Selasa, 19 November 2013

Utusan Online - Keluarga


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Money Boy

Posted: 18 Nov 2013 09:59 PM PST

Mengakui dia yang hanya bersekolah setakat darjah enam menderita jiwanya semenjak ibu berkahwin lain setelah ayahnya meninggal dunia.

"Tidak seperti arwah ayah, ayah tiri saya seorang yang suka mendera mengakibatkan saya makan hati. Setelah saya tidak mahu lagi bersekolah, ayah tiri memasukkan saya ke sebuah sekolah tahfiz .

"Di sini saya juga kecewa kerana didera oleh rakan-rakan setahfiz menyebabkan saya mengambil keputusan melarikan diri daripada sekolah berkenaan," jelas anak kelahiran Selangor ini.

Berbekalkan duit RM50 Zack yang ketika itu berusia 15 tahun, anak kedua daripada empat beradik memberanikan diri menaiki bas menuju ke Perhentian Bas Klang.

Setibanya di sana dia bertemu dengan rakan-rakan remaja lain yang melepak dan mengajarnya cara untuk hidup di kota besar seperti mencuri, peras ugut, penyeluk saku, dadah dan sebagainya.

Bagi Zack sendiri dia tidak kisah dengan apa yang dilakukannya. Bawah jambatan dan siar raya kaki lima adalah tempatnya untuk tidur, malah dia mengakui semua kerja dia sanggup lakukan untuk menampung kehidupannya di Kuala Lumpur.

"Saya tahu ibu tidak lagi mencari, mungkin sebab dia sukar menghubungi saya dan itu membuatkan saya benar-benar kecewa, namun apa yang saya lakukan ini menjadikan saya puas. Ditangkap atas kesalahan jenayah Seksyen 306 beberapa kali adalah satu keadaan yang lumrah bagi saya," katanya.

Zack yang petah berkata-kata dan fasih membaca doa ini, tidak merasa sebarang kesalahan apabila bercerita pengalamannya bagaimana dia menjadi 'pelacur' remaja bagi mereka yang memerlukan perkhidmatannya.

Setakat yang diketahui dia telah melayan hampir 25 orang lelaki dan wanita. Pelangannya berumur dalam lingkungan 15 hingga 35 tahun. Apabila dia merasakan perkhidmatannya memuaskan dia 'memperbesarkan' perniagaannya dengan menjual gadis berusia 18 dan 35 tahun dengan bertindak sebagai bapa ayam selama dua bulan.

"Kerja seperti ini senang. Selalunya remaja yang menjual tubuh mereka berada di sekitar Jalan Raja Laut. Setelah kereta berhenti, pelanggan dan kami akan berbincang mengenai harga sebelum ke hotel.

"Apabila menjadi bapa ayam pula, harga akan dirunding oleh saya mengikut persetujuan kedua-dua pihak iaitu pelanggan, saya dan anak ayam," katanya jujur.

Zack memberitahu, pekerjaan yang dilakukannya itu diberi jolokan moneyboy atau gayboy, terpulang kepada siapa yang memerlukan perkhidmatannya dengan sekali perkhidmatan dia boleh menerima sehingga RM300.

Selalunya, ujar Zack, pelanggan wanita bermurah hati untuk memberi lebih banyak wang berbeza dengan pelanggan lelaki yang agak lokek.

"Kadang-kadang golongan wanita ini hanya mahukan teman, minum-minum dan berbual sahaja," katanya yang mengakui tidak mengehadkan layanannya kepada satu jantina sahaja.

Apabila ditanya, tidak mahukah dia berubah ke arah yang lebih baik , Zack terdiam sebentar selaku berfikir sebelum berkata, "siapa yang tidak mahu berubah, saya pun tidak mahu selama-lamanya hidup bergelumang dalam dosa seperti ini tetapi masyarakat mahukah menerima keadaan kami.

"Masyarakat selalu memandang kami hina, tetapi tidak mahu pula membantu kami pulang ke pangkal jalan malah menuduh kami yang bukan-bukan sedangkan kehidupan saya ini berpunca daripada sikap orang tua yang menyakiti saya sehingga menimbulkan dendam dalam diri," katanya.

Jual anak kepada bangsa asing

Seorang lagi remaja yang dibesarkan di Melaka, A.J, hanya baru berusia 17 tahun apabila dia sudahpun bergelar bapa kepada anaknya yang tidak sah taraf hasil perhubungan sulitnya dengan seorang gadis berusia 23 tahun.

Anak bongsu daripada empat beradik ini sudah tidak mempunyai ayah dan ibu dan A.J hanya dibela oleh abang-abangnya.

"Saya dibesarkan dalam sebuah keluarga yang kucar-kacir, keluarga 69 orang kata. Apabila saya tidak lagi bersekolah pada usia 15 tahun saya membantu rakan-rakan yang kerjanya bertukang rumah sehinggalah menjalinkan percintaan dengan seorang gadis. Hasil hubungan terlarang teman wanita saya melahirkan anak lelaki.

"Keluarga, teman wanita dan saya sendiri tidak mahu membela anak itu dan saya berusaha mencari siapa yang sudi mengambil anak saya menjadi anak angkat.

"Akibat kedangkalan agama dan cetek dengan pengetahuan, saya telah menjual anak saya itu kepada pasangan bangsa asing dengan harga RM20,000 untuk dijadikan anak angkat, kerana merasakan tidak mampu untuk memeliharanya," kata A.J yang memberitahu usia anaknya kini dua tahun.

Setelah memberikan duit itu kepada teman wanitanya, A.J , berhijrah ke Kuala Lumpur dengan harapan untuk bekerja, malangnya apabila sampai di sini keadaan yang sukar menjadikan hidupnya bergelumang dengan gejala sosial lain.

A.J mengakui dia digunakan oleh beberapa orang yang memerlukan perkhidmatannya sebagai seorang kaki pukul dan merompak sementelah dia juga mempunyai pengetahuan seni mempertahankan diri yang dipelajarinya.

A.J menambah, hidup di Kuala Lumpur menjadikan dirinya tabah dan kasar biarpun kehidupan yang dijalaninya penuh dengan onak dan ranjau .

"Sekiranya saya diberi peluang untuk hidup ke arah yang lebih baik, mula-mula saya mahu belajar mengaji kerana alif, ba, ta, pun saya tidak tahu dan kemudian belajar solat.

"Seterusnya saya mahu tebus setiap kesalahan yang dilakukan," katanya. - Rosmah Dain

Realiti kehidupan

Posted: 18 Nov 2013 09:59 PM PST

Dua kisah di atas adalah antara puluhan yang dihadapi oleh remaja jalanan sebagaimana realiti kehidupan yang diharungi golongan berkenaan.

Itulah yang sepatutnya masyarakat kita takuti, apabila golongan ini terjebak dengan masalah sosial dalam usia masih muda, dan sekiranya tidak ditangani dengan segera akan menular ke persekitaran yang lebih teruk pada masa hadapan, mungkin juga ke generasi akan datang yang pastinya melibatkan kemusnahan kepada bangsa, negara dan agama.

Seperti contoh Zack, yang tampil sukarela menceritakan pengalamannya terjebak dalam kemelut money boy, yang sepatutnya perlu ditangani oleh pelbagai pihak agar perkara seperti ini tidak menular.

Mungkin ramai lagi yang bersikap seperti Zack yang perlu mendapat perhatian segera.

Itu yang disuarakan oleh aktivis masyarakat gelandangan yang juga pengasas Teratak Arfidah, Arfidah Abd. Latiff, yang memberitahu terdapat 40 hingga 50 anak-anak remaja gelandangan berumur belasan tahun di sekitar Kuala Lumpur.

"Begitu juga remaja perempuan, terdapat antara 15 ke 25 orang yang hidup liar dan bebas seperti itu yang perlu ditangani dengan segera.

"Daripada hasil outreach yang kami lakukan setiap malam, dilihat masih ramai remaja belasan tahun yang sepatutnya menjadi harapan kepada masyarakat di masa hadapan sebagai pemimpin, berkeliaran di jalan-jalan tanpa haluan.

"Apa yang pihak kami lakukan pada waktu ini ialah mencari mereka, kumpulkan, tumpukan perhatian dan mencari punca apa yang menjadi penyebab sehingga mereka menjadi seperti ini.

"Apabila sudah dapat diketahui jawapannya, kita cuba bimbing mereka sedaya upaya yang boleh, namun bergantung kepada individu berkenaan.

"Dalam ramai-ramai yang kita cuba tarbiyahkan, ramai juga yang akhirnya melarikan diri daripada kita dan membawa hal masing-masing mengikut jalan seperti dahulu," jelasnya.

Dalam hal ini kata Arfidah, keluarga sebenarnya memainkan peranan yang amat penting kerana remaja belasan tahun seperti ini memerlukan kasih sayang dan perhatian sedari awal kehidupan awal mereka.

Berikan juga mereka didikan agama. Apa yang penting berikan mereka sokongan moral dan sentiasa memberikan perhatian kepada mereka.

"Masyarakat juga diminta jangan hanya pandai menghukum tetapi turut serta memberi bantuan dan bimbingan yang sewajarnya kerana sekiranya perkara seperti ini berlarutan pastinya membawa mudarat yang bukan sedikit kepada masyarakat, bangsa, negara dan agama," katanya yang boleh dihubungi di talian 017-3631620.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved