Selasa, 22 November 2011

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Kelebihan 'Effectiva Cultura'

Posted:

Kelebihan 'Effectiva Cultura'

Kelebihan 'Effectiva Cultura'

Oleh MAZNAH MOHD. ARSAD
utusanjohor@utusan.com.my

JOHOR BAHRU 21 Nov. - Jenama produk 'Effectiva Cultura' kini bukan lagi asing hasil pembangunan industri teknologi mikrob berkesan atau bakteria baik oleh Perbadanan Bioteknologi dan Biodiversiti Johor (J-Biotech Corp).

Ketua Pegawai Eksekutif J-Biotec, Datuk Dr. Haris Salleh (gambar) berkata, sejak teknologi itu dilancarkan pada persidangan dan pameran BioJohor 2007, kini aplikasinya semakin diterima secara meluas oleh orang ramai.

Menurutnya, produk itu kini dipasarkan oleh anak syarikat J-Biotech dan berjaya meningkatkan kecekapan pengambilan bahan organik, seterusnya membantu meningkatkan biodiversiti mikrobiologi persekitaran dengan memperbaiki kualiti dan persekitaran air yang lebih bermutu.

Dr. Haris berkata, berdasarkan kajian dan dapatan mikrob berkesan mampu membantu mengurangkan mendapan dan ammonia serta meningkatkan kebolehlarutan oksigen.

"Secara amnya produk 'Effective Cultura' ini juga mampu mengawal bau busuk (odor), merawat pencemaran alam sekitar, kotoran tangki septik dan kawasan tapak pelupusan sampah.

"Selama tempoh lima tahun berlalu, kini negeri ini boleh berbangga dengan kesan ke atas aplikasi teknologi mikrob berkesan yang telah digunakan secara meluas dalam bidang pertanian seperti penggunaan baja organik berasaskan mikrob berkesan, makanan ternakan dengan campuran mikrob berkesan, penggunaan mikrob berkesan di ladang khinzir, ayam, lembu dan kambing," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Beliau berkata, kebanyakan peladang dan penternak di negeri ini telah diberikan pendedahan mengenai penggunaan teknologi mikrob dan penggunaan mikrob berkesan di persekitaran juga telah meningkat dari tahun ke tahun, " katanya.

Menurutnya, pelbagai projek telah dilaksanakan dengan penggunaan teknologi berasaskan mikrob berkesan, antaranya projek pembersihan Sungai Segget, Sungai Chat dan Sungai Stulang di sini, Lagun SAJH Sri Gading, Batu Pahat, Tasik Taman Botani Batu Pahat dan Tasik Y.

Tidak terkecuali penggunaannya di pasar awam dan gerai Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP), Pasar Awam Majlis Perbandaran Muar (MPM) dan Zoo Negeri Johor, katanya.

Dr. Haris berkata, bagi menampung keperluan dan permintaan industri terhadap penggunaan teknologi mikrob berkesan, J-Biotech Corp telah membina kilang di bawah syarikat J-Bio Microbe Industri Sdn. Bhd. (JBMI).

Katanya, JBMI akan memberi tumpuan kepada pengeluaran mikrob berskala besar dan aktiviti pembangunan dan penyelidikan (R&D) secara berterusan bagi meningkatkan kualiti produk mikrob sedia ada dan menghasilkan lebih banyak lagi penemuan baru yang tidak terhad kepada penggunaan persekitaran, pertanian dan perikanan, tetapi juga melalui penerokaan dalam industri makanan dan perubatan.

"Syarikat JBMI akan memulakan pengeluarannya secara aktif pada awal tahun depan melalui produk mikrob terbaru yang telah berjaya dihasilkan iaitu produk mPHO yang berasaskan bakteria fotosintetik yang digunakan untuk membantu mengatasi masalah pencemaran air secara lebih spesifik, sesuai dengan keupayaannya bagi meningkatkan kualiti air.

"Produk mPHO juga sangat sesuai diaplikasikan pada ternakan air seperti ikan dan udang. Untuk maklumat, J-Biotech Corp akan turut serta dalam Ekspo Agro dan Makanan Johor yang akan berlangsung mulai 25 hingga 29 November ini di Tapak Pusat Pertanian Moden Ayer Hitam, Kluang," katanya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan keterangan lanjut boleh menghubungi Noraini Ahmad di talian 019-7502667 atau menghantar e-mel ke noraini_jbiotech@yahoo.com atau mengunjungi tapak ekspo tersebut seterusnya ke gerai nombor 3.

Full content generated by Get Full RSS.

Kemuncak Pertandingan Mewarna ADaP Kreatif

Posted:

Kemuncak Pertandingan Mewarna ADaP Kreatif

Kemuncak Pertandingan Mewarna ADaP Kreatif


PARA pemenang Pertandingan Mewarna ADaP Kreatif 2011 anjuran akhbar Utusan Malaysia bergambar bersama hadiah masing-masing selepas selesai pertandingan berkenaan di Johor Bahru, kelmarin.


JOHOR BAHRU 21 Nov. - Pertandingan Mewarna ADaP Kreatif 2011 anjuran akhbar Utusan Malaysia sampai ke kemuncaknya semalam apabila seramai 250 murid termasuk pemenang pertandingan peringkat sekolah berentap merebut gelaran juara keseluruhan bagi tiga kategori yang dipertandingkan.

Pertandingan yang diadakan di pasar raya Carrefour Pandan bermula pukul 9 pagi itu berjaya menarik penyertaan lebih 10 sekolah di sekitar negeri ini termasuk dari Kota Tinggi, Pasir Gudang dan Johor Bahru.

Eksekutif Pemasaran Utusan Melayu (M) Bhd., Mohd. Shahrulazhar Ya'acob berkata, ia merupakan pertandingan akhir bagi Mewarna ADaP Kreatif tahun ini.

"Kali ini kesemua pemenang atau juara peringkat saringan di sekolah masing-masing dihimpunkan dalam satu acara akhir yang diadakan di pasar raya Carrefour Pandan.

"Ia bukan sekadar pertandingan tetapi lebih kepada medan mencungkil bakat dan kreativiti kanak-kanak. Sehubungan itu, besar harapan saya agar semua peserta mengambil peluang yang ada bagi mengembangkan bakat terpendam masing-masing," katanya.

Pertandingan tersebut turut mendapat kerjasama daripada pasar raya Carrefour Pandan yang menyumbang pelbagai barangan termasuk hamper, barangan permainan keluaran Hasbro Toys (M) Sdn. Bhd. dan beberapa barangan sampingan bernilai RM4,000.

Sebanyak tiga kategori dipertandingkan iaitu prasekolah, tahun satu hingga tiga dan tahun empat hingga enam dan dibuka kepada orang ramai yang hadir ke pasar raya berkenaan pada hari pertandingan dengan setiap peserta diberi masa sejam 30 minit untuk menyiapkan tugasan mewarna.

Bagi Kategori A iaitu tahun satu hingga tiga, tempat pertama hingga ketiga dibolot murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Putra iaitu Nur Kaisah Kamilia Mohd. Fauzy, 8; M.Venthaan, 9, dan Nur Miza Mohd. Zulkifli, 9.

Kategori B iaitu tahun empat hingga enam dimenangi murid SK LKTP Air Tawar 4, Muhd. Izzat Esa, 12; tempat kedua pula diraih Aina Amiran Satria, 10, (SK Kota Masai 2), manakala tempat ketiga oleh Fatin Nabilah Mohd. Rozmee, 12.

Bagi Kategori C iaitu prasekolah, tempat pertama dimenangi Fatin Najihah Mohd. Rozmee, 5; tempat kedua milik Nurfaiqah Mohd. Fauzy, 6, dan Matin Iman Eddy Noor, 6, di tempat ketiga.

Setiap pemenang membawa pulang pelbagai hadiah menarik mengikut kategori masing-masing, antaranya alat muzik, papan karom, set khemah, permainan Hasbro, hamper serta trofi.

Hadiah disampaikan oleh Ketua Biro Utusan Malaysia, Luqman Haziq Abdullah dan Eksekutif Pemasaran Carrefour, Nurul Syed Abdullah.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved