Utusan Online - Kota |
- Penat tunggu bas berangkat
- Lesen ditarik jika jual, pajak pada warga asing
- Tangguh warta draf KL 2020
Posted: Penat tunggu bas berangkatOleh SITI AISHAH YUSOFF KELEWATAN bas bergerak meninggalkan stesen LRT Cempaka menyebabkan jumlah pengguna bertambah dan mereka terpaksa berasak-asak untuk menaiki pengangkutan awam itu. – Utsuan/Bariq Ramadhan KUALA LUMPUR 4 Okt. – Sudahlah penat berdiri di dalam tren Transit Aliran Ringan (LRT), terpaksa pula menunggu bas yang lambat bergerak apabila tiba di stesen bas. Ini adalah luahan sebahagian daripada pengguna bas Rapid KL yang ditemui di stesen LRT Cempaka yang menjadikan perkhidmatan bas sebagai kenderaan utama mereka untuk menjalankan urusan harian. Kebanyakan mereka yang menggunakan perkhidmatan bas di situ adalah penduduk sekitar kawasan Cempaka, Pandan Indah dan juga Ampang. Rata-rata mereka yang ditemui mengadu terpaksa menunggu hampir 30 minit hingga satu jam sebelum bas bergerak meninggalkan stesen. Tinjauan Utusan ke stesen itu mendapati dakwaan pengguna itu adalah berasas. Pekerja swasta, Norsyazlina Mohd. Samsam, 23, berkata, setiap hari beliau terpaksa menghabiskan masa menunggu bas selama 30 minit hingga satu jam untuk pulang ke rumahnya di Bukit Permai. "Saya pun tidak tahu kenapa bas lambat bergerak walaupun terdapat pemandu dan bas di tempat menunggu. "Saya pernah menunggu bas hingga pukul 11 malam kerana bas lambat sampai," katanya. Seorang pekerja di sebuah hotel, Raina Yuni, 55, berkata, beliau sudah hampir sembilan tahun menggunakan perkhidmatan bas di kawasan itu. "Setiap hari saya menggunakan perkhidmatan bas untuk berulang-alik ke tempat kerja. "Memang letih dan penat kerana saya terpaksa menunggu hampir 30 minit hingga satu jam setiap hari," katanya. Pelajar, Mohd. Haziq Mohd. Ashri, 19, pula berkata, bas tersebut mempunyai jadual perjalanan tetapi sering kali tidak mengikut waktu yang ditetapkan. |
Lesen ditarik jika jual, pajak pada warga asing Posted: Lesen ditarik jika jual, pajak pada warga asingKUALA LUMPUR 4 Okt. - Peniaga di tapak Bazar Deepavali 2011 yang didapati menjual dan memajak lesen mereka kepada warga asing akan ditarik balik lesennya, kata Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin (gambar). "Sekiranya ditangkap, lesen mereka akan ditarik balik dan jika masa mengizinkan kita akan beri tapak tersebut kepada peniaga lain. "Nama mereka juga akan disenarai hitam dan tidak dibenarkan untuk memohon lesen pada tahun depan," katanya kepada pemberita selepas majlis taklimat dan penyerahan lesen Bazar Deepavali 2011 di sini hari ini. Perayaan Deepavali akan disambut pada 26 Oktober. Raja Nong Chik berkata, isu menjual dan memajak lesen kepada warga asing sering berbangkit dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memandang serius perkara itu. "Ini satu kesalahan yang tidak boleh dimaafkan dan DBKL akan melakukan pemantauan berterusan sepanjang tempoh Bazar Deepavali 2011 berjalan. "Pada Bazar Ramadan lepas, DBKL menarik balik 25 lesen peniaga yang melanggar arahan agar tidak menjual atau memajak lesen kepada peniaga warga asing," katanya. Bazar Deepavali pada tahun ini menawarkan 924 petak jualan berbanding 786 petak yang ditawarkan pada tahun lepas. Antara lokasi Bazar Deepavali adalah Lorong Tuanku Abdul Rahman, Tapak Wakaf Pemuzik Buta, Jalan Masjid India dan Lebuh Ampang. |
Posted: Tangguh warta draf KL 2020Oleh ROSLAH OTHMAN KUALA LUMPUR 4 Okt. – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menangguhkan tarikh pewartaan Draf Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020 (PBRKL) kepada Julai tahun depan. Draf itu sebelum ini dijangkakan diwartakan 30 September lalu. Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail (gambar) berkata, tujuan penangguhan itu dibuat selepas meneliti beberapa isu yang perlu diselesaikan bagi keberkesanan pelaksanaannya pada masa hadapan. Menurutnya, isu-isu tersebut termasuklah pertimbangan mengenai zon guna tanah dan intensiti di Jalan Maarof, Bangsar, cadangan terminal-terminal baru yang dilihat akan mengintergrasikan komponen pengangkutan awam serta cadangan kajian terperinci insineratori lokasi stesen pemindahan Taman Beringin dan Taman Fadason untuk dibangunkan berkonsep Solid Waste Park sebagai penyelesaian kepada beberapa masalah berkaitan. DBKL juga akan menilai semula cadangan menambah kawasan lapang awam yang boleh memberikan implikasi positif kepada kepentingan awam serta menyediakan lebih banyak peruntukan untuk golongan warga tua. "Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira aspek-aspek yang dibincangkan dan kami berasakan adalah perlu pihak kerajaan melibatkan orang ramai dan pihak berkepentingan terutama sekali berhubung dengan cadangan-cadangan baru selaras dengan hasrat kerajaan untuk lebih telus dalam membuat keputusan sejajar dengan slogan Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan,: katanya pada sidang akhbar berhubungan penangguhan pewartaan PBRKL 2020 di sini hari ini. Beliau berkata, selaras dengan penangguhan itu beberapa strategi komunikasi dengan warga kota akan dilaksanakan selain mendapatkan maklum balas terakhir daripada agensi dan kementerian berkaitan. "Strategi komunikasi yang dicadangkan akan melibatkan sesi penerangan serta bengkel-bengkel berkaitan dengan penduduk dan pihak berkepentingan dalam memastikan PBRKL 2020 yang diwartakan mampu diterima pakai dengan baik oleh semua pihak secara majoriti," katanya. Tambahnya, daripada tempoh sembilan bulan penangguhan ini, seminar berkaitan isu-isu yang mendesak seperti isu pengangkutan awam akan diadakan semula dalam tempoh empat bulan dari sekarang dan orang ramai dialu-alukan untuk menghadiri bengkel-bengkel yang dirancang bagi memberi buah fikiran berhubung aspek-aspek yang dibincangkan. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan