Rabu, 20 November 2013

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Tumpu pesawat tanpa pemandu

Posted: 19 Nov 2013 10:08 AM PST

Oleh ZABRY MOHAMAD
utusanpenang@utusan.com.my

GILLES Coppin (kanan) dan Pierre Helie memberi penerangan kepada peserta persidangan Rafale Tecno Day mengenai bidang aeroangkasa dan pesawat tanpa pemandu (UAV) di USM Gelugor Pulau Pinang, baru baru ini.

PULAU PINANG 19 Nov. - Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini menjadi tuan ramah kepada persidangan Rafale Techno Day yang membuka peluang kepada para peserta membincangkan mengenai pembangunan teknologi dalam sistem penerbangan masa kini dengan pengkhususan kepada pesawat tanpa pemandu (UAV).

Dianjurkan Rafale International serta Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT), persidangan tersebut dihadiri kira-kira 70 peserta terdiri daripada tenaga akademik dari pelbagai universiti dan industri.

Dua pakar teknologi aeroangkasa iaitu Ketua Operasi dan Penganalisis Konsep Sistem Masa Depan dari Dassault Aviation, Pierre Helie dan Timbalan Pengarah Unit Penyelidikan Fakulti Kejuruteraan Telecom Bretagne dari Perancis, Gilles Coppin menyampaikan taklimat dalam persidangan berkenaan.

Dekan Fakulti Kejuruteraan Aeroangkasa USM, Profesor Dr. Zaidi Mohd. Ripin berkata, buat masa ini USM memberi tumpuan berterusan bagi meningkatkan bidang saintifik dan teknologi untuk mencapai matlamat menjadi peneraju dalam kedua-dua sektor berkenaan.

"Persidangan sebegini menyediakan peluang keemasan di depan mata yang sebelum ini mungkin sukar diperoleh, iaitu diberi penerangan dan terlibat secara langsung dengan teknologi tercanggih yang selama ini dibangunkan oleh industri luar negara.

"Persidangan ini juga memperkukuh hubungan USM dengan syarikat Rafale yang merupakan peluang terbaik buat kami mengadakan projek usahasama pada masa depan," katanya di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Pengarah Program Rafale Malaysia, Daniel Fremont memberitahu, berdasarkan beberapa pertemuan dan perbincangan dengan rakan kongsi seperti USM, UAV merupakan topik terbaharu yang amat diminati masyarakat Malaysia.

Menurutnya, penganjuran persidangan seperti itu membolehkan pihaknya berkongsi pengetahuan mengenai UAV dengan memfokus kepada aspek autonomi.

Selain itu, jelasnya, penganjuran tersebut juga sejajar dengan pelancaran pertandingan Cabaran Siswa UAV tahun ini.

117 sertai bengkel mantapkan perkhidmatan PPKT

Posted: 19 Nov 2013 10:08 AM PST

SEBAHAGIAN daripada 117 kakitangan USM menyertai Bengkel PPKT 2013 di Hotel Harvard Suasana Gurun di Sungai Petani, Kedah, baru-baru ini. - utusan/Abd. Razak Osman.

SUNGAI PETANI 19 Nov. - Sebanyak 117 kakitangan Pusat Pengetahuan, Komunikasi dan Teknologi (PPKT), Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang mengikuti Bengkel Pemantapan Perkhidmatan Pusat Pengetahuan Komunikasi dan Teknologi (PPKT) 2013 selama tiga hari di Hotel Harvard Suasana Gurun di sini, baru-baru ini.

Peserta terdiri daripada kakitangan Kampus Kejuruteraan USM Nibong Tebal, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) Kepala Batas, Unit Kesihatan USM Kubang Kerian dan Hospital USM Kubang Kerian masing-masing dari Kelantan.

Program latihan kali ini diketuai oleh Pegawai Maklumat USM Pulau Pinang, Zulham Hamdan bertujuan memantapkan lagi perkhidmatan PPKT untuk tempoh jangka panjang.

Urus setia bengkel itu, Lis Safina Ismail memberitahu, sambutan peserta begitu menggalakkan dan mereka diberi banyak maklumat bagi menjayakan aktiviti PPKT itu.

"Semasa berada di sini, peserta juga membincangkan pelbagai perkara tentang hala tuju PPKT pada tahun hadapan," katanya.

Menurutnya, perkara itu selaras dengan saranan Naib Canselor USM, Prof. Datuk Dr. Omar Osman yang mahukan peserta bengkel sentiasa mengambil kira tentang APEX Fasa 11 yang diperkenalkan universiti itu beberapa bulan lalu.

"Adalah diharapkan semua program disusun oleh PPKT bagi sesi tahun 2014-2015 nanti dapat memberi manfaat kepada setiap peserta," katanya.

Beliau menambah, peserta turut menyertai aktiviti 'team building' dan usaha itu berjaya mengeratkan hubungan antara warga PPKT di USM sendiri.

"Di samping itu, turut diadakan program keagamaan sekali gus dapat meningkatkan motivasi dan integriti antara kakitangan dengan cara lebih berhemah," katanya.

Elak masalah kekurangan air

Posted: 19 Nov 2013 10:08 AM PST

Oleh SAFINA RAMLI
utusankedah@utusan.com.my

ALOR SETAR 19 Nov. - Projek Jeniang Transfer yang melibatkan pembinaan terusan pemindah, terusan penghantar dan empangan Nauk akan dilaksana bagi mengelak Kedah mengalami masalah kekurangan air yang kritikal melibatkan pesawah dan rakyat negeri ini menjelang 2025.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan, Datuk Suraya Yaacob berkata, projek itu yang bernilai RM222.3 juta dan melibatkan tanah seluas 1,545 hektar adalah jalan terbaik untuk menyelamatkan negeri ini daripada menghadapi masalah kekurangan bekalan air.

"Memang jika dilihat kita ada banyak air tetapi mengikut kajian sumber air untuk mengairi sawah padi serta untuk bekalan air bagi rakyat Kedah ini tidak akan mencukupi memandangkan Kedah juga merupakan sumber air untuk semua pihak.

"Kita merupakan pembekal air untuk Perlis dan Pulau Pinang, kita kena lihat yang mana penting, bekalan air untuk dua juta rakyat atau kepentingan 1,000 keluarga di kawasan yang akan dibangunkan projek Jeniang Transfer ini.

"Kita telah usahakan kajian kesan penilaian alam sekitar (EIA) dan sekarang menunggu maklum balas daripada Kerajaan Pusat mengenai pampasan yang akan diberikan kepada kira-kira 1,000 keluarga yang terlibat dengan pembinaan projek ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Datuk Phahrolrazi Zawawi (Pas-Pengkalan Kundor) dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Ke-13.

Dalam pada itu, Suraya ketika ditemui di luar sidang DUN berkata, masalah utama yang dihadapi negeri Kedah ialah ketiadaan kawasan takungan air yang besar jika musim hujan melanda.

"Kita ada empat empangan iaitu empangan Pedu, Ahning, Muda dan Beris tetapi hanya tiga sahaja yang digunakan untuk keperluan rakyat Kedah sepenuhnya.

"Air daripada empangan Beris disalurkan sepenuhnya untuk kegunaan rakyat Pulau Pinang, katalah kita ada hampir dua juta penduduk, 10,000 hektar sawah padi untuk diairi dan kita memang tidak ada jalan lain selain untuk usahakan bina empangan baharu," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved