Utusan Online - Keluarga |
Syafi anugerah terindah buat mama Posted: Syafi anugerah terindah buat mamaOleh BINTU RASYADA A. RAHMAN Syafi ceria dan tidak malu untuk beraksi di depan kamera. DUA jam mengikuti aktiviti si comel ini bersama ibunya di Yayasan Down Sindrom Kiwanis yang terletak di Kelana Jaya, terasa seakan tidak ada yang berbeza tentang dirinya. Usianya sudah mencecah tiga tahun. Ahmad Syafi Ahmad Yusri sama seperti kanak-kanak lain. Dia lasak dan aktif. Berkali-kali dia memanjat gelongsor dan turun, sambil menjerit-jerit kepada saya yang rancak berbual dengan ibunya supaya melihatnya. Jika tidak menoleh, dia akan terus menjerit. Di dalam kelas bersama rakan-rakan, Syafi tidak leka. Segala arahan guru diikuti. Kala diminta beraksi di depan lensa kamera, anak kecil ini tidak ada masalah. Ke sana sini dia menggayakan aksi bersahaja. Seiring dengan nama yang dipilih, Syafi kata ibunya, Sakinah Ramli, membawa erti yang menyembuhkan. Bagi wanita tabah ini, dengan nama yang diberi dia berharap ia ibarat doa kepada kanak-kanak comel itu supaya mampu menjalani hidup seperti insan normal yang lain. Sakinah sama sekali tidak menganggap kehadiran Syafi sebagai bebanan apatah lagi menyesali takdir bahawa anak ketiganya itu mengalami down sindrom. "Kami mengetahui dia mengalami masalah hanya selepas dilahirkan. Itu pun pada mulanya doktor seakan merahsiakan perkara itu dari pengetahuan saya," katanya. Bagi Sakinah, bohonglah kalau dia tidak sedih. Pada peringkat awal, siang dan malam dia menangis, namun bukan disengajakan kerana kadangkala air mata jatuh tanpa dipaksa. Sehinggakan ada saudara terdekat yang risau dengan kesihatan wanita itu kerana bimbang dia mengalami kemurungan ketika tempoh berpantang. Namun wanita ini pandai menyembunyikan keadaannya di depan orang yang datang melawat. Dia berpura-pura seperti tidak ada, masalah namun dalam hati hanya Tuhan yang tahu. Dua bulan selepas kelahiran Syafi, Sakinah menghadiri satu seminar mengenai down sindrom dan di situ dia memberanikan diri meluahkan apa yang terbuku di hati. "Bayangkan saya menangis sepuas hati sambil meluahkan perasaan di depan orang ramai ketika itu. Hinggakan selepas seminar itu, sama menerima panggilan daripada beberapa persatuan down sindrom yang prihatin dengan keadaan saya," katanya. Normal Bermula dari situ, Sakinah tidak lagi menoleh belakang. Dia mencari maklumat sebanyak mungkin mengenai down sindrom. Dia turut mencuba rawatan alternatif bagi membolehkan Syafi menjalani hidup sama seperti kanak-kanak normal lain. Pada usia beberapa bulan, Sakinah membawa Syafi mendapatkan rawatan refleksologi dan urutan orang buta. Bagi Sakinah peluang itu antara yang tidak akan dilupakannya. "Melalui Syafi saya diketemukan dengan insan yang kita tidak jangka. Insan cacat penglihatan ini sebenarnya sangat sensitif. Mereka seakan boleh membaca isi hati kita. Dari situ saya berkongsi perasaan dengan mereka. Alhamdulillah, ia banyak membantu memberi motivasi kepada saya," katanya. Walaupun Syafi disahkan mengalami sindrom down, namun Sakinah bersyukur kerana si comel itu tidak mengalami lain-lain masalah kesihatan. "Syafi sihat dari segi fizikal malah tumbesarannya juga sama seperti kanak-kanak normal. Dia juga sudah memahami arahan dan mula bertutur menggunakan bahasa isyarat seperti yang dipelajari di Kiwanis," katanya. Pujian patut diberi kepada Sakinah kerana dia sanggup melepaskan kariernya buat sementara demi memberi rawatan dan pendidikan terbaik buat Syafi. Kini, tiga kali seminggu dia menemani Syafi di Kiwanis. Jika ada urusan lain, dia tidak bimbang meninggalkan Syafi kerana guru di sana sangat berpengalaman dan yakin mampu menjaga anak itu. Sakinah turut mempelajari bahasa isyarat bagi memudahkan dia berkomunikasi dengan anak bongsunya itu. "Bukan sahaja saya dan bapanya, malah abangnya, Ahmad Khairunnas, yang berusia lapan tahun, dan kakaknya, Nur Husnina (6 tahun) juga diajar supaya dapat membantu perkembangan sosial Syafi," katanya. Wanita berkelulusan luar negara itu juga melayan Syafi seperti anak-anaknya yang lain. Dia sama sekali tidak menyisihkan Syafi atau berasa malu membawa anak istimewa itu di khalayak. Bagi Sakinah, kanak-kanak down sindrom merupakan golongan yang sentiasa mahukan kasih-sayang dan perhatian dari orang sekeliling mereka. Terutama orang yang terdekat, mereka patut memberi sokongan tidak berbelah bagi dalam membantu tumbesaran kanak-kanak seperti Syafi. Apa yang Sakinah mahukan dari anak bongsunya itu bukan setakat mampu berdikari malah berjaya di dalam hidupnya dan membanggakan semua orang. "Saya tidak sesekali rasa terbeban menjaga Syafi. Ini adalah anugerah Allah yang paling indah buat saya. Mereka ini golongan ahli syurga. Dialah tiket mama untuk ke syurga," katanya. Sakinah turut menyarankan kepada mereka yang mempunyai anak seperti Syafi agar tidak menyisihkan diri. "Di luar sana, ramai yang senasib dengan kita. Jangan sesekali memencil diri. Bergaul dengan ramai orang kerana dari situ kita akan memperoleh pelbagai maklumat dan kemudahan seperti apa yang terdapat Kiwanis ini. |
Posted: Punca lesu seksSoalan: Kini saya sedang mengambil ubat untuk menangani masalah - masalah tersebut. Adakah keadaan-keadaan ini menyumbang kepada kelesuan dan dalam masa yang sama menjejaskan prestasi hubungan intim saya? Adakah keletihan dan kualiti hubungan intim boleh diperbaiki dengan makanan tambahan?' n R, Selangor. Saudara R, JAWAPAN Terima kasih di atas soalan yang ditanya. Sebagaimana yang kita sedia maklum, diabetes menjadikan seseorang itu berisiko tinggi untuk mendapat masalah jantung atau penyakit kardiovaskular lain. Apabila seseorang mengidap diabetes, peluang untuk mendapat masalah lain seperti darah tinggi (hipertensi) dan paras kolestrol tinggi dalam darah (hiperkolesterolaemia) juga tinggi. Ini tidak termasuk komplikasi-komplikasi diabetes itu sendiri. Di usia 50-an, rawatan yang agresif perlu diberikan agar tahap gula, tekanan darah dan kolesterol dalam darah adalah dalam tahap yang terkawal. Ini bagi memastikan saudara tidak mendapat penyakit kardiovaskular dan komplikasi diabetes dalam jangkamasa yang singkat. Dengan kata lain, ubat-ubatan adalah diperlukan selain dari mengawal dengan cara menjalani kehidupan yang sihat. Berkenaan dengan ubat bagi menurunkan paras kolesterol, kebiasaan ubat yang diberikan dipanggil kumpulan statin sama ada atorvastatin, pravastatin, lovastatin, simvastatin dan sebagainya. Ia cukup berkesan dalam menurunkan paras kolesterol dalam darah dan kesannya terhadap penurunan kadar penyakit kardiovaskular juga telah terbukti. Walaubagaimanapun, ia tidak dapat lari dari memberi kesan negatif terhadap sesetengah pesakit termasuklah seperti yang dialami oleh saudara. Masalah disfungsi ereksi, kurang nafsu, keletihan adalah antara masalah-masalah yang kerap dilaporkan. Ia juga boleh memberi kesan seperti kekejangan otot, sakit otot-otot dan sebagainya. Jadi, eloklah saudara berjumpa dan berbincang dengan doktor saudara berkenaan masalah saudara. Doktor biasanya akan meneliti kesan-kesan yang dihadapi saudara sebelum membuat keputusan untuk memberhentikan ubat dan/atau menukar ubat yang saudara ambil mengambil kira faktor-faktor risiko seperti yang saya sebutkan di atas. Kesan diabetes Untuk makluman saudara, masalah disfungsi ereksi memang kerap berlaku di kalangan pengidap diabetes. Ini kerana kesan diabetes terhadap saraf-saraf dan saluran darah yang mengalir ke zakar. Walaubagaimanapun, sekarang banyak ubat-ubat yang telah terbukti memberi kesan positif terhadap masalah ini. Saudara cuma perlu berjumpa doktor dan menceritakan masalah saudara. Jika tidak ada kontraindikasi, doktor akan mempreskripsikan ubat-ubatan yang sesuai untuk menyelesaikan masalah saudara. Jika masih tidak pulih, saudara boleh membuat temujanji dengan pakar kesihatan lelaki atau pakar urologi untuk rawatan lanjut. Saya tidak menggalakkan saudara untuk mengambil makanan tambahan sekiranya saudara mengamalkan pemakanan sihat sesuai dengan masalah kesihatan saudara. Jika saudara ingin mencuba apa-apa makanan tambahan, eloklah berbincang dengan doktor bagi memastikan ia selamat dan sesuai untuk dimakan. Selamat berjaya Buat pemeriksaan terperinci Soalan SAYA berumur 25 tahun mempunyai beberapa kemusykilan berkaitan kesihatan prostat saya. Saya tidak pasti adakah saya sihat atau sebaliknya. Antara masalah - masalah saya itu adalah seperti sukar kencing, kencing tersekat-sekat dan kerap kencing malam. Kadangkala semasa membuang air kecil, saya terasa sakit dan terpaksa mengambil masa yang lama untuk membuang air kecil. Selain itu, paha hingga kaki ada ketikanya mengalami kejang atau seperti sakit urat. Pinggang saya juga terasa sakit termasuklah kadangkala sakit semasa berjalan. Saya juga mengalami sakit leher, bahu dan seluruh pergelangan sendi. Saya pernah membaca berkaitan masalah kanser prostat dan daripada apa yang saya fahami, tanda-tanda awalnya adalah seperti yang saya alami. Apakah langkah- langkah yang saya perlu ambil dan di manakah saya boleh mendapat rawatan? n Jejaka stres, Johor. JAWAPAN Saudara jejaka stres, Saya berharap saudara telah pun berjumpa dengan pengamal perubatan berkenaan masalah saudara dan saya doakan keadaan saudara telah pun pulih. Ini kerana simptom-simptom yang saudara maklumkan besar kemungkinan bukan disebabkan oleh kanser prostat tetapi disebabkan oleh masalah-masalah yang akut contohnya jangkitan kuman dalam air kencing atau pundi kencing dan mungkin juga disebabkan batu karang walaupun di usia 25 tahun ia agak jarang berlaku. Begitu juga kanser prostat yang juga jarang berlaku di usia saudara sekarang. Saya telah menjelaskan berkenaan kanser prostat di dalam siri-siri yang lalu. Nasihat saya, buat pemeriksaan terperinci dengan doktor termasuk pemeriksaan air kencing, darah dan mungkin ultra bunyi jika perlu. Untuk makluman saudara, jangkitan kuman dalam air kencing atau punding kencing juga tidak kerap berlaku di kalangan lelaki berbanding wanita. Jika ia berlaku di kalangan lelaki, doktor perlu mencari punca masalah tersebut. Saudara boleh mendapatkan rawatan di klinik-klinik kesihatan yang berdekatan. Jika ia berlarutan, saudara mungkin perlu membuat temujanji dengan pakar urologi di hospital-hospital kerajaan mahupun swasta. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Keluarga To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan