Khamis, 29 Ogos 2013

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Hentikan pembuangan sampah di tepi jalan

Posted: 29 Aug 2013 11:46 AM PDT

WARGA CERIA
Jerantut Feri, Jerantut

LONGGOKAN sampah berdekatan jalan menghala kediaman penduduk yang dilakukan oleh segelintir golongan tidak bertanggungjawab di Kampung Jerantut Feri, Jerantut.

SAYA adalah penduduk kawasan perumahan di Jerantut Feri, Jerantut meminta pihak berwajib memantau kebersihan khususnya pembuangan sampah yang tidak bersistematik berdekatan jalan raya ke kawasan perumahan di sini.

Sejak Jun lalu setelah pelaksanaan penggunaan tong sampah sintetik di setiap rumah oleh Alam Flora, penduduk sewajarnya akur dengan aspirasi kerajaan negeri mewujudkan kawasan di bandar, premis dan kediaman berada dalam keadaan bersih.

Namun, apa yang dikesalkan ada pihak tidak bertanggungjawab masih membuang sampah di lokasi berkenaan walaupun penguatkuasaan sudah dilaksanakan oleh pihak berwajib.

Keadaan itu mengundang bau busuk, malah longgokan sampah itu diselongkar anjing liar dan dihinggapi langau.

Longgokan sampah bukan sahaja mencemar pemandangan malah dikhuatiri wujud pembiakan nyamuk aedes berikutan serangga berkenaan membiak di tin kosong berisi air.

Saya amat berharap pihak yang tidak bertanggungjawab menghentikan pembuangan sampah di lokasi itu untuk mengembalikan suasana kebersihan dan keceriaan sepanjang jalan khususnya di kawasan kediaman.

Selain itu, pihak berkuasa tempatan perlu memasang papan tanda amaran larangan membuang sampah berdekatan di tepi jalan berkenaan bagi menghindarkan amalan negatif tersebut.

Dengan adanya pemasangan papan tanda itu dapat menyedarkan pihak terlibat mendidik orang ramai menghargai usaha kebersihan serta keceriaan dilaksanakan oleh pihak berkuasa tempatan dan Alam Flora.

Kita wajar peka tugas menjaga kebersihan perlu dipikul bersama supaya keluarga, masyarakat dan semua penduduk dapat hidup selesa serta terhindar daripada sebarang penyakit.

Jangan menghina Jalur Gemilang

Posted: 29 Aug 2013 11:46 AM PDT

RAKYAT Malaysia khususnya para belia perlu menghayati sejarah kemerdekaan demi menjiwai dan menyamai perasaan hormat terhadap bendera negara, Jalur Gemilang.

Pemahaman terhadap perjuangan tokoh terdahulu mendapatkan kebebasan dan keamanan negara adalah amat penting sekali.

Sehubungan itu, jangan ada lagi sikap bertolak ansur diberikan kepada mana-mana pihak yang sengaja melakukan penghinaan terhadap Jalur Gemilang seperti pernah berlaku sebelum ini.

Untuk memberi kesedaran dan kefahaman, maka lebih banyak kempen perlu diadakan oleh kerajaan.

Apa yang perlu disematkan di jiwa mereka ialah agar tidak sekadar mengibarkan Jalur Gemilang sebaliknya ditekankan dengan penuh pengertian kenapa bendera negara dicipta.

Dengan yang demikian barulah mereka akan memahami dan sedar betapa pentingnya bendera kepada negara dan seterusnya memberi penghormatan yang tinggi terhadap Jalur Gemilang.

Sebagai seorang bekas tentera, saya ingin mengingatkan bahawa bendera sesebuah negara adalah amat penting kerana ia melambangkan identiti dan kedaulatan negara tersebut.

Saya amat menghormati bendera negara kita dan berharap agar semua rakyat memahami kepentingan Jalur Gemilang.

Saya juga ingin menyarankan agar semua penjawat awam lebih proaktif dan menunjukkan teladan yang baik dalam menghayati Jalur Gemilang ini.

ZULKIFLI MOHD. TAHIR

Pekan

Baiki segera jalan rosak di Jengka 8

Posted: 29 Aug 2013 11:46 AM PDT

PEMANDU KESAL
Jerantut

KEADAAN struktur jalan rosak sudah semestinya menimbulkan kebimbangan kepada pemilik kenderaan terhadap keselamatan mereka jika melalui laluan tersebut.

Kebimbangan tersebut ada relevannya kerana selain faktor kecuaian manusia dan keadaan kenderaan, struktur jalan raya boleh menyumbang kepada risiko kemalangan.

Jika keadaan jalan tersebut rosak maka akan menyebabkan pemandu berhati-hati dan jika tidak bernasib baik mereka juga terlibat dalam kemalangan atau kenderaan terbabit terpaksa dibaiki.

Bagi pengguna jalan raya sekitar Jerantut pasti sudah jemu dengan keadaan jalan yang terlalu banyak kawasan mengalami kerosakan.

Paling kecewa melihat pihak tertentu hanya meletakkan papan tanda jalan rosak dan membiarkan terus berlubang sekian lama tanpa diturap.

Laluan Jerantut ke Felda Sungai Tekam boleh dijadikan sebagai contoh apabila lubang yang semakin membesar berhampiran stesen minyak Shell Simpang Jengka 8 terbiar tanpa dibaiki.

Lubang tersebut menyebabkan jalan menghala ke Felda Sungai Tekam semakin sempit mengakibatkan kenderaan yang datang dari kedua-dua arah terpaksa berhenti bagi memberi laluan kepada mana-mana arah terlebih dahulu.

Pada pendapat saya, pihak berkenaan harus membaikinya dengan segera sebelum kejadian yang tidak diingini berlaku di kawasan tersebut.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved