Utusan Online - Timur |
- Erat hubungan Jepun, Malaysia
- Kecewa sikap pemandu kenderaan berat
- Arah pantau virus kencing tikus di sekolah
Posted: Erat hubungan Jepun, MalaysiaOleh RAHANA MOHD. DAHARI Pelajar TIA memepersembahkan tarian tradisi Jepun di SMK Putri Saadong, Kota Bharu, baru-baru ini. KOTA BHARU 26 Okt. – Berbeza agama, adat resam dan kebudayaan bukan halangan kepada masyarakat dunia untuk saling mengenali antara satu sama lain kerana hampir semua kaum menyokong kehidupan aman damai serta menghormati kepercayaan dan agama yang dianuti. Justeru, apabila pelajar berwajah comel, bermata sepet, bertubuh kecil dan berkulit cerah dari negara Matahari Terbit dikhabarkan akan mengunjungi pekarangan Sekolah Menengah Puteri Saadong di sini baru-baru ini, warganya menyediakan persiapan meriah menyambut kedatangan rombongan tetamu dari jauh itu. Keramahan, murah dengan senyuman dan cepat mesra antara faktor tetamu dari bandar Toyokawa, Aichi, Jepun yang terletak kira-kira 280 kilometer di selatan Tokyo mudah diterima tanpa rasa kekok. Mereka disambut dengan paluan gong dan bunga manggar serta persembahan dikir Barat. Sikap sporting mereka juga menggamatkan suasana apabila turut serta membuat persembahan tarian tradisional masyarakat Jepun. Program persahabatan dan pertukaran pelajar anjuran Koperasi Belia Nasional Berhad (Kobena) itu disertai 11 pelajar sekolah menengah berusia 13 hingga 18 tahun termasuk wakil daripada Pertubuhan Toyokawa Antarabangsa. Hadir sama Pengerusi Eksekutif Kobena, Datuk Ibrahim Mat Din, ahli jawatankuasanya, guru-guru dan pelajar terlibat yang berlangsung di dewan terbuka sekolah tersebut. Dalam ucapannya Setiausaha Agung Pertubuhan Toyokawa, Toshiyuki Mori, 57, berkata, lawatan tersebut dijadikan medan kepada generasi muda di negaranya mengenali budaya luar yang sebenarnya tidak jauh beza dengan budaya setempat. "Kemajuan dan pembangunan antara negara kita mungkin berbeza, namun budaya dan sahsiah diri yang mengutamakan kehidupan harmoni dan saling berkasih-sayang dituntut oleh semua bangsa di dunia malah perasaan itu menyatukan kita. "Misalnya, perhatian dan kasih-sayang dari seluruh dunia telah memberi cahaya dan kehidupan baru kepada mangsa bencana tsunami dan gempa bumi di Fukushima pada Mac lalu. Walaupun kedudukannya jauh dari bandar yang kami diami, namun penderitaan yang dialami mereka turut kami rasai," ujarnya. Ibrahim yang ditemui selesai majlis pula berkata, lawatan persahabatan itu merupakan program tahunan anjuran Kobena yang mempelawa pelajar dari Jepun berusia 13 hingga 18 tahun menyertai rombongan ke negeri-negeri terpilih. "Setiap tahun lebih 150 pelajar dari Jepun terpilih melalui sekolah masing-masing untuk menyertai program pertukaran pelajar ke negara ini sekitar bulan Ogos dan September manakala murid dari negara ini pula akan ke sana pada bulan November dan Disember. "Antara bandar yang pernah dikunjungi pelajar dari negara ini adalah Nagasaki, Kumomoto, Osaka, Toyokawa, Iwate dan Tokyo. Pelajar Jepun pula telah menjelajah hampir seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak dengan kawasan luar bandar sering menjadi pilihan," katanya. Tambahnya, pelajar dari Toyokawa, sebuah bandar perindustrian kecil memilih untuk tinggal di homestay sekitar Tok Bali dan Bachok dengan kawasan tumpuan ke perkampungan kraftangan termasuk menyaksikan demonstrasi mencanting batik dan menaikkan wau. "Program pertukaran pelajar dilihat berpotensi mendidik golongan muda mempunyai semangat patriotisme dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa, Jepun menghantar lebih kurang 2,000 peserta saban tahun ke seluruh dunia. "Antara negara di Asia Tenggara, Malaysia mendapat pilihan utama. Alasannya dalam sesi diskusi pengalaman pelajar yang pernah datang ke negara ini, gambaran mengenai keindahan alam semula jadi, keramahan penduduk, keunikan budaya dan adat resam lebih menarik perhatian," katanya. Apa yang lebih membanggakan katanya, keluarga peserta memberi respons positif dan pujian kepada penganjur kerana kepulangan anak-anak mereka ke rumah masing-masing memberi impak positif. Shizuka Yamamoto, 17, dari Hiroishisingusan Mito-Cho ketika ditemui cukup ceria dan sentiasa melempar senyuman manis menyebabkan anak pasangan guru ini mudah didekati. Katanya pengalaman hampir seminggu tinggal di kawasan kampung dan menghirup udara segar setiap kali bangun tidur antara kenangan indah yang akan dikongsi bersama keluarga dan rakan-rakan bila pulang nanti. Peserta paling muda, Kaito Ichimaida, 13, dari Ishizuka Toyotsu-Cho pula memberitahu, dia beruntung menyertai program itu kerana rakan-rakan yang baru dikenalinya sentiasa memberinya peluang menikmati pelbagai jenis makanan tempatan. Masakatsu Maruyama, 17, dari Sado-Cho pula sudah enam kali datang ke negara ini tetapi ke destinasi berbeza. "Saya pernah melawat Kuala Lumpur, Terengganu, Pulau Pinang dan Pahang, namun hati lebih tertarik dengan Kelantan kerana negerinya cantik, penduduk baik hati dan tuan rumah di homestay cukup ramah," ujarnya yang menjadi sukarelawan mengajar bahasa Jepun kepada warga asing di negaranya. Full content generated by Get Full RSS. |
Kecewa sikap pemandu kenderaan berat Posted: Kecewa sikap pemandu kenderaan beratOleh SAPEE MAT JUNUS Permukaan jalan rosak teruk akibat kenderaan berat di kawasan rehat Hentian Sebelah Bandar Ceneh Baru, Kemaman, semalam. KEMAMAN 26 Okt. - Penduduk dan pemandu yang sering menggunakan kawasan rehat Hentian Sebelah Bandar Ceneh Baru di sini kecewa dengan sikap pemandu kenderaan berat yang meletakkan kenderaan mereka di kawasan itu sehingga merosakkan banyak permukaan jalan dan tempat letak kereta. Kebanyakan mereka marah dengan sikap tidak bertanggungjawab pemandu kenderaan berat itu yang meletakkan kenderaan sesuka hati di kawasan petak letak kereta awam malah ada yang meninggalkan terus badan kenderaan berat seperti lori di situ sehingga menyusahkan pemandu lain. Seorang penduduk, Abdul Aziz Yusof, 59, berkata, apa yang dikesalkan ialah sebahagian dataran tempat letak kereta itu kini rosak teruk akibat digunakan kenderaan berat terbabit sehingga ditakungi air ketika waktu hujan. "Apabila waktu hujan, air akan bertakung menyebabkan ramai pemandu kereta tidak menyedari adanya lubang yang dalam itu sehingga menyebabkan kenderaan mereka terjatuh ke dalam lopak air tersebut dan keadaan itu boleh merosakkan kereta atau motosikal," katanya. Abdul Aziz berkata, sebelum ini pernah berlaku kejadian beberapa orang penunggang motosikal yang terlanggar dan terjatuh ke dalam lopak air yang agak dalam itu terutama pada waktu malam dan hujan menyebabkan mereka mengalami kecederaan ringan. "Ini biasanya berlaku kepada pemandu atau penunggang dari luar kawasan ini yang tidak menyedari kewujudan lopak air dan lubang dalam itu," katanya. Katanya, beliau berharap agar pihak berkuasa dapat membaikpulih jalan dan kawasan letak kereta itu kerana ramai pemandu akan singgah untuk makan dan rehat di situ setiap hari khususnya ketika musim cuti hujung minggu atau perayaan. Seorang lagi penduduk, A Manan A Majid, 59, berkata, sepatutnya ada pihak berkuasa tertentu yang bertindak memantau kawasan rehat itu supaya pemandu kenderaan berat tidak meletakkan kenderaan mereka di tempat letak kereta awam sehingga menyusahkan orang lain. "Keadaan menjadi lebih serius apabila kawasan tempat letak kereta itu rosak teruk dengan terbentuknya lubang hampir dua meter luas dan sedalam setengah meter akibat dilalui kenderaan berat dan banyak kereta telah melanggar lopak air itu menyebabkan kenderaan seperti kereta mereka rosak," katanya. Katanya, penduduk berharap supaya pihak terbabit dapat mengambil tindakan segera untuk membaikpulih kawasan tempat letak kereta itu agar ia dapat memberi keselesaan kepada pengguna sekali gus menjamin keselamatan orang ramai khususnya penunggang motosikal. Full content generated by Get Full RSS. |
Arah pantau virus kencing tikus di sekolah Posted: Arah pantau virus kencing tikus di sekolahKUALA TERENGGANU 26 Okt. - Jabatan Pelajaran dan Jabatan Kesihatan negeri diarah memantau tahap kebersihan sekolah-sekolah di luar bandar bagi mencegah penularan virus kencing tikus. Arahan yang turut membabitkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di pedalaman negeri ini dibuat berikutan 11 murid Orang Asli di Sekolah Kebangsaan Sungai Berua, Hulu Terengganu terkena virus itu baru-baru ini. Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, pemantauan penting bagi mengelak penularan virus itu bertukar menjadi wabak. "Taklimat atau penerangan mengenainya penting kepada warga sekolah dan masyarakat bagi membolehkan mereka mengetahui tentang bahaya wabak kencing tikus yang boleh membawa maut," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan projek perintis Taman Mini Tanaman Makanan sempena program Penggalakan Sains dan Teknologi Universiti Malaysia Terengganu (UMT) 2011 di Sekolah Menengah (SMK) Ibrahim Fikri dekat sini kelmarin. Ahmad Razif diminta mengulas mengenai 11 murid Orang Asli di SK Sungai Berua yang terpaksa dikejarkan ke hospital pada 10 Oktober lalu setelah dipercayai terkena virus air kencing tikus. Selain murid, enam lagi penduduk Orang Asli di kawasan berkenaan turut dirawat di hospital akibat wabak itu. Bagaimanapun keadaan terkawal dan kesemua mangsa dibenarkan pulang secara berperingkat dalam tempoh seminggu selepas kes itu mula dikesan. Ahmad Razif berkata, pengamal media juga perlu memainkan peranan untuk membantu kerajaan mencegah penyakit itu khususnya di kawasan pedalaman. "Media kena mainkan peranan termasuk menyiarkan lebih banyak berita atau rencana mengenai bahaya kencing tikus agar orang ramai mempunyai cukup maklumat bagi menghindari penyakit itu," ujarnya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan