Rabu, 19 Oktober 2011

Utusan Online - Timur


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Timur


'Bank Susu' bantu bayi pramatang

Posted:

'Bank Susu' bantu bayi pramatang

'Bank Susu' bantu bayi pramatang

Oleh ASMA HANIM MAHMOOD
utusankelantan@utusan.com.my

KOTA BHARU 18 Okt. - Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) mempunyai pasukan pelaksana program Bank Susu yang boleh digerakkan bila-bila masa jika segala kekeliruan hukum dapat diperjelaskan pakar agama.

Pengarahnya, Datuk Dr. Zaidun Kamari berkata, idea dan perancangan mengenainya sudah dimulakan sejak tahun 2009 lagi, namun usaha itu terbantut kerana isu pertalian antara wanita dan bayi yang mengambil susunya.

Justeru, pihaknya menyambut baik pandangan Mufti Perlis, Dr. Juanda Jaya yang mengatakan bayi yang mengambil susu badan melalui botol dan sebagainya dan bukan menghisap secara langsung, tidak akan mempunyai pertalian dengan wanita yang mendermakan susunya.

"Keperluan Bank Susu adalah penting bagi membantu bayi pramatang yang ibu mereka tidak dapat memberikan susu sendiri, ini kerana susu badan mempunyai kandungan yang amat diperlukan bayi terutamanya yang baru lahir.

"Namun konotasi 'Bank Susu' itu juga mungkin menjadi sebahagian sebab orang tidak dapat terima, orang mungkin menyangka kita mahu menyimpan stok seperti susu lembu dan kambing dan bimbang pertalian wujud antara ibu dengan anak susuan tidak dapat dikesan.

"Persepsi negatif sebegini yang kita terpaksa hadapi dan sebab itu kita perlukan maklum balas daripada pakar agama agar dapat memberi kita jalan keluar," katanya kepada pemberita selepas Konvensyen Kebangsaan Hospital Mesra Ibadah Ke-3 di sini, semalam.

Pada konvensyen itu, Juanda dijemput sebagai salah seorang ahli panel sesi Forum Muhasabah Amalan Perubatan Semasa yang telah diikuti kira-kira 250 peserta dari seluruh negara.

Dr. Zaidun berkata, terdapat 30 hingga 40 kes bayi pramatang yang diterima dan dirujuk ke HUSM setiap bulan dan susu ibu adalah makanan terbaik untuk mereka.

Katanya, banyak kes yang dirujuk ke hospital itu menunjukkan keajaiban susu ibu dan terbaharu apabila seorang bayi pramatang yang menolak makanan lain selama lima hari dapat diselamatkan apabila ibunya yang tinggal di Besut, Terengganu datang menyusukannya.

"Selama lima hari bayi itu tidak mahu menerima apa-apa jenis susu dan makanan lain yang kita berikan namun apabila ibunya dapat datang menyusukannya malam semalam bayi itu dapat keluar daripada wad pada pagi ini juga," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Kerjasama dengan industri tingkat kualiti graduan

Posted:

Kerjasama dengan industri tingkat kualiti graduan

Kerjasama dengan industri tingkat kualiti graduan


AB. Rahim Md. Noor (empat dari kiri) bersama Harald Burchardt (tiga dari kiri) dan Ir. Wan Sabri Wan Ahmad (enam dari kiri) bergambar selepas majlis MoU di Dungun, baru-baru ini.
AB. Rahim Md. Noor (empat dari kiri) bersama Harald Burchardt (tiga dari kiri) dan Ir. Wan Sabri Wan Ahmad (enam dari kiri) bergambar selepas majlis MoU di Dungun, baru-baru ini.


DUNGUN 18 Okt. - Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) buat pertama kalinya menjalin kerjasama dengan industri kejuruteraan dalam usaha meningkatkan kualiti graduannya agar sentiasa bersesuaian dengan keperluan pasaran kerja.

PSMZA memeterai satu memorandum persefahaman (MoU) dengan dua syarikat, YTL Paka Power Station Sdn. Bhd. dan Local Engineering (M) Sdn. Bhd. bagi membolehkan institusi itu menggunakan kemudahan di syarikat berkenaan sebagai pusat penyelidikan dan latihan industri.

Pengarah PSMZA, Mejar (K) Zolkarnain Jobshi menyifatkan kerjasama itu sebagai usaha institusi tersebut berkongsi kepakaran mereka di dalam bidang berkaitan.

"Ia dapat mendedahkan para tenaga pengajar serta pelajar dengan membawa kepakaran industri sebenar ke dalam institusi ini dengan melibatkan kerjasama pintar di antara syarikat tempatan itu.

"Ia sekali gus dapat memantapkan graduan politeknik itu selain memberi pendedahan awal kepada mereka tentang dunia pekerjaan sebenar," katanya ketika ditemui selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) itu di PSMZA dekat sini, baru-baru ini.

Pada majlis itu, PSMZA diwakili Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Ab. Rahim Md. Noor, manakala YTL Paka Power Station oleh Pengarah Urusannya, Harald Burchardt dan Local Engineering diwakili Pengurus Besarnya, Ir. Wan Sabri Wan Ahmad.

Zolkarnain menambah, empat jabatan akan terlibat dengan kerjasama itu iaitu Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Jabatan Kejuruteraan Sivil dan Jabatan Teknologi Maklumat.

Katanya, untuk peringkat permulaan, seramai 26 pelajar bakal mengikuti latihan praktikal di kedua-dua syarikat berkenaan.

"Kita berharap pelajar-pelajar dapat mengaut sebanyak mana ilmu ketika mengikuti latihan di syarikat-syarikat itu," ujarnya.

Dalam pada itu jelasnya, dalam hubungan itu, pihak industri bukan sahaja mendapat bekalan tenaga yang diperlukan, malah turut berpeluang menjalin kerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang bakal menguntungkan kedua-dua belah pihak.

Ujarnya, selain pelajar, tenaga pengajar PSMZA juga akan terlibat di dalam latihan yang diadakan melalui skim Sangkutan Industri Pensyarah yang dilaksanakan sejak tiga tahun lalu.

"Sebelum ini seramai 10 orang tenaga pengajar telah dihantar untuk mengikuti skim itu, namun dengan adanya kerjasama ini, ia dapat dilaksanakan dengan lebih sistematik dan berkesan.

"Untuk permulaan, pada tahun ini kita akan menghantar seramai 10 pensyarah dalam bidang berkaitan selama tiga bulan di mana mereka akan didedahkan dengan pengalaman di tapak industri sepanjang menjalankan latihan tersebut dan boleh berkongsi dengan pelajar mereka," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Masterskill peruntuk RM10 juta sedia kemudahan IT pelajar

Posted:

Masterskill peruntuk RM10 juta sedia kemudahan IT pelajar

Masterskill peruntuk RM10 juta sedia kemudahan IT pelajar


SULTAN Muhammad V menyampaikan komputer riba kepada pelajar Masterskill Kampus Metro Kota Bharu di Lembah Sireh Kota Bharu, baru-baru ini sambil disaksikan Edmund Santhara.


KOTA BHARU 18 Okt. - Sebagai sebuah institusi pengajian tinggi swasta yang prihatin, Kolej Masterskill amat menitikberatkan soal kebajikan dan kemudahan pembelajaran pelajarnya.

Bagaimanapun, kecemerlangan pelajar tidak hanya bergantung kepada kemudahan pembelajaran lengkap yang disediakan di kampus, tetapi juga ia perlu disertai dengan daya usaha pelajar itu sendiri.

Dalam usaha meningkatkan kecemerlangan pelajarnya, Kolej Masterskill telah memperuntukkan sebanyak RM10 juta untuk membeli komputer riba yang diberikan kepada semua pelajar berdaftar di kolej berkenaan sebagai kemudahan tambahan.

Sebanyak 180 buah komputer riba telah diagihkan kepada pelajar Masterskill Kampus Metro, Kota Bharu di Lembah Sireh sempena pelancaran kampus berkenaan oleh Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V kelmarin.

Majlis perasmian itu turut dihadiri oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Masterskill Education Group Berhad (MEGB), Datuk Seri Tunku Kamel Tunku Rijaludin dan Canselor Kolej Universiti Sains Kesihatan Masterskill (MUCH), Datuk Seri Raja Azureen Sultan Azlan Shah.

Kampus berharga RM50 juta itu mampu menempatkan kira-kira 5,000 pelajar menyediakan kemudahan pelajaran yang kondusif dan dilengkapi perpustakaan dengan bahan-bahan penerbitan elektronik berkaitan perubatan, kejururawatan dan sains kesihatan terkini.

Menurut Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MEGB, Datuk Seri Edmund Santhara, pemberian komputer riba itu bertujuan meningkatkan lagi pengetahuan pelajar dalam bidang yang mereka ceburi seiring dengan perkembangan dunia teknologi maklumat (IT).

"Sememangnya, Masterskill menggalakkan para pelajar untuk menuntut dan mengulangkaji pelajaran pada setiap peluang yang diperolehi, tidak kira di mana juga mereka berada.

"Dengan teknologi internet dan jalur lebar, seseorang itu boleh mendapat apa jua maklumat berkaitan topik pembelajaran, bukan sahaja secara terperinci, malah juga maklumat terbaharu," katanya berucap pada majlis tersebut.

Edmund berkata, dalam dunia perubatan dan sains kesihatan, maklumat terbaharu mengenai penyakit, teknologi baharu, diagnosis dan rawatan sentiasa berubah.

Beliau berkata, bidang perubatan kini lebih banyak bergantung kepada kemudahan teknologi baharu dan pengamal bidang kesihatan, tidak harus leka terhadap perkembangan teknologi tersebut kerana ia turut melibatkan pesakit.

"Kami di Masterskill sentiasa bersedia dan peka terhadap perkembangan-perkembangan baharu ini. Justeru, pihak MEGB tidak pernah cuai melaksanakan tanggungjawab sosial korporatnya agar para pelajar dapat memperoleh prestasi yang cemerlang," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved