tebing runtuh dan longgokan tanah di atas jalan raya menghala ke Lepar Utara berdekatan kawasan penempatan di tanah rancangan ini. Kejadian berkenaan sudah hampir sebulan berlaku ketika musim tengkujuh dan banjir melanda di beberapa kawan rendah tahun lepas yang mengundang ketidakselesaan penduduk berulang alik ke bandar Jerantut dan Bandar Tun Abdul Razak, Jengka. Untuk makluman pembaca Rakan Pahang, tanah runtuh di tebing menghala ke arah jalan raya kian menjadi-jadi berikutan hakisan selepas hujan. Hal ini mengundang kebimbangan penduduk menggunakan kenderaan termasuk motosikal ke tempat kerja di ladang dan kilang berdekatan apabila berselisih dengan kenderaan. Kebimbangan kami berasas kerana ada ketika kenderaan termasuk lori sawit dan lori balak terpaksa memasuki laluan bertentangan untuk mengelakkan longgokan tanah dan batu di atas jalan. Untuk makluman, struktur jalan berbukit berdekatan ladang sawit yang gelap mengganggu penglihatan dan juga menakutkan penduduk di sini dan pengguna jalan raya. Apatah lagi sekiranya ada dalam kalangan pemandu yang tidak sabar dan memandu secara tidak berhemah kerana ia boleh menyebabkan kemalangan pihak lain. Kejadian runtuhan tebing bersebelahan juga pernah berlaku pada pertengahan tahun lepas, tetapi telah dibaik pulih oleh kerajaan dengan membina penahan konkrit dan batu. Malangnya, apabila kerja membaik pulih itu selesai, muncul pula kejadian baharu apabila tebing bersebelahan runtuh ketika hujan lebat pada bulan lalu. Memandangkan penduduk berhadapan risiko keselamatan apabila melalui di laluan berkenaan, saya berharap pihak berwajib segera membaik pulih kawasan runtuhan sama ada membina penahan konkrit dan batu ataupun alternatif pemulihan lain. Kejadian tebing runtuh semakin melebar dan juga dalam berikutan dataran di bahagian atas merupakan kawasan berbukit dan ditanami pokok sawit juga terdapat mata air antara punca runtuhan itu. Menerusi Rakan Pahang minggu ini, saya berharap kawasan runtuhan perlu dibaik pulih untuk memudahkan kenderaan melalui jalan berkenaan dan mengelakkan daripada kejadian yang tidak diingini berlaku. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan