Rabu, 20 November 2013

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Pelajar PMM raih tiga pingat

Posted: 19 Nov 2013 10:08 AM PST

Oleh NURSURAYA ZULKIFLI
utusanmelaka@utusan.com.my

Wakil dari PMM yang meraih pingat emas dan Anugerah Khas pada pertandingan PECIPTA'13 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

JASIN 19 Nov. - Jabatan Kejuruteraan Awam, Politeknik Merlimau (PMM) meraih satu pingat emas, perak dan gangsa dalam Persidangan dan Pameran Reka Cipta Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa 2013 (PECIPTA'13) baru-baru ini.

Dalam pertandingan itu, PMM meraih pingat emas melalui produk 'Multi Road Shoulder Measurement Tool' yang turut mendapat pengiktirafan Anugerah Khas daripada Asia Invention Association Korea (AIA).

Pingat perak pula dimenangi menerusi produk 'Flexi Sign' dan gangsa pula daripada produk 'Smart Water Valve'.

Pertandingan selama tiga di di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu anjuran Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan bertemakan Mentransformasi Penyelidikan dan Inovasi Ke Arah Komersialisasi.

Pertandingan kali ketujuh itu mempamerkan sebanyak 506 produk inovasi daripada institusi pendidikan tempatan termasuk 30 penyertaan daripada universiti luar negara.

Pensyarah pengiring, Siti Marlinna Chu Mohd. Rizal Chu berkata, PMM merupakan satu-satunya penyertaan daripada politeknik yang telah menghantar wakil dengan tiga penyertaan ke pertandingan berkenaan.

"Kejayaan ini amat membanggakan apabila setiap wakil turut meraih pingat masing-masing yang turut membuktikan produk penyelidikan dan inovasi yang dihasilkan mempunyai kualiti dan daya saing.

"Penyertaan dalam pertandingan inovasi seumpama ini memberi ruang kepada para peserta mempamerkan hasil kreativiti produk pelajar yang terlibat selain melibatkan mahasiswa dari universiti tempatan dan luar negara," katanya.

70 peserta Intan, UiTM jayakan program khidmat masyarakat

Posted: 19 Nov 2013 10:08 AM PST

Para peserta DPA dari Intan Kampus Wilayah Selatan Integra bersama pelajar dari Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka UiTM bergambar selepas program gotong-royong di Kampung Batang Nyamor dekat Rembau, baru-baru ini.

REMBAU 19 Nov. - Lebih 70 orang peserta yang terdiri daripada peserta Diploma Pengurusan Awam (DPA) dari Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) Kampus Wilayah Selatan Integra bersama pelajar dari Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara (UiTM) menjayakan program khidmat masyarakat di Kampung Batang Nyamor dekat sini baru-baru ini.

Menurut Perunding Latihan Kanan Sub Kluster Pembangunan Modal Insan Intan Bukit Kiara, Mohd. Taqiuddin Zakaria, program ini merupakan salah satu keperluan dalam silibus sepanjang para peserta DPA berada di Intan.

Malah katanya, program ini bermatlamat untuk mengenal pasti keperluan dan kehendak masyarakat khususnya diluar bandar melalui kajian yang dilakukan dalam tempoh selama dua minggu sepanjang berada di kawasan ini menerusi program anak angkat.

''Program ini adalah salah satu cara yang terbaik bagi mendengari nadi rakyat yang kemudiannya akan diterjemahkan menerusi gerak kerja yang akan dilakukan oleh mereka sebaik sahaja mereka tamat mengikuti program ini nanti," katanya ketika ditemui di sini.

Malah katanya, gabungan dari para pelajar Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka UiTM Shah Alam itu juga dilihat sebagai gabungan terbaik dalam menjayakan program bersama penduduk setempat.

Tambahnya, antara program yang dilakukan termasuklah memperindah kawasan Balai Seni Kampung Batang Nyamor dengan mengecat dan bergotong-royong selain aktiviti memasak hidangan tradisional negeri ini.

Dalam pada itu, Koordinator Teknologi Percetakkan Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, UiTM Shah Alam Mohd. Yusof Masod menjelaskan, program ini merupakan salah satu cara bagaimana para pelajar dari fakulti berkenaan dapat mendekati masyakat di kampung

Pada masa yang sama ia juga dapat meningkatkan jati diri dan pemikiran kritis seterusnya melatih kepimpinan dan kemahiran berorganisasi ketika mengendalikan aktiviti dirancangkan.

''Kalau kita lihat tidak semua pelajar ini asalnya dari kampung dan luar bandar jadi program ini sedikit sebanyak dapat memberikan satu pengalaman bagi mereka untuk mendedahkan diri mereka dengan keadaan sekeliling.

''Pada masa yang sama ini juga dapat meningkatkan kemahiran berkomunikasi antara masyarakat setempat selain mengeratkan silaturahim antara kesemua pihak yang terlibat dalam program ini," katanya.

Sementara itu, pelajar yang mengikuti Ijazah Sarjana Muda Teknologi Percetakan, Nurzahira Zolmaldi, 24, berkata, program itu cara terbaik kepada penuntut dan penduduk bertukar pandangan serta menerima pengalaman baru bagi memantapkan sahsiah mereka.

''Bagi saya ini adalah satu program yang cukup bermanfaat. Kita turun ke padang rasai sendiri apa kehendak dan keperluan masyarakat selain dapat melihat sendiri cara orang di kawasan luar bandar menjalani kehidupan mereka seharian," katanya.

Rakannya pula, Mohamad Arif Rosid, 22, menjelaskan, pengalaman bersama para penduduk di situ merupakan satu proses pembelajaran dan menambahkan kematangan penuntut sebagai persediaan berhadapan dengan dunia luar selepas menamatkan pengajian kelak.

''Pada mada masa yang sama ini juga adalah salah satu cara bagaimana untuk kita bersama-sama dengan rakan-rakan lain dari Intan untuk sama-sama menyuburkan semangat kesukarelaan terutamanya masyarakat di sini," katanya.

679 graduan KAYM bakal terima ijazah, sijil

Posted: 19 Nov 2013 10:08 AM PST

MELAKA 19 Nov. - Seramai 679 graduan Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (KAYM) akan menerima ijazah, diploma dan sijil masing-masing sempena Majlis Konvokesyen KAYM kali ke-11 yang akan berlangsung di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh, Khamis ini.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Saroni Judi berkata, daripada jumlah itu, seramai 73 graduan dari Sekolah Teknologi Media & Seni, Sekolah Pengurusan Perniagaan (21), Sekolah Teknologi Perindustrian (85), Sekolah Teknologi Maklumat (37) dan Sekolah Pengurusan Hotel & Pelancongan (22 ).

Menurutnya, selain program dalaman KAYM, pada tahun ini juga, seramai 24 penerima ijazah dari program kerjasama Universiti Utara Malaysia (UUM) dan 46 penerima diploma dari program kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

"Seramai 266 graduan akan menerima ijazah dan diploma dari program kerjasama Universiti Tun Abdul Razak (Unitar).

"Sementara itu, bagi program akademik, seramai 105 graduan program latihan kemahiran dan vokasional akan menerima sijil mengikut bidang masing-masing.

"Majlis konvokesyen pada kali ini turut melakar sejarah apabila buat pertama kalinya Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron akan menyempurnakan penyampaian kepada para graduan KAYM," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bagi meraikan para graduan, pihak kolej turut mengadakan Majlis Makan Malam Graduan 2013 yang akan dirasmikan Ketua Menteri esok.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved