Utusan Online - Johor |
Posted: 01 Aug 2013 11:20 AM PDT Oleh MOHAMED SAARI Daun mengkuang yang telah dipotong sama panjang perlu dilayur di atas api bagi melembutkannya agar tidak mudah patah atau terkoyak semasa proses membuang duri dan menyukat untuk dijadikan lembaran lebih kecil. PAGOH 1 Ogos - Golongan muda biasanya sering menganggap kerja-kerja anyaman mengkuang adalah sesuatu yang rumit dan anggapan itu menyebabkan mereka kurang berminat untuk menceburi seni anyaman tersebut. Ini menyebabkan produk tikar dan tudung saji mengkuang semakin sukar ditemui kerana bilangan individu yang meneruskan aktiviti menganyam kini terdiri daripada mereka yang sudah bergelar warga emas di kawasan luar bandar. Justeru, tidak hairanlah kita kini terpaksa menyaksikan tikar getah dan tudung saji plastik mengambil alih peranan tikar serta tudung saji mengkuang sebagai alas lantai dan penutup hidangan dalam masyarakat kerana sukar untuk mendapatkan kedua-dua barangan tersebut di pasaran. Namun Zaharah Abdul Majid, 58, membuktikan bidang anyaman mengkuang mampu menjana pendapatan lumayan melalui kepelbagaian produk warisan seperti tikar, bakul rambung, tudung saji dan ketumbu. Dia yang berpengalaman lebih 40 tahun menghasilkan anyaman mengkuang berkata, bidang itu jika diusahakan boleh dijadikan industri yang berkembang maju kerana permintaan terhadap produk-produk tersebut masih tinggi. "Saya sendiri satu ketika dahulu pernah menjadikan bidang ini sebagai punca rezeki bagi menyara tujuh anak," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Bendar, Bukit Kepong dekat sini, semalam. Membuat barangan daripada mengkuang katanya tidaklah serumit mana, hanya memerlukan sedikit kesabaran dan ketelitian terutama ketika proses mengambil daun kerana daun mengkuang berduri. Masa paling sesuai untuk mengambil daun mengkuang adalah pada awal pagi atau lewat petang agar daun yang diambil tidak mudah layu dan patah sewaktu proses menyukat dan melurut dilakukan. Menurutnya, hanya daun yang cukup tua sahaja boleh diambil dan kemudian dipotong sama panjang dengan membuang bahagian hujung yang tirus sebelum dilayur di atas api bagi melembutkannya agar tidak patah semasa proses membuang duri dilakukan. Proses seterusnya disebut sebagai menyukat iaitu satu proses menjadikan daun tersebut kepada beberapa lembar yang lebih kecil, kira-kira satu sentimeter dengan menggunakan alat khas yang diperbuat daripada kepingan kayu dicucuk beberapa batang besi kecil dalam jarak sama sebagai mata pemotong. Kemudian daun tersebut dilurut bagi sebelum diikat menjadi berkas dan diketuk bagi melembutkannya sebelum direndam di dalam bekas besar atau sungai selama tiga hari bagi membuang warna asal daun mengkuang. "Cukup tempoh daun tersebut bolehlah dikeluarkan daripada rendaman dan perlu dicuci dengan bersih agar tidak berbau busuk dan dikeringkan dengan cara menjemurnya. Untuk mengetahui daun itu sebetul-betulnya kering, warnanya bertukar dari warna coklat kehitaman kepada lebih cerah keputihan. "Sementara proses mewarna pula boleh dilakukan selepas itu dengan cara mencelur daun tersebut di dalam air mendidih yang telah dicampur dengan warna selama 20 minit dan kemudian dibilas serta dijemur," katanya yang mampu menyiapkan sebiji tudung saji bersaiz sederhana dalam masa sejam. Selepas kering, daun tersebut perlu dilurut kembali bagi melembutkannya sebelum disimpan dan disediakan untuk digunakan membuat tikar, tudung saji, bakul rambung mahupun ketumbu dan selalunya boleh bertahan sehingga bertahun lamanya. Ujarnya, proses memulakan menganyam tikar mengkuang disebut menaja atau melagang iaitu memulakan anyaman pada bahagian tengah atau tulang tikar dan diteruskan ke bahagian tepi sehingga mencukupi saiz yang diperlukan. Kemudian anyaman di bahagian tepi mesti dimatikan dengan cara melipatkan dan menyisipkan lebihan daun sebelum dipotong yang lebih dikenali sebagai proses membuat tulang belut supaya lebih kemas. Bagi menyiapkan anyaman tikar selebar dua meter kali dua setengah meter, dia memerlukan masa sekitar lima atau enam hari bergantung kepada kelarai (corak) anyaman yang digunakan. Harga tikar buatan Zaharah adalah antara RM50 hingga RM150 bergantung kepada saiz serta kelarai anyaman yang digunakan sementara bagi tudung saji yang dijual sekitar RM20 hingga RM50 bergantung pada saiznya. Kata Zaharah, dia sentiasa membuka pintu kepada sesiapa sahaja terutama golongan muda yang berminat untuk mempelajari ilmu anyaman mengkuang yang dimilikinya bagi memastikan seni warisan tersebut tidak hilang begitu sahaja. "Tapi sayang anak saya sendiri walaupun boleh menganyam mengkuang tidak berminat untuk meneruskan kerja yang dilakukan ini kerana telah mempunyai kerjaya lebih baik atau tertumpu kepada bidang lain," katanya lagi. |
Posted: 01 Aug 2013 11:20 AM PDT Oleh FARIK SALLEH Baderi Dasuki (dua dari kiri) menyampaikan replika cek bonus raya kepada seorang daripada ketua peneroka pada Program Rahmat Ramadan dan Tadarus Al-Quran Peringkat UMNO Bahagian Tenggara di Masjid Jamek Al-Hizbullah, Felda Sungai Sibol di Kulaijaya, baru-baru ini. KULAIJAYA 1 Ogos - Seramai 2,916 peneroka dari tujuh tanah rancangan dalam kawasan Parlimen Tenggara bakal menyambut Aidilfitri dengan suasana yang lebih meriah apabila masing-masing menerima sumbangan bonus hari raya daripada Felda sebanyak RM300 seorang di sini baru-baru ini. Bonus tersebut disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panti, Datuk Baderi Dasuki kepada ketua peneroka setiap tanah rancangan terlibat sebelum diagihkan kepada para peneroka lain. "Pemberian bonus raya ini merupakan penghargaan Felda dan kerajaan kepada peneroka yang banyak membantu pertumbuhan ekonomi negara dalam sektor pasaran komoditi kelapa sawit sekali gus melonjak pendapatan kasar negara. "Masyarakat peneroka paling bertuah kerana mendapat banyak pembelaan daripada kerajaan yang prihatin terhadap kebajikan dan akan terus membantu meningkatkan taraf hidup mereka," katanya ketika berucap dalam Program Rahmat Ramadan dan Tadarus Al-Quran Peringkat UMNO Bahagian Tenggara di Masjid Jamek Al-Hizbullah, Felda Sungai Sibol di sini. Yang turut hadir ADUN Pasir Raja, Datuk Dr. Adham Baba; Timbalan Pengarah Seranta Felda, Jabatan Perdana Menteri (JPN), Manndzri Nasip dan Penolong Pengurus Besar Felda Wilayah Johor Bahru, Sahad Sudarman. Sementara itu Sahad berkata, setiap peneroka yang menghantar hasil kepada Felda menerima RM300 manakala mereka yang melaksanakan tanam semula persendirian diberi RM150 setiap seorang. "Felda Sungai Sibol menerima RM119,8500 untuk diagihkan kepada 411 peneroka, Felda Penggeli Timur menerima RM130,950 melibatkan 460 peneroka dan Felda Linggiu menerima RM139,200 kepada 499 peneroka. "Bagi Felda Pasir Raja dan Felda Bukit Besar masing-masing menerima RM118,650 dan RM121,650 untuk diagihkan kepada 415 dan 409 peneroka sementara Felda Bukit Ramun menerima RM94,650 melibatkan 460 peneroka," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan