Utusan Online - Rencana |
Perbezaan besar Ahli Sunnah-Syiah Posted: 02 Aug 2013 11:42 AM PDT Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD "Tidak pernah aku melihat golongan menurut hawa nafsu yang lebih penipu dari golongan Syiah,'' kata Imam as-Shafie. Imam Malik pula ketika ditanya mengenai Syiah, beliau berkata; "Jangan kamu bercakap dengan mereka dan jangan kamu riwayatkan (hadis) daripada mereka kerana sesungguhnya mereka adalah penipu." Malah dalam satu majlis ketika Imam Malik ditanya mengenai tindakan Syiah memaki sahabat-sahabat Rasulullah, beliau telah membaca ayat ke 29 Surah al-Fath yang bermaksud; "Nabi Muhammad ialah Rasulullah dan orang bersamanya bersifat keras dan tegas terhadap orang kafir (memusuhi Islam)." Imam Malik kemudian berkata; "Sesiapa yang merasa marah apabila membicarakan mereka (iaitu golongan Syiah) maka dia telah benar-benar mengamalkan ayat tersebut." Berdasarkan petikan di atas jelas kedua-dua imam besar mazhab itu mengecam dan menempelak fahaman Syiah. Sebenarnya pertentangan antara fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan Syiah adalah sangat besar. Pertentangan antara dua fahaman itu bukannya melibatkan soal fiqh tetapi dalam soal akidah, perkara paling pokok serta asas dalam Islam. Menurut Pengarah Eksekutif Yayasan Kebajikan Nusantara, Sheikh Ismail Omar berkata, terdapat tiga perkara paling pokok dalam soal akidah yang membezakan antara Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan Syiah. Tiga perkara itu ialah al-Quran, al-Hadis dan para Sahabat Rasulullah. Beliau yang cukup berpengetahuan tentang Syiah dan pernah menulis mengenai fahaman itu dalam bukunya bertajuk 'Hukum ulama-ulama Islam terhadap Syiah' pada tahun 1987 telah membuat perbezaan antara Ahli Sunnah Wal Jamaah dan Syiah terhadap ketiga-tiga soal pokok tersebut. 1. AL-QURAN Ahli Sunnah Wal Jamaah Sepakat atas kebenaran al-Quran dan terpelihara daripada sebarang tambahan dan kekurangan. Beriman dengan setiap huruf dan beriman bahawa sesungguhnya al-Quran adalah kalam Allah SWT bukan baharu dan bukan makhluk. Al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad adalah kitab yang terakhir daripada Allah kepada manusia tanpa sebarang penyelewengan atau berlaku penukaran sama ada pada masa lalu atau masa akan datang sehinggalah berlakunya hari Kiamat. Al-Quran yang berada di tangan kaum muslimin ini (Mushaf Uthmaniyah) terjamin daripada kekurangan atau penambahan tidak seperti kitab-kitab diturunkan sebelum ini iaitu Zabur, Taurat dan Injil selepas ketiadaan Nabi Daud a.s , Nabi Musa a.s dan Nabi Isa a.s. Pemeliharaan kitab suci al-Quran itu juga dijamin oleh Allah sebagaimana firman-Nya dalam ayat ke-9 Surah al-Hijr yang bermaksud; "Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran dan sesungguhnya Kami yang memeliharanya." Ringkasnya, al-Quran terpelihara daripada segala keburukan dan menjadi sumber paling utama kepada umat Islam. Syiah Mereka menuduh ke atas kebenaran iaitu al-Quran ada yang telah ditambah dan dikurangkan. Jika berlawanan dengan iktikad mereka, pendapat imam-imam adalah antara sumber utama di sisi mereka. Antara penyelewengan yang dikemukakan oleh pendapat Syiah berhubung pertambahan dan pengurangan al-Quran ialah wujudnya 'surah al-Wilayah'. Surah itu menyebut tentang kewalian Saidina Ali bin Abu Talib sebagai imam selepas Rasulullah SAW. Kewujudan surah ini dinyatakan oleh seorang ulama Syiah yang bernama alHaj Mirza Husain ibn Muhammad yang meninggal dunia pada tahun 1320 hijrah di dalam bukunya bertajuk (maksud) 'Pembuka kata dalam menetapkan penyelewengan dalam kitab Tuhan segala Tuhan (al-Quran)' pada muka surat 180. Kitab ini juga mengumpulkan beratus-ratus dalil daripada ulama Syiah pada setiap zaman bahawa al-Quran telah ditambah dan dikurangkan. 2. AL-HADIS Ahli Sunnah Wal Jamaah Hadis adalah sumber kedua dalam syariat Islam selepas al-Quran. Fungsi hadis adalah untuk mentafsirkan ayar-ayat al-Quran. Segala hukum-hakam yang ditetapkan di dalam hadis yang sahih riwayatnya daripada Rasulullah adalah tidak dibenarkan. Kesahihan hadis ditentukan melalui kaedah-kaedah yang disepakati oleh ulama-ulama hadis. Caranya adalah dengan mengkaji kebenaran riwayat sanad hadis tanpa membezakan antara perawi lelaki mahupun perempuan. Tiap-tiap perawi hadis diketahui sejarah hidupnya. Hadis yang diriwayatkan oleh seorang pendusta tidak diterima dan begitu juga orang yang tidak diketahui sejarah kehidupannya. Hadis juga tidak diterima semata-mata atas dasar hubungan keluarga . Ini semua bertujuan untuk memelihara kedudukan, kemuliaan serta kesahihan hadis. Sehubungan itu riwayat hadis adalah satu amanah yang berat lagi mulia mengatasi segala-galanya. Syiah Tidak berpegang kepada hadis melainkan hadis-hadis diriwayatkan oleh kaum keluarga Rasulullah dan sebahagian hadis-hadis yang diriwayatkan oleh penyokong-penyokong Ali dalam medan politik. Mereka menolak hadis-hadis yang diriwayatkan terutama riwayat daripada Ahli Sunnah. Mereka tidak mementingkan riwayat (sanad) yang sahih. Mereka menerima hadis tanpa ilmu hadis yang kukuh. Oleh itu dalam hadis-hadis mereka terdapat banyak dinukilkan seperti ayat ini: "Diriwayatkan dari Muhammad bin Ismail daripada beberapa sahabat kami dari seorang lelaki dari Rasulullah sesungguhnya berkata...'" Kitab-kitab hadis mereka penuh dengan berpuluh-puluh ribu hadis yang tidak ditetapkan kesahihannya. Beginilah mereka bangunkan agama mereka. Mereka telah mengingkari tiga perempat daripada Sunnah Rasulullah. 3.PARA SAHABAT RASULULLAH SAW Ahli Sunnah Wal Jamaah Ahli sunnah bersepakat bahawa wajib menghormati dan meredai atas semua sahabat. Kesemua mereka adalah benar dan lurus. Ahli sunnah menganggap pertelingkahan yang berlaku antara mereka adalah berpunca daripada perselisihan pendapat hasil ijtihad masing-masing yang dikeluarkan dengan ikhlas dan jujur. Tidak dibenarkan menaruh dendam sepanjang zaman terhadap para sahabat Rasulullah. Hakikatnya, para sahabat merupakan golongan terpuji selain sentiasa dipuji oleh Allah berkali-kali. Oleh itu tidak dibenarkan sama sekali sesiapa pun melakukan tohmah ke atas golongan para sahabat. Sesungguhnya melalui usaha serta peranan besar mereka sebagai sahabat-sahabat Rasulullah agama Islam yang diajar oleh Nabi Muhammad akhirnya sampai kepada kita dan terus subur hingga saat ini. Syiah Berpendapat bahawa para sahabat telah kafir selepas kewafatan junjungan besar Rasulullah kecuali sebilangan kecil bilangannya tidak melebihi jari-jari di tangan. Mereka hanya mengiktiraf Ali, Fatimah binti Muhammad, Hassan ibn Ali, Hussein ibn Ali, Al-Miqdad ibn al-Aswad, Abu Zar al-Ghifari dan Salman al-Farisi. Selain itu mereka meletakkan Ali pada kedudukan terlampau istimewa. Sebahagian daripada mereka berpendapat bahawa Ali yang telah diwasiatkan sebagai pengganti Rasulullah. Sebahagian lain pula beranggapan Ali sebagai nabi. Maka mereka menghukum orang muslim iaitu sesiapa yang memilih khalifah-khalifah sebelum Ali maka mereka adalah zalim atau kafir. Sesiapa yang menentang pendapat Ali, mereka itu zalim atau kafir atau fasik. Begitu juga halnya dengan sesiapa yang menentang anak cucu cicitnya turun temurun. Antara penyelewengan paling besar berhubung fahaman Syiah terhadap para sahabat ialah gelaran melampau mereka terhadap Saidina Abu Bakar as-Siddiq dan kepada Saidina Umar al-Khattab yang merupakan khalifah pertama dan kedua. Kedua-dua sahabat besar Rasulullah itu telah digelar sebagai al-Jibt (tukang sihir) dan at-Toghut (syaitan) kerana telah dilantik sebagai khalifah sebelum Ali. Bukan itu sahaja perkataan al-Jibt dan at-Toghut terhadap Abu Bakar dan Umar juga digunakan oleh golongan Syiah dalam doa-doa mereka yang dinamakan 'Doa dua berhala Quraisy'. Doa ini terdapat di dalam kitab mereka (kunci hati) pada muka surat 114. Doa tersebut seperti berikut; "Ya Allah, sejahterakanlah atas Muhammad dan kaum keluarga baginda dan laknatkanlah ke atas kedua-dua berhala Quraish, kedua-dua ahli sihir, kedua-dua syaitan dan kedua-dua anak perempuan mereka (ummul mukminin Aisyah dan Hafsah). Selain daripada persoalan mengenai al-Quran, al-Hadis dan Sahabat, daripada segi akidah tauhid juga berlaku perbezaan yang amat besar. Ahli Sunnah Wal Jamaah Beriman bahawa sesungguhnya Allah yang maha Esa, yang maha Berkuasa, tiada sekutu bagi-Nya, tiada bandingan bagi-Nya serta tiada perantaraan antara Allah dan seluruh hamba-Nya. Beriman dengan ayat-ayat yang mengandungi sifat-sifat Allah sebagaimana diturunkan oleh Allah tanpa menyerupai sesuatu (tiada sesuatu pun yang sebanding dengan (Zat-Nya, sifat-sifat-Nya dan pentadbiran-Nya, - Surah as-Syura ayat ke 11). Allah telah mengutuskan nabi-nabi-Nya dan memikulkan ke atas mereka tanggungjawab menyampaikan perutusan (risalah) kepada hamba-hamba-Nya. Semua nabi menyampaikan semua risalah tanpa menyembunyikan apa-apa. Wajib beriman dengan perkara-perkara ghaib. Sesungguhnya segala doa, nazar, penyembelihan dan permohonan hajat wajib ditujukan kepada Allah semata-mata. Syiah Mereka beriman dengan Allah dan Keesaan-Nya tetapi mereka percaya bahawa imam-imam mereka adalah maksum dan imam-imam itu mengetahui perkara-perkara ghaib serta mempunyai peranan dalam pentadbiran alam ini. Mereka beranggapan bahawa ada satu kuasa khas yang dimiliki oleh wali-wali, imam-imam dan kaum kerabat Rasulullah. Mereka beribadat selain daripada Allah dengan berkata 'Wahai Ali, wahai Hussain, wahai Zainab'. Mereka bernazar dan menyembelih binatang kepada yang lain selain daripada Allah. Mereka meminta hajat daripada orang yang telah mati. Segala kepercayaan amalan ini tiada mempunyai asas dalam agama Islam yang suci. |
SPR boleh bantu pemilihan semula CEC DAP? Posted: 02 Aug 2013 11:42 AM PDT Oleh ABDUL RAZAK IDRIS SIKAP dolak-dalik kepemimpinan DAP dalam isu pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) parti itu menggambarkan sikap sebenar parti tersebut dalam arus politik negara ini. Apa yang lebih menonjol dalam isu tersebut apabila Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng menampilkan sikap tidak senangnya dengan arahan Pendaftar Pertubuhan (ROS) agar pemilihan tersebut diadakan semula. Sepatutnya sebagai seorang pemimpin bertaraf Ketua Menteri, Guan Eng perlu lebih berlapang dada dan melihat suasana demokrasi negara ini yang sedikit sebanyak beliau turut pernah mempersoalkan integriti proses pilihan raya di negara ini melalui perhimpunan Bersih yang menyebabkan ibu negara menjadi kecoh seketika. Inilah peluang untuk beliau membuktikan kata-katanya (walk the talk) dalam soal ketelusan dalam pemilihan pemimpin. Mungkin jika benar pihak kepemimpinan pembangkang yang mana beliau adalah salah seorangnya, mahu proses demokrasi ditegakkan secara telus dan berwibawa di negara ini, maka beliau perlu menjadi perintis usaha tersebut. Sebaik-baiknya ketelusan bermula dari dalam parti beliau bukan sibuk menjerit dalam rumah kaca yang bila-bila masa boleh pecah menyakitkan diri. Senario yang lebih pelik lagi apabila Guan Eng sendiri memberi dua syarat pula kepada ROS. Beliau mahu ROS mengemukakan alasan munasabah kenapa badan pendaftar tersebut tidak berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan DAP berhubung pemilihan CEC pada Disember lalu dan kedua, apakah peruntukan yang diguna pakai oleh ROS dalam mengeluarkan arahan tersebut. Malahan beliau melontarkan dakwaan, tindakan memberi arahan dalam tempoh singkat dengan alasan begitu subjektif tidak boleh diterima kerana baginya itu menunjukkan sikap tidak demokratik dan satu penafian keadilan dalam proses undang-undang. Isu masa sepatutnya tidak timbul langsung, ini disebabkan isu pemilihan CEC tersebut telah menjadi topik perbincangan rakyat negara ini sejak sekian lama. Sepatutnya kepimpinan DAP perlu sedar dan bersedia bila-bila masa untuk memberi jawapan kepada segala isu yang bukan rahsia lagi. Soal masa yang singkat hanya alasan di atas alasan semata-mata. Apa yang hakiki, ROS baru-baru ini mengarahkan DAP mengadakan pemilihan semula CEC melalui sepucuk surat rasmi, dan ia dikatakan memberi alasan bahawa pihak ROS tidak berpuas hati dengan penjelasan DAP berhubung isu penyelewengan undi pada pemilihan CEC dan isu manipulasi undi membabitkan 547 perwakilan. Bukankah isu tersebut telah jelas dan diulas oleh bukan sahaja pihak lawan malah ahli parti mereka sendiri yang tidak berpuas hati dengan pemilihan yang dikatakan hanya membabitkan penyokong pemimpin tertentu. Dalam keadaan isu ketelusan pemilihan menjadi bahan perbincangan, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) yang dikecam oleh pembangkang selama ini mampu membantu mereka mewujudkan pemilihan yang lebih telus dan bersih. Inilah masanya, ahli-ahli DAP yang bersemangat mahu menggunakan dakwat kekal boleh sekali lagi menggunakannya untuk memilih semula ahli CEC yang bakal menentukan hala tuju kepimpinan parti pembangkang tersebut. Justeru, jika pemilihan ala pilihan raya umum dapat dilaksanakan, sudah pasti pemimpin-pemimpin DAP yang dipilih pada pemilihan tersebut dijamin mendapat pengiktirafan sewajarnya. Selama ini, modul pilihan raya umum itulah yang mereka perjuangkan hingga mereka sanggup berhimpun dan berpanas di Dataran Merdeka. Pemimpin DAP tak perlu terus berpolitik kerana rakyat dan ahli-ahli parti itu sama ada yang tidak dipanggil menjadi perwakilan dan yang dipilih menjadi perwakilan sudah arif dengan senario sebenar yang berlaku. Lakukan pemilihan dengan telus kali ini dengan semua perwakilan yang layak dijemput sama. Jangan lagi sampai ada pemimpin DAP Melayu yang marah hingga segala permasalahan terbongkar. Jangan juga ada pemimpin Melayu yang dipilih sebab ada salah kira undi lagi. Buktikan DAP benar-benar bercakap atas apa yang diperjuangkan. Pemilihan semula CEC akan membuktikan pemimpin DAP cakap serupa bikin. Ini kalilah! SPR boleh bantu. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan