Selasa, 22 November 2011

Utusan Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Skop, KRU ulangi kejayaan FFM23

Posted:

Skop, KRU ulangi kejayaan FFM23

Skop, KRU ulangi kejayaan FFM23

Oleh ABD. AZIZ ITAR dan SYAFIQ ROOS ANUAR
aziz.itar@utusan.com.my
Gambar AMIN FARIJ HASSAN


NORMAN, Yusry dan Edry Abdul Halim mencipta kejayaan manis di FFM24.


FILEM Terbaik dan Pengarah Terbaik merupakan dua anugerah utama dalam Festival Filem Malaysia Ke-24 termasuklah pada edisi ke-24 (FFM24) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) Ahad lalu.

Menerusi festival anjuran Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) itu, Syamsul Yusof muncul pemenang Pengarah Terbaik menerusi filem KL Gangster walaupun kategori Filem Terbaik dimenangi oleh filem Hikayat Merong Mahawangsa (HMM).

Kemenangan itu merupakan kali kedua berturut-turut buat Syamsul di mana tahun lalu dia mengungguli kategori sama menerusi filem arahannya, Evolusi KL Drift, sementara filem Magika pula diangkat sebagai pemenang kategori Filem Terbaik pada festival tersebut.

KRU Studios yang menerbitkan HMM dan Magika serta Skop Productions (KL Drift 2 dan KL Gangster) bukan setakat mengulangi keputusan sama dua tahun berturut-turut tetapi mendominasi Anugerah Gemilang Cipta dan Anugerah Gemilang Perdana FFM24.

Sama ada keputusan itu kebetulan atau sebaliknya, kemenangan KRU Studios membolot tiga Anugerah Gemilang Cipta dan lima Anugerah Gemilang Perdana pada tahun ini menerusi HMM tentunya menimbulkan buah mulut segelintir pihak yang kurang puas hati.

Malah, ada di kalangan peserta FFM24 seperti pengarah filem Hantu Kak Limah Balik Rumah, Mamat Khalid dan penerbit ...Dalam Botol, Raja Azmi Raja Sulaiman yang seakan-akan tidak memberi sokongan apabila tidak hadir pada malam kemuncak festival itu.

Monopoli kemenangan HMM dan KL Gangster itu seolah-olah mengetepikan langsung kredibiliti filem-filem yang turut menjadi sebutan ramai seperti Hantu Kak Limah Balik Rumah, ...Dalam Botol dan Nur Kasih The Movie yang langsung tidak menerima sebarang anugerah.

Menurut Presiden KRU Studios, Norman Abdul Halim pihaknya hanya menghantar pencalonan dan pemilihan termasuklah kemenangan anugerah-anugerah yang diraih oleh HMM dilakukan oleh pihak juri profesional yang dilantik oleh Gafim selaku penganjur FFM24.

"Janganlah hendak memperlekeh-lekehkan HMM kalau kita mahu mengangkat filem kita ke persada antarabangsa.

"Bagi saya HMM telah melakukannya apabila filem ini diedarkan di 72 buah negara. Kemenangan HMM malam ini adalah atas pemilihan para juri.

"Saya sudah lali dengan kritikan seperti ini kerana perkara yang sama berlaku pada Magika pada FFM23 .

"Bagaimanapun Magika sekali lagi membuktikan kemampuannya apabila ia menang kategori Filem Terbaik pada Anugerah Skrin 2011 baru-baru ini. Untuk HMM saya sudah menduga ia juga akan menerima nasib sama.

"Saya pernah tawar hati untuk mempertandingkan filem-filem KRU dalam FFM tetapi atas nasihat dan persetujuan daripada semua kakitangan KRU Studios maka kami sertai juga festival ini walaupun tahu kalau HMM menang mesti ada pihak yang akan mempertikaikannya," katanya kepada Hits sewaktu ditemui selepas festival tersebut.

Pada FFM24 HMM paling banyak meraih Anugerah Gemilang Perdana iaitu Filem Terbaik, Penataan Seni Terbaik (Anuar Paharuddin), Sinematografi Terbaik Mohd. Noor Mohd. Kassim), Pereka Kostum Terbaik (Rosada Abd. Hamid) serta Skor Muzik Asal Terbaik (Edry Abdul Halim).

Selain itu, HMM yang meraih RM25,000 untuk kategori Filem Terbaik itu turut memenangi Anugerah Gemilang Cipta dengan merangkul kategori Poster Terbaik, Kesan Visual Terbaik dan Lagu Tema Asal Terbaik (Edry Abdul Halim - Sedetik Lebih).

Penguasaan

Skop Productions selaku penerbit KL Gangster turut mencatatkan penguasaan terbesar dalam FFM24 apabila menggondol enam daripada 15 Anugerah Gemilang Perdana festival itu yang menawarkan hadiah berupa wang tunai berjumlah RM10,000 hingga RM15,000 dan trofi.

Sama seperti Norman, Syamsul Yusof selaku pengarah KL Gangster turut enggan mengambil serius kritikan-kritikan negatif selepas filem arahannya itu menggondol banyak anugerah termasuk Pengarah Terbaik di mana dia membawa pulang wang tunai RM20,000 dan trofi.

"Saya malas hendak fikir apa juga kritikan yang akan saya terima atas kemenangan filem arahan saya ini.

"Kalau ada isu yang timbul kelak, saya juga tidak mahu membalas kenyataan atas apa juga pertikaian yang dilemparkan kepada saya. Saya tidak mahu memperbesar-besarkan rasa tidak puas hati tersebut.

"Saya buat filem sebagai kerjaya saya dan untuk industri perfileman di negara ini. Bagi saya, tiada yang terbaik dalam festival seperti ini. Pemenang sebenar ialah bagaimana kita mahu memikat hati majoriti para penonton yang menonton sesebuah filem itu," komennya.

Pada Anugerah Gemilang Perdana FFM24 itu KL Gangster meraih anugerah Filem Box-Office kerana mencatat kutipan tiket RM11.7 juta, Penyunting Terbaik (Syamsul Yusof dan Hisham Jupri), Penataan Bunyi Terbaik (Hisham Jupri, Rizal Ashref), Lakon Layar Terbaik (Syamsul Yusof), Pelakon Pembantu Terbaik (Sofi Jikan) dan Pengarah Terbaik (Syamsul Yusof).

FFM24 yang menampilkan pengacara Fauziah Datuk Ahmad Daud dan Johan (Raja Lawak) itu banyak mencetuskan kontroversi antaranya apabila Presiden Gafim, Jurey Latiff Rosli dibenarkan bertanding pada festival itu dan memenangi kategori Pengarah Harapan menerusi filem Libas.

"Penjurian dilakukan secara sulit di mana para juri tiada kena mengena atau ada kepentingan dengan para peserta yang bertanding termasuklah saya.

"Para juri juga tiada kena mengena dengan penganjur. Apatah lagi, pencalonan saya dalam kategori itu dihantar oleh penerbit Libas iaitu MDAG Marketing," jelasnya.

Pada sidang akhbar selepas berlangsungnya FFM24, Pengerusi Malam Anugerah Gemilang Perdana, Yusof Kelana berkata, kontroversi dan pertikaian adalah perkara yang tidak boleh dielakkan dalam penganjuran festival itu sejak dari dulu hingga kini.

Dia yang juga pengarah drama dan filem menambah, pertikaian yang membabitkan penganjur dengan filem-filem yang mereka pertandingkan juga turut dilalui oleh Ahmad Puad Onah sewaktu menjadi Presiden Gafim pada penganjuran FFM23 tahun lalu.

"Ketika Ahmad Puad Onah menjadi Presiden Gafim dan pada FFM23 ada filem di bawah terbitan Grand Brilliance yang dipertandingkan pada festival itu. Adakah kerana isu itu dia juga perlu menarik diri sedang penjurian tiada kena mengena dengannya.

"Kontroversi dalam FFM berlaku dalam setiap kali ia dianjurkan sejak tahun 1981. Boleh dikatakan setiap tahun pasti ada kontroversi yang timbul.

"Kalau tidak ada kontroversi maka itu bukan Festival Filem Malaysia namanya. Apa pun kami akan lakukan kajian tentang penganjuran festival kali ini supaya ia dapat diperbaiki lagi.

"Itu pun kalau Gafim diberi kepercayaan untuk menganjurkan lagi festival ini. Ini kerana, bukannya mudah untuk menganjurkan FFM.

"Apatah lagi dengan bajet yang kami dapat hanya berjumlah RM650,000 sedangkan kos penganjurannya mencecah RM2.2 juta. Nasib baiklah ada banyak penaja yang menaja festival ini," ujarnya.

Berbaloi

Eja atau Siti Shahreza yang sudah terbabit dalam bidang lakonan drama televisyen dan filem sejak 15 tahun lalu menganggap kejayaannya meraih anugerah Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Janin begitu berbaloi.

"Janin adalah filem kelapan lakonan saya dalam masa 15 tahun. Saya begitu berhati-hati dalam melakonkan sesuatu watak di mana kalau boleh biarlah ia meninggalkan kesan di hati para penonton. Saya memang cerewet dalam memilih watak dan tidak mahu sekadar menjadi penghias sahaja.

"Kalau ikutkan dalam masa 15 tahun itu sudah banyak filem yang saya lakonkan. Itu bukti saya memang memilih dan ternyata watak yang saya lakonkan dalam Janin membuahkan hasil sehinggalah saya memenangi anugerah ini," ujarnya.

Sementara itu, Soffi Jikan yang telah 15 tahun bergiat dalam industri seni tanah air, akhirnya lega kerana segala penat lelah serta keringat anak kelahiran Kuala Terengganu ini berbalas apabila diangkat sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik FFM24.

Dia mengakui tidak meletakkan sebarang harapan untuk menggondol sebarang anugerah, tetapi dia akhirnya bersyukur kerana segala perit jerihnya dalam industri seni selama ini akhirnya berbalas.

"Alhamdulillah, saya bersyukur sangat kerana apa yang saya lakukan dalam industri seni ini akhirnya orang nampak juga. Saya akui, setiap watak yang saya lakonkan, saya akan pastikan ia mampu meninggalkan kesan kepada penonton.

"Bermula dari melahirkan watak tersebutlah saya akan kerja habis-habisan bagi memastikan tahap lakonan saya berada pada tahap yang baik. Insya-Allah, selagi saya bernafas, saya akan usaha berterusan bagi memartabatkan industri seni tanah air," ujarnya penuh bersemangat.

Seperti dijangkakan, kejayaan Shaheizy Sam menggondol anugerah Pelakon Lelaki Terbaik melalui filem Kongsi memang sudah menjadi ramalan banyak pihak.

Hadir dengan harapan untuk turut sama-sama menaikkan nama industri seni sehingga ke luar negara, Sam sebenarnya mahu mencari kelainan dalam setiap perkara yang dilakukannya termasuklah dalam Kongsi yang akhirnya membuahkan hasil.

"Saya mahu melakukan suatu keajaiban yang orang lain tidak lakukan. Saya mahukan magis yang bukan semua orang mampu lakukan.

"Buat masa sekarang, saya cuba lakukan yang terbaik dan pada masa yang sama saya mahu lari daripada perkara yang klise dalam setiap lakonan saya," katanya.

Selain itu, Sam yang akan muncul dengan filem terbaru lakonannya, Songlap yang bakal ditayangkan mulai 15 Disember ini turut mengakui kini dia mula berjinak-jinak ke arah bidang produksi perfileman.

Berjaya menggondol anugerah Filem Pilihan Penonton Astro melalui filem Kongsi, saudagar filem MIG ini menyifatkan ia merupakan suatu tindak balas positif daripada penonton terhadap filem-filem David Teo.

Namun, David tidak dapat menyembunyikan keluhannya mengenai penganjuran FFM24 yang turut mencalonkan filem Libas arahan Jurey Latiff Rosli yang juga pengerusi festival itu, malah turut berjaya memenangi anugerah Cerita Asal Terbaik.

"Bagi saya, ini merupakan kecacatan terbesar di dalam sebuah festival dan kesilapan begini tidak harus berlaku.

"Ini sememangnya memalukan industri dan saya berharap sangat perkara ini tidak akan berlaku lagi pada penganjuran festival filem pada masa akan datang.

"Asalkan penerima anugerah berpuas hati dan gembira menerima anugerah itu, cukuplah," ujarnya penuh makna.

Full content generated by Get Full RSS.

sediakan RM1 juta tunai

Posted:

<i>Money Drop</i> sediakan RM1 juta tunai

Money Drop sediakan RM1 juta tunai

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my
Gambar FAIRUZ IZYANA AYUB


PARA peserta Money Drop bersama longgokan wang tunai RM1 juta sewaktu rakaman rancangan itu di Bukit Jalil, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


MONEY Drop adalah pertandingan kuiz dalam rancangan televisyen tempatan yang menawarkan hadiah paling lumayan buat para pemenangnya iaitu wang tunai RM1 juta.

Rancangan terbitan Endemol Malaysia yang akan disiarkan di Astro Prima setiap Sabtu dan Ahad mulai 3 Disember ini juga berbeza dengan rancangan lain.

Tidak seperti pertandingan lain yang menyediakan hadiah seperti kereta dan barangan elektrik, Money Drop menyediakan wang tunai RM1 juta dengan menjawab lapan soalan sahaja.

Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi, rancangan itu bukan sahaja berbeza dengan rancangan seperti Roda Impian, malah wang tunai yang ditawarkan juga lebih lumayan daripada itu.

"Rancangan ini telah terbukti sambutannya kerana imbuhan wang tunai yang lumayan selain mendapat sambutan di 33 buah negara sewaktu ia ditayangkan di negara-negara terbabit.

"Money Drop pernah mendapat anugerah British Academy of Arts Film dan Anugerah Televisyen di United Kingdom pada tahun ini," katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Jelas Azlin, rancangan yang menampilkan soalan-soalan kuiz daripada pelbagai topik itu sesuatu yang sukar diduga biarpun hanya lapan soalan disediakan untuk setiap peserta.

Ini kerana, katanya, setiap peserta yang ditampilkan berpasangan itu mampu membolot RM1 juta yang ditawarkan tetapi pada masa sama juga berdepan risiko jika tersalah percaturan.

"Sebagai contohnya, setiap peserta akan diberi masa 60 saat untuk menjawab satu soalan di mana jika mereka tidak yakin jumlah wang tunai RM1 juta itu boleh dipecah-pecahkan.

"Wang tunai yang diletakkan di tempat jawapan yang salah akan jatuh ke lubang bahagian bawah dan itu bermakna peserta terbabit akan kehilangan wang tersebut," ujarnya.

Money Drop yang dirakamkan sebanyak 26 episod mendapat sambutan ramai apabila uji bakat yang diadakan di Pulau Pinang, Johor Bahru, Johor dan Kuala Lumpur disertai lebih 2,000 peserta.

Lebih menambahkan kepelbagaian setiap peserta yang ditampilkan berlainan latarbelakang pendidikan dan kerjaya di mana ia akan memperlihatkan tahap kepintaran yang berbeza.

"Soalan yang diketengahkan menampilkan topik-topik yang berkaitan dengan pengetahuan am di mana setiap soalan mempunyai jawapan hampir sama supaya setiap peserta membuat analisis.

"Di sinilah perlunya semangat berpasukan kerana mereka harus bijak menjawab soalan dan membuat strategi supaya dapat membolot wang tunai sebanyak yang mungkin," ujarnya.

Ternyata Money Drop membawa risiko yang bukan kepalang kerana di hadapan setiap peserta dilongokkan wang tunai RM1 juta sehingga pelbagai langkah keselamatan diambil.

Antaranya setiap peserta termasuklah media massa yang membuat liputan tidak dibenarkan membawa masuk telefon bimbit selain kawalan pasukan keselamatan yang ketat.

AC Mizal yang diberi kepercayaan mengacarakan rancangan itu juga tidak menafikan berasa gugup apabila berada di depan wang tunai RM1 juta.

"Ini pertama kali saya tengok wang tunai RM1 juta di depan mata. Sebelum ini memang ada pertandingan yang menyediakan wang tunai tetapi pemenang akan menerimanya kemudian.

"Sedangkan dalam pertandingan ini wang tunai RM1 juta itu sudah menanti di depan mata sebelum mereka menjawab soalan lagi. Itu adalah tarikan dalam pertandingan ini," jelasnya.

Sewaktu diajukan persoalan mengapa dia sering dipilih sebagai pengacara dalam rancangan-rancangan terbitan Astro, jelas AC semua itu atas pemilihan stesen terbabit.

Apatah lagi, kata bekas pengacara rancangan Akademi Fantasia musim kesembilan itu, pemilihan itu kerana dia salah seorang artis bertaraf residen yang bernaung di bawah Astro.

"Walaupun saya mengacarakan banyak rancangan seperti Maharaja Lawak Mega dan Money Drop tetapi pendekatan atau penampilan saya tidak sama di antara satu sama lain.

"Contohnya, dalam Maharaja Lawak Mega saya lebih santai dan kurang serius, manakala dalam Money Drop cara pengacaraan saya lebih formal termasuklah daripada segi pakaian," jelasnya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved