Rabu, 19 Oktober 2011

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Projek komersial dibantah

Posted:

Projek komersial dibantah

Projek komersial dibantah

Oleh ROSLAH OTHMAN
kota@utusan.com.my


Penduduk Taman Nirwana membuat bantahan terhadap tindakan MPAJ memberi kelulusan kepada projek pembinaan komersial yang menurut mereka terletak terlalu dekat dengan kawasan perumahan dan tapak perniagaan penduduk di Ampang, baru-baru ini. - Wahidin Salim


AMPANG 19 Okt. - Penduduk Taman Nirwana di sini membantah projek pembangunan komersial oleh Tetuan Sri Seltra yang telah diluluskan oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) kerana kegagalan pihak berkuasa tempatan itu mengambil kira kepentingan penduduk berhampiran.

Ini kerana selain tiada sesi bantahan awam dibuat pada peringkat awal sebelum kebenaran merancang diluluskan, kesemua aduan dan permintaan penduduk selama ini juga dianggap seperti mencurah air ke daun keladi.

Sehubungan itu, demi membuktikan negeri ini benar-benar negeri berkebajikan, penduduk mahu Menteri Besar segera campur tangan bagi menyelesaikan isu itu demi keselamatan dan keselesaan penduduk.

Yang Dipertua Persatuan Penduduk Taman Nirwana Fasa 2, Mohamad Suhaimi Ismail berkata, tindakan memanjangkan isu itu kepada Menteri Besar diambil kerana mereka kecewa dengan MPAJ yang dianggap tidak serius untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk, sebaliknya dilihat lebih memihak kepada pemaju.

Menurutnya, semua cadangan yang dikemukakan penduduk telah ditolak dengan alasan telah memenuhi garis panduan mereka tetapi realitinya isu yang dikemukakan adalah yang melibatkan penduduk setempat.

"Tanah yang dicatatkan dalam geran asal adalah hanya boleh mendirikan pusat beli-belah sahaja, sebaliknya pembangunan yang diluluskan adalah kedai dan kediaman.

"Reka bentuk longkang monsun sedia ada juga tidak mengikut piawaian yang ditetapkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan ini menimbulkan masalah kepada penduduk berhampiran kerana setiap kali hujan air pasti naik sehingga meliputi jalan.

"Jika pembangunan diteruskan sudah tentu akan menyebabkan banjir kilat berlaku," katanya selepas mengetuai sesi bantahan secara aman yang dihadiri kira-kira 300 penduduk di hadapan tapak projek itu baru-baru ini.

Katanya, mereka akan menghantar memorandum bantahan yang ditandatangani penduduk kepada Menteri Besar dan akan meletakkan tanggungjawab sepenuhnya kepada MPAJ sekiranya semua isu yang dibangkitkan penduduk timbul setelah bangunan itu siap.

Seorang penduduk, M. Thomas, 57, berkata, tindakan MPAJ menetapkan setiap unit pangsapuri disediakan dua unit tempat meletak kereta tanpa mensyaratkan petak tambahan bagi pelawat akan menimbulkan kesesakan lalu lintas di kawasan perumahan mereka.

Katanya, pada harga jualan setiap unit pangsapuri yang melebihi RM350,000 sudah tentu setiap pemilik berkemampuan memiliki dua buah kenderaan atau lebih.

"Pada masa ini terdapat dua pembangunan berdensiti tinggi yang diluluskan oleh MPAJ telah siap dibina dan telah memberi masalah tempat letak kereta dan gangguan lalu lintas iaitu Kondominium Putra Residency dan Axis.

"Masalah terhasil kerana MPAJ tidak mengguna garis panduan dan tidak mengkaji implikasi yang akan timbul setelah bangunan siap. Kami yakin isu sama akan berlaku di sini sekiranya projek baru ini diteruskan," katanya.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga Taman Nirwana, Ismail Majid, 55, berkata, Taman Nirwana Fasa 2 telah melaksanakan sistem keselamatan berpagar dari pukul 12 tengah malam sehingga 6 pagi dan telah berjaya mengatasi masalah kes pecah rumah yang sering berlaku sebelum ini.

"Apa yang mengecewakan apabila kami meminta MPAJ mengarahkan pemaju mengambil kira sistem keluar masuk ke projek pembangunan mereka agar tidak memberi masalah kepada sistem keselamatan kami, jawapan yang diberikan pihak berkuasa tempatan itu benar-benar mengecewakan.

"MPAJ menggunakan akta tertentu untuk mengugut kami pula sekiranya membuat halangan demi memberi kemudahan kepada pemaju," ujarnya.

Full content generated by Get Full RSS.

Jambatan dua lorong LDP dibuka Jumaat ini

Posted:

Jambatan dua lorong LDP dibuka Jumaat ini

Jambatan dua lorong LDP dibuka Jumaat ini

PETALING JAYA 19 Okt. - Pembukaan jejambat baru menghala ke Putrajaya di Persimpangan Bertingkat Puchong Intan pada Jumaat ini dijangka dapat menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas yang dihadapi kira-kira 85,000 pengguna Lebuhraya Damansara Puchong (LDP).

Ketua Pegawai Eksekutif, Lingkaran Trans Kota Sdn. Bhd. (Litrak), Sazally Saidi berkata, jejambat sepanjang 550 meter itu juga membolehkan penguna menikmati laluan lebih selesa dan lancar ke arah Putrajaya dan Shah Alam terutama pada waktu puncak.

Katanya, kajian mendapati sebanyak 35,00 kenderaan dari arah IOI Mall menuju ke Shah Alam, manakala 50,00 lagi menghala ke Putrajaya setiap hari.

"Litrak menganggarkan 74 peratus kenderaan ke arah Putrajaya akan menggunakan jejambat itu dan berharap pembukaan jambatan baru ini dapat mengurangkan masalah ketika ini di mana kenderaan bergerak perlahan sejauh dua kilometer berikutan kesesakan yang berlaku di Persimpangan Puchong Intan," katanya pada sesi taklimat kepada wartawan di sini semalam.

Jejambat dua lorong itu, katanya lagi, siap dua bulan lebih awal dan menelan belanja RM35 juta.

Projek itu adalah sebahagian daripada Pakej 5A iaitu Projek Menaik Taraf LDP 5 yang mengandungi tiga fasa. Pakej pembinaan itu bermula pada September 2009 dan dijangka siap sepenuhnya pada Disember ini.

"Ia meliputi kerja-kerja menaik taraf persimpangan lampu isyarat di Puchong Perdana, pelebaran lebuh raya daripada tiga lorong kepada empat lorong di antara Kampung Bharu Puchong dan Persimpangan Bertingkat Puchong Intan.

"Fasa ketiga ialah pembinaan jejambat dua lorong dari Puchong ke arah Putrajaya di Persimpangan Bertingkat Puchong Intan," katanya.

Keseluruhan Pakej 5A ini menelan kos sebanyak RM105 juta dan dibiayai sepenuhnya oleh Litrak yang merupakan pemegang konsesi LDP. Ia merupakan sebahagian daripada projek menaik taraf LDP bernilai RM312 juta yang telah diumumkan oleh Litrak pada 2009.

Tambah Sazally, bagi melengkapkan lagi Pakej 5A kerja-kerja menaik taraf lebuh raya di bawah Pakej 5C dari Plaza Tol Petaling Jaya di Sunway menghala ke Puchong Jaya sedang giat dijalankan dan dijangka siap pada Februari 2013.

Full content generated by Get Full RSS.

Pandangan penduduk diteliti

Posted:

Pandangan penduduk diteliti

Pandangan penduduk diteliti

Oleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
kota@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 19 Okt. - Sesi taklimat mengenai pembangunan semula perumahan Sri Johor, Sri Pulau Pinang, Sri Melaka dan Taman Ikan Emas di Cheras akan memberi ruang kepada penduduk untuk menyuarakan pandangan mereka.

Setiap pandangan daripada penduduk melalui 12 sesi taklimat yang akan dijalankan selepas ini akan dibawa kepada pihak kerajaan untuk diteliti sebelum projek itu mula dilaksanakan.

Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Ahmad Phesal Talib berkata, sesi taklimat yang diadakan itu penting dalam memberi gambaran yang lebih jelas kepada penduduk mengenai pembangunan tersebut.

Katanya, pada sesi taklimat itu, mereka yang terlibat secara langsung seperti pemaju dan juga arkitek turut dijemput supaya penduduk mendapat maklumat yang tepat dan jelas.

Namun, katanya, jika masih ada penduduk yang keliru, mereka boleh mengemukakan soalan serta menyertakan cadangan dan pandangan mereka kemudian atau secara bertulis.

"Penduduk berhak memberikan pandangan mereka dan kami akan membawanya kepada kerajaan untuk diteliti," katanya selepas sesi taklimat kepada penduduk flat Sri Melaka di sini baru-baru ini.

Pada sesi taklimat tersebut, selain mengenai pembangunan semula itu, penduduk turut bertanyakan soalan tentang harga rumah dan kadar sewa rumah yang bakal dibina itu.

Ahmad Phesal menambah, pembangunan tersebut sememangnya merupakan hasrat kerajaan untuk meningkatkan kualiti rumah dan persekitarannya kepada warga kota.

"Dengan rumah yang lebih berkualiti dan persekitaran yang lebih baik, mereka pastinya akan dapat menjalani kehidupan dengan lebih selesa selepas ini," jelasnya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved