Utusan Online - Luar Negara |
Posted: Mangsa gempa perlu bantuanSebahagian daripada bangunan yang runtuh dalam gempa di bandar Ercis, timur Turkey pada Ahad lalu. Kerja-kerja membersihkan runtuhan bangunan dimulakan menggunakan jentera berat dan jentolak di Ercis, kelmarin. - AP ERCIS 27 Okt. - Pasukan penyelamat menarik keluar seorang remaja lelaki yang masih hidup dari runtuhan sebuah bangunan hari ini, empat hari selepas satu gempa bumi kuat melanda wilayah majoriti Kurdis, Van di timur Turki. Siaran televisyen menunjukkan pekerja penyelamat mengeluarkan remaja yang kelihatan lesu itu dari celah runtuhan. Remaja berusia 19 tahun itu adalah mangsa pertama yang dikeluarkan hidup-hidup sejak penyelamat membawa keluar seorang pelajar universiti dan dua guru, semalam. Dalam pada itu Turki memberi keutamaan kepada usaha melindungi beribu-ribu penduduk yang hilang tempat tinggal akibat gempa bumi, sementara peluang semakin tipis untuk mencari mangsa yang terselamat empat hari selepas bencana itu melanda wilayah majoriti Kurdis, Van di timur negara ini. Angka kematian meningkat kepada 523 orang manakala 1,650 lagi cedera berikutan gempa bumi 7.2 skala Richter pada Ahad lalu, paling kuat di Turki dalam tempoh lebih sedekad. Beberapa negara menyahut permohonan bantuan daripada Turki yang meminta bekalan khemah, rumah pasang siap dan kontena, termasuk Israel walaupun hubungan antara kedua-dua kerajaan keruh sejak komando Zionis membunuh sembilan rakyat Turki yang menyertai flotila kapal bantuan ke Genting Gaza tahun lepas. Di Ercis, bandar yang mempunyai 100,000 penduduk dan paling teruk dilanda bencana itu, mangsa melahirkan rasa kesal ketika berbaris panjang untuk mendapatkan bekalan khemah di jalan utama, selepas hujan lebat malam tadi bertukar menjadi salji pagi ini. "Semua orang terkena hujan dan jatuh sakit, kami beratur selama empat hari tetapi tidak mendapat apa-apa. "Apabila tiba giliran kami, mereka memberitahu kami, mereka kehabisan khemah," kata seorang ejen hartanah, Fetih Zengin, 38, yang rumahnya rosak teruk dalam gempa itu. Katanya, mereka sekeluarga termasuk 10 kanak-kanak tidur berbumbungkan sehelai kain plastik yang direntangkan di atas papan. "Semua orang memerlukan khemah kerana musim salji akan tiba, tetapi keadaan sangat teruk," katanya. Gerakan mencari mangsa yang terselamat masih diteruskan di sesetengah lokasi tetapi di tempat lain, penyelamat sudah putus asa dan menghentikan operasi. Sementara itu, mayat seorang ibu dan bayinya dikeluarkan dari runtuhan sebuah bangunan malam tadi, kata saksi. - AP/Reuters Full content generated by Get Full RSS. |
Bangkai kapal Kublai Khan ditemui Posted: Bangkai kapal Kublai Khan ditemuiGambar yang diambil oleh Profesor Yoshifumi Ikeda menunjukkan penemuan serpihan kapal dipercayai daripada armada tentera laut Kublai Khan yang mahu menakluk Jepun. – AFP OKINAWA 27 Okt. - Ahli arkeologi marin percaya bangkai sebuah kapal purba yang ditemui di dasar kawasan perairan Nagasaki, Jepun adalah sebahagian daripada armada purba milik Raja Mongolia kurun ke-13, Kublai Khan yang hilang, lapor stesen CNN. Bangkai tersebut ditemui kira-kira 25 meter dari pantai Nagasaki, menggunakan peralatan ultrabunyi. Ahli arkeologi percaya kapal purba itu digunakan pada 1281 dan merupakan sebahagian daripada 4,400 armada Raja Mongolia yang ditugaskan sebagai pasukan penjajah ketika pemerintahan Dinasti Yuan. ''Penemuan bangkai kapal dengan lunas sepanjang 12 meter dan masih dalam keadaan baik itu akan membantu pengkaji mengenal pasti ciri dan sifat kapal perang sepanjang 20 meter tersebut,'' ujar CNN yang memetik ketua pasukan penyelidik yang menemui kapal itu, Yoshifumi Ikeda. Ikeda berkata, pihaknya merancang memperluaskan usaha-usaha penerokaan kawasan itu dan mencari lebih banyak maklumat bagi membantu mengembalikan kapal purba itu ke bentuk asal. CNN melaporkan berdasarkan legenda Jepun, dua taufan dikenali sebagai Kamikaze menyelamat Jepun sebanyak dua kali dalam tempoh tujuh tahun daripada dua penjajahan armada Mongolia dengan memusnahkan kapal-kapal berkenaan. China bagaimanapun tidak terselamat apabila diperintah Dinasti Yuan Mongolia antara 1271 hingga 1368. ''Menurut buku bertajuk Lost Fleet: In Search of a Legendary Armada oleh ahli arkeologi, James P. Delgado mengenai Kublai Khan, kemusnahan 4,000 kapal penjajahan Dinasti Yuan yang mewujudkan kuantiti besar serpihan bangkai, membolehkan seseorang berjalan dari satu lokasi di darat ke lokasi kemusnahan itu,'' ujar CNN. CNN melaporkan, kapal purba itu diperbuat dari papan kayu dan dipercayai dicat dengan warna kelabu cerah merupakan antara lebih 4,000 artifak termasuk serpihan seramik, bata, peluru meriam dan sauh diperbuat daripada batu, ditemui di lokasi berkenaan. ''Penemuan artifak itu menimbulkan kaitannya kepada armada penjajahan Dinasti Yuan,'' kata CNN. – Agensi Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Luar Negara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan