Utusan Online - Kota |
- 10,000 penduduk SS7 bantah
- Kekurangan diri tingkatkan motivasi Ahmad Salihin
- HKL akan menjadi lebih selesa
Posted: 10,000 penduduk SS7 bantahOleh MUHAMAD ZAID ADNAN PETALING JAYA 8 Okt. - Kira-kira 10,000 penduduk SS7 Kelana Jaya membantah cadangan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) untuk membangunkan Kompleks Sukan PKNS di sini kepada 7 blok pangsapuri 35 tingkat dan sebuah kompleks perniagaan 15 tingkat. Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kawasan SS7 Kelana Jaya, Datuk Zul Mukhshar Md. Shaari berkata, pembinaan projek itu dengan jelas akan memburukkan lagi masalah kesesakan lalu lintas sedia ada bukan sahaja di Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP) malah di kawasan kediaman mereka. Katanya, pembangunan Kompleks Sukan PKNS itu juga akan mengakibatkan peningkatan kadar jenayah selain menjejaskan kualiti kehidupan penduduk di situ. "Justeru, kita memohon kepada kerajaan Selangor untuk campur tangan dan memberi pertimbangan kepada bantahan penduduk di kawasan ini kerana ia merupakan projek kerajaan negeri. "Seharusnya, projek PKNS ini dibuat untuk kemajuan rakyat dan tidak mengutamakan keuntungan semata-mata sehingga mengakibatkan kita kehilangan kawasan hijau dan tempat bersukan," katanya di sini, hari ini. Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan 100 wakil penduduk bagi membantah cadangan pembangunan semula Kompleks Sukan PKNS di sini. Zul Mukhshar dalam pada itu berkata, penduduk SS7 Kelana Jaya juga kesal dengan tindakan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) kerana tidak memberikan notis maklum balas mengenai projek pembangunan itu kepada semua penduduk yang tinggal berhampiran dengan Kompleks Sukan PKNS. Selain itu katanya, MBPJ juga perlu mempertimbangkan bantahan penduduk kerana tiada pembangunan boleh dilakukan di atas tanah yang berstatus Kompleks Sukan PKNS kerana ia tidak boleh dijual atau pindah milik melainkan dengan kebenaran pihak berkuasa tempatan. "Setiap penduduk di sini mempunyai hak untuk memberi maklum balas terhadap cadangan pembangunan projek berkenaan. "Dikhuatiri, Kompleks Sukan PKNS yang telah lama menjadi pusat pembangunan bola sepak, kriket dan ragbi akan hilang sekali gus memberi kesan kepada kemunculan bakat-bakat baru sukan khasnya di kalangan generasi muda di negeri Selangor," katanya. |
Kekurangan diri tingkatkan motivasi Ahmad Salihin Posted: Kekurangan diri tingkatkan motivasi Ahmad SalihinPENERIMA peringkat ijazah sarjana muda (dari kiri) Ahmad Salihin Abdullah (Pencapaian Khas), Siti Fatimah Abu Hussin (Anugerah Pelajaran Diraja), Najwa Rosli (Anugerah Pelajaran Diraja) dan Meor Alif Meor Azalan (Hadiah Presiden) berbual mesra selepas menerima anugerah masing-masing pada Majlis Konvokesyen UIAM ke-27, di Pusat Kebudayaan UIA, Kuala Lumpur, semalam. - MINGGUAN/ZULKARNAIN MOHD. SAIDIN KUALA LUMPUR 8 Okt. - Walaupun dibayangi perasaan tidak sempurna seperti orang lain, namun ia telah membuatkan graduan orang kurang upaya (OKU), Ahmad Salihin Abdullah, 25, sentiasa mempunyai motivasi tinggi sejak kecil. Maka tidak hairanlah, beliau yang cacat di kedua-dua belah kakinya telah diumumkan sebagai penerima anugerah Pencapaian Khas Abdullah Ibnu Umm Maktum pada majlis Konvokesyen UIAM Ke-27 di Gombak, hari ini. Graduan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Farmasi yang berasal dari Kuala Krai, Kelantan itu telah mendapat purata nilai gred keseluruhan (CGPA) 3.44 dalam pengajiannya. "Disebabkan saya rasa lain daripada orang lain, jadi saya perlu buat lebih. Malah dalam keadaan sebegini kita tidak tahu masa depan kita. "Sebab itulah saya belajar bersungguh-sungguh. Sokongan keluarga dan rakan-rakan yang membuatkan saya tidak merasai apa-apa halangan ketika belajar," katanya ketika ditemui selepas majlis tersebut hari ini. Menurut anak ketujuh daripada lapan adik-beradik itu, rahsia kejayaannya ialah memberi tumpuan penuh ketika di dalam kelas. "Jika beri tumpuan dalam kelas, apabila mengulangkaji, pelajaran itu mudah diingati," ujarnya yang kini berkhidmat sebagai pegawai farmasi di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu. Sementara itu, graduan jurusan perubatan, Siti Fatimah Abu Hussain, 25, pula diumumkan sebagai penerima Anugerah Pelajaran Diraja dan Hadiah Pelajar Terbaik Keseluruhan. "Mula-mulanya saya hanya berharap menjadi pelajar terbaik keseluruhan sahaja, tapi tidak sangka pula turut diumumkan sebagai penerima Anugerah Pelajaran Diraja. "Maka kedua-dua anugerah ini adalah hadiah istimewa kepada Allahyarham bapa saya yang meninggal dunia dua tahun lalu," katanya yang bercita-cita untuk membantu dalam misi kemanusiaan apabila menjadi doktor kelak. Bagi penerima anugerah pelajar terbaik jurusan undang-undang, Najwa Rosli, 23, berkata, disiplin diri dan pembahagian masa adalah faktor utama yang membawa kepada kejayaannya. "Apa saja perkara yang kita lakukan, ia perlu seimbang terutamanya antara bidang akademik dan kokurikulum," ujarnya yang berasal dari Johor. Pemenang Hadiah Presiden, Meor Alif Meor Azalan, 23, pula berkata, setiap pelajar yang ingin berjaya, mereka perlu mempunyai kepercayaan kepada kebolehan diri sendiri. "Jika tidak ada perasaan sebegitu mungkin susah untuk mencapai kejayaan yang diharapkan," katanya yang kini menyambung pelajaran di peringkat sarjana muda di London School of Economic and Political Sciences, London. |
Posted: HKL akan menjadi lebih selesaSHAH ALAM 8 Okt. - Peruntukan sebanyak RM300 juta untuk membaik pulih serta menaik taraf Hospital Kuala Lumpur (HKL) menjadi sebuah hospital premier menerusi Bajet 2012 yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam akan membolehkan rakyat mendapatkan perkhidmatan kesihatan dengan lebih selesa. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pembangunan semula HKL membabitkan penambahan kelengkapan dan pengubahsuaian ruang untuk pesakit termasuk mengatasi kekurangan tempat letak kenderaan yang semakin meruncing. "Kita mahu jadikan HKL sebagai hospital premier dengan menjadikan hospital tersebut selesa sesuai dengan tarafnya yang terletak di ibu negara dan antara hospital yang menjadi tumpuan rakyat. "Buat masa ini ruang untuk pesakit luar dan pesakit lain adalah bercampur dan perkara itu akan dapat diatasi melalui peruntukan yang diperoleh secepat mungkin," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Promosi Pemakanan Sihat di Pasar Raya di Pasar Raya Besar Giant di sini hari ini. Tiong Lai berkata, peruntukan sebanyak RM16.82 bilion iaitu peningkatan sebanyak 10 peratus berbanding apa yang diterima oleh kementeriannya menerusi Bajet 2011 menunjukkan kerajaan sentiasa memastikan rakyat dapat menikmati kesihatan lebih baik selain menerima rawatan pemeriksaan, perubatan dan nasihat doktor dengan lebih cepat. Dalam pada itu beliau memberitahu, kementerian turut menubuhkan unit pemakanan khusus bagi memerangi penyakit tidak berjangkit (NCD) yang semakin meningkat di negara ini seperti obesiti, jantung, diabetes, barah dan darah tinggi. "Ini adalah dasar baru kementerian dan khusus untuk mengatasi masalah ini kerana peningkatan kes NCD semakin ketara di seluruh dunia termasuk Malaysia dengan jangkaan ia akan meningkat mendadak dalam tempoh 10 tahun. "Kajian menunjukkan kira-kira 1.7 juta penduduk dewasa Malaysia adalah mengalami obesiti dengan menduduki tempat keenam di kalangan negara Asia dan perkara ini bukan perkembangan yang sihat untuk negara kita," katanya. Beliau menyatakan, kerajaan membelanjakan kira-kira RM1.3 bilion untuk ubat-ubatan bagi merawat NCD dengan purata peningkatan kos sebanyak 12 peratus setahun. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan