Utusan Online - Rencana |
Posted: Golongan miskin terus dibelaPERJUANGAN UMNO untuk membela orang Melayu dan bumiputera miskin akan diteruskan bagi memastikan mereka tidak jauh ketinggalan berbanding kaum-kaum lain. Bagaimanapun, usaha itu hanya dapat dibuat sekiranya parti menerima sokongan jitu daripada ahli-ahlinya, pengundi dan juga generasi muda. Dalam satu pertemuan dengan pihak media yang turut dihadiri oleh wartawan Utusan Malaysia, NIZAM YATIM dan RAJA SYAHRIR ABU BAKAR di Kuala Lumpur, semalam, Naib Presiden UMNO yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, DATUK SERI MOHD. SHAFIE APDAL melahirkan kebimbangan segala usaha UMNO dan kerajaan itu akan terjejas berikutan sikap orang Melayu dan bumiputera yang tidak menghargai sokongan yang telah diberikan kepada mereka. UTUSAN: Sebagai Naib Presiden UMNO, apa yang ingin Datuk Seri katakan sempena perhimpunan kali ini? MOHD. SHAFIE: Semua ahli UMNO mempunyai peranan masing-masing, tidak kira apa jawatan mereka dalam parti sama ada Presiden, Timbalan Presiden ataupun naib, asalkan ahli UMNO kita semua mempunyai peranan. Cuma kita selaku ahli parti yang berjawatan ini, ada beberapa perkara yang perlu lakukan, contohnya untuk memastikan supaya kita berjaya mempromosikan penyatuan, ini yang kita tekankan, perlu ada penyatuan dalam parti. Apakah harapan Datuk Seri terhadap perwakilan yang menyertai perhimpunan kali ini? Saya berharap perhimpunan kali ini bukan hanya menjadi tempat untuk mengutarakan idea tetapi juga menjurus ke arah memperkuatkan perpaduan dan kesatuan ahli-ahli UMNO di semua peringkat. Selaras dengan kedudukan UMNO yang sedang menghadapi cabaran, maka perlu ada kesetiaan ahli-ahli kepada parti kita. Kepada ahli-ahli UMNO, perkara pokok yang perlu kita pastikan adalah supaya kita kekal menjadi pemerintah negara ini dan untuk mengekalkannya, kita perlu berpadu serta berkhidmat agar rakyat akan sentiasa mendampingi kita menerusi sokongan. Saya juga berharap ahli-ahli parti dapat menerima baik segala transformasi kerajaan, ekonomi dan politik yang sedang dilakukan. Bukan setakat memberi sokongan, kalau ada idea bernas yang kita hendak ketengahkan untuk memperkuatkan dan memperkukuhkan transformasi dan perjuangan parti, maka ia boleh diketengahkan ketika perhimpunan. Saya juga berharap para perwakilan tidak menjadikan perhimpunan ini sebagai gelanggang untuk mengkritik pemimpin tertentu atau menimbulkan isu masalah dalaman parti kerana terdapat tempat dan waktu lain untuk tujuan itu. Ada tanggapan mengatakan UMNO semakin tersasar daripada perjuangan membantu Melayu melalui program transformasi ekonomi, sejauh mana kebenarannya? Bagi saya ia sebenarnya tidak tersasar. Tujuan transformasi ini adalah untuk melahirkan usahawan yang betul-betul usahawan. Bukan usahawan semata-semata tetapi juga pengurus yang boleh mengurus tadbir, dia survivor, dia challenger yang boleh berhadapan dengan cabaran-cabaran yang mendatang ini. Dan ini memerlukan kriteria-kriteria tertentu. Mungkin ini kelihatan seperti satu sekatan atau halangan, tidak, sebenarnya ini penting bagi kita kerana kita harus melihat transformasi berpaksi kepada perubahan struktur ekonomi dan politik dunia yang ada. Kita pada hari ini tidak boleh berpegang kepada sistem ekonomi yang ada (kini) sama dengan yang dahulu. Jika kita sediakan ramai penerima bantuan tetapi esok mereka 'ali baba' macam mana? Kita bagi kontrak kepada mereka, mereka tidak laksanakan dan subkontrak pula kepada orang lain. Jadi selama mana kita boleh pastikan bahawa kejayaan untuk melahirkan golongan Melayu bumiputera yang ada daya tahan mereka dalam bidang ekonomi. Ini transformasi. Tetapi jika hendak menyatakan bahawa kita meninggalkan orang Melayu, itu sebenarnya tidak tepat. Apakah mesej kepada orang muda dalam negara? Saya berharap supaya semua anak-anak muda negara kita akan terus bersama-sama kita kerana saya yakin bahawa UMNO adalah sebuah parti politik yang boleh dipercayai untuk terus memacu negara ke hadapan. Dalam keadaan ekonomi dunia yang semakin mencabar, bagi suku penggal yang ketiga, kita telah mencapai pertumbuhan ekonomi 5.8 peratus, itu bukan mudah. Kerana dalam keadaan ekonomi dunia yang lembap kerajaan juga masih lagi berupaya menyediakan peluang pekerjaan dan ini menunjukkan ekonomi negara ini telah diuruskan dengan begitu baik. Kita amat memerlukan sokongan generasi muda supaya ekonomi negara dapat terus dimantapkan dan kestabilan politik dikekalkan dengan cara mereka menyumbang idea-idea dan pandangan menerusi platform yang telah disediakan. Bagaimana cara untuk menarik sokongan orang muda terhadap parti? Sebenarnya telah banyak yang dilakukan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dan pimpinan lain untuk mendampingi generasi muda. Bukan sahaja menerusi media sosial seperti Facebook malah mereka juga dijemput untuk menghadiri majlis makan tengah hari. Bukan itu sahaja, Perdana Menteri juga telah menonton dan bermain bola sepak dengan golongan muda terbabit. Saya sendiri bersama-sama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini telah mengadakan pertemuan dengan para pelajar. Saya gembira kerana anak muda ini telah menunjukkan sifat matang dan sikap ingin tahu. Mereka juga ingin memberi pandangan kerana sayangkan negara ini. Kita akan terus mendampingi generasi muda khususnya yang berusia antara 21 hingga 40 tahun kerana mereka mewakili 38.8 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi. Ini adalah satu jumlah yang besar dan kita perlu mempunyai pendekatan untuk mendampingi mereka termasuk menganjurkan karnival kerjaya seperti dilakukan Pemuda Barisan Nasional (BN). Setakat ini bagaimana kejayaan usaha meremajakan UMNO? Alhamdulillah ia berjalan dengan baik. Kita dapat melihat penglibatan banyak generasi muda dalam pendekatan yang kita lakukan. Proses peremajaan yang kita lakukan dengan mendampingi anak-anak muda banyak sebenarnya supaya mereka juga terbabit dalam melontarkan, memberi pandangan. Contohnya, apabila Yang Berhormat Presiden menyelesaikan masalah, mengatasi keperluan masyarakat anak muda hendak memiliki perumahan dan itu suara yang diutarakan oleh anak muda kita menerusi landasan Pemuda (BN) dan ia diadunkan dengan pelaksanaan skim perumahan mampu milik di peringkat ini. Ini bukan sahaja tarikan, tetapi langkah atau proses meremajakan perjuangan. Dan di peringkat akar umbi kita lihat bahawa usaha menggalakkan anak-anak muda yang layak untuk berpolitik memang berjalan lancar dengan menempatkan mereka di landasan-landasan yang sepatutnya. Boleh Datuk Seri berkongsi pengalaman sebagai Pengerusi Biro Keahlian dan Daftar Pemilih UMNO? Kita sebenarnya telah melakukan banyak usaha bukan sahaja menerusi parti tetapi badan-badan lain juga terbabit dan saya berharap supaya proses ini akan dapat terus dilakukan oleh parti kita sama ada UMNO atau komponen BN lain. Kita terus meningkatkan usaha kerana proses ini berterusan, tidak bererti bahawa kita harus berhenti kerana Pilihan Raya Umum (PRU) sudah dekat, PRU dekat pun kita tidak tahu bila. Jadi proses pendaftaran pemilih ini berlangsung, cuma mungkin pamerannya, ada satu ketika bila ia digazetkan maka itulah boleh dipakai, hari ini kita daftar kalau esok bubar tidak boleh pakai. Sehingga ia digazetkan, tetapi dalam pada itu kita tidak boleh beranggapan bahawa esok itu PRU. Ia hak kita sebagai para pengundi jadi saya melihat bahawa sokongan anak-anak muda dalam banyak pilihan raya kecil yang diadakan, kita tidak boleh nafikan saluran-saluran tiga dan empat ada peningkatannya. Dan keadaan ini saya harap menggalakkan kepada peningkatan anak-anak muda berdaftar sebagai pengundi kerana ia boleh menguatkan sokongan kepada kita dalam masa akan datang. Apakah pandangan terhadap langkah membenarkan portal propembangkang membuat liputan perhimpunan? Sebenarnya kalau kita adakan secara tertutup dengan menghalang portal propembangkang membuat liputan ia hanya setakat di dewan sahaja sedangkan wartawan mereka masih boleh mengikuti segala apa yang dilontarkan oleh para perwakilan di skrin televisyen di luar dewan. Saya juga berpendapat, tidak harus ada apa yang kita hendak selindungkan, kerana kita adalah parti yang boleh dipercayai dan telah berjaya membentuk kerajaan yang berwibawa. UMNO bukan seperti parti pembangkang yang cakap depan lain manakala belakang lain. Mereka mendakwa parti yang demokratik tetapi hendak bercakap pasal hudud pun tidak boleh. Dengan membenarkan liputan dibuat oleh semua pihak, ia akan membuka ruang seluas-luasnya kepada masyarakat untuk mengenali UMNO khususnya para pengundi supaya mereka merasakan boleh meletakkan harapan dan kepercayaan kepada parti untuk terus memimpin negara kita. Adakah Datuk Seri merasakan parti telah berjaya memperjuangkan nasib bumiputera miskin? Telah banyak langkah yang dilakukan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah termasuk menerusi agensi-agensinya seperti Risda dan Felcra yang menyediakan tanah dan benih kepada orang miskin untuk menanam getah dan kelapa sawit. Kita juga menyediakan bantuan perumahan dan kemudahan infrastruktur. Dalam bidang perniagaan, selain melatih usahawan bumiputera dalam bidang tertentu, kita juga membina dan membeli premis perniagaan untuk disewa kepada mereka dengan kadar yang cukup rendah. Di samping itu, kita melatih mereka dengan kursus keusahawanan, pemasaran, penjenamaan barangan dan perakaunan. Kita juga memberikan pinjaman menerusi pelbagai kaedah. Walaupun telah banyak yang dilakukan, kita tidak menganggap ini mencukupi, sebaliknya kita akan melakukan lebih banyak lagi penambahbaikan bagi meningkat pembelaan kita terhadap masyarakat bumiputera dan orang Melayu. Kita juga tidak melupakan bumiputera miskin di bandar dan pinggir bandar. Dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat khususnya Jabatan Kebajikan Masyarakat kita turut memberikan bantuan kewangan dan rumah kepada mereka. Apakah nasihat kepada bumiputera yang menyewa semula premis perniagaan kepada rakyat asing? Saya telah meminta Ketua Pengarah Mara untuk memantau perkara ini supaya ia tidak berterusan. Apa yang berlaku ini bertentangan dengan tujuan asal kita untuk memastikan orang Melayu mendapat ruang perniagaan. Sewa ruang perniagaan di Kuala Lumpur misalnya adalah cukup tinggi, jadi kalau ada perlakuan 'ali baba' kita akan ambil tindakan dan memberikan kepada orang lain kerana ramai lagi bumiputera yang sedang menunggu untuk mendapatkan premis perniagaan. Full content generated by Get Full RSS. |
Momentum tingkat sokongan belia Posted: Momentum tingkat sokongan beliaOleh NURUL ANUAR KARI AMANAT Presiden UMNO yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Pemuda dan Puteri UMNO, Ahad lalu dilihat umpama serampang dua mata bagi semua golongan muda di negara ini. Bukan sahaja cara pendekatan beliau bersama golongan muda parti itu merapatkan jurang generasi pelapis dengan kepimpinan tertinggi negara malahan memberi motivasi kepada jentera UMNO dan BN meneruskan momentum bagi menarik para belia menyertai perjuangan memajukan bangsa, agama dan negara. Dalam usaha mendekati golongan muda dan membawa masuk muka baru ke dalam perjuangan parti, UMNO dan semua parti komponen BN perlu menunjukkan ada ruang dan peluang untuk para belia untuk turut serta dan menyumbang mengikut kemampuan masing-masing. Tambahan pula menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), sekali lagi perlu ditekankan pentingnya muda-mudi negara ini mengambil berat perkembangan politik negara dan memikirkan perkara yang lebih besar daripada diri sendiri terutamanya sebagai pewaris kepimpinan negara kelak. Bukan sekadar untuk mengejar undi golongan muda, Perdana Menteri juga mahu belia memahami betapa besar dan sukarnya tanggungjawab memimpin, lebih-lebih lagi dalam suasana masyarakat majmuk di Malaysia. Najib juga menegaskan tiada kecacatan pada jenama BN dan tiada sebab untuk rakyat daripada mana-mana peringkat usia menolak kehadirannya selagi perkhidmatan yang diberikan jentera BN menepati cita rasa serta mengambil kira kehendak rakyat. Mengambil contoh Karnival Kerjaya Pemuda BN sebelum ini yang berjaya menarik penyertaan lebih 500,000 belia, beliau berharap program-program yang dilaksanakan kelak menepati kehendak dan keperluan rakyat agar ia terus mendapat sambutan menggalakkan. Mengabaikan persepsi sesetengah pihak yang masih sangsi dengan penerimaan golongan muda terhadap jenama BN, Najib turut melancarkan slogan baru, 'BN Pilihan Orang Muda' bagi menarik lebih banyak sokongan dan penyertaan belia terhadap perjuangan parti tersebut. Namun, semua pemimpin dan anggota parti-parti komponen BN perlu sedar bahawa tanggungjawab dan beban mengekalkan 'keremajaan' BN bukan hanya di bahu Perdana Menteri tetapi perlu didokong semua pihak dengan hati terbuka. Ini diperakui pemerhati politik Asia Tenggara, Ahmad Zaki Hassan yang berpendapat penyertaan berterusan golongan muda dalam mana-mana pergerakan amat penting bagi kelangsungan perjuangan organisasi tersebut. "Kebelakangan ini, golongan muda yang bakal menjadi pelapis negara dilihat kurang melibatkan diri dan mengambil tahu tentang perkembangan politik negara. "Namun, program peringkat nasional untuk rakyat seperti Karnival Kerjaya Pemuda BN memberi impak besar dalam menarik sokongan belia kepada perjuangan, aktiviti parti dan senario politik negara," katanya. Pensyarah di Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM) itu menyarankan lebih banyak program nasional seumpamanya diadakan terutama sekali dalam membantu meringankan beban rakyat pelbagai peringkat dan usia kerana ia bukan sahaja berpaksi kepada politik tetapi kepada memenuhi keperluan dan kehendak mereka. Tambahnya, semua parti komponen BN juga perlu mempunyai semangat lama penubuhan perikatan yang fokus kepada membantu rakyat jelata melalui pelbagai program ilmu dan perkhidmatan terutamanya di kampung-kampung dan luar bandar. "Dahulu kita ada program pendidikan bahasa Inggeris dan Matematik oleh Puteri UMNO yang bergerak ke kampung-kampung untuk membantu pelajar di sekolah luar bandar. "Program seumpamanya boleh diteruskan atau dikembangkan untuk pelbagai tujuan yang memberi manfaat kepada rakyat, seterusnya membuka ruang untuk mendekati dan berkongsi maklumat serta aktiviti parti bersama pengundi," ujarnya. Menurutnya lagi, semua pihak perlu mengambil contoh langkah Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang dahulu membuka sekolah untuk orang dewasa walaupun dikritik pelbagai pihak. "Seperti mana sekolah dewasa dahulu membolehkan ibu bapa belajar membaca dan menulis, kemudian mengajar anak di rumah, program pendidikan bahasa Inggeris, matematik atau mana-mana subjek ilmu akan membolehkan anak berkongsi pula ilmu itu bersama ibu bapa mereka di kampung. "Jangan terlalu dilihat kesan jangka pendek aktiviti seumpama itu sebaliknya pentingkan kesan positif dan manfaatnya kepada pendidikan serta kehidupan rakyat," tegasnya. Ahmad Zaki juga menyarankan kepimpinan tertinggi parti-parti komponen BN memerhati dan menghentikan aktiviti 'mencantas' kemasukan dan penyertaan ahli baru sekiranya ada, terutama sekali terhadap golongan belia yang mempunyai bakat dan pendidikan tinggi. "Dalam situasi tertentu, mungkin pihak yang mempunyai kedudukan akan menyekat kemasukan mereka yang dilihat mampu menggugat dan mengambil alih jawatan yang mereka sandang dalam parti. "Perkara sebegini mungkin berlaku dalam mana-mana organisasi dan perlu dipantau ketat bagi mengelakkan ketandusan generasi pelapis berwibawa dalam BN yang mungkin bakal memimpin negara kelak," jelasnya. Beliau menegaskan, walaupun golongan muda yang baru menyertai BN mungkin tidak berpeluang menyertai PRU-13, mereka perlu diberi ruang dan peluang untuk dilatih dan menaikkan pengaruh di mata pengundi bermula dari sekarang supaya cukup bersedia apabila sampai masanya untuk mengambil alih tanggungjawab memimpin parti dan negara kelak. Nada sama turut dikongsi pemerhati politik, Mohamad Faisol Keling yang mahu program-program bermanfaat kepada rakyat diteruskan tetapi lebih penting lagi meningkatkan keyakinan pengundi terhadap BN. "Dua perkara utama yang perlu diberi perhatian adalah fokus kepada jentera parti dan juga meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap BN. Dua perkara ini mungkin menjadi punca kekalahan banyak calon BN pada 2008. "Walaupun pembangkang mungkin cuba manipulasi tujuan program kerajaan, usaha untuk menghebahkan bantuan dan kerja yang dijalankan perlu diteruskan agar rakyat tahu dan semakin yakin dengan kepimpinan BN," katanya. Tegasnya, penilaian rakyat terhadap pemimpin dan parti akan menjadi perkara utama dalam menentukan pilihan mereka, terutamanya golongan muda yang mula nampak kepincangan dalam pakatan pembangkang. Beliau seterusnya mengingatkan semua pemimpin dan anggota parti-parti komponen mengambil contoh pendekatan Perdana Menteri yang turun padang untuk bersama rakyat dalam pelbagai program dan aktiviti, bukan sahaja untuk mendekati pengundi malahan untuk mendengar sendiri masalah yang mereka hadapi. "Semua warga parti-parti komponen perlu menerap cara Perdana Menteri memperkukuh dan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan BN di samping mengelak daripada menimbulkan isu yang boleh dimanipulasi pihak lawan. "Selesaikan semua masalah dalaman terutama sekali di peringkat akar umbi kerana rakyat akan menilai BN secara keseluruhan jika melihat masalah kecil peringkat bahagian juga sukar ditangani," ujarnya. Beliau berharap momentum peningkatan sokongan belia dan rakyat kepada BN akan berterusan melalui pelbagai program dan pendekatan agresif yang boleh dan perlu diambil setiap parti komponen. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan