Utusan Online - Pahang |
- Penduduk dua kampung mohon ganti jambatan gantung
- Bajet 2012 berorientasi rakyat - MB
- Kerajaan sentiasa bantu Orang Asli
Penduduk dua kampung mohon ganti jambatan gantung Posted: Penduduk dua kampung mohon ganti jambatan gantungArifin Singah menunjukkan tali pengikat jambatan gantung kerap terputus yang menghubungkan Kampung Mambang Berulang dan Sungai Dingin, Mentakab, Pahang, baru-baru ini. - MINGGUAN/MUSAZLILA MUSTAPAR TEMERLOH 8 Okt. - Seramai 500 penduduk Kampung Mambang Berulang dan Sungai Dingin, dekat sini berhadapan risiko kemalangan berikutan jambatan gantung yang digunakan bagi menghubungkan kampung berkenaan dengan bandar Mentakab kerap mengalami kerosakan. Seorang penduduk, Arifin Singah, 75, berkata, jambatan gantung yang berusia separuh abad itu sudah tidak lagi sesuai kerana faktor pertambahan penduduk dan kenderaan. "Negara kita telah merdeka 54 tahun dan jambatan sepanjang 200 meter itu tidak lagi sesuai digunakan zaman sekarang. Tambahan pula, jambatan itu sudah uzur dan mengalami banyak kerosakan. "Setiap tahun jambatan itu dibaiki dengan kos yang tinggi. Apa salah kiranya kos itu digunakan untuk membina sebuah jambatan konkrit yang lebih selamat dan mampu dilalui oleh kereta," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini. Marto Marjo, 52, pula berkata, jambatan itu hanya boleh dilalui oleh motosikal manakala kereta pula perlu diletakkan di seberang jika ingin ke bandar Mentakab yang terletak kira-kira empat kilometer. Katanya, penduduk juga bimbang kereta yang ditinggalkan di seberang dicuri atau dihempap pokok seperti kejadian ribut yang berlaku beberapa bulan lalu. "Jika jambatan ini diganti dengan jambatan konkrit, ia memudahkan penduduk membawa kereta selain boleh disimpan di pekarangan rumah masing-masing. Kami tidak mahu jambatan yang besar tetapi cukuplah sekadar boleh dilalui sebuah kereta," katanya. Bukhari Sinin, 56, pula berkata, tali pengikat jambatan itu sendiri sudah tidak kukuh dan kerap terputus menyebabkan mereka berasa tidak selamat menggunakan jambatan itu. "Penduduk sudah mohon supaya jambatan konkrit dibina. Namun masih belum ada tindakan. Cuma kerja-kerja membaiki jambatan itu dilaksanakan. ''Sampai bila kami perlu mempertaruhkan nyawa terutama murid-murid yang cukup berisiko terjatuh ke dalam sungai ketika menggunakan jambatan itu ke sekolah," katanya. Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mentakab, Datuk Chuah Boon Seong berkata, beliau memahami masalah yang dihadapi penduduk di dua buah kampung itu. "Kita akan berusaha mendapatkan jambatan konkrit bagi kegunaan penduduk di sini dan saya akan berbincang dengan pihak-pihak berkenaan untuk mengetahui kos pembinaan jambatan baharu itu nanti. "Kita harap penduduk di sini bersabar untuk sedikit masa lagi kerana saya perlu berbincang secara lebih terperinci dengan pihak berkaitan," katanya. |
Bajet 2012 berorientasi rakyat - MB Posted: Bajet 2012 berorientasi rakyat - MBOleh M. SHAHRINNAHAR ABD. LATIB KUANTAN 8 Okt. - Bajet 2012 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam bukan untuk pilihan raya tetapi merupakan bajet yang berorientasikan kesejahteraan rakyat. Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, jika ia merupakan bajet pilihan raya, ini bermakna setiap kali Perdana Menteri mengumumkan bajet maka akan ada pilihan raya. ''Itu tak betul. Apa yang terkandung dalam Bajet 2012 telah lama dikaji oleh Perdana Menteri, bukannya baru diambil. ''Lagipun, kita bukan tahu bila nak pilihan raya. Sekarang penggal kerajaan baru tiga tahun enam bulan," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Van Skuad Sayang kepada UMNO Bahagian seluruh Pahang di kediaman rasmi Menteri Besar di sini, hari ini. Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Mohd. Sharkar Shamsuddin dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Hal Ehwal Felda negeri, Datuk Tan Mohd. Aminuddin Ishak. Sementara itu, kata Adnan, Bajet 2012 merupakan sesuatu yang hebat, bundar dan menyeluruh kerana semua lapisan masyarakat dapat manfaatnya. "Keseluruhannya, tiada sesiapa yang diabaikan daripada pembentangan bajet kali ini. Semua pihak mendapat faedah dan tidak ada yang tertinggal. "Sebut sahaja pelajar sekolah, belia, Orang Asli, masyarakat Sabah dan Sarawak semuanya ada, maknanya semua pihak mendapat faedahnya," kata Adnan yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri. |
Kerajaan sentiasa bantu Orang Asli Posted: Kerajaan sentiasa bantu Orang AsliCAMERON HIGHLANDS 8 Okt. - Usaha kerajaan membangunkan masyarakat Orang Asli dalam setiap bidang menjadikan Malaysia antara negara yang terbaik dalam menguruskan masyarakat minoriti itu. Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk SK Devamany berkata, masyarakat Orang Asli sememangnya sentiasa mendapat perhatian Kerajaan Persekutuan yang mengeluarkan peruntukan besar untuk pelbagai projek kemudahan asas termasuk pendidikan. Contohnya, kata beliau, kerajaan terus menghulurkan bantuan kepada Orang Asli yang miskin di Hulu Jelai dan Cameron Highlands agar hidup mereka lebih selesa menerusi peluang dalam sektor pertanian, pekerjaan dan pendidikan. "Peningkatan pendapatan isi rumah dan perubahan taraf hidup yang dinikmati oleh Orang Asli adalah hasil daripada impak pembangunan dan pengurusan hal ehwal masyarakat minoriti yang merupakan antara terbaik di dunia. "Buktinya, penempatan Orang Asli di Hulu Jelai dan Cameron Highlands dilengkapi dengan sekolah rendah, bekalan elektrik, air bersih, klinik kesihatan dan perhubungan jalan raya," katanya di Hulu Jelai, dekat sini baru-baru ini. Menurutnya, projek perumahan tersusun seperti yang dibangunkan di Parlimen Cameron Highlands banyak memberi keselesaan kepada masyarakat Orang Asli. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan