Utusan Online - Utara |
- Belajar sambil berniaga di WOU
- Pemaju akur tuntutan penduduk Sg. Nibong
- UMNO Bahagian Sungai Petani kembali harmoni
Belajar sambil berniaga di WOU Posted: Belajar sambil berniaga di WOUOleh AZELI ALI Wawasan Open University menawarkan peluang pengajian kepada golongan berkerjaya di kampusnya di Pulau Pinang. PULAU PINANG 18 Okt. - Wawasan Open University (WOU) menawarkan pelbagai program pengajian kepada sesiapa juga yang mencari peluang untuk mengubah kehidupan serta perniagaan mereka dengan mendapat pendidikan tinggi tanpa mengorbankan kerjaya mereka. Perkara itu dibuktikan oleh Seah Kian Aik, 33, yang mengambil jurusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dalam bidang Pengurusan Bekalan dan Logistik dari WOU pada 2007. Meskipun sibuk menguruskan perniagaan keluarga, dia masih sempat melanjutkan pengajian di WOU secara sambilan. Malah, ilmu yang diperolehi di WOU ternyata banyak membantunya untuk melebarkan perniagaan. Dia percaya program tersebut yang diuruskan Fakulti Perniagaan dan Pentadbiran (SBA) banyak mengajarnya bagaimana untuk mengembangkan perniagaan arang yang sehingga ke peringkat global. "Prinsip saya adalah seseorang perlu belajar ketika membesar dan membesar untuk belajar, jadi saya menyasarkan untuk membina laman web untuk memasarkan serta menjual arang ke seluruh dunia kerana banyak permintaan terutama di negara-negara yang mengalami musim sejuk. "Pendidikan tinggi yang ditawarkan WOU membantu saya mencapai cita-cita untuk mengembangkan perniagaan warisan keluarga ini bagi memenuhi keperluan tempatan serta menarik pasaran antarabangsa," katanya. Jelasnya, dia berminat untuk mendalami ilmu komputer sejak sekian lama tetapi tidak memiliki motivasi untuk memohon kerja dalam bidang teknologi maklumat. Dia juga yakin dengan ilmu pengurusan bekalan serta minda yang inovatif yang diperolehi melalui pengajiannya di WOU membantu membawa perniagaan arang miliknya ke peringkat lebih tinggi. Program ijazah Pengurusan Bekalan dan Logistik di WOU membuka cabaran serta peluang kepada penuntut untuk mendepani cabaran perniagaan hari ini. Mereka yang mengambil kursus ini akan belajar bagaimana untuk membuka atau mengekalkan perniagaan mereka dengan graduan berpeluang untuk mencari kerja dalam bidang pembuatan serta perkhidmatan, pusat pengedaran multinasional, syarikat perkhidmatan kurier serta banyak lagi. Program ijazah lain yang ditawarkan di SBA adalah perakaunan, pengurusan, perbankan dan kewangan, jualan dan pemasaran, sistem maklumat perniagaan, pentadbiran korporat serta keusahawanan dan pengurusan perniagaan kecil. Penuntut dari golongan bekerja yang belajar di WOU tetap akan berpeluang untuk membina perniagaan dan kerjaya kerana boleh belajar secara separuh masa. Penuntut juga boleh mengakses sistem pengurusan pembelajaran atas talian WOU dari mana sahaja serta untuk menyiapkan tugasan yang diberikan. Pengambilan untuk Januari 2012 kini dibuka dan mereka yang berminat boleh menghubungi talian bebas tol WOU di 1-300-888-968 atau layari wou.edu.my. Full content generated by Get Full RSS. |
Pemaju akur tuntutan penduduk Sg. Nibong Posted: Pemaju akur tuntutan penduduk Sg. NibongPULAU PINANG 18 Okt. - Lebih 60 penduduk Kampung Sungai Nibong Besar, Bayan Baru di sini yang menerima notis pengosongan rumah semalam kini boleh menarik nafas lega apabila pemaju bersetuju memenuhi tuntutan mereka. Pemaju, Bioworld Vision Sdn. Bhd. membuat keputusan untuk memberi pampasan berupa kediaman kos rendah berharga RM42,000 kepada 12 pemilik rumah yang bakal dirobohkan bagi membolehkan projek membina tujuh banglo tiga tingkat di atas tanah seluas 0.4 hektar itu dijalankan. Selain itu, mereka turut diberikan wang RM5,000 untuk kos pemindahan. Majlis menandatangani perjanjian pampasan berlangsung di Dewan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Nibong di sini hari ini. Sebagai permulaan, pemaju memberi wang pendahuluan sebanyak RM4,700 kepada penduduk terbabit bagi menunjukkan kesungguhan dalam menyelesaikan masalah berkenaan. Mereka diberi tempoh tiga bulan untuk berpindah dan perlu mengisi borang permohonan perumahan kepada kerajaan DAP Pulau Pinang untuk diberi penempatan mengikut kekosongan di sesuatu kawasan. Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Sim Tze Tsin berkata, kesemua penduduk terbabit telah menandatangani perjanjian tersebut. "Saya telah memberikan tawaran yang baik kepada penduduk kampung tahun lalu tetapi mereka tidak mahu menerimanya. "Penduduk telah merujuk ke mahkamah dan kalah dalam kes ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. Semalam, penduduk Kampung Sungai Nibong Besar panik apabila pegawai bailif Mahkamah Majistret Balik Pulau, Ahmad Abdul Karim tiba kira-kira pukul 8 pagi bersama notis untuk merobohkan empat rumah di situ. Suasana tegang berlaku apabila penduduk cuba menahan para pekerja yang mahu mengeluarkan barangan dari keempat-empat rumah tersebut. Namun, anggota-anggota polis yang ada berjaya mengawal keadaan bagi mengelak tercetus sebarang kejadian tidak diingini. Full content generated by Get Full RSS. |
UMNO Bahagian Sungai Petani kembali harmoni Posted: UMNO Bahagian Sungai Petani kembali harmoniMohammad Firdaus Zakaria (kanan) menerima borang 100 ahli Pas untuk menyertai UMNO di Sungai Petani, kelmarin. SUNGAI PETANI 18 Okt. - UMNO Bahagian Sungai Petani yang sebelum ini bergolak kini kembali pulih selepas diambil alih oleh Jawatankuasa Panel Pengurusan dan Pentadbiran Khas di bawah pentadbiran Badan Perhubungan UMNO negeri. Naib Ketuanya, Datuk Mohammad Firdaus Zakaria berkata, pengurusan dan perjalanan program bahagian kini berjalan dengan lancar dan ahli termasuk pemimpin semua peringkat kembali bersatu bagi menghadapi pilihan raya umum. "Sejak jawatankuasa terbabit mengambil alih secara rasminya pada Julai lalu, pelbagai program dan aktiviti diadakan dengan begitu lancar serta aktif. "Semua pihak kini bersatu tenaga dan bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 yang akan diadakan bila-bila masa dari sekarang," katanya selepas majlis penyerahan borang kemasukan ahli UMNO oleh penyokong Pas di Dewan Kampung Teluk Wang Besar di sini semalam. Seramai 100 penduduk yang kebanyakannya penyokong Pas dari Kampung Bukit Kecil dan Kampung Pengkalan Bukit Kecil menyerahkan borang keahlian UMNO pada majlis itu. Mohammad Firdaus berkata, jawatankuasa khas berkenaan dipengerusikan oleh Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Mukhriz Mahathir dan dianggotai oleh pemimpin kanan UMNO negeri seperti Datuk Mohd. Rozai Shafian (Bahagian Pendang); Datuk Othman Aziz (Setiausaha UMNO negeri); Datuk Seri Jamil Khir Baharom (Ketua Penerangan) dan Datuk Abd. Aziz Syeikh Fadzil (Bahagian Kulim/Bandar Baharu). "Kita kini berusaha menguatkan jentera parti dan aktif turun padang mengadakan program bercorak kemasyarakatan untuk manfaat bersama pengundi kawasan Sungai Petani," jelasnya. Tambah beliau, dengan kekuatan itu pihaknya yakin sokongan masyarakat akan kembali kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya akan datang. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan