Selasa, 4 Oktober 2011

Utusan Online - Timur


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Timur


Elak guna ubat tidak berdaftar

Posted:

Elak guna ubat tidak berdaftar

Elak guna ubat tidak berdaftar

Oleh RAHANA MOHD. DAHARI
utusankb@utusan.com.my


MOHD. Hatta Ahmad (dua dari kanan) melancarkan Album Dikir Farmasi Jom Guna Ubat Berdaftar di Kota Bharu, baru-baru ini. - UTUSAN/ROSNI MASRI


KOTA BHARU 3 Okt.- Orang ramai diingatkan lebih berhati-hati memilih ubat-ubatan dan produk makanan tambahan yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana dikhuatiri mengandungi kandungan yang berisiko kepada manusia.

Lebih membimbangkan apabila sebahagian pengusaha kini giat menukar makanan tambahan tersebut kepada bentuk minuman.

Perkara tersebut didedahkan oleh Pengarah Penguatkuasa Farmasi, Mohd. Hatta Ahmad yang memberitahu, peralihan produk makanan itu bagaikan trend apabila pengusaha dan pengilang berlumba-lumba mengeluarkan produk dalam bentuk kopi, teh, minuman berasaskan susu, kolagen dan gula-gula yang dianggap lebih komersial.

''Pengalihan ini seperti memanipulasikan pengguna kerana pengusaha turut mendakwa, produk makanan tambahan dalam bentuk minuman itu berupaya merawat dan mencegah penyakit.

''Situasi ini wujud disebabkan perundangan terhadap pengilangan, pengedaran, penjualan ubat-ubatan yang memerlukan prosedur ketat untuk berdaftar dengan KKM menyebabkan wujud pengusaha yang mengalihkan pasaran ubat-ubatan dalam bentuk minuman dan makanan kesihatan," katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Karnival Farmasi dan pelancaran Album Dikir Farmasi Jom Guna Ubat Berdaftar di Pasar Raya KB Mall di sini, baru-baru ini.

Beliau menambah, melalui trend terbaru itu, pihak yang tidak bertanggungjawab itu telah mencampurkan produk-produk tersebut dengan bahan-bahan ubat terkawal, seperti bahan aktif perangsang seks lelaki, bahan aktif mengurangkan selera makan atau pelangsingan wanita dan bahan anti inflamatori yang memudaratkan pengguna.

Kegiatan tersebut katanya, sentiasa dipantau oleh pihaknya kerana ubat-ubatan dan produk makanan tambahan tersebut tidak memberi kesan kepada si pemakan, malah pengeluar atau pengilang juga berhadapan risiko ditahan pihak berkuasa.

''Pada tahun lalu, Bahagian Penguatkuasa Farmasi, KKM telah merampas 24,852 produk (ubat-ubatan) tidak berdaftar yang bernilai RM21.6 juta termasuk perangsang seks dan pelangsingan tubuh wanita.

''Daripada jumlah tersebut, hanya RM2 juta sahaja nilai ubat moden yang dirampas manakala selebihnya terdiri daripada ubat-ubatan berasaskan tradisi dan herba," katanya.

Katanya, walaupun kegiatan tersebut tersembunyi di sebalik minuman seperti teh atau kopi dengan promosi dan pembungkusan yang kreatif, namun ia berjaya dikesan penguat kuasa.

''Melalui risikan dan serbuan yang dilakukan, statistik rampasan menunjukkan kegiatan berkaitan masih berterusan. Misalnya di Kelantan, pada tahun lalu, sebanyak RM5,923 racun perangsang seks dan RM2,040 racun pelangsing badan dirampas.

''Walaupun jumlah rampasan racun perangsang seks tersebut berkurangan daripada nilai rampasan pada tahun 2009 iaitu sebanyak RM34,956 namun orang ramai diminta memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan," katanya.

Menurutnya, kawalan ke atas produk farmaseutikal dan produk makanan dan minuman yang dicampur palsu dengan dadah atau ubat terkawal disiasat di bawah Akta Jualan Dadah 1952.

''Sabit kesalahan boleh didenda RM25,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali bagi individu dan denda RM50,000 bagi syarikat," katanya.

Tindakan penguatkuasaan sahaja katanya, tidak mampu membanteras kegiatan pengimportan, penjualan, pengilangan ubat-ubatan tidak berdaftar selagi adanya permintaan daripada pengguna.

''Mengukuhkan lagi strategi jabatan dan meningkatkan kesedaran pengguna ke atas penggunaan ubat yang berdaftar, cawangan pencegahan dan kesedaran pengguna ditubuhkan.

''Ia bertujuan menyelaras aktiviti pendidikan termasuk pameran, ceramah mengenai ubat-ubatan tidak berdaftar yang bertujuan mendidik masyarakat mengenai ubat yang selamat, berkualiti dan berkesan," ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Kelantan, Dr. Mohd. Kamil Hasan yang turut sama ada majlis tersebut berkata, dalam serbuan yang dilancarkan oleh cawangan Penguat kuasa Farmasi pada tahun lalu, 68 serbuan dilakukan dengan hasil rampasan sebanyak RM1.07 juta.

RM8.5j bina jambatan Sg. Pinang

Posted:

RM8.5j bina jambatan Sg. Pinang

RM8.5j bina jambatan Sg. Pinang

Oleh SAPPE MAT JUNUS
utusanterengganu@utusan.com.my


Jambatan Sungai Pinang di Kemaman yang tergendala lebih sedekad lalu bakal disambung proses pembinaannya tidak lama lagi.


KEMAMAN 3 Okt. - Setelah lebih sedekad tergendala, kerajaan negeri akan meneruskan projek pembinaan jambatan Sungai Pinang dekat sini bagi kemudahan 20,000 orang penduduk.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, kerajaan Pusat meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM8.5 juta bagi menyiapkan jambatan penghubung untuk penduduk beberapa buah kampung termasuk Air Putih dengan bandar Cukai.

Bercakap kepada pemberita semalam semasa melawat beberapa buah kampung sekitar yang dilanda banjir kilat baru-baru ini, beliau berkata, pembinaannya akan dimulakan awal tahun depan dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

Menurut Ahmad, jambatan berkenaan penting kerana laluan utama penduduk Air Putih ke bandar Cukai sering terputus setiap kali banjir berlaku dan menyukarkan perhubungan.

"Saya dimaklumkan oleh Kementerian Kerja Raya bahawa berlaku sedikit kesilapan teknikal termasuk dari segi reka bentuk semasa pembinaan jambatan itu dahulu dan ia telah menyebabkan masalah lain yang lebih serius sehingga tergendala terlalu lama," ujarnya.

Menurut Ahmad, sebelum projek itu dimulakan 10 tahun lalu, pihaknya telah mengemukakan pandangan termasuk dari segi reka bentuk jambatan itu tetapi ia tidak diterima.

"Kita berharap pihak berkenaan dapat menerima pandangan peringkat setempat dalam merencanakan projek pembangunan, apatah lagi ia melibatkan kos yang besar, agar tidak berlaku pembaziran," ujarnya.

Ahmad berkata, kerajaan juga bercadang meninggi dan menaik taraf jalan antara Kampung Paya Pamam yang menghubungkan jambatan berkenaan kerana ia sering ditenggelami air.

Beliau yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Kijal berkata, apabila jalan itu ditinggikan, ia akan menjadi laluan alternatif penduduk dari Kampung Air Putih dengan menggunakan jalan Mardi Pasir Gajah ke Ibok untuk ke bandar Cukai.

''Jalan ini dapat digunakan penduduk sekitar Kampung Air Putih, Pasir Gajah, Seberang Tayur dan Dadong sementara menunggu pembinaan jambatan Sungai Pinang siap dalam tempoh dua tahun lagi,'' katanya.

Cadang wajib hadiri program bulan madu

Posted:

Cadang wajib hadiri program bulan madu

Cadang wajib hadiri program bulan madu


MAZLAN Ngah (tiga dari kanan) dan Mohd. Shafaruddin Mustaffa (empat dari kiri) bersama kakitangan YPKT yang cemerlang pada majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang YPKT di Kuala Terengganu, kelmarin.


KUALA TERENGGANU 3 Okt. - Kakitangan kerajaan negeri mungkin diwajibkan menyertai Program Bulan Madu Kedua (PBMK) anjuran Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) bagi membantu mengukuhkan institusi keluarga.

Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mazlan Ngah meminta agensi itu mengemukakan kertas kerja lengkap mengenai keberkesanan program seumpama itu untuk dibawa dalam perbincangan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

"Kita memang mengalu-alukan program seperti ini apatah lagi melibatkan kakitangan kerajaan negeri. Jadi YPKT perlu mengadakan perbincangan yang lebih mendalam jika mahu melaksanakan cadangan ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2009/2010 dan Pelancaran MS ISO 9001:2008 YPK di sini, petang semalam.

Hadir sama Pengarah YPK, Mohd. Shafaruddin Mustaffa dan timbalannya, Toh Puan Zaimah Abdul Aziz.

Mazlan menyatakan demikian ketika mengulas saranan Mohd. Shafaruddin agar kerajaan negeri mewajibkan kakitangan kerajaan yang usia perkahwinan mereka lima tahun ke bawah menyertai PBMK.

Mohd. Shafaruddin berkata, ia dapat menyelamatkan institusi keluarga terutamanya bagi pasangan yang usia perkahwinan belum mencecah lima tahun dan masalah mereka memberi kesan kepada mutu perkhidmatan.

Katanya, dalam tempoh itu banyak berlaku penceraian ekoran pasangan tidak mampu menyesuaikan diri melalui alam baru perkahwinan.

"Kita berharap dapat mengurangkan jumlah penceraian di negeri ini kerana sehingga kini terdapat seramai 17,000 orang ibu tunggal dan kebanyakan mereka masih muda.

"Melalui usaha secara berterusan, PBMK ini dapat turut membantu mengatasi masalah yang dialami pasangan pada peringkat permulaan agar ia tidak berlarutan sehingga membawa kepada penceraian," katanya.

Terdahulu, pada majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AJA EQS Certification (M) Sdn. Bhd, Jacqueline Francis menyerahkan sijil ISO 9001:2008 kepada kerajaan negeri.

Pada majlis itu, Mazlan turut menyampaikan penghargaan berupa sijil, wang tunai sebanyak RM1,000 dan insentif lawatan kepada seramai 80 kakitangan YPKT yang cemerlang.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved