Utusan Online - Kota |
- Jamin masalah bekalan air selesai
- UDA sedia bangunkan flat terbiar
- IPD Sentul baharu boleh diduduki dua bulan lagi
Jamin masalah bekalan air selesai Posted: 28 Aug 2013 11:34 AM PDT OLEH SITI AINIZA KAMSARI Sebahagian kakitangan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) mengibarkan Jalur Gemilang sempena Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Kemerdekaan ke -56 peringkat Syabas di Kuala Lumpur, semalam. KUALA LUMPUR 28 Ogos - Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) memberi jaminan masalah gangguan bekalan air di beberapa kawasan utama di sekitar Lembah Klang dijangka selesai selepas kerja-kerja penggantian sistem pam baharu di Rumah Pam Wangsa Maju dilaksanakan. Penolong Pengurus Besar, Jabatan Komunikasi Korporat & Hal Ehwal Awam Syabas, Priscilla Alfred berkata, kerja-kerja penggantian itu akan dilaksanakan pada Oktober ini dan siap awal Mac tahun hadapan. Menurutnya, Rumah Pam Wangsa Maju telah beroperasi sekian lama, iaitu sebelum Syabas mengambil alih dari Jabatan Bekalan Air (JBA) lagi. "Selain beroperasi tanpa henti, jumlah permintaan pengguna yang semakin hari bertambah terutama melibatkan kawasan-kawasan perumahan baharu menjadi faktor sistem sediada tidak mampu berfungsi," katanya. Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai gangguan bekalan air tidak berjadual yang berlaku semalam. Gangguan tersebut didakwa berpunca daripada gangguan pada sistem bekalan elektrik utama dan pengoperasian pam di Rumah Pam Wangsa Maju. Kejadian itu menyebabkan sebanyak 367,852 isi rumahmelibatkan 15 kawasan di Kuala Lumpur dan 29 kawasan di wilayah Gombak terjejas bekalan air. Terdahulu beliau hadir dalam Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Kemerdekaan negara ke-56 peringkat Syabas di Ibu Pejabat Syabas, Jalan Pantai Baharu, di sini hari ini. Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Syabas, Datuk Ruslan Hassan, Ketua Pegawai Operasi Syabas, Datuk Ir Lee Miang Koi dan pengarah-pengarah Eksekutif Syabas. Dalam majlis itu lebih dari 1,000 kakitangan dan pegawai Syabas berkumpul bagi mengibarkan bendera Jalur Gemilang sambil melaungkan ' Merdeka'. Turut diadakan pemasangan Jalur Gemilang pada kenderaan-kenderaan rasmi Syabas dan penyerahan bendera kepada Ketua Jabatan Wilayah oleh Ruslan. Priscilla berkata, sebarang masalah dan kerosakan yang berlaku pada Rumah Pam tersebut adalah di luar jangkaan. "Syabas berusaha untuk memaklumkan kepada pengguna dan memperbaiki kerosakan dengan kadar segera. "Namun tempoh pemulihan perlu mengambil sedikit masa ,"katanya. Tambah Priscilla, walaupun penggantian pam baharu itu melibatkan kos yang tinggi ia perlu dilakukan demi kepentingan pengguna. "Kita berharap kejadian gangguan bekalan semalam adalah yang terakhir sebelum sistem baharu tersebut diganti,"katanya. |
UDA sedia bangunkan flat terbiar Posted: 28 Aug 2013 11:34 AM PDT Oleh MOHD. AZRAIE MD. YUSOF dan MOHD. ARIFF YUSOF Keadaan persekitaran Flat Pekeliling yang terbiar sejak 12 tahun lalu benar-benar menyakitkan mata dan menjejaskan imej Kuala Lumpur sebagai bandar raya bersih dan indah. KUALA LUMPUR 28 Ogos - UDA Holdings Berhad (UDA) bersedia menggalas tanggungjawab membangunkan semula Flat Pekeliling yang terbiar kira-kira selama 12 tahun dengan projek perumahan mampu milik. Pengerusinya, Datuk Johari Abd. Ghani berkata, lokasi flat itu yang strategik akan memberi banyak manfaat kepada masyarakat bandar terutama kumpulan sasar iaitu golongan pertengahan. ''Sudah tiba masanya kerajaan melihat bagaimana kita boleh bangunkan semula Flat Pekeliling ini dengan mewujudkan perumahan mampu milik yang harganya dalam lingkungan RM250,000 dan RM350,000. ''UDA bersetuju untuk melihat perkara ini dengan lebih terperinci bagi membantu kerajaan menyelesaikan masalah Flat Pekeliling yang terbiar itu. Mungkin kerajaan juga boleh membantu UDA dalam sesetengah perkara bagi merealisasikan hasrat ini," katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri UDA 2013 di sini hari ini. Yang turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan UDA Holdings Berhad, Ahmad Abu Bakar dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan UDA Holdings Berhad, Mohd. Azmil Abd. Shukor. Menurut Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa, walaupun Flat Pekeliling yang terletak di Jalan Tun Razak itu masih terikat dengan isu perundangan yang belum selesai, namun hal tersebut tidak boleh dijadikan alasan untuk membiarkan bangunan usang itu terus terbiar dan mendatangkan masalah kepada masyarakat sekitar. ''Saiz tanah di Flat Pekeliling lebih kurang sama seperti di Stesen Janakuasa Battersea (Battersea) di London yang kita hantar syarikat-syarikat dari Malaysia seperti Sime Darby Property Bhd., SP Setia Bhd. dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk bangunkan semula tempat tersebut. ''Saya percaya UDA atau mana-mana syarikat yang ingin turut serta mampu selesaikan masalah di Flat Pekeliling. Kalau kita boleh buat di tempat orang (Battersea), takkan di negara sendiri kita tidak mampu buat," katanya. Tambah beliau, UDA juga bersedia memainkan peranan untuk membangunkan semula kawasan-kawasan lain yang difikirkan sesuai untuk projek perumahan mampu milik. ''Saya lihat kawasan seperti di Kampung Baru, ada tanah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang dirasakan UDA mampu main peranan bangunkan rumah mampu milik. ''Begitu juga mana-mana flat DBKL yang usang, UDA juga berminat untuk berbincang dengan DBKL bagi membangun semula perumahan tersebut," katanya. |
IPD Sentul baharu boleh diduduki dua bulan lagi Posted: 28 Aug 2013 11:34 AM PDT Mohmad Salleh (tengah) melayan tetamu pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Kontinjen Kuala Lumpur di IPD Sentul, Kuala Lumpur, semalam. KUALA LUMPUR 28 Ogos - Bangunan baharu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul yang terletak di Jalan Ipoh kini siap sepenuhnya untuk diduduki selepas melalui tempoh pembinaan selama tiga tahun. Bangunan baharu setinggi 12 tingkat yang memiliki ciri-ciri moden dan lengkap itu dijangka mula beroperasi dalam tempoh sebulan dua ini. Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, proses pembinaan dalaman IPD tersebut sudah siap sepenuhnya dan hanya menunggu peralatan perabot untuk dibawa masuk. "Sebaik sahaja peralatan perabot di dalamnya lengkap, semua petugas di IPD Sentul akan berpindah masuk ke bangunan baharu ini," katanya dalam sidang akhbar semasa menyertai Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Kontinjen Kuala Lumpur di IPD Sentul yang baharu hari ini. Mohmad berkata, walaupun belum diduduki, pihaknya sengaja memilih mengadakan sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat kontinjen di pekarangan IPD baharu tersebut bagi memperkenalkan bangunan berkenaan. IPD Sentul di bawah Ketuanya, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berpindah dan beroperasi sementara di Balai Polis Jinjang dan Balai Polis Kepong sejak 16 Mei 2010. Perpindahan itu bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pengubahsuaian dan menaik taraf IPD berkenaan yang sudah berusia 35 tahun. Sepanjang tempoh tersebut, beberapa bahagian termasuk Pengurusan, Logistik, Cawangan Khas dan Ketenteraman Awam beroperasi di Balai Polis Jinjang yang akan dijadikan sebagai pusat operasi utama IPD itu. Balai Polis Kepong pula akan menempatkan Bahagian Siasatan Jenayah, Siasatan Narkotik dan Siasatan Jenayah Komersial. Dalam pada itu, majlis rumah terbuka hari raya diadakan di situ mendapat sambutan menggalakkan dengan dihadiri oleh kira-kira 3,500 tetamu. Mohmad berkata, pihaknya menjemput pesara dan veteran polis, ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan penduduk, kakitangan dari jabatan kerajaan serta masyarakat sekitar daerah Sentul untuk memeriahkan majlis bermula pukul 11 pagi hingga 2 petang itu. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan