Utusan Online - Muka Hadapan |
- Bangkit pertahankan akidah
- Bina kekuatan ekonomi ASEAN
- Taman Perindustrian Qingzhu ikon hubungan Malaysia-China
Posted: Bangkit pertahankan akidahOleh SITI MAISARAH SHEIKH RAHIM KUALA LUMPUR 21 Okt. - Semua umat Islam perlu bangkit dan bersatu mempertahankan Islam daripada diganggu-gugat oleh musuh-musuh agama. Sebagai reaksi kepada Himpunan Sejuta Umat (Himpun) yang bakal berlangsung di Stadium Shah Alam esok, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, penganjuran perhimpunan itu hanya bertujuan untuk menyeru umat Islam negara ini supaya berpegang teguh mempertahankan kesucian agama. Katanya, ia sekali gus menafikan bahawa ia dianjurkan atas sebab politik. ''Saya akan hadir (Himpun) esok. Semua umat Islam perlu bangun mempertahankan Islam dan perhimpunan esok hanya untuk menyeru umat Islam supaya berpegang teguh demi mempertahankan agama,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Setakat ini, hampir 100,000 ahli daripada 3,000 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sudah mengesahkan kehadiran sebagai menyatakan sokongan menjayakan Himpun yang bertujuan menyelamatkan akidah umat Islam daripada gejala murtad. Baru-baru ini, Harussani turut menggesa pihak berkuasa agama untuk mewujudkan akta Murtad bagi menghukum individu yang terbukti bersalah memurtadkan orang Islam kerana ia jelas bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Dalam pada itu, Setiausaha Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (Accin), Dr. Mohd. Roslan Mohd. Nor berkata, golongan bukan Islam tidak boleh mempersoalkan tindakan penganjuran perhimpunan itu kerana ia adalah hak Islam sekali gus berlandaskan Perlembagaan Persekutuan yang tidak membenarkan mana-mana agama lain melakukan dakyah kepada umat Islam. Katanya, tindakan tersebut juga selari dengan Deklarasi Cairo iaitu satu deklarasi terhadap hak asasi manusia dalam Islam yang diluluskan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan diterima oleh Persidangan Pertubuhan Islam (OIC) (OIC) pada tahun 1990. ''Sebagai masyarakat Islam yang ingin menzahirkan keprihatinan mereka, kita boleh lakukan perhimpunan ini mengikut undang-undang. ''Oleh itu, saya menyeru semua umat Islam supaya turun beramai-ramai esok sebagai menyatakan pendirian kita,'' katanya. Pengerusi Majlis Amal Islami Malaysia, Datuk Nakhaei Ahmad pula berkata, penganjuran perhimpunan itu merupakan langkah terbaik untuk menyedarkan mana-mana pihak agar tidak terlalu ghairah mendapatkan kuasa biarpun sanggup menggadaikan maruah agama dan bangsa. ''Adalah amat wajar NGO Islam tampil ke hadapan supaya keghairahan parti politik yang mengejar kuasa dapat disekat. ''Sekiranya ada parti politik bersikap sedemikian, pihak bukan Islam tidak rasa takut untuk mengembangkan agama mereka di kalangan orang Islam,'' katanya. Sementara itu, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyokong Himpun kerana ia melibatkan urusan akidah umat Islam dan mendapat permit polis. Sehubungan itu, pengerusinya, Datuk Mohamad Adzib Mohd. Isa turut menyeru umat Islam lain yang menyokong usaha mempertahankan akidah dan agama Islam di Selangor supaya hadir beramai-ramai pada perhimpunan itu. ''Saya yakin semua yang hadir adalah kerana menyokong usaha untuk mempertahankan akidah Islam dan akan menjadi tetamu yang beradab. ''Saya sendiri akan hadir bersama keluarga sebagai seorang umat Islam yang menyokong usaha ini," katanya. Full content generated by Get Full RSS. |
Posted: Bina kekuatan ekonomi ASEANNAJIB Tun Razak (tengah) bersama Perdana Menteri China Wen Jiabao (lima kanan) menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian China-Malaysia Qinzhou Industrial Park diwakili Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dengan Menteri Perdagangan China, Chen Deming (kanan) di Li Yuan Resort, Nanning, China, semalam. – BERNAMA NANNING, China 21 Okt. – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengajak negara-negara rantau ini terutama ASEAN agar tidak lagi terlalu hanya melihat kepada Eropah dan Amerika Syarikat sebagai sumber perdagangan utama. Sebaliknya, beliau menyarankan agar negara ASEAN terutamanya bergerak membina kekuatan dalam rantau itu sendiri sebagai sebahagian daripada cara menangani kemelut ekonomi global masa kini. ''Kita perlu maklum mengenai cabaran ekonomi yang dihadapi oleh Eropah dan Amerika Syarikat ketika ini dan kita di rantau ini sedang menghadapi kesan daripadanya. ''Eksport kita dijangka suram untuk tempoh mendatang. Jadi sebagai usaha menanganinya, kita perlu mencari sumber-sumber alternatif lain bagi memastikan pertumbuhan ekonomi kita sendiri. ''Jika kita sukar untuk meningkatkan lagi perdagangan dengan Barat ketika ini, kita sepatutnya mempertingkatkan perdagangan dan perniagaan antara sesama sendiri di rantau ini," katanya ketika berucap pada perasmian Ekspo China-ASEAN 2011 kelapan yang dirasmikan oleh Perdana Menteri China, Wen Jiabao di Pusat Pameran Antarabangsa Nanning (NICEC) di sini hari ini. Turut menyertai Perdana Menteri lebih 100 syarikat dari Malaysia bagi meneruskan hubungan dagang sedia ada selain meneroka peluang-peluang baharu dengan China. Pada persidangan kali ini Malaysia dipilih sebagai negara yang diberi penghormatan untuk mewakili ASEAN pada ekspo tahunan itu. Nanning dalam wilayah Guangxi yang berkepadatan lebih 40 juta orang telah dipilih sebagai lokasi tetap ekspo kerana kedudukannya yang hampir dengan negara ASEAN. Ia bagi memudahkan negara ASEAN meneroka peluang-peluang perniagaan dan perdagangan dengan wilayah-wilayah lain dalam negara China. Menurut Perdana Menteri, di sebalik masalah ekonomi yang dihadapi oleh Barat ketika ini, perdagangan antara China dan ASEAN telah menunjukkan perkembangan memberangsangkan berbanding 20 tahun lalu dengan nilai AS$8 bilion pada 1991 telah melonjak kepada AS$231.2 bilion tahun lepas. Katanya, pada ketika ini nilai dagangan China dan negara ASEAN mencatatkan angka 11 peratus menjadikan negara itu rakan dagang terbesar ASEAN. ''Bagaimanapun, masih ada ruang lagi untuk meningkatkan nilai dagangan rantau ini dengan China ketika ini dan pada masa akan datang. Justeru saya mengalu-alukan sasaran China untuk meningkatkan nilai dagang dua hala kepada AS$500 bilion menjelang 2015. Najib bagaimanapun tidak menolak bahawa bukan mudah untuk mencapai sasaran tersebut melainkan melalui kerjasama yang berkesan dan kerja kuat antara rantau ini dengan China terutama dalam memenuhi kehendak pasaran dan perkhidmatan. Mengenai ekspo kali ini yang bertemakan Kerjasama Melindungi Alam Sekitar, Perdana Menteri menegaskan pentingnya mempromosikan penggunaan teknologi yang lebih bersih dan mengurangkan pencemaran dalam membangunkan ekonomi. ''Ini selaras dengan persetujuan yang dicapai pada Mesyuarat ASEAN-China ke-11 pada 2007 dengan pemuliharaan alam sekitar antara senarai penting di sebalik kerjasama yang dijalinkan. ''Antaranya melalui persetujuan pelaksanaan pelan hijau ASEAN-China yang menekankan kepentingan teknologi mesra alam dan pelabelan produk mesra alam," ujarnya. Begitupun, bukan mudah memenuhi misi tersebut melainkan melalui kesedaran yang tinggi dalam kalangan masyarakat dunia selain mempromosikan pendidikan serta penggunaan teknologi mesra alam. Hanya dengan cara ini sahajalah, tambahnya lagi, dunia dapat menjamin generasi kini dan akan datang menikmati sumber makanan dan minuman yang selamat. Sementara itu, selain memenuhi program yang padat sepanjang hari ini bersama Jiabao, Najib juga menyaksikan acara menandatangani perjanjian antara syarikat-syarikat Malaysia dan China bagi melaksanakan pelbagai projek kerjasama bernilai beberapa bilion ringgit Malaysia. Antaranya membabitkan projek kerjasama pertukaran perjanjian perkhidmatan kitar semula buangan pepejal, projek menaik taraf Lapangan Terbang Lingling, Yongzhou, pembangunan kawasan perdagangan bebas hijau Yongzhou-ASEAN-Malaysia Eco-City, projek tenaga angin dan solar, pembelian 200 unit bas untuk Perak Transit dan kerjasama R&D/komponen membabitkan Proton dan Hawtai Motor Group. – Utusan Full content generated by Get Full RSS. |
Taman Perindustrian Qingzhu ikon hubungan Malaysia-China Posted: Taman Perindustrian Qingzhu ikon hubungan Malaysia-ChinaNANNING, China 21 Okt. - Malaysia dan China bersetuju untuk membangunkan projek Taman Perindustrian Qingzhu dalam wilayah Guangxi yang melambangkan ikon hubungan erat kedua-dua negara dalam perniagaan dan perdagangan. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kawasan seluas lebih 55 kilometer persegi itu membolehkan syarikat Malaysia membina tapak lebih kukuh dalam meneroka pasaran yang lebih luas di negara itu. ''Kita dah senaraikan syarikat-syarikat Malaysia yang berpotensi untuk ambil bahagian di taman tersebut dan rundingan mengenainya telah pun bermula. Syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) yang berpotensi juga boleh turut serta. ''Setakat ini, kerajaan Malaysia telah bersetuju untuk melantik Kumpulan Rimbunan Hijau mengetuai misi menarik syarikat-syarikat dari Malaysia beroperasi di kawasan itu. ''Jika projek ini dapat dilaksanakan, ia bakal membuktikan kemampuan Malaysia dalam melaksanakan misi perdagangan dan perniagaannya di peringkat antarabangsa dan di China khususnya dalam pelbagai bidang yang akan dikenal pasti kelak," katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Kawasan Perindustrian China (Qinzhou) bersama rakan sejawatannya dari China, Wen Jiabao. Najib mengadakan lawatan kerja dua hari ke sini yang berakhir hari ini atas jemputan Jiabao apabila Malaysia diundang menjadi Negara Kehormat Ekspo China-Asean (CAEXPO) 2011 di sini tahun ini. Perdana Menteri berkata, projek itu adalah strategik kerana kawasan itu amat berhampiran dengan negara ASEAN dan pelabuhan Hainan yang merupakan pusat pelaburan berpotensi besar di China. Selain itu, sebagai sokongan tambahan untuk memupuk perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan China, yang termasuk projek Taman Perindustrian Qinzhou, Najib juga mengumumkan pelantikan Pengerusi Majlis Perniagaan Malaysia-China, Tan Sri Ong Ka Ting sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke China. Taman Perindustrian Qinzhou, yang mempunyai keluasan 55 kilometer persegi itu, akan dibangunkan dalam tiga fasa dan akan mengambil masa 15 tahun untuk disiapkan. Fasa pertama, seluas 15 kilometer persegi akan siap dalam masa lima tahun. Sebuah bandar raya pelabuhan dekat kawasan itu telah siap pada 2009. Projek itu dicadangkan oleh kerajaan China ketika pertemuan Najib dengan Wen di Kuala Lumpur pada April lepas. Sementara itu, Malaysia dan China juga telah bersetuju untuk menyelesaikan isu sekatan ke atas pengeksportan produk sarang burung walet ke negara itu yang kini menjejaskan pendapatan puluhan ribu pengusaha bahan itu di Malaysia. Najib berkata, beliau telah bertemu dengan rakan sejawatannya, Wen Jiabao hari ini bagi menyuarakan masalah yang dihadapi oleh pengusaha di Malaysia ekoran sekatan itu. ''Kita melihat jika sekatan ini diteruskan ia bakal menjejaskan kehidupan lebih 50,000 pengusaha sarang burung walet yang banyak antaranya terdiri daripada masyarakat luar bandar dan bumiputera," katanya. - UTUSAN ''Malaysia gembira kerana Jiabao maklum dan bersetuju betapa pentingnya perusahaan itu kepada rakyat Malaysia dan bersetuju agar perbincangan dapat dilaksanakan secepat mungkin agar sekatan itu dapat ditamatkan," katanya. Sekatan tersebut dilaksanakan ekoran dakwaan produk sarang burung walet dari Malaysia didakwa mengandungi paras nitrat yang tinggi yang boleh menjejaskan kesihatan pengguna. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Muka Hadapan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan