Utusan Online - Keluarga |
Posted: 19 Nov 2013 10:13 PM PST Oleh mariatul qatiah zakaria Bidang rekaan fesyen menjadi pilihan mereka yang gemar kepada aktiviti kreatif. KEMUNCULAN ramai pereka muda tanah air hari ini membuktikan bahawa aliran dunia fesyen bergerak begitu pantas. Senario positif ini merupakan satu petanda bahawa bidang fesyen bukan lagi dipandang sebelah mata malah rekaan-rekaan fesyen tempatan semakin mendapat tempat baik di dalam mahupun luar negara. Maka tidak hairanlah sekiranya hari ini banyak institut pengajian tinggi awam (IPTA) mahupun swasta menawarkan pengajian dalam bidang tersebut khususnya untuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Kenyataan ini turut diakui oleh Pensyarah Kanan Kursus Reka Fesyen Kolej Saito, Sharifah Mazwari Syed Bakar. Beliau berpendapat, bidang fesyen tempatan dilihat semakin berkembang sejak tahun 2000 berikutan minat yang semakin subur terhadap dunia fesyen tempatan. "Sejajar dengan situasi ini, cara berpakaian juga akan berubah mengikut trend semasa malah tidak dinafikan semua orang ingin kelihatan cantik apabila berpakaian. "Sebab itulah dunia fesyen di Malaysia semakin berkembang, malah sejak tahun 2000 ia dilihat bergerak semakin pantas untuk selari dengan fesyen antarabangsa. Kemunculan Internet menjadikan segala-galanya kini tidak mustahil. "Apa yang pasti, hari ini sesiapa sahaja yang terlibat dalam bidang fesyen tidak perlu khuatir akan masa depan, malah dunia fesyen dilihat akan terus berkembang kerana permintaan terhadap pakaian dan aksesori seperti kasut, beg, barangan kemas, dan sebagainya sentiasa ada," ujarnya ketika ditemui di Kolej Saito, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini. Menurut Sharifah Mazwari lagi, hari ini berfesyen tidak hanya terhadap kepada satu-satu golongan sahaja malah meliputi semua peringkat usia kerana masing-masing tidak kira lelaki mahupun wanita sentiasa ingin kelihatan cantik. Baginya, sesiapa sahaja yang mengambil kursus dalam bidang fesyen, sebenarnya seorang yang kreatif tidak kira sama ada dalam berpakaian ataupun rekaan. Bercerita mengenai kursus dalam bidang fesyen, Sharifah Mazwari memberitahu, di Kolej Saito, mereka menawarkan kursus Diploma Rekaan Fesyen kepada mana-mana individu yang berminat untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang tersebut. Melalui pengajian selama dua setengah tahun, para pelajar perlu menempuh lapan semester sebelum layak menerima diploma. Katanya, pelajar yang diterima masuk tidak semestinya hanya mereka yang berkemahiran dalam bidang jahitan mahupun lukisan. Individu yang tidak mempunyai ilmu pengetahuan dalam bidang rekaan fesyen turut dialu-alukan kerana mereka akan diajar bagaimana untuk menjahit dan tidak ketinggalan mata pelajaran asas dalam bidang jahitan. "Ini kerana sepanjang pengajian selama dua setengah tahun kami telah menyusun modul-modul yang berkaitan dan sudah pasti mata pelajaran asas seperti jahitan dan lukisan tidak ketinggalan. "Jadi di sini tiada istilah mereka yang tidak berkemahiran dalam bidang jahitan dan tidak tahu melukis tidak boleh melanjutkan pelajaran dalam bidang ini. Apa yang pasti sekiranya bersemangat, berkeyakinan, dan mempunyai kesungguhan untuk belajar mereka akan berjaya," ulasnya lanjut. Menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar, menurut Sharifah Mazwari, bagi para pelajar yang tidak fasih berbahasa Inggeris akan diberikan kelas asas bahasa Inggeris. Sharifah Mazwari turut berkata, untuk Diploma dalam Rekaan Fesyen ini, pelajar akan diberi tumpuan kepada bahagian rekaan dan potongan pola. Ini kerana, penting bagi para pelajar mahir dan dapat menguasai mata pelajaran rekaan. Walaupun kursus tersebut baru sahaja diwujudkan sejak setahun lalu, ia kini sudah mempunyai 30 orang pelajar. Setiap tahun sesi pengambilan yang diadakan pada Jun/Julai hanya akan mengambil seramai 10 pelajar. Jumlah sedikit ini bagi memudahkan para pelajar diberi perhatian oleh tenaga pengajar kerana kursus ini melibatkan bidang kemahiran yang begitu tinggi. "Dalam kursus ini, kami mempunyai empat pensyarah sepenuh masa yang berkemahiran dalam bidang masing-masing seperti teknikal, potongan, teori, dan rekaan. "Yang penting, setiap kelas para pelajar dapat memberi tumpuan apa yang diajar selain akan diajar secara individu," tuturnya lanjut. Pada masa yang sama, Sharifah Mazwari turut menegaskan kursus rekaan fesyen yang ditawarkan di kolej tersebut mengamalkan konsep terbuka di mana para pelajar digalakkan untuk lebih banyak berbincang dan berkomunikasi antara satu sama lain. Para pelajar turut didedahkan dengan dunia sebenar dalam bidang fesyen agar mereka tahu dan mampu mengendalikan apa jua situasi apabila keluar bekerja kelak. |
Posted: 19 Nov 2013 10:13 PM PST "PERIBAHASA 'musuh dalam selimut', memang tepat bagi menggambarkan apa yang terjadi pada saya. Tidak perlu mencari makna tersirat, ayat tersebut sahaja sudah cukup membuatkan saya sendiri gerun memikirkan apa yang telah berlaku. "Bayangkan selama lebih 10 tahun saya tidur bersama musuh saya sendiri. Pembaca mungkin tidak akan faham apa yang saya lalui tetapi itulah hakikatnya apabila suami saya yang boleh saya anggap di sini sebagai musuh telah menjadi insan yang sekatil dengan saya setiap hari,"getus Jamilah Basar (bukan nama sebenar), 44. Wanita bertubuh kecil molek itu telah mendirikan rumah tangga dengan seorang kakitangan kerajaan yang mana pertemuan mereka telah diaturkan oleh ahli keluarga masing-masing. Tanpa melalui fasa bercinta, Jamilah dan Johan (juga bukan nama sebenar), 47, telah bersetuju untuk menjadi pasangan suami isteri. Takdir menentukan perkahwinan mereka tidak dikurniakan cahaya mata walau telah puas berusaha. "Perubatan moden, alternatif dan apa saja yang disarankan ahli keluarga serta kenalan, kami tidak berputus asa mencubanya. Selama lebih tiga tahun usaha dibuat, akhirnya kami berdua mengambil keputusan reda dengan ketentuan-Nya. "Tapi saya memang dapat rasakan rumah tangga kami tidaklah semesra seperti di awal perkahwinan. Suami semakin kurang menghabiskan masa di rumah. Malah kerap pula mendapat tugasan luar daerah. "Saya memujuk hati sendiri yang mula mengesyaki perkara negatif, maklumlah perempuan yang tidak boleh mengandungkan zuriat suaminya pasti akan sentiasa dalam keadaan risau dan susah hati,"cerita Jamilah yang merupakan seorang pegawai di sebuah syarikat swasta di ibu kota. Mengambil kira faktor usia yang semakin meningkat, Jamilah mempunyai perancangan kehidupannnya sendiri. Dia tidak mahu makan gaji sehingga umurnya cukup untuk bersara. Lalu dengan modal yang dikumpul, Jamilah telah memulakan perniagaan restoran yang bermula sebagai pendapatan sampingan. "Kebetulan saya mendapat sebuah tempat berniaga di medan selera di sebuah pusat membeli belah yang baharu dibuka di ibu kota. "Sangka saya dengan kesibukan ini sedikit sebanyak boleh mengalih tumpuan kami suami isteri daripada memikirkan soal zuriat. "Pada awal perniagaan memang saya masih bekerja. Tetapi setelah masuk bulan kedua saya rasa tidak menang tangan dan saya perlu berhenti serta menambah lagi kakitangan yang sedia ada. "Saya mengambil keputusan ke negara seberang bersama suami bagi mencari sendiri pembantu perniagaan untuk restoran kami. Kami tidak mahu tersalah pilih jadi temu bual yang kami buat begitu teliti mengambil kira faktor kecekapan, kepandaian berfikir dan membuat keputusan. "Tidak sampai dua hari di negara seberang, suami telah membawa saya ke sebuah rumah sahabatnya yang mempunyai pengaruh di sana. "Kami juga telah diperkenalkan dengan beberapa calon yang dikatakan boleh berkhidmat dengan kami dan segala urusan seperti pembuatan pasport, pemeriksaan kesihatan semuanya diuruskan oleh sahabat suami, yang juga mempunyai kelayakan menguruskan pembekalan pembantu rumah. "Saya bersyukur segala urusan dipermudahkan. Tiga calon yang ditawarkan, semuanya menepati kriteria yang saya cari lalu semuanya kami ambil dan bawa ke Malaysia,"cerita Jamilah. Oleh kerana kediaman yang dimiliki Jamilah dan Johan memang besar dan mempunyai lima bilik, maka ketiga-tiga pembantu tersebut ditempatkan di bilik masing-masing. Entah kenapa hati Jamilah begitu senang dengan mereka kerana Jamilah mahu menganggap pembantunya sebagai adik angkat sendiri. "Cuma yang membuatkan saya musykil, suami langsung tidak berbual dengan ketiga-tiga mereka. Dia tidak pernah mengarahkan sesuatu mahupun berinteraksi. Tetapi di sudut hati saya rasa lega juga kerana manalah tahu suami jatuh hati pada mereka yang lebih muda,"imbas Jamilah. Pembantu demam Dijadikan cerita, satu hari salah seorang pembantu Jamilah, tidak begitu sihat untuk melakukan tugasan di restoran dan diberi rehat saja di rumah. Risau keadaan pembantunya, Jamilah mengambil keputusan pulang awal tetapi sebenarnya hatinya telah mula berdebar dari restoran lagi. "Setibanya saya di rumah, saya memperlahankan langkah dan terdetik pula hati untuk mengintai apa yang sedang dilakukan Susanti (bukan nama sebenar) ketika itu. Bukan menaruh syak tapi kenapa hati memang berdebar tidak sedap. Saya terus ke biliknya tapi dia tidak berada di situ. "Saya terdengar bunyi desiran air di bilik mandi dan lega hati ini mendapati dia sedang mandi. Cuma peliknya mengapa bunyi air itu datang dari bilik air yang terletak dalam bilik tidur saya? "Jantung saya berdebar lagi dan saya lantas ternampak pakaian dalam yang bukan milik saya di atas lantai bilik tidur saya. Serentak dengan itu bunyi ketawa kecil lelaki dan wanita bermesra di bilik mandi. "Mula berteka-teki tapi saya mengambil keputusan tidak mahu melihat adegan seterusnya. Saya terus ke tingkat bawah dan bersedia menghadapi kedua mereka dengan sewaras yang mungkin,"tutur Jamilah lagi. Seperti sangkaannya, Johan dan Susanti dengan hanya bertuala menuruni anak tangga dengan penuh mesra. Jamilah memang tersentap seakan mahu pengsan melihat kemesraan bagai pasangan suami isteri yang telah lama mengenali satu sama lain. Jamilah mahu penjelasan, dan tanpa rasa takut, Johan menjelaskan dia memang telah lama mengenali Susanti. "Rupanya yang dahulu dia kerap ke luar daerah memang dia ke seberang menemui kekasihnya, Susanti. Patutlah urusan membawa masuk Susanti ke Malaysia begitu mudah, semuanya telah diatur dengan teliti oleh suami dengan bantuan sahabatnya di sana. "Yang lebih membuatkan saya terduduk ialah suami langsung tidak takut atas perbuatannya malah berbangga kerana dia tidak perlu susah-susah membawa 'madu' saya ke rumah lagi. "Langsung tiada kesal di hatinya. Dia turut menuturkan kata-kata kesat pada saya bahawa dia langsung tidak cintakan saya dan memang menunggu masa menceraikan saya. Selama ini hubungan kami hanyalah lakonan semata pada dia,"ujar Jamilah penuh emosi. Jamilah terbayang, selama lebih 10 tahun dia sebenarnya menghambakan diri pada suami yang sebenarnya memusuhi dirinya sendiri. Lebih menyedihkan Jamilah, suami memang mahu menggunakan segala wang simpanannya yang dilaburkan dalam pemilikan perniagaan bersama. Walau pasrah dengan apa yang berlaku, Jamilah sebenarnya sangat bersyukur kerana diperlihatkan kejahatan suami sebelum sesuatu yang lebih mudarat menimpa. Jamilah kini telahpun bercerai dengan Johan dan dalam proses menuntut kembali haknya, di samping menemui pakar kaunseling untuk memulihkan kembali keyakinan diri serta tanggapannya terhadap lelaki bergelar suami. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Keluarga To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan