Khamis, 29 Ogos 2013

Utusan Online - Pendidikan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pendidikan


Tutor diyakini bantu tingkatkan prestasi murid

Posted: 29 Aug 2013 11:46 AM PDT

Ooi Hock Leong (kiri) menerangkan cara-cara penggunaan Tutor kepada muridnya yang akan menduduki UPSR di Sekolah Kebangsaan Kiaramas, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR 29 Ogos - Guru dan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kiaramas di sini, meyakini akhbar pendidikan terbitan terbaharu Utusan Malaysia, Tutor mampu membantu meningkatkan prestasi sekolah itu terutama dalam mencapai kecemerlangan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tidak lama lagi.

Guru Besar sekolah itu, Ooi Hock Leong berkata, berdasarkan keyakinan itu, pihaknya memilih untuk melanggan 304 naskhah Tutor hari ini bagi kegunaan guru dan murid dalam program Gerak Gempur UPSR sekolah tersebut.

Menurutnya, program itu yang hanya digerakkan pada minggu-minggu terakhir UPSR hanya tertumpu kepada kegiatan memperbanyakkan latihan menjawab soalan latih tubi.

"Tutor melengkapkan keperluan SK Kiaramas memandangkan kesemua 20 halaman 20 Tutor dilengkapi soalan ramalan UPSR yang bermutu, malah kita bertambah yakin apabila ia disediakan oleh guru pakar penggubal soalan," katanya ketika ditemui dalam majlis serahan langganan Tutor di sekolah tersebut di sini kelmarin.

Tutor diterbitkan dalam bentuk tabloid sebanyak dua kali sebulan, setiap Isnin padat dengan soalan peperiksaan bagi tujuan latih tubi dan dibahagikan kepada tiga fasa, iaitu awal tahun, pertengahan tahun dan hujung tahun.

Hock Leong menambah, pihak sekolah juga yakin melalui penggunaan Tutor secara berkesan dan dengan komitmen tinggi guru mampu merealisasikan matlamat sekolah mencapai tahap Band Satu iaitu menjadi sekolah berprestasi tinggi.

"Ketika ini, SK Kiaramas dalam Band Dua dan kita sedang berusaha membaiki prestasi mencapai Band Satu. Oleh itu, kita harap melalui penggunaan Tutor dapat membantu sekolah mencapai matlamat tersebut.

"Selain berharap dapat membaiki tahap pencapaian Band, kita juga meletakkan matlamat dapat menambah bilangan murid yang mendapat 5A pada UPSR tahun ini kepada 30 orang berbanding 14 murid tahun lalu," katanya.

Kata beliau, selain menepati keperluan sekolah, pihaknya tertarik melanggan Tutor disebabkan tawaran harga Tutor yang amat murah berbanding akhbar pendidikan lain di pasaran.

Selain itu, menurut guru mata pelajaran Matematik, Miftahul Jannah Kamaruddin, soalan latih tubi Tutor didapati berlainan dan baharu berbanding buku rujukan atau akhbar pendidikan lain.

Menurutnya, soalan latih tubi baharu itu mampu meningkatkan tahap kemahiran murid dan bersesuaian dengan keperluan saat akhir mereka sebelum menduduki UPSR.

Bagi guru mata pelajaran Sains, Zaiton Ahmad, bahan yang disediakan agak terperinci dan mencabar kemahiran murid dalam menjawab soalan.

"Guru dapat mempelbagaikan bahan pembelajaran kerana tidak hanya tertumpu pada buku rujukan atau koleksi kertas soalan dari negeri lain yang biasa digunakan sebelum ini," katanya.

Sementara itu, murid tahun enam SK Kiaramas, Aizul Amin berkata, soalan latih tubi Tutor agak mirip dengan soalan percubaan UPSR lalu dan sesetengah soalan agak mencabar serta memerlukan bantuan guru mata pelajaran atau perbincangan berkumpulan.

Dia yang juga Ketua Pengawas sekolah berkata, paparan muka halaman Tutor juga agak berlainan dengan akhbar pendidikan lain yang berwarna-warni sekali gus tidak menjemukan murid untuk menelaah.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved