Utusan Online - Jenayah |
Beberapa inisiatif seumpama Op Cantas bakal dilaksana - KPN Posted: 19 Nov 2013 10:29 PM PST Oleh MOHD. HAZLI HASSAN KUALA LUMPUR 20 Nov. - Beberapa inisiatif khusus menyerupai Ops Cantas akan dilaksanakan oleh pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam masa terdekat kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar. Sambil tidak mahu mendedahkan lebih lanjut, beliau berkata, inisiatif-inisiatif itu dilihat mampu memberikan keselesaan kepada rakyat dan seterusnya mengembalikan kepercayaan penuh kepada PDRM. "Ketika ini walaupun keyakinan terhadap pasukan polis semakin meningkat, namun ada segelintir golongan yang terus-menerus menyerang dan menyebarkan dakyah yang tidak betul terhadap pasukan dan ini menyebabkan kepercayaan kepada PDRM akan terhakis. "Jadi saya percaya inisiatif khas seperti Ops Cantas yang sedang dilakukan sekarang mampu mengembalikan kepercayaan penuh rakyat kepada PDRM. "Apa pun, kena tunggulah sehingga kita lakukan perkara itu. Tak perlulah saya pukul gong, pukul canang sebelum inisiatif itu dilakukan. "Macam Ops Cantas, saya tidak hebohkan dulu. Kita laksanakan dan selepas itu biarlah rakyat menilai," katanya di sini hari ini. Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas menyampaikan ucaptama 'Peningkatan Keselamatan Malaysia ke arah Transformasi Ekonomi' pada Persidangan Keselamatan Perniagaan 2013 di sini hari ini. Hadir sama Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI), Simon Whitelaw; Pengerusi Majlis Keselamatan Tindakan Bersama (JASCO) MICCI, Rajan Mittal dan pegawai-pegawai kanan PDRM. Dalam perkembangan lain, Khalid turut membidas media dari Taiwan yang mendedahkan terlalu banyak informasi mengenai kes seorang pelancong lelaki warganegara Taiwan yang ditembak mati di Pulau Pom Pom Sabah pada 15 November lalu. Menurut Khalid, dengan pendedahan terlalu banyak oleh media Taiwan itu, ia memberi kelebihan kepada penculik untuk membuat tuntutan yang boleh menggagalkan operasi menyelamat oleh polis. "Saya minta tolong, jangan lapor secara terperinci. Ia tidak membantu polis dalam usaha untuk menyelamatkan mangsa itu. Media anda membantu penculik bukan membantu pihak berkuasa. "Kita bukan tidur dan menunggu ia diselesaikan. Kita sedang berusaha," kata Khalid ketika ditanya oleh seorang wartawan media Taiwan mengenai perkembangan kes berkenaan. Dalam kejadian itu, Lin Min Hsu, 57, ditembak mati sekumpulan penjenayah manakala rakan wanita senegaranya, An Wei Chang, 58, diculik ketika bercuti di Pulau Pom Pom. Mengulas lanjut, Khalid berkata, setiap perkembangan kes hanya akan dimaklumkan kepada keluarga mangsa sahaja dan tidak akan dibincangkan secara terbuka bagi mengelakkan operasi menyelamat gagal. - UTUSAN ONLINE |
Posted: 19 Nov 2013 10:08 AM PST Oleh IFQDAR RAHMAN NORHAYATI Mohamad memeluk anaknya, Mohamad Izzat Izzudin Hussin di rumah mereka di Kampung Hajah Hasnah Majidee, Johor Bahru, semalam. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI JOHOR BAHRU 19 Nov. - Remaja lelaki yang menggemparkan negara semalam apabila dia dikatakan hilang selepas memasuki banglo terbiar Villa Nabila di sini, ditemui dalam keadaan selamat awal pagi ini. Kehilangan Mohamad Izzat Izzudin Hussin yang berusia 16 tahun dan tidak bersekolah itu bukannya disorok makhluk halus di banglo tersebut sebaliknya dia tertidur di rumah rakan dan terlupa untuk memaklumkan kepada keluarga sehingga menyebabkan ibunya panik. Mohamad Izzat Izzudin mendakwa, dia bersama 30 rakan pergi ke vila berkenaan pada pukul 12.30 tengah malam Ahad lalu dan menghabiskan masa kira-kira 15 minit di premis itu sebelum beredar. "Sejurus selepas keluar kami terus pergi ke sebuah restoran makanan segera di bandar raya ini untuk makan kerana lapar. "Saya sudah tiga kali pergi ke vila itu dan tujuan kami ke sana hanya sekadar melewati banglo tersebut. Selesai makan kami semua berpecah kira-kira pukul 6 pagi," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Majidee hari ini. Kehilangan remaja itu menimbulkan kegemparan apabila banglo terbiar berusia 40 tahun itu menjadi tumpuan orang ramai. Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff dalam sidang akhbar hari ini memberitahu, remaja lelaki berkenaan ditemui di rumah rakannya di rumah pangsa Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Desa Mutiara di sini kira-kira pukul 12 tengah malam tadi. Penemuan Mohamad Izzat Izzudin itu hasil maklumat jiran di kawasan perumahan tersebut yang mengecam muka remaja berkenaan selepas dipaparkan dalam media elektronik semalam. Mohd. Mokhtar turut menasihatkan orang ramai supaya menghentikan khabar angin mengenai vila berkenaan kerana mengganggu ketenteraman semua pihak termasuk tugasan polis. Sementara itu ibu remaja berkenaan, Norhayati Mohamad, 39, berkata, dia berasa lega dengan penemuan anaknya itu kerana khuatir anaknya benar-benar 'disorok' oleh makhluk halus. "Saya sangat lega apabila anak saya selamat ditemui. Sebelum ini saya bimbang kerana anak saya mungkin 'disorok' makhluk halus. Rupa-rupanya Izzat tidur di rumah kawan dan terlupa untuk memberitahu saya," katanya ketika dihubungi hari ini. Tambah Norhayati, anaknya tidak pernah membuat perangai seperti itu (tidak memaklumkan kepadanya) dan beliau amat lega ada pihak yang menemuinya. "Saya berterima kasih kepada semua pihak yang membantu mencari anak saya dan berharap kejadian yang sama tidak berulang," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Jenayah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan