Utusan Online - Johor |
Posted: 28 Aug 2013 11:34 AM PDT Oleh IFQDAR RAHMAN Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff menunjukkan sebahagian senjata yang dirampas daripada penjenayah dipercayai terbabit dalam kes samun dan pecah rumah sekitar Johor pada sidang akhbar di IPK Johor, di Johor Bahru, semalam. JOHOR BAHRU 28 Ogos - Polis percaya berjaya menyelesaikan 19 kes samun dan pecah rumah selepas memberkas tujuh lelaki dalam dua kejadian berasingan di sekitar bandar raya ini minggu lalu. Dalam serbuan pertama pada 20 Ogos lalu, pihak polis menahan empat lelaki berusia antara 28 hingga 31 tahun kerana disyaki terlibat dengan kegiatan pecah rumah. Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, kesemua suspek ditahan di sebuah rumah di Jalan Pertanian 52, Taman Universiti, Skudai, di sini pukul 1.45 pagi. "Polis merampas 11 bilah parang, empat buah komputer riba, empat kamera, 26 telefon bimbit pelbagai jenama dan dokumen peribadi milik orang lain. "Tiga daripada suspek juga mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan ujian air kencing menunjukkan kesemua suspek positif dadah," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini. Mohd. Mokhtar berkata, polis percaya telah menyelesaikan sembilan kes pecah rumah di sekitar bandar raya ini dengan tertangkapnya keempat-empat suspek terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. Dalam kejadian kedua pukul 9.30 malam, beliau berkata, tiga lelaki berusia antara 25 hingga 32 tahun diberkas selepas polis memeriksa sebuah kereta yang mencurigakan di Jalan Abdul Rahman Andak di sini pada 21 Ogos lalu. Katanya, ekoran penahanan tersebut, polis turut merampas sebuah kereta yang dilaporkan disamun di Setia Indah, di sini serta empat bilah parang, satu tukul besi dan pelbagai jenis spanar. "Semakan mendapati dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau dan berada dalam senarai individu dikehendaki polis. "Kita percaya dengan tertumpasnya kumpulan ini, polis berjaya menyelesaikan 10 kes samun di kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis (IPD) Johor Bahru Selatan," katanya sambil memberitahu kes itu disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan. |
Dapatkan nasihat bomba pasang paip LPG Posted: 28 Aug 2013 11:34 AM PDT JOHOR BAHRU 28 Ogos - Orang ramai yang ingin melakukan pemasangan paip gas petroleum cecair (LPG) di premis peniagaan atau kediaman disaran mendapatkan nasihat dari Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi mengelakkan sebarang kemalangan pada masa akan datang. Pengarahnya, Datuk Ab. Ghani Daud berkata, berdasarkan pemerhatian, kebanyakan premis perniagaan khususnya kedai makan melakukan pemasangan paip gas tersebut tanpa merujuk kepada pihaknya, malah ada antaranya tidak mematuhi piawaian keselamatan. "Pemilik premis dinasihatkan untuk mendapatkan khidmat nasihat bomba, khususnya dari segi laluan paip gas bagi mengelakkan berlakunya kecelakaan akibat kebocoran gas. "Kita akan memberi nasihat yang sewajarnya seperti laluan paip itu tidak boleh diletakkan di kawasan letak kereta atau di tempat tertutup," katanya selepas merasmikan Seminar Keselamatan Sistem Bekalan Gas dan Akta Bekalan Gas di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri di sini hari ini. Seminar sehari bermula pukul 8 pagi itu disertai 50 pegawai dan anggota bomba yang terlibat secara langsung dengan pemeriksaan bangunan serta pemasangan paip gas. Ab. Ghani berkata, seminar itu bertujuan memberikan pendedahan kepada setiap pegawai dan anggota berkaitan isu-isu semasa melibatkan penggunaan gas. Beliau berkata, program berkenaan diadakan susulan beberapa kejadian kebakaran dan letupan yang berlaku akibat kebocoran gas LPG di beberapa negeri seperti di Selangor, Melaka dan negeri ini. "Susulan kebakaran dan letupan yang berlaku di beberapa pusat beli-belah seperti di Subang Jaya dan Melaka akibat kebocoran gas, kami mengambil inisiatif mengadakan seminar ini dengan menjemput pakar dalam bidang berkaitan untuk memberikan penerangan terperinci," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan