Utusan Online - Keluarga |
Serunding kampung laut ke luar negara Posted: Serunding kampung laut ke luar negaraOleh nizam hamid Daging perlu direbus lebih empat jam bagi membolehkan serunding yang dihasilkan mampu bertahan sehingga setahun. SEBUT sahaja sambal daging dari Kampung Laut, Tumpat, pasti ramai yang tahu mengenai keenakan serunding itu terutama penduduk di negeri Kelantan. Sudah 20 tahun serunding kampung tersebut berada dalam pasaran dan sentiasa mendapat sambutan yang baik daripada orang ramai. Sehingga kini terdapat seramai 52 pengusaha serunding di kampung itu yang menghasilkan bertan-tan serunding setiap minggu dan Perusahaan Serunding Wan Esah Wan Husin atau lebih dikenali sebagai Sambil Daging Mak Sah merupakan salah satu yang terkenal di kampung berkenaan. Serunding Mak Sah bukan sahaja dijual sekitar Tumpat dan Kota Bharu tetapi juga di luar Kelantan termasuk di Pekan Rabu, Alor Setar dan Kuala Lumpur serta Putrajaya. Keistimewaan serunding Mak Sah terletak pada ramuan rempah-ratusnya. Rasanya yang sedikit pedas menambahkan lagi selera penggemar serunding tersebut. Sebab itu perusahaan serunding keluarga Mak Sah mampu menghasilkan lebih 100 kilogram serunding setiap hari untuk diedarkan ke seluruh negara. Walaupun Mak Sah kini sudah bersara daripada perusahaan serunding itu, anak-anaknya meneruskan perusahaan tersebut termasuk Che Hasmah Hassan yang merupakan pesara guru dan giat memasarkan serunding tersebut termasuk merancang untuk memasarkannya ke luar negara. Menurut Che Hasmah, serunding Kampung Laut telah lama dibawa ke luar negara. Tetapi bukan secara komersial, sebaliknya dijadikan bekalan untuk kegunaan sendiri oleh rakyat tempatan yang ke luar negara dalam tempoh yang lama. Impian mengkomersialkan serunding di luar negara bakal menjadi realiti tidak lama lagi apabila perusahaan serunding keluarga itu akan beroperasi di sebuah kilang di bawah Projek Diraja Kelantan (PDRK) menerusi kerjasama dengan Itqaan Ventures Sdn. Bhd. di Kubang Panjang, Tumpat. Langkah itu bukan sahaja akan dapat meningkatkan lagi produktiviti pengeluaran serunding tetapi juga dapat mematuhi Amalan Pengeluaran Yang Baik (GMP) yang menjadi syarat penting dalam memasarkan barangan makanan ke pasaran luar negara. Che Hasmah berkata, negara yang menjadi tumpuan adalah lokasi yang permintaan produk halal tinggi khususnya yang mempunyai ramai rakyat Malaysia seperti London, Ireland, Brunei, Arab Saudi dan China. "Kalau pork floss boleh memasuki pasaran London kenapa beef floss atau serunding daging kita tidak boleh dijual di negara berkenaan," ujarnya yang memasarkan serunding di bawah jenama Haswide. Beliau yakin serunding keluaran keluarganya akan mendapat sambutan yang baik di negara berkenaan kerana selama ini sudah beribu kilogram ia dibawa ke luar negara. Ia menerusi rakyat Malaysia yang mahu membawa makanan tempatan bersama sebagai bekalan terutama di kalangan jemaah haji dan pelajar Malaysia. "Serunding kami boleh bertahan selama setahun tanpa dimasukkan ke dalam peti sejuk," katanya yang turut menghasilkan serunding ayam, ikan, udang dan cendawan. Pemilik syarikat Hasmah Wide Enterprise tersebut berkata, serunding itu mampu bertahan lama kerana daging dan ramuan yang digunakan direbus lebih daripada empat jam selain dikeringkan dengan cara yang betul. Namun katanya, tanpa amalan pengilangan yang baik adalah sukar untuk mereka menembusi pasaran antarabangsa secara komersial. Menurutnya, langkah memperluaskan perusahaan itu melalui pembinaan kilang dengan kerjasama Itqaan Ventures Sdn. Bhd. juga akan membolehkan mereka memenuhi permintaan terhadap serunding yang meningkat beberapa kali ganda menjelang sambutan Hari Raya Puasa dan Hari Raya Korban. "Apabila kilang itu beroperasi, kami mampu menghasilkan sehingga 500 kilogram serunding sehari kerana segala-galanya iaitu daripada merebus bagi melembutkan daging, mencarik, memasak sehingga pembungkusan akan menggunakan mesin. "Lebih penting rasanya masih tetap sama. Kerja menyediakan serunding juga akan menjadi lebih cepat dengan penggunaan mesin. "Sebagai contoh untuk mencarik 150 kilogram daging hanya akan mengambil masa 15 minit berbanding cara biasa yang boleh memakan masa sehingga enam jam," katanya. Malah katanya, urusan merebus daging di kilang berkenaan juga hanya akan mengambil masa satu jam berbanding empat jam jika menggunakan kayu api seperti yang dilakukan sejak 20 tahun lalu. Full content generated by Get Full RSS. |
Posted: Melariskan kuih-muihKeenakan rasa kuih-muih yang dijual adalah kunci utama untuk menjadikan ia laris. Jika kuih sedap pasti ramai yang akan berulang membelinya. Saya menerima beberapa pertanyaan daripada pembaca yang meminta pendapat kuih apa yang sesuai untuk dijual. Senang sahaja, kuih itu mestilah sedap dan perlu mengikut selera pembeli dengan harga berpatutan. Memang tidak dapat disangkal bahawa bidang makanan boleh dijadikan sumber pendapatan sampingan. Kadang-kadang kuih yang disukai ramai begitu laris dijual walaupun ramai yang menjual kuih yang sama . Jadi rasa memainkan peranan utama. Selain daripada selera pembeli, lokasi tempat di mana kuih itu dijual dan strategi pemasaran juga membantu menentukan kuih mendapat sambutan ramai atau sebaliknya. Kini terdapat banyak buku mengenai cara membuat kuih-muih dijual di pasaran. Kemudahan Internet juga membuatkan banyak lambakan resipi kuih-muih yang boleh anda cuba dan pasti ada antaranya yang berpotensi untuk dijual. Bagaimanapun anda perlu bijak memilih dan menentukan jenis kuih-muih yang berpotensi akan laris jika dijual. Mungkin ada antara kuih-muih itu biasa-biasa sahaja. Tetapi saya percaya kuih-muih yang biasa itu mampu bertahan dan sentiasa akan laris. Suka saya menasihatkan, jika anda takut untuk mencuba resipi kuih-muih yang biasa dijual kerana khuatir ia tidak laris apa kata anda berikan sentuhan kreatif dengan melakukan sedikit perubahan. Ia memerlukan keberanian anda sendiri untuk mengubahsuaikan kuih muih biasa-biasa itu supaya menjadi kuih yang rasanya lebih enak dengan rupa yang baru. Siapa tahu ia akan berhasil dan mungkin menghasilkan keuntungan yang berlipatganda. Saya sangat menggalakkan anda bermula dengan perniagaan menjual kuih muih kerana modalnya tidak banyak. Untuk memulakan perniagaan kuih muih ini anda hanya perlu menggunakan peralatan yang sedia ada di rumah. Bermula secara kecil-kecilan mungkin kemudian hari, setelah perniagaan maju anda boleh membesarkan perniagaan ke pasaran yang lebih luas. Baiklah untuk informasi anda, pada hari ini 28 Oktober 2011 sehingga 30 Oktober Dari Dapur Azli Razali akan bekerjasama dengan Daisy Marjerin dan Minyak Masak Cap Buruh untuk mendemonstrasi lima jenis masakan iaitu ayam boxing, roti gulung tuna mayonis, churos, kek baldu merah dan biskut Marjerin Daisy di Pameran dan Persidangan Antarabangsa Komoditi Malaysia ( MICCOS 2011) yang akan berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS). Acara dwi tahunan itu berperanan untuk mempamerkan pencapaian sektor perladangan dan komoditi. Daisy marjerin dan minyak masak Cap Buruh adalah antara produk makanan dari sektor perladangan yang membuka gerai mereka di sana. Saya secara tidak langsung terlibat memberi informasi dan pendidikan tentang kelebihan dan cara menggunakan produk Marjerin Daisy dan minyak masak Cap Buruh dalam makanan yang akan saya akan saya tunjukkan. Antara kelebihan marjerin Daisy adalah ia mengandungi sembilan vitamin yang berkhasiat iaitu vitamin A,B1, B2,B6,B12,D dan E), tidak mengandungi kolesterol dan rendah asid lemak trans. Minyak Masak Cap buruh pula merupakan minyak masak yang berkualiti dengan slogan 'tahan tiga kali goreng dengan antioksida asli'. Ia diperbuat daripada 100 peratus minyak sawit bertapis bermutu tinggi dan kaya dengan vitamin E serta tiada kolesterol. Lihat betapa berkhasiatnya produk-produk ini. Pada minggu ini bersesuaian dengan slogan MICCOS 2011 iaitu Menjana Kekayaan Melalui Inovasi' saya telah berinovasi dengan satu resipi kuih dengan menggunakan marjerin Daisy dan Minyak masak Cap Buruh untuk anda cuba. Resipi ini anda boleh gunakan untuk berniaga bagi menjana kekayaan di masa hadapan. Jangan lupa untuk berkunjung ke MICCOS 2011 dan hadir ke demonstrasi memasak saya dari pukul 11 pagi-1 petang dan pukul 3 petang-5 petang. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Keluarga To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan