Utusan Online - Utara |
- Jangan guna racun berlebihan
- Keamanan janjikan kebajikan terpelihara
- 180 staf JPJ P. Pinang terlibat Op Hari Raya
Posted: 01 Aug 2013 11:20 AM PDT Oleh SHOLINA OSMAN Ahmad Bakri Ali (kanan) menyerahkan replika cek kepada Ruslan Abdul Ghani Ahmad sewaktu majlis Penyampaian Bantuan Baja dan Peralatan Pertanian bagi Penanam Sayur Perlis di Kompleks Pertanian Bukit Temiang, Beseri, Perlis, semalam. PADANG BESAR 1 Ogos - Penanam sayur di negeri ini diingatkan supaya tidak menggunakan racun serangga secara berlebihan bagi mendapat hasil yang lumayan kerana boleh memudaratkan kesihatan manusia. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Koperasi Negeri, Ahmad Bakri Ali berkata, ini kerana penanam sayur bukan sahaja membekalkan tanaman yang segar, malah selamat dimakan untuk keperluan rakyat setiap hari. "Tanggungjawab untuk menyediakan sayur-sayuran yang selamat mesti diutamakan kerana pengguna semakin prihatin dengan kesihatan yang mana lebih memilih tanaman yang bebas daripada racun," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis penyampaian bantuan baja dan peralatan bagi penanam-penanam sayur negeri Perlis 2013 di Kompleks Pertanian Bukit Temiang, Jalan Kaki Bukit, Beseri dekat sini hari ini. Yang turut hadir Pengarah Pertanian negeri, Zulkepli Amin Mat Jusoh @ Yusof dan Pengurus Wilayah 1 Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) negeri, Ruslan Abdul Ghani Ahmad. Sejumlah 230 penanam sayur di negeri ini yang menerima bantuan berjumlah RM240,736.80 bagi menampung kos penggunaan baja dan peralatan pertanian. Penanam sayur menerima kupon bernilai antara RM400 hingga RM4,000 berdasarkan keluasan tanah yang diusahakan dan mesti ditebus sebelum 30 September ini. Ahmad Bakri mengingatkan penanam sayur supaya mengusahakan tanaman sayur dengan menggunakan baja organik. "Sayuran organik semakin menjadi pilihan dalam kalangan pengguna kerana bimbang dengan penggunaan racun serangga berlebihan," katanya. Beliau berkata, kerajaan juga sedar masalah yang dihadapi oleh penanam sayur yang terpaksa menghadapi kenaikan harga baja dan peralatan pertanian. Katanya, dengan bantuan ini, diharap akan meringankan penanam sayur. |
Keamanan janjikan kebajikan terpelihara Posted: 01 Aug 2013 11:20 AM PDT Oleh OTHMAN YAHAYA Reezal Merican Naina Merican (dua dari kanan) menyampaikan wang zakat daripada Nafas kepada salah seorang penerima di PPK Penaga di Kepala Batas, Pulau Pinang, kelmarin. KEPALA BATAS 1 Ogos - Umat Islam digesa sentiasa mensyukuri nikmat dan menghargai keamanan yang dikecapi dari dahulu sehingga membolehkan kebajikan mereka sentiasa diberi perhatian melalui pelbagai bentuk bantuan. Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, keadaan seperti itu tidak dirasai sebahagian besar umat Islam dari negara lain berikutan keadaan negara mereka yang bergolak dan tiada kestabilan dari segi siasah dan politik. "Oleh itu, marilah kita sama-sama menjaga nilai keamanan dan dalam masa sama mensyukuri nikmat itu hingga membolehkan kita sentiasa hidup dalam penuh keriangan. "Kestabilan ini telah membolehkan pihak kerajaan mengatur susun rancangan untuk membantu anggota masyarakat yang memerlukan bantuan secara berterusan," katanya semasa berucap pada majlis Penyampaian Sumbangan Zakat Perniagaan oleh Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) kepada 200 orang penerima di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Penaga di sini semalam. Pada majlis itu, setiap ahli PPK yang sebahagian besarnya merupakan warga emas menerima wang tunai sebanyak RM150 setiap seorang dalam usaha meringankan beban menyambut ketibaan hari lebaran. Yang turut hadir, Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah PPN Pulau Pinang, Yusuf Hashim; Pengurus Besar PPN negeri, Lokman Saidin dan Pengerusi PPK Penaga, Datuk Ismail Omar. Menurut Reezal Merican, keamanan dan kestabilan yang dimiliki Malaysia tidak wujud di kebanyakan negara Islam lain hingga menyukarkan kebajikan mereka diberi perhatian oleh pemerintah. "Berbeza dengan negara ini, kerajaan sentiasa memikirkan pelbagai cara untuk membantu menyalurkan sumbangan kepada rakyatnya yang dikenal pasti layak dibantu. "Hargailah peluang terbesar ini dan dalam masa sama berusaha meningkatkan pendapatan melalui bantuan dan sumbangan yang diperoleh," katanya. |
180 staf JPJ P. Pinang terlibat Op Hari Raya Posted: 01 Aug 2013 11:20 AM PDT BUTTERWORTH 1 Ogos - Seramai 180 pegawai dan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang akan terlibat dalam Op Hari Raya Aidilfitri sehingga 18 Ogos ini bagi mengesan kesalahan lalu lintas yang dilakukan oleh pemandu termasuk pemandu bas ekspres. Pengarah JPJ Pulau Pinang, Datuk Hassan Yaccob berkata, pegawai dan anggota terbabit akan ditempatkan dalam beberapa operasi seperti melakukan pemeriksaan bas ekspres di terminal bas, penyamaran sebagai penumpang dan penguatkuasaan di kawasan kerap berlaku kemalangan. "Kita akan gunakan pelbagai kaedah operasi seperti tahun-tahun lalu dan untuk pemeriksaan bas ekspres kita akan tempatkan pegawai dan anggota JPJ membuat pemeriksaan di Terminal Bas Sementara Penang Sentral di sini dan Terminal Bas Sungai Nibong di bahagian pulau. "Pemeriksaan dilakukan untuk pastikan keadaan bas seperti brek dan tayar mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar di Terminal Bas Sementara Penang Sentral di sini hari ini. Hassan berkata, sebanyak 221 buah bas ekspres telah diperiksa oleh JPJ sehingga 31 Julai lalu. "Sebanyak tujuh saman dikeluarkan kepada pemandu bas atas kesalahan menggunakan telefon bimbit semasa memandu dan beberapa kesalahan lalu lintas lain. "Saman itu dikeluarkan oleh anggota yang menyamar sebagai penumpang dan antara kesalahan kerap dilakukan ialah tidak patuhi lampu isyarat, memotong garisan berkembar, memandu di lorong kecemasan dan tidak memakai tali pinggang," ujarnya. Dalam pada itu, Hassan berkata, penguatkuasaan juga akan dilakukan di kawasan kerap berlaku kemalangan seperti di Jalan Butterworth-Ipoh, Jalan Butterworth-Sungai Petani, Jalan Machang Bubuk, Jalan Sungai Dua dan Jalan Tun Sardon. Tambahnya, JPJ akan menjalankan Op Khas Motosikal dengan kerjasama pihak polis, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk mengesan kesalahan jalan raya yang dilakukan penunggang motosikal. "Pada 6 hingga 7 Ogos dan 17 hingga 18 Ogos, JPJ akan melakukan rondaan di lebuh raya dan jalan utama negeri bagi memastikan perintah larangan penggunaan kenderaan barangan di jalan raya dipatuhi pemandu kenderaan berat. "Pemandu kenderaan persendirian pula dinasihat menitikberatkan soal keselamatan dengan mematuhi semua peraturan agar nahas dapat dielakkan," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan