Utusan Online - Selatan |
- Selami cara hidup warga Felda
- 'Pengalaman manis yang sukar dilupa'
- Pantau projek guna kren, elak kemalangan
Posted: Selami cara hidup warga FeldaOleh SAJIDA ASARULAH KHAN Sebahagian mahasiswa yang menyertai Projek Bakti Murni di Felda Raja Alias, Palong dan Serting Hilir, baru-baru ini. JEMPOL 10 Okt. - Kehidupan bermasyarakat yang erat di kalangan warga Felda mendapat perhatian ramai pihak apabila kawasan peneroka itu kini menjadi tumpuan mahasiswa universiti dari dalam dan luar negara untuk mendalami aspek kehidupan masyarakat luar bandar. Ini dibuktikan menerusi penganjuran Projek Bakti Murni yang menyaksikan hampir 450 mahasiswa dari 36 negara menyertai program berkampung dan mendekati warga Felda di sekitar daerah ini. Program anjuran Kementerian Pengajian Tinggi dengan kerjasama Felda tersebut membabitkan tiga zon iaitu Raja Alias, Palong serta Serting Hilir Kompleks. Menurut Pengerusi Urus Setia Program, Zainal Abidin Sebli Hambali, program empat hari itu disertai oleh mahasiswa institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA dan IPTS) tempatan dan antarabangsa. Katanya, antara yang menarik tentang program itu ialah penuntut IPTA dan IPTS antarabangsa dari Azerbaijan, Bahrain, Botswana, Brunei, Kemboja, Kanada, China, Djibouti, Mesir, Guinea, India, Indonesia, Iran dan Iraq turut menjayakan program tersebut. ''Kita juga menerima penyertaan mahasiswa dari Kazakhstan, Kenya, Kyrgyzstan, Maldives, Mauritius, Mongolia, Maghribi, Myanmar, Nigeria, Pakistan, Rusia, Somalia, Afrika Selatan, Sri Lanka, Sudan, Syria, Tajikistan, Tanzania, Turki, Uzbekistan serta Yemen. ''Pelbagai aktiviti disediakan bagi membolehkan peserta menimba pengalaman baru serta mempelajari aspek kehidupan masyarakat luar bandar," katanya di sini, baru-baru ini. Jelas Zainal, objektif utama projek tersebut adalah bagi membuka peluang kepada peserta mempelajari adat dan budaya termasuk aspek sosio ekonomi masyarakat di sini. ''Melalui program ini kita berharap ia dapat menggalakkan penuntut tersebut memahami kehidupan sebenar, sekali gus membuka mata terhadap dunia luar dan bukan sekadar terperuk di dalam kampus menelaah pelajaran semata-mata,'' katanya. Tambah beliau, program tersebut juga menjadi landasan kepada peserta untuk mengeratkan hubungan dengan penduduk menerusi projek berteraskan kemasyarakatan. ''Pelbagai aktiviti diadakan sepanjang empat hari di sini. Antaranya, program anak angkat, pemeriksaan gigi dan mata, sukan, motivasi, demonstrasi masakan dan persembahan kebudayaan. ''Pada masa sama, kehadiran penuntut dari universiti tempatan juga dijadikan pembakar semangat kepada anak-anak warga Felda sebagai perangsang serta dorongan untuk mereka melanjutkan pengajian ke tahap yang lebih tinggi. ''Penuntut akan menerangkan kursus yang ada di pusat pengajian mereka dan secara tidak langsung menarik minat anak peneroka untuk belajar bersungguh-sungguh, sekali gus mempunyai impian untuk ke menara gading," ujarnya. Zainal memberitahu, program tersebut turut melibatkan kolej termasuk IPTA dan IPTS tempatan seperti kolej komuniti, politeknik, Kolej Universiti Perubatan Cyberjaya, Universiti Sains Islam Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Teknologi Mara, Kolej Universiti Teknologi dan Inovasi serta Universiti Tun Hussein Onn. Perasmian program tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad. Full content generated by Get Full RSS. |
'Pengalaman manis yang sukar dilupa' Posted: 'Pengalaman manis yang sukar dilupa'JEMPOL 10 Okt. - Para peserta yang terlibat dalam Projek Bakti Murni di beberapa penempatan Felda di sini iaitu di Felda Raja Alias, Serting Hilir dan Palong menyifatkan pengalaman tinggal bersama masyarakat di kawasan tersebut sebagai kenangan manis yang sukar dilupakan. Menurut mereka, sikap ramah dan mesra penduduk tempatan yang dapat menerima mereka dengan baik amat dikagumi walaupun tidak pernah mengenali antara satu sama lain sebelum ini. Seorang peserta, Ahmed Abobaky, 22, dari Yemen berkata, dia amat gembira kerana terpilih untuk menyertai program tersebut di perkampungan Felda yang tersusun, bersih dan cantik itu. ''Masyarakatnya pula ramah dan mudah mesra. Pada mulanya saya amat risau apabila mengetahui terpaksa menginap di rumah penduduk di sini menerusi program anak angkat. ''Ini kerana saya bimbang perbezaan budaya dan masalah komunikasi akan berlaku. Rupanya pandangan saya meleset kerana mereka juga pandai berkomunikasi dalam bahasa Inggeris," ujarnya. Bagi Mena Al-Attraqchi, 21, dari Iraq, program itu telah meninggalkan kesan serta mengeratkan lagi hubungan peserta dengan keluarga angkat. ''Sebelum ini saya tidak mengetahui tentang perkampungan Felda. Tidak sangka ada kampung seperti ini. Saya sangat teruja," katanya. Babak Rahimi, 31, dari Iran pula berkata, dia amat tertarik dengan makanan di negeri ini yang disifatkannya sedap walaupun sangat pedas. ''Apa yang pasti saya akan merindui makanan penduduk di sini. Ini merupakan kali pertama saya keluar dari Kuala Lumpur setelah dua bulan di Malaysia,'' katanya. Sementara itu, Alpha Daye Diallo, 19, dari Guinea mengakui dia berasa sedih apabila terpaksa berpisah dengan keluarga angkatnya. ''Ini kali pertama saya merasai pengalaman bersama keluarga angkat. Walaupun baru sahaja mengenali mereka, saya rasa seperti sudah rapat dengan mereka. ''Walaupun kehidupan peneroka di Felda dilihat dalam kelompok mereka sendiri, cara berfikir, berdikari dan sebagainya jauh lebih ke hadapan," katanya. Seorang peserta dari Brunei, Norajleen Uminatul Hafizan Alimas, 21, berkata, dia gembira apabila berpeluang mendekati pelajar dan penduduk setempat. ''Ketika bertemu mereka, saya dapati masih ada yang berpendapat adalah mustahil untuk mereka melangkah ke pusat pengajian tinggi," ujarnya. Dalam pada itu, Emmanuel Jahane, 22, dari Botswana pula berkata, dia tertarik dengan 'loghat' masyarakat di negeri ini walaupun tidak memahaminya. ''Ia sesuatu yang unik. Saya tidak pandai meniru kata-kata mereka. Namun saya berjaya menghafal beberapa perkataan seperti, "apo kobar" dan "timo kasih''. ''Rasanya program ini terlalu singkat sehinggakan saya tidak sempat mengenali keluarga angkat dengan lebih dekat. ''Walaupun begitu saya akan pastikan kami akan terus berhubung selepas ini," katanya. Full content generated by Get Full RSS. |
Pantau projek guna kren, elak kemalangan Posted: Pantau projek guna kren, elak kemalanganMELAKA 10 Okt. - Pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) negeri diminta menyediakan laporan perkembangan semasa projek-projek pembinaan melibatkan penggunaan peralatan kren dalam kawasan pentadbiran masingmasing. Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, sebagai permulaan, PBT dan pihak DOSH diminta mengemukakan laporan tersebut pada mesyuarat Exco kerajaan negeri Rabu ini. Menurutnya, langkah itu diambil untuk memastikan setiap pemaju projek pembangunan mematuhi prosedur keselamatan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. ''Arahan ini dikhususkan kepada projek yang menggunakan kren menara di tapak projek pembinaan. Kita mahu tahu perkembangan projek ini dari semasa ke semasa," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini. Usaha itu kata beliau, sebagai langkah mengelakkan kejadian sebuah kren pembinaan sebuah hotel 20 tingkat tumbang dan menyebabkan kematian seorang warga emas serta kecederaan parah tiga yang lain di Pulau Pinang pada 4 Oktober lalu. ''Pemantau perlu diingatkan tentang perkara ini. Kita tidak seharusnya meletakkan tanggungjawab keselamatan ini pada arkitek, kontraktor dan pemaju walaupun mereka ini profesional tetapi tidak bermakna, mereka ini akan sentiasa mematuhi prosedur keselamatan. ''Oleh itu, sudah menjadi tanggungjawab semua pihak berkuasa dan DOSH untuk memastikan aspek keselamatan ini dipatuhi oleh pemaju projek," kata beliau. Mohd. Ali berkata, PBT dan DOSH perlu mewujudkan bilik gerakan masing-masing bagi memantau aktiviti harian projek pembinaan termasuk membuat rekod bertulis. Langkah itu, katanya akan membuktikan pihak berkuasa mengambil perhatian dalam aspek keselamatan di tapak projek pembinaan terutama melibatkan kepentingan orang awam. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan