Selasa, 11 Oktober 2011

Utusan Online - Muka Hadapan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Muka Hadapan


Sultan amat tersinggung

Posted:

Sultan amat tersinggung

Sultan amat tersinggung

Oleh AZIAN AZIZ
pengarang@utusan.com.my

SHAH ALAM 10 Okt. – Siasatan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas majlis Thanksgiving Dinner yang diadakan di Dewan 3, Kompleks Dream Centre di Seksyen 13, Petaling Jaya pada 3 Ogos lalu mendapati berlaku cubaan untuk memesongkan kepercayaan dan akidah umat Islam

Sehubungan itu Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melahirkan rasa amat tersinggung dengan usaha-usaha pihak tertentu yang cuba melemahkan kepercayaan dan akidah orang Islam di negeri ini.

Berikutan adalah kenyataan penuh Sultan Sharafuddin Idris Shah:-

Beta selaku Ketua Agama Islam Negeri Selangor amat mengambil berat di atas tindakan yang dilakukan oleh Bahagian Penguatkuasan, Jabatan Agama Islam, Selangor (JAIS) yang telah menjalankan pemeriksaan ke atas majlis 'Thanksgiving Dinner' yang diadakan di Dewan 3, Kompleks Dream Centre, Seksyen 13, Petaling Jaya pada 3 Ogos 2011 yang lalu.

Beta amat berharap agar rakyat Negeri Selangor tanpa mengira bangsa dan agama tidak menyalahanggap dan mempertikaikan tindakan JAIS tersebut sebelum mengetahui dengan jelas fakta sebenar mengenai tindakan yang telah diambil oleh pihak JAIS.

Sebagai sebuah Jabatan Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab menguatkuasakan undang-undang Islam dalam Negeri ini, JAIS mempunyai tugas yang berat untuk memastikan Agama Islam dalam Negeri Selangor ini sentiasa dipelihara dan dimartabatkan selaras dengan kedudukan Agama Islam sebagai agama Negeri Selangor di bawah Perkara XLVII Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor, 1959 dan juga agama Persekutuan di bawah Fasal (1) Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

Pihak JAIS telah menyembahkan kepada Beta laporan penuh mengenai pemeriksaan yang telah dijalankan di kompleks Dream Centre, Seksyen 13, Petaling Jaya tersebut dan juga tindakan susulan yang telah diambil oleh JAIS. Beta sendiri telah meneliti laporan tersebut dengan terperinci dan Beta berpuas hati bahawa tindakan JAIS tersebut adalah betul dan tidak menyalahi mana-mana undang-undang yang berkuat kuasa di Negeri Selangor ini.

Tindakan JAIS tersebut adalah selaras dengan bidang kuasa yang diperuntukkan di bawah Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003, Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 dan Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) Negeri Selangor, 1988.

Agama Islam yang diamalkan dalam Negeri Selangor ini adalah sebuah agama yang penuh toleransi. Penganut agama Islam sentiasa dipupuk agar menghormati penganut-penganut agama lain.

Walaupun begitu, mana-mana pihak tidak boleh mengambil kesempatan untuk cuba mengembangkan ajaran agama lain kepada penganut Agama Islam.

Ini adalah selaras dengan Fasal (1) dan (4) Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan dan Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) Negeri Selangor, 1988 yang tidak membenarkan pengembangan ajaran agama lain kepada penganut Agama Islam.

Perkara XLVII Undang-Undang Tubuh, Kerajaan Selangor 1959, Fasal (1) Perkara 3 dan Fasal (1) Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan telah memberikan hak kebebasan beragama kepada penganut agama lain untuk mengamalkan ajaran agama mereka masing-masing dengan aman dan harmoni.

Hak kebebasan tersebut telah pun berjalan dengan penuh harmoni dalam Negeri ini. Beta amat berharap keharmonian tersebut yang telah wujud sekian lama terus dikekalkan.

Peliharalah hak dan agama masing-masing dan jangan sekali-kali cuba mempengaruhi dan memesongkan fahaman dan kepercayaan orang Islam terhadap agama Islam.

Merujuk kepada siasatan pihak JAIS, terdapat keterangan bahawa ada cubaan untuk memesongkan kepercayaan dan aqidah umat Islam.

Tetapi keterangan yang diperolehi tidak mencukupi untuk tindakan undang-undang diambil.

Oleh itu setelah meneliti dengan secara mendalam laporan oleh pihak JAIS dan setelah mendapat nasihat dari pakar-pakar agama dan undang-undang, Beta bersetuju tiada pendakwaan terhadap mana-mana pihak.

Walau bagaimanapun Beta menitahkan JAIS memberikan kaunseling kepada orang Islam yang terlibat dalam majlis tersebut supaya aqidah dan kepercayaan mereka terhadap Agama Islam dapat dipulihkan.

Beta juga menitahkan JAIS supaya menjalankan aktiviti dakwah terhadap orang Islam dengan lebih kerap dan tersusun supaya akidah dan kepercayaan mereka terhadap Agama Islam dapat dipelihara dan dipertingkatkan.

Beta amat berharap selepas daripada ini, apa-apa kegiatan dan aktiviti yang sedang berjalan atau yang akan berjalan bagi tujuan mengembangkan ajaran agama lain kepada penganut Agama Islam dalam Negeri Selangor ini hendaklah dihentikan segera dan tiada kegiatan dan aktiviti yang serupa dijalankan di masa hadapan.

Sesungguhnya Beta selaku Ketua Agama Islam Negeri Selangor ini amat mengambil berat dan berasa amat tersinggung dengan usaha-usaha pihak tertentu yang cuba untuk melemahkan kepercayaan dan aqidah orang Islam dalam Negeri Selangor ini.

Beta menitahkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan JAIS supaya sentiasa mengadakan pemantauan rapi dan mengambil tindakan sewajarnya tanpa perlu teragak-agak lagi selaras dengan bidang kuasa yang diperuntukkan di bawah undang-undang.

Beta juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah mengambil berat berkaitan isu ini dan yang telah memberikan kerjasama dan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada JAIS.

Full content generated by Get Full RSS.

Ananda nafi berlaku salah laku pembelian Aircel di India

Posted:

Ananda nafi berlaku salah laku pembelian Aircel di India

Ananda nafi berlaku salah laku pembelian Aircel di India

KUALA LUMPUR 10 Okt. - Maxis Communications Bhd. (Maxis) yang dimiliki oleh tokoh korporat terkemuka T. Ananda Krishnan menafikan sekeras-kerasnya berlaku sebarang salah laku dalam pembelian Aircel Ltd. di India pada tahun 2006.

Maxis dikaitkan dengan tindakan oleh pihak berkuasa India, Biro Penyiasatan Pusat (CBI) mendakwa bekas Menteri Persekutuan, Dayandhi Maran dengan konspirasi jenayah, penyelewengan dan rasuah berhubung dakwaan membantu memberikan lesen telekomunikasi semasa beliau menjadi Menteri Telekomunikasi antara Februari 2004 dan Mei 2007.

Maxis dalam kenyataan di sini berkata, pengambilan alih Aircel adalah transaksi komersial, transaksi setaraf antara penjual dan pembeli yang sanggup, malah Maxis telah membayar pada harga yang dituntut oleh penjual, Siva Ventures Limited (Siva).

Selain itu, Maxis baru-baru ini telah berjaya mempertahankan prosiding timbang tara antarabangsa terhadapnya oleh bekas pemilik Aircel, Siva, di mana tuntutan terhadap Maxis ditolak secara keseluruhannya.

Maxis berkata, pihaknya masih belum menerima Laporan Maklumat Awal (FIR) tersebut tetapi memahami bahawa syarikat tersebut bersama beberapa pihak yang lain telah dituduh atas dakwaan paksaan dan rasuah.

"Maxis maklum mengenai siasatan yang sedang dijalankan oleh Biro Siasatan India (CBI).

"Walaupun kecewa terhadap FIR yang difailkan namun kami tetap memberi kerjasama penuh kepada CBO kerana yakin dakwaan tersebut tidak berasas dan tidak benar," katanya.

Tambahnya, Maxis kekal komited terhadap pasaran telekomunikasi di India yang mana sejumlah lebih AS$8 bilion telah dilaburkan sejak mengambilalih Aircel.Ia kini mempunyai pelanggan seramai lebih daripada 50 juta orang.

Sementara itu Dow Jones dalam laporannya memetik jurucakap CBI, Dharini Misra sebagai berkata, selain mendakwa Maran, CBI semalam turut menfailkan FIR untuk memulakan siasatan rasmi terhadap abang Dayanidhi Maran yang merupakan Pengerusi Sun TV Network Ltd. (Sun TV), Kalanidhi serta T. Ananda Krishnan.

Dakwaan yang sama juga difailkan terhadap Sun TV, Astro All Asia Networks PLC, dan Maxis serta eksekutif kanan Maxis, Ralph Marshall, katanya.

Dakwaan itu membawa hukuman penjara minimum selama enam bulan sehingga lima tahun dengan dikenakan denda.

Maran merupakan menteri persekutuan kedua yang meletakkan jawatan dalam tempoh kurang setahun selepas bekas Menteri Telekomunikasi, Andimuthu Raja didakwa mengenai peranan mereka terhadap peruntukan lesen dan khidmat telekomunikasi generasi kedua.

Maran menjadi tumpuan selepas media tempatan melaporkan bahawa beliau memberi kelebihan kepada syarikat telekomunikasi tidak disenaraikan iaitu Aircel Ltd. semasa menjadi menteri.

CBI sejak itu telah memberitahu Mahkamah Agung, Maran telah memainkan peranan dalam memaksa pemilik Aircel untuk menjual kepada Maxis pada 2006.

Aircel pada waktu itu dimiliki oleh pelabur C. Sivasankaran, yang tidak dapat dihubungi untuk memberi komen.

Full content generated by Get Full RSS.

Lagi warga Malaysia diculik di Filipina

Posted:

Lagi warga Malaysia diculik di Filipina

Lagi warga Malaysia diculik di Filipina

Oleh WAN NOOR HAYATI WAN ALIAS dan ILLAH HAFIZ AZIZ
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 10 Okt. - Seorang rakyat Malaysia dipercayai diculik oleh empat lelaki warga Filipina ketika membeli ikan di Pondohan Lok Angki, Sitangkai di Kepulauan Tawi Tawi, selatan Filipina, Rabu lalu.

Mangsa, Pang Chong Pong, berusia 47 tahun dan sudah beristeri itu berasal dari Kuching, Sarawak dikatakan dilarikan kumpulan penculik berkenaan kira-kira pukul 10 pagi.

Menurut sumber, kejadian itu berlaku ketika mangsa bersama tiga pekerjanya yang dipercayai warga Filipina menaiki dua buah bot untuk melakukan urus-niaga membeli ikan hidup di kawasan itu.

"Difahamkan, mangsa dan tiga pekerjanya telah berada di Sitangkai sejak Selasa lalu.

"Ketika di kepulauan itu, mangsa dilaporkan dihampiri empat lelaki yang tidak dikenali dan bersenjata api. Dia kemudian dilarikan ke lokasi yang belum diketahui," kata sumber itu ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Sebelum ini, seorang rakyat Malaysia, Mohd. Nazaruddin Saidin, 38, diculik Kepulauan Jolo, Filipina pada 7 Mei lalu dan kini belum dibebaskan setelah kumpulan penculik meminta wang tebusan bernilai jutaan ringgit.

Dalam kes terbaru ini, mangsa merupakan pengusaha ikan sangkar di laut Kampung Bangau-Bangau, Semporna dan sering ke Sitangkai untuk membeli ikan hidup.

"Setakat ini, pihak penculik belum menghubungi mana-mana pihak untuk menuntut wang tebusan. Identiti penculik dan motif jenayah itu juga belum diketahui tapi kita percaya ia berkaitan dengan wang tebusan," katanya.

Berikutan kejadian itu, keluarga mangsa membuat laporan polis selepas kehilangan mangsa.

Dalam pada itu, Utusan Malaysia difahamkan tiga pekerja mangsa ditahan oleh polis untuk membantu siasatan.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved