Utusan Online - Johor |
Posted: Ekspo Agro dan Makanan JohorOleh MAZNAH MOHD. ARSAD dan RAJA JAAFAR ALI KLUANG 26 Okt. - Ekspo Agro dan Makanan Johor 2011 yang berlangsung lima hari mulai 25 November ini dijangka menarik kira-kira 60,000 pengunjung berbanding 50,000 yang dicatatkan pada 2009. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Ab. Aziz Kaprawi (gambar) berkata, ia berikutan persiapan rapi yang dijalankan di samping melakukan penambahbaikan serta tarikan lain yang boleh mendorong pengunjung menyaksikan ekspo dua tahun sekali itu. "Bertempat di Tapak Projek Pertanian Moden di sini, kita akan paparkan kejayaan usahawan dan syarikat-syarikat yang berjaya memasarkan produk mereka bukan sekadar pasaran tempatan malah ke peringkat antarabangsa. "Pada ekspo yang berslogankan Pertanian Adalah Perniagaan dan tema yang dipilih untuk kali ini Program Transformasi Kerajaan, ia turut memberi pengiktirafan dan penganugerahan kepada peladang, penternak dan nelayan yang berjaya, " katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja mengenai persiapan ekspo tersebut. Ab. Aziz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Parit Raja berkata, Ekspo Agro dan Makanan Johor 2011 bakal dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman pada hari kedua ia berlangsung. Jelasnya, antara program yang diatur sepanjang ekspo ialah Sambutan Hari Penternak, Peladang dan Nelayan, konvensyen dan seminar Peladang, Penternak dan Nelayan, pameran berkaitan teknologi, benih, baka terbaru dan mekanisasi di dalam sektor pertanian. Katanya lagi, promosi dan jualan pelbagai makanan, hasil pertanian segar dan produk berasaskan hasil pertanian turut diadakan selain pertunjukan dan pameran pokok buah-buahan, bunga-bungaan dan ternakan yang ada di ladang pertanian moden tersebut. "Bagi menonjolkan bakat, kreativiti serta sikap daya saing yang tinggi dalam kalangan petani dan penternak, ekspo itu juga akan menyaksikan pertandingan produk makanan luar biasa. Contohnya, nangka terbesar dengan berat mencecah 48 kilogram, pisang tanduk bercabang dua dan orkid berbunga lebat," katanya. Tambah Ab. Aziz, bagi menyerikan ekspo itu, pihaknya mengundang beberapa selebriti chef untuk mengadakan persembahan masakan dan bagi kemudahan orang ramai, premis menjual dan menghidangkan masakan sarapan, makan tengah hari dan makan malam turut diadakan. Full content generated by Get Full RSS. |
MoU UTM-SSB berganding kongsi kepakaran Posted: MoU UTM-SSB berganding kongsi kepakaranHARTWIG Droegemueller (kiri) dan Safaai Deris bertukar dokumen perkongsian kejuruteraan kimia di UTM Skudai, Johor Bahru, kelmarin. JOHOR BAHRU 26 Okt. - Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Synthomer Sdn. Bhd. (SSB) yang bertujuan meneroka kerjasama dan berkongsi kepakaran dalam bidang kejuruteraan kimia untuk manfaat kedua-dua belah pihak. Dekan Fakulti Kejuruteraan Kimia (FChE) UTM, Prof. Dr. Zainuddin Abd. Manan berkata, melalui persefahaman yang terjalin kedua-dua pihak akan menjalankan latihan amali dan penyelidikan secara bersama. "Para penyelidik, mahasiswa FChE dan pekerja SSB akan berkerjasama melalui satu-satu program selain berkongsi sumber-sumber maklumat untuk faedah bersama. "Sebagai permulaan, SSB bersetuju mengambil lepasan ijazah FChE bagi tujuan penyelidikan untuk dua projek di SSB dalam tempoh setahun," katanya pada sidang akhbar selepas majlis MoU itu di bilik mesyuarat FChE UTM dekat sini, semalam. MoU tersebut ditandatangani oleh Pengarah Pusat Inovasi dan Komersialisasi UTM, Prof. Dr. Safaai Deris dan Pengarah Operasi SSB Bahagian Asia, Dr. Hartwig Droegemueller. SSB yang mempunyai kilang di Kluang dan Pasir Gudang merupakan syarikat yang memproses lateks nitril terbesar dunia untuk dijadikan sarung tangan pakai buang. Zainuddin berkata, dua projek itu ialah penyelidikan untuk mengoptimumkan sistem reaktor dan pengurusan penggunaan sumber tenaga secara mapan yang mana ia bertujuan meningkatkan keberkesanan dan produktiviti SSB pada masa depan. "Selain itu, UTM dan SSB dapat memanfaatkan teknologi serta pengalaman baru dan menyelesaikan masalah yang dihadapi syarikat secara praktikal," katanya. Beliau berharap, kerjasama itu akan menjadi model untuk pihak industri dan universiti menyumbang kepada pembangunan sumber manusia di negara ini. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan