Selasa, 4 Oktober 2011

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Kurang pasti tarikh perjanjian – Chew Peh

Posted:

Kurang pasti tarikh perjanjian – Chew Peh

Kurang pasti tarikh perjanjian – Chew Peh

Oleh NORAZLITA MOHD. SIES
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 4 Okt. - Bekas Pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), Tan Sri Dr. Ting Chew Peh berkata, beliau tidak sedar dan kurang pasti tarikh sebenar perjanjian jual beli tanah Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) antara Kuala Dimensi Sdn. Bhd. (KDSB) dan LPK ditandatangani.

Ini kerana menurut Chew Peh, 68, beliau tidak meletakkan tarikh semasa menandatangani perjanjian tersebut.

Chew Peh selaku saksi pendakwa kelapan menyatakan demikian semasa menyambung keterangan pada perbicaraan kes terhadap bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr. Ling Liong Sik yang masuk hari ke-16 hari ini di Mahkamah Tinggi di sini.

Bagaimanapun peguam Wong Kian Kheong yang mewakili Liong Sik menyatakan, jawapan bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu telah mengundang persoalan.

Peguam berkenaan sehubungan itu berkata: ''Oleh kerana kamu tidak meletakkan tarikh bila ia ditandatangani dan tiada cop tarikh dan tidak tahu siapa yang cop tarikh 12 November 2002, maka kamu tidak tahu bilakah tarikh sebenar kamu menandatangani perjanjian jual beli itu.''

Chew Peh menjawab: ''Saya tidak sedar dan kurang pasti bila saya tandatangani perjanjian itu.''

Bekas Setiausaha Agung MCA itu turut berkata, Jemaah LPK telah memberikan justifikasi dan alasan tambahan mengapa tanah PKFZ di Pulau Indah, Klang perlu dibeli.

Menurut Chew Peh yang kini merupakan Pengarah Bukan Eksekutif Hua Yang Bhd., berdasarkan minit mesyuarat LPK bertarikh 8 Ogos 2002 berhubung keputusan pembelian tanah, wakil Kementerian Kewangan (MOF) tidak mengemukakan sebarang bantahan.

Bekas Menteri Kabinet itu juga bersetuju dengan pandangan peguam bahawa projek PKFZ mendapat perhatian peribadi Perdana Menteri ketika itu.

Katanya, beliau menganggap Jemaah LPK mengambil maklum bahawa Perdana Menteri sendiri pada masa itu telah mengarahkan supaya pengambilan tanah disegerakan.

Liong Sik sedang dibicarakan atas satu tuduhan utama pindaan dan dua tuduhan pilihan pindaan berhubung penipuan terhadap Kerajaan Malaysia.

Menurut pertuduhan, bekas Presiden MCA itu didakwa melakukan perbuatan tersebut dengan tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta-fakta berkaitan pembelian tanah membabitkan RM1.08 bilion.

Perbuatan tersebut didakwa berlaku antara 25 September dan 6 November 2002 di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.

Sementara itu, Penasihat Undang-Undang LPK, Fazilah Surkisah Mohd., 47, dalam keterangannya menyatakan, beliau tidak diminta untuk mengkaji implikasi pengambilan balik tanah PKFZ.

Disoal dalam pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Manoj Kurup sama ada Fazilah terlibat dalam proses penyediaan perjanjian jual beli tanah antara KDSB dan LPK, saksi pendakwa kesembilan itu menjawab, beliau cuma terlibat menyemak draf perjanjian yang telah disediakan oleh firma guaman Tetuan Rashid Ashari & Co. yang mewakili LPK.

Dalam proses tersebut, menurut Fazilah, beliau ada mengesyorkan kepada Pengurus Besar LPK, OC Phang supaya terma yang terkandung dalam perjanjian itu dirujuk kepada pejabat Peguam Negara bagi memastikan ia tidak bercanggah dengan amalan biasa selain untuk mendapatkan pandangan pihak tersebut.

Bagaimanapun cadangan itu, kata Fazilah, tidak dipersetujui oleh Phang atas beberapa alasan.

Namun menurut Fazilah, beliau merasakan ia perlu dirujuk kepada pejabat Peguam Negara kerana merasakan LPK tiada wang dan tidak mampu membayar yang akhirnya akan menyebabkan kerajaan terpaksa campur tangan.

Ditanya mengenai perjanjian jual beli tanah bagi projek PKFZ yang dibawa oleh Fazilah untuk ditandatangani oleh Phang, saksi itu mengatakan, beliau tidak tahu bilakah tarikh sebenar KDSB dan LPK menandatangani perjanjian tersebut.

Sehingga prosiding berakhir pada pukul 4.30 petang, persoalan siapakah yang bertanggungjawab meletakkan tarikh 12 November 2002 sebagai tarikh perjanjian itu dibuat, masih belum terungkai.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Asnawi bersambung esok.

Bekas rakan Saiful hantar e-mel kepada Anwar

Posted:

Bekas rakan Saiful hantar e-mel kepada Anwar

Bekas rakan Saiful hantar e-mel kepada Anwar

KUALA LUMPUR 4 Okt. – Seorang bekas rakan universiti Mohd. Saiful Bukhari Azlan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa dia pernah mengirim e-mel bagi memberi amaran kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa pemuda tersebut tidak layak bekerja dengan Ketua Pembangkang itu.

Mohd. Najwan Halimi, 26, yang kini bekerja sebagai pegawai di Pejabat Penasihat Ekonomi Negeri Selangor bagaimanapun mengakui Mohd. Saiful Bukhari merupakan pelajar yang aktif, berprinsip dan tegas semasa mengenalinya di Universiti Tenaga Nasional (Uniten) antara 2003 hingga 2008.

Walaupun mereka pernah menjalani minggu orientasi bersama, pergi kelas bersama, bersarapan atau makan tengah hari bersama dan tinggal di bilik bersebelahan antara satu sama lain, saksi pembelaan keenam itu menyifatkan mereka berdua sekadar berkawan dan bukannya berkawan baik.

Mohd. Najwan menjelaskan, dia mengirim e-mel tersebut kepada Ahli Permatang Pauh itu setelah mengetahui bahawa Mohd. Saiful Bukhari yang pernah dipilih sebagai Timbalan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Uniten, telah diterima bekerja dengan Anwar di pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 2008.

Menurutnya, dalam e-mel tersebut dia menyatakan mengenali Mohd. Saiful Bukhari dan memaklumkan bahawa rakannya itu adalah penyokong Barisan Nasional (BN) dan bukan orang yang boleh dipercayai.

Ini kerana, katanya, sepanjang pergaulan mereka dan menerusi laman sosial, Friendster milik Mohd. Saiful Bukhari, pemuda itu bukan sahaja tidak menyanjung Anwar, malah membenci pemimpin berkenaan.

Ditanya oleh Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden semasa pemeriksaan balas sama ada dia (saksi tersebut) yang lebih layak bekerja dengan Anwar, Mohd. Najwan berkata, ramai lagi orang lain yang lebih layak apatah lagi dia (Mohd. Najwan) masih muda.

Saksi tersebut yang mengenali Mohd. Saiful Bukhari turut berkata, pemuda tersebut bukan seorang yang menjadikan Anwar sebagai idolanya.

Mengenali sikap Mohd. Saiful Bukhari tersebut, katanya, dia melahirkan rasa terkejut apabila melihat rakannya itu bersama orang Anwar sewaktu pemimpin politik itu berkempen semasa pilihan raya umum 2008 di Subang Jaya.

Menjawab soalan Mohd. Yusof berhubung gambar Mohd. Saiful Bukhari bersama menteri atau bekas menteri seperti Tan Sri Syed Hamid Albar, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Datuk Azalina Othman Said yang dimuat naik di laman sosial pengadu, Mohd. Najwan berkata, ia bukan sesuatu yang pelik apabila pemimpin pelajar bergambar dengan golongan tersebut.

''Tidak ada masalah dan tidak menghairankan'' jawabnya ketika disoal oleh Mohd. Yusof sekiranya timbul masalah kalau seseorang memuat naik ke laman sosial gambar-gambar yang dirakam dengan menteri yang ditemui dalam sesuatu majlis.

Saksi tersebut yang pernah berkhidmat di Kementerian Pengangkutan dan Uniten serta membantu menyelaras pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad turut berkata, hubungannya dengan Anwar (yang merupakan Penasihat Ekonomi Negeri Selangor) adalah sebagai pekerja dan majikan.

Terdahulu, semasa pemeriksaan utama oleh peguam Sankara Nair, saksi itu berkata, mereka memasuki Uniten di Bangi pada Jun 2003 dengan Mohd. Saiful Bukhari yang didakwa 'gilakan publisiti dan perhatian' mengambil jurusan dalam bidang kejuruteraan elektrikal manakala dia memilih kejuruteraan mekanikal.

Mohd. Najwan menyatakan, selain tokoh-tokoh politik, Mohd. Saiful Bukhari dalam laman sosialnya itu juga ada memuat naik gambarnya bersama pegawai khas Perdana Menteri ketika itu yang keterangan gambarnya disebut sebagai 'KAJ' (Khairil Anas Jusoh).

Saksi itu juga memberitahu, Mohd. Saiful Bukhari pernah meletakkan keterangan (caption) gambar Anwar sebagai 'pemimpin munafik' dalam laman sosialnya itu.

Terdahulu, Pengarah Bahagian Forensik Jabatan Kima Malaysia, Lim Kong Boon, 57, memberitahu, jabatan berkenaan masih di bawah pentauliahan mengikut Program Legasi oleh The American Society of Crime Laboratory Directors Laboratory Accreditation Board (ASCLD).

Menurut saksi pembelaan kelima itu, di bawah program tersebut, jabatan berkenaan telah diberi tempoh lanjutan sebanyak tiga kali dengan tempoh berikutnya selama tiga bulan bermula dari 18 Oktober ini hingga 18 Januari tahun depan.

Anwar, 64, dibicarakan atas tuduhan meliwat Mohd. Saiful Bukhari, 26, di Unit 11-51-1, Kondominium Desa Damansara, No.99 Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di sini antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah bersambung Khamis ini.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved