Utusan Online - Utara |
- RM5j diperuntuk beli makanan
- Kedah beri perhatian khusus basmi kemiskinan
- Buang persepsi latihan kemahiran berat, melecehkan - Mukhriz
Posted: 18 Nov 2013 10:34 AM PST Oleh HASHIM P. MAMAT Ismail Saffian SUNGAI SIPUT 18 Nov. - Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBU) memperuntukkan sebanyak RM5 juta pada tahun ini bagi membeli barangan keperluan harian untuk diberikan kepada golongan yang memerlukan. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ismail Saffian berkata, YBU mengedarkan sebanyak 5,000 kotak barangan makanan ke pejabat wakil rakyat dan pusat khidmat masyarakat di seluruh negeri ini setiap bulan. Katanya, pejabat berkenaan kemudian akan menyampaikan kotak makanan berisi beras, gula, tepung, sardin, minyak masak dan susu kepada penerima yang layak seperti orang miskin, warga emas, pesakit uzur, orang kurang upaya dan mangsa bencana. "Penyampaian kotak makanan keperluan harian ini merupakan sebahagian daripada usaha YBU membantu penduduk di negeri ini ketika mereka berada dalam kesusahan. "Bantuan sebegini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban hidup terutamanya sekali dalam keadaan genting seperti kebakaran atau banjir kerana ramai mangsa memerlukan bekalan makanan harian," katanya. Beliau menjelaskan demikian kepada pemberita ketika ditemui semasa program turun padang bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang, Datuk Dzolkafly Harun di sini hari ini. Menurut Ismail, di samping bantuan kotak makanan, YBU memperuntukkan sebanyak RM5 juta lagi pada tahun ini bagi membantu membaik pulih dan membina rumah baharu kepada keluarga miskin atau ditimpa bencana. "Kita menyediakan sehingga RM15,000 untuk membaik pulih sebuah rumah dan sehingga RM35,000 untuk membina sebuah rumah baharu di bawah Projek Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT)," katanya. Mengulas mengenai program turun padang itu, katanya, itu merupakan kali keenam yang dilawati YBU pada tahun ini untuk melihat penduduk yang memerlukan bantuan. "Dalam program ini, saya banyak mendapat petunjuk dan pengalaman berfaedah kerana dapat melihat sendiri keadaan keluarga pemohon bantuan dan kehidupan sebenar mereka yang perlu dibantu," katanya. |
Kedah beri perhatian khusus basmi kemiskinan Posted: 18 Nov 2013 10:34 AM PST ALOR SETAR 18 Nov. - Kerajaan negeri Kedah komited dan memberi tumpuan khusus untuk membasmi kemiskinan di negeri ini menerusi pelbagai pendekatan melibatkan kerjasama semua pihak di sebalik kerancakan pertumbuhan dan pembangunan ekonomi yang dilaksanakan. Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, meskipun Kerajaan Persekutuan dan negeri mempunyai banyak projek untuk mengangkat masyarakat termiskin, namun masih ramai yang tercicir daripada arus pembangunan perdana. Beliau berkata, Kedah masih mempunyai 23,000 isi rumah yang dikategorikan sebagai miskin. "Atas kesedaran ini, kerajaan negeri akan berusaha dengan segala kudrat yang ada dan dengan iltizam kental untuk membasmi kemiskinan secara langsung dan tidak langsung," katanya ketika membentangkan Bajet 2014 dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Ke-13 di Wisma Darul Aman hari ini. Menurut Mukhriz, pendekatan secara langsung dimaksudkan adalah projek-projek perumahan menggunakan pelbagai kaedah dan melibatkan kerajaan Persekutuan, negeri dan swasta. Pendekatan tidak langsung pula, katanya, melibatkan pembangunan ekonomi setempat yang membuka peluang untuk dimanfaatkan oleh masyarakat seperti pelaburan asing dan tempatan, pembinaan infrastruktur pemangkin serta pembangunan modal insan. "Semua ini bertujuan mengupayakan ekonomi golongan termiskin dalam kalangan kita," ujar beliau. Dalam pada itu beliau berkata, kesamarataan pemerintahan Pusat dan negeri lebih-lebih lagi kerajaan yang progresif dan mesra ekonomi adalah penting bagi mencapai taraf sebuah negeri maju, aman serta makmur untuk rakyat nikmati. Katanya, sebagai sebuah negeri yang akan melaksanakan transformasi pada tahun depan, kerajaan negeri Kedah tentu menyediakan bajet seiring dengan teras ditetapkan oleh kerajaan Persekutuan di samping memastikannya mencapai matlamat bagi memenuhi janji dibuat. Menurutnya, contoh bahawa hubungan Kerajaan Persekutuan dengan negeri yang rapat boleh menghasilkan kesenangan kepada rakyat ialah dengan pengumuman projek penambahbaikan pengairan dan saliran Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) selain menerima peruntukan tambahan untuk projek estet padi. "Yang beruntung nanti ialah para petani kerana hasil pendapatan akan meningkat. Rakyat tentu sekali akan mendapat limpahan nikmat daripada projek sebesar ini," katanya. |
Buang persepsi latihan kemahiran berat, melecehkan - Mukhriz Posted: 18 Nov 2013 10:34 AM PST Mukhriz Mahathir mengalungkan pingat penghargaan kepada Najeman Cham yang menerima Anugerah Khas Pengerusi KEDA dalam Majlis Konvokesyen Ke-8 Kolej KEDA di Dewan Budi Gemilang, Sik, Kedah baru-baru ini. SIK 18 Nov. - Persepsi masyarakat mengatakan latihan kemahiran berat dan melecehkan amat membimbangkan berikutan jumlah pelatih kemahiran yang dilahirkan amat sedikit. Menteri Besar, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir berkata, kekosongan tenaga mahir sepatutnya diisi oleh rakyat dari negara ini, bukannya oleh orang luar. "Ramai tenaga mahir dari luar negara bekerja di sini termasuk dalam bidang-bidang tertentu yang sepatutnya diisi oleh warganegara ini. "Persepsi masyarakat yang mengatakan kerja-kerja kemahiran itu adalah berat dan melecehkan amat dikesalkan. Oleh sebab itulah banyak kerja kosong dalam pasaran kerja pada masa kini," katanya. Beliau menyatakan demikian ketika berucap dalam majlis Konvokesyen Ke-8 Kolej Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), di Dewan Budi Gemilang, Pusat Latihan KEDA di sini kelmarin. Kolej KEDA mula beroperasi pada Mac 1988 sebagai Pusat Latihan KEDA (PUSTIKA) di Perangin di sini sebelum dikenali dengan nama baru iaitu Kolej KEDA. Menurut Mukhriz, anggapan tersebut perlu dihapuskan dan masyarakat terutama ibu bapa perlu memberi sokongan dan galakan kepada anak-anak mereka untuk menceburi bidang kemahiran. Kata Mukhriz, Kolej KEDA menawarkan kursus kemahiran jangka panjang dan sehingga kini seramai 4,224 pelatih telah berjaya dilahirkan menerusi Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Suruhanjaya Tenaga (ST) dan SIRIM. "Di samping itu, Kolej KEDA turut melaksanakan Kursus Kemahiran Jangka Pendek (dua hingga 10 hari) berteraskan kemahiran, pembangunan keusahawan, kepimpinan, minda insan dan teknologi maklumat," ujarnya. Sementara itu pelatih Teknologi Kimpalan, Najeman Cham, 21 dari Kangar, Perlis yang mendapat Anugerah Khas Pengerusi KEDA merancang melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. "Syukur kepada Allah kerana memberi peluang kepada saya untuk belajar di Kolej KEDA dan seterusnya mendapat anugerah tertinggi ini. Terima kasih juga kepada semua pendidik yang tidak jemu mengajar serta mereka yang terlibat sehingga dapat melahirkan modal insan yang berkualiti dan mempunyai kemahiran dalam pasaran pekerjaan," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan