Utusan Online - Jenayah |
Posted: 02 Aug 2013 11:42 AM PDT Oleh AZRAI MOHAMMAD PASUKAN Polis Forensik memeriksa sebuah kenderaan mangsa tembak di Pandan Indah, semalam. KUALA LUMPUR 2 Ogos - Dalam tempoh tidak sampai 10 hari selepas dua kejadian tembak yang menarik perhatian rakyat negara ini, satu lagi kes sama berlaku, kali ini melibatkan seorang pekerja kedai emas. Dalam kejadian pukul 8.45 pagi, mangsa cedera parah selepas ditembak dua individu menaiki motosikal di Pandan Indah dekat sini. Mangsa, Wong Foo Yui, 34, sebelum itu memperlahankan kereta jenis Toyota Camry dipandunya ketika menghampiri petak kuning di persimpangan berhampiran sebuah bank. Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, tiba-tiba dua lelaki berjaket hitam menaiki motosikal jenis Yamaha menghampiri kenderaan mangsa lalu melepaskan tiga das tembakan. Menurut beliau, salah satu tembakan itu mengenai bahu kanan mangsa. "Mangsa yang tergamam dan dalam kesakitan memecut kenderaannya ke Balai Polis Pandan Indah. Kedua-dua suspek yang berusia antara 20 dan 30 tahun melarikan diri," katanya ketika ditemui di tempat kejadian. Isnin lalu, pengasas Bank Arab-Malaysia, Hussain Ahmad Najadi, 75, maut ditembak di ibu negara dipercayai oleh pembunuh upahan. Pembunuhnya melarikan diri dengan teksi. Dua hari sebelum itu, pengerusi badan pemantau jenayah, MyWatch, R. Sri Sanjeevan juga parah ditembak dua lelaki ketika berhenti di lampu isyarat di Taman Cempaka, Bahau, Negeri Sembilan. Dalam pada itu, menurut Amiruddin, sebaik sahaja tiba di balai polis, mangsa yang berasal dari Cheras diberi rawatan segera dan dikejarkan ke Hospital Ampang, keadaannya kini dilaporkan stabil. Beliau meminta orang ramai yang berada di sekitar lokasi semasa kejadian, khususnya pemandu-pemandu di belakang kereta mangsa tampil memberi maklumat. "Siasatan menyeluruh dijalankan untuk mengesan kedua-dua suspek dan anggota Unit Forensik sedang melakukan siasatan bagi mengesan kelongsong peluru di tempat kejadian," ujarnya. |
Bunuh: Dua ditahan bersama lesen memandu mangsa Posted: 02 Aug 2013 11:42 AM PDT ALOR GAJAH 2 Ogos - Kes pembunuhan seorang peniaga yang ditemui mati dengan isi perut terburai di Kampung Telok Gong, Masjid Tanah dekat sini kelmarin, dipercayai bermotifkan dendam. Ketua Polis Daerah, Supritendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, hasil siasatan dan maklumat yang diterima, polis menahan dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam pembunuhan itu. Susulan penahanan mereka, polis menemukan senjata yang dipercayai digunakan berupa sebilah pisau, beberapa pakaian yang dipakai oleh suspek ketika kejadian serta lesen memandu, beg duit dan wang RM230 milik mangsa. Menurutnya, pembunuhan lelaki dari Taman Malim Jaya itu dipercayai berunsurkan dendam setelah suspek pertama yang juga seorang bekas banduan dikatakan gagal membayar hutang perabot yang tertunggak beberapa bulan. "Suspek pertama ditahan pada pukul 7.30 malam di kawasan perumahannya di Taman Bidara Permai dan bersama-sama suspek berusia 42 tahun itu, polis merampas sebilah pisau masih bersarung dalam bakul motosikalnya dan pakaian yang dipakai ketika kejadian. "Seorang lagi suspek berusia 29 tahun iaitu rakan suspek pertama ditahan di rumahnya di Padang Kemunting pada pukul 8.30 malam dan berjaya merampas telefon bimbit, beg duit mengandungi wang RM230 yang mungkin saki baki yang tinggal. "Polis percaya dengan penangkapan dua suspek ini berjaya menyelesaikan kes tersebut dalam tempoh 24 jam," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) hari ini. Oh Son Liong, 55, seorang peniaga perabot dan barangan elektronik ditemui mati dengan enam kesan tikaman di kawasan semak berhampiran pantai Telok Gong kira-kira pukul 10 malam kelmarin. Menurut Umar Ali, sebelum kejadian, mangsa dipercayai datang bertemu suspek untuk menuntut hutang perabot yang masih tertunggak. Katanya, kali terakhir suspek membayar hutang perabot bernilai RM3,900 yang diambil sejak awal tahun ini ialah pada Jun lalu dengan bayaran terakhir bernilai RM200. Beliau berkata, suspek pertama sebelum ini mempunyai tiga rekod jenayah lampau termasuk di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 304 Kanun Keseksaan. Suspek kedua memiliki dua rekod lampau melibatkan kes dadah. Kedua-dua mereka kini ditahan reman sehingga 8 Ogos ini bagi membantu siasatan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Jenayah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan