Khamis, 27 Oktober 2011

Utusan Online - Feminin


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Feminin


Wanita Iraq cari damai di salon kecantikan

Posted:

Wanita Iraq cari damai di salon kecantikan

Wanita Iraq cari damai di salon kecantikan

Susunan Noor Fazrina Kamal


Selepas hidup dalam peperangan sejak sekian lama kini wanita Iraq berpeluang untuk memenuhi keinginan mereka berdandan dan tampil cantik.


Pusat kecantikan sehenti. Sesuatu yang tidak pernah terfikir di benak fikiran wanita Iraq sepanjang lebih tiga dekad negara itu dilanda pergolakan - bermula daripada perang dengan Iran, diikuti perang Kuwait dan pencerobohan Amerika Syarikat (AS) hinggalah kepada sekatan serta perbalahan puak selama 13 tahun yang membawa kepada tumbangnya kerajaan Saddam Hussein dan kematian beratus ribu rakyatnya.

Sepanjang tempoh itu segala bentuk aktiviti untuk golongan wanitanya bersenang-lenang termasuk berkunjung ke salon-salon kecantikan hampir tidak ada langsung.

Kini, ironinya keadaan itu mungkin berubah dengan sentuhan seorang lelaki.

Berbekalkan pengalaman selama lebih 30 tahun berkerja sebagai jurusolek di rangkaian televisyen, Ali Bulbul berazam untuk mengubah keadaan itu.

Lelaki berusia 51 tahun ini meninggalkan tanah airnya pada 1990 iaitu selepas Saddam Hussein menceroboh Kuwait.

Pada 2005 dia kembali menjejakkan kaki di bumi Iraq dan berkerja semula sebagai jurusolek artis dengan badan penyiaran milik negara, Iraqiya TV.

Pada awal September lalu, bersama seorang rakannya, Ali membuka Specialised Beauty Centre di Jalan Abu Nawas berdekatan sungai Tigris di tengah-tengah kota Baghdad.

Di tempat itulah Ali berhasrat untuk membina satu-satunya tarikan bagi penduduk golongan kelas atasan di bandar itu.

Pusat kecantikan tersebut menawarkan rawatan penjagaan wajah dan badan, sauna dan jakuzi, serta kelas yoga dan aerobik - aktiviti tidak pernah wujud di Iraq selama ini.

Sebagai tambahan, dia juga membina gimnasium yang dilengkapi dengan peralatan senaman yang baru serta pusat menurunkan berat badan, kaunter melukis inai, salon kuku, rambut dan mekap.

Menurut Ali, kemudahan seumpama itu memang sesuatu yang luar biasa di Iraq apatah lagi jika ia dilengkapi dengan peralatan dan mesin-mesin berteknologi yang biasanya 'menakutkan' orang ramai.

Setakat ini untuk menarik pelanggan dia banyak bergantung pada promosi 'dari mulut ke mulut', tetapi pada masa sama turut mengedarkan risalah di kawasan perumahan sekitar pusat tersebut.

Kini sebahagian besar pelanggannya terdiri daripada suri rumah, namun Ali turut memperuntukkan dua hari khas untuk pelanggan lelaki.

Sementara itu salah seorang pengunjung, Farah Saad, 27, teruja dengan kehadiran pusat kecantikan tersebut.

"Kami amat seronok. Sekarang kami boleh keluar dan boleh pakai apa yang kami mahu. Kami ingin meneroka kehidupan ini dengan lebih jauh lagi," ujar ibu kepada dua anak itu.

Untuk dandanan rambut sebelum majlis perkahwinan, Ali biasanya mengenakan bayaran RM930 (AS$300), manakala yuran bulanan gimnasium dan jakuzi ialah RM310 ( AS$100).

Harga tersebut boleh dikatakan agak mahal bagi negara yang mempunyai kadar kemiskinan 23 peratus.

Perancangan Ali tidak terhenti di situ, dia bakal membina kolam renang di pusat kecantikan itu sekali gus menjadikan ia sebagai pusat kecantikan sehenti yang terkemuka di negaranya.

"Idea untuk menubuhkan pusat kecantikan di Baghdad ini memang sudah lama iaitu sebelum kenaikan dan kejatuhan rejim Saddam Hussein lagi.

"Namun semuanya ditangguh kerana faktor keselamatan yang tidak mengizinkan," jelasnya.

Semasa tempoh pemberontakan di Iraq dan diikuti dengan pencerobohan tentera AS pada tahun 2002, beribu-ribu nyawa rakyat Iraq telah terkorban.

Ketika itu, pelampau agama telah mengancam dan menyebabkan ramai pengusaha salon rambut menutup kedai mereka.

Wanita pula dipaksa menutup seluruh muka dan badan kecuali mata dan tidak dibenarkan keluar rumah.

Hikmahnya kes keganasan terhadap wanita di Iraq menurun, namun pada pandangan dunia, Baghdad tetap antara bandar yang berbahaya di dunia.

Salah seorang pekerja pusat kecantikan tersebut, Janna al-Baaj, yang merupakan pakar bahagian rambut dan solekan mempunyai kisah yang tersendiri.

Dulu dia meninggalkan negaranya setelah menerima ancaman bunuh.

Janna membawa diri ke Jordan hinggalah apabila Ali menceritakan tentang perancangannya sekali gus menawarkan pekerjaan buatnya.

"Nampaknya situasi keselamatan di negara saya sudah jauh berubah," ujar wanita berusia 40 tahun ini.

"Saya mengambil keputusan untuk pulang ke tanah air dan mencurahkan bakti pada wanita Iraq yang berhak untuk merasai nikmat kecantikan yang mereka tidak rasai selama ini," ujarnya.

Ali pula tidak menafikan permintaan untuk perkhidmatan kecantikan ini memang meningkat dari hari ke hari, namun masalahnya dia kekurangan pekerja yang berkelayakan untuk kemahiran tersebut.

"Kini saya sedang giat mencari balik pakar kecantikan yang dulu meninggalkan negara ini kerana diancam. saya akan cuba membawa mereka balik untuk bekerja di negara mereka sendiri," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Wanita perlu manfaatkan YWM

Posted:

Wanita perlu manfaatkan YWM

Wanita perlu manfaatkan YWM

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL
Gambar ABDUL RAZAK LATIF

BERTUAHNYA menjadi wanita Malaysia yang hak mereka sentiasa diberi perhatian dan diperjuangkan oleh penggubal dasar bagi memartabatkan kedudukan dalam semua aspek.

Terbaru beberapa wanita yang telah berpengalaman luas dalam sektor korporat terpanggil untuk menubuhkan satu yayasan khas untuk wanita.

Yayasan yang diberi nama Yayasan Wanita Malaysia (YWM) ini, adalah hasil usaha Datuk Faridah Abu Hassan bersama beberapa rakan korporatnya yang lain.

Mereka begitu ikhlas berjuang dan sanggup memperuntukkan tenaga dan masa bersatu hati membantu wanita yang memerlukan.

"Penubuhan YWM ini pada November tahun lalu dan beribu pejabat di Medan Tuanku, Kuala Lumpur.

"Penaung yayasan ialah isteri Perdana Menteri, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor dan mempunyai seramai 17 orang lembaga pengarah yang terdiri dari pelbagai latar belakang akademik, kerjaya, pengalaman dari pelbagai sektor pekerjaan," ujarnya ketika majlis perasmian YWM bertempat di Dewan Tun Rahah, Menara Yayasan Tun Razak, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut Faridah, visi yayasan ini adalah untuk memberi kesejahteraan dan memperkasakan wanita melalui pendidikan dan kebajikan.

Hasrat tersebut direalisasikan demi menuju kesejahteraan sosial dan ekonomi berlandaskan Gagasan 1Malaysia.

"YWM mahu membekalkan wanita dan masyarakat amnya dengan ilmu pengetahuan, kemahiran dan latihan dalam bidang pendidikan, kesihatan dan keselamatan. Malah kami juga memberi hak mutlak serta memanfaatkan kecanggihan sains dan teknologi.

"Selain itu yayasan juga akan mempelbagaikan program dan meluaskan penawaran program, bantuan dan sokongan yang mampu menarik kumpulan sasar," jelasnya.

Dalam pada itu Faridah menegaskan maksud dan matlamat yayasan ini tidak bertindih dengan mana-mana yayasan yang telah ditubuhkan sebelum ini.

"Kami ingin membantu wanita yang memerlukan perhatian menerusi tiga aspek iaitu ekonomi, pendidikan, kebajikan.

"Walaupun baru berusia setahun beberapa program telah berjaya dilaksanakan antaranya program Sumbangan Kasih.

"Program ini berlangsung di DUN pilihan raya Sarawak baru-baru ini di mana seramai 1,800 warga emas, 1,800 ibu tunggal dan 1,800 para pelajar menerima sumbangan dari yayasan," ujar beliau.

Faridah memberitahu, memang banyak program telah berjaya dilaksanakan dalam masa setahun ini dah telah memberi manfaat kepada wanita khususnya.

"Selepas ini kami merancang untuk mengadakan First Lady Award sempena Hari Wanita Antarabangsa.

"Pada hari tersebut 10 wanita berjaya dalam bidang masing-masing akan diberi anugerah," ujar beliau.

Faridah juga menegaskan bahawa wanita di negara ini amat beruntung kerana mendapat peluang pendidikan antara yang terbaik di rantau Asia.

Penubuhan Malaysian Women University membuktikan bahawa komitmen kerajaan untuk mengukuhkan jati diri dan emosi wanita Malaysia.

"Ini kerana wanita bakal menjadi ibu dan profesional yang pintar dan efektif, membentuk generasi pelapis yang kukuh dan mantap.

"Menjadi harapan kami untuk melihat wanita membantu dalam proses pembangunan negara.

"Ini kerana penglibatan wanita dalam tenaga kerja, profesional, pengurusan, teknikal, keusahawanan dan amal jariah menunjukkan peningkatan yang amat memberangsangkan.

"Justeru, kami berharap agar wanita sama-sama menghulur tangan mengorak langkah membantu membentuk masa depan dan memperkasa kekuatan mencungkil potensi ke arah merealisasikan kejayaan," ujar beliau.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved