Selasa, 19 November 2013

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


1.9 juta dijangka lawat Melaka penuh

Posted: 18 Nov 2013 10:34 AM PST

Oleh AMRAN MULUP
utusanmelaka@utusan.com.my

MELAKA 18 Nov. - Kebanyakan bilik hotel di sekitar pusat bandar di negeri ini habis ditempah sepanjang musim cuti sekolah sehingga 31 Disember ini.

Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BBP) Melaka, Abd. Kadir Md. Idris berkata, keadaan itu memandangkan seramai 1.9 juta pelancong dijangka berkunjung ke negeri ini sepanjang cuti sekolah yang sudah bermula.

Menurutnya, kebanyakan hotel yang telah habis ditempah adalah di sekitar Banda Hilir, Melaka Raya, Kota Laksamana dan Klebang.

''Semua hotel yang telah habis ditempah ada berdekatan dengan pusat tumpuan pelancong di Banda Hilir yang menempatkan banyak produk pelancongan.

''Antara produk tersebut adalah Menara Taming Sari, Bangunan Stadhuys, Jonker Walk, Bot Melaka River Cruise, Kota A'Famosa, Memorial Perisytiharan Kemerdekaan, kapal Samudera dan sebagainya," katanya di sini hari ini.

Bagaimanapun kata Abd. Kadir, sebanyak 176 buah hotel di seluruh negeri ini termasuk inap desa dan resort berjumlah 312 buah mampu menampung kedatangan pelancong

Orang ramai boleh menghubungi talian hotline 06-3333333 bagi mendapatkan maklumat untuk tempahan penginapan termasuk hotel bajet.

Dalam pada itu katanya, kebanyakan pusat tumpuan pelancong seperti Zoo Melaka and Safari Night, Taman Tema Air Melaka Wonderland, Taman Burung, Taman Mini Malaysia dan Mini ASEAN di Ayer Keroh menawarkan diskaun kepada pengunjung.

''Beberapa pusat beli-belah di Mahkota Parade dan Dataran Pahlawan juga turut menawarkan diskaun kepada pengunjung sepanjang musim cuti sekolah ini,'' katanya.

Di samping itu, pengayuh beca juga telah diingatkan untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada pelancong serta tidak mengambil kesempatan mengenakan tambang mahal.

Bantu pembangunan profesional guru BI

Posted: 18 Nov 2013 10:34 AM PST

MD. Yunos Husin memukul gong sebagai tanda perasmian persidangan International Confrence English Language Teaching (ICELT) 2013 di Melaka semalam.

MELAKA 18 Nov. - Peranan universiti dalam aspek pengajaran bahasa Inggeris dapat membantu pembangunan profesional dalam kalangan guru di negara ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, usaha itu penting kerana terdapat lebih 70 peratus guru bahasa Inggeris di negara ini didapati kurang bersedia sekali gus menjejaskan keberkesanan dalam proses pengajaran bahasa berkenaan.

Menurutnya, kerajaan menganggap perkara ini penting malah turut telah menetapkan beberapa strategi untuk membantu guru menjadi lebih cekap seterusnya meningkatkan keyakinan semasa mengajar.

"Namun begitu, peranan yang dimainkan universiti dan pihak luar dalam menganjurkan program pembangunan profesional guru-guru bahasa Inggeris ini juga dilihat berkesan dan amat digalakkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Antarabangsa Pengajaran Bahasa Inggeris (ICELT 2013) anjuran Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM) di Hotel Equatorial, di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi negeri, Datuk Md. Yunos Husin.

Yang hadir sama Dekan Fakulti Pengajian Pendidikan UPM, Profesor Dr. Ab. Rahim Bakar; Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Bahasa ELS, Prof. Emeritus Datuk Dr. Mohamed Mahyuddin Mohd. Dahlan dan Pegawai Hal Ehwal Budaya Kedutaan Amerika Syarikat, Arend Zwartjes.

Jelas Idris, Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pendidikan negeri turut telah menganjurkan beberapa inisiatif seperti kursus bagi guru dalam pengajaran bahasa Inggeris.

"Bagaimanapun, tidak semua guru dalam negeri ini akan mendapat faedah daripada kursus berkenaan kerana bilangannya yang besar selain kekangan peruntukan.

"Justeru, di sinilah kita boleh melihat sumbangan yang dimainkan universiti serta komitmen pihak luar seperti Kedutaan Amerika Syarikat menyediakan pakar bahasa Inggeris di sekolah dan universiti negara ini," ujarnya.

Persidangan selama tiga hari yang bermula hari ini melibatkan lebih 700 peserta dari seluruh negara dan dilihat dapat memberi cabaran kepada guru menyesuaikan pendekatan baharu bagi menjadikan pengajaran bahasa Inggeris lebih menyeronokkan.

Antara peserta terlibat termasuklah dari England, Amerika Syarikat, Arab Saudi, Jamaica, China, India, Iran, Oman, Fiji, Indonesia, Singapura, Thailand, Vietnam dan peserta tuan rumah.

Eratkan hubungan masyarakat

Posted: 18 Nov 2013 10:34 AM PST

HARON Che Su (tengah) bergambar beramai-ramai pada majlis penutup Perkampungan Komuniti Belia Bakti Siswa Turun Ke Desa dan Jejak 1M4U Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IPPBM) di Kampung Tangga Batu, Melaka, kelmarin.

MELAKA 18 Nov. - Mahasiswa digalakkan mengambil pendekatan aktif mengeratkan hubungan dengan masyarakat agar dapat melengkapkan diri dengan kemahiran insaniah.

Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Belia dan Sukan, Haron Che Su berkata, perkara itu mampu dilaksanakan dengan peranan persatuan serta kelab seperti Kelab Rakan Muda (KRM) yang aktif melaksanakan pelbagai aktiviti pembangunan belia.

Menurutnya, inisiatif seperti itu sekali gus menjadi langkah paling berkesan dalam usaha untuk merapatkan lagi hubungan belia dengan masyarakat setempat.

"Sebagai pelapis masa depan negara, mahasiswa terutamanya perlu mendekatkan diri dengan masyarakat bagi mengetahui bagaimana hubungan kelompok masyarakat membantu mewujudkan budaya integriti mapan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutup Perkampungan Komuniti Belia Bakti Siswa Turun Ke Desa di Kampung Tangga Batu di sini semalam.

Yang hadir sama Pengarah Jabatan Belia dan Sukan negeri, Baharudin Jali dan Pengerusi KRM Parlimen Tangga Batu, Mohamad Bukhairy Rabu.

Program selama tiga hari itu melibatkan 42 mahasiswa dari Universiti Teknikal Melaka (UTeM) yang masing-masing berpeluang tinggal di 20 rumah keluarga angkat di kampung berkenaan.

Antara aktiviti yang disusun sepanjang program termasuklah gotong-royong membersihkan masjid dan kubur, ziarah kasih, pencarian harta karun, sukan rakyat serta persembahan kebudayaan.

Sementara itu Haron berkata, usaha KRM Parlimen Tangga Batu serta Jabatan Belia dan Sukan negeri menganjurkan program bermanfaat seperti itu adalah wajar bagi memberi pendedahan kepada mahasiswa.

"Pelbagai aktiviti menarik dan berguna telah diatur dalam program ini yang dilihat sebagai satu petanda positif bagi merapatkan hubungan antara mahasiswa dan masyarakat setempat," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved