Selasa, 11 Oktober 2011

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Segera tangani fenomena murtad

Posted:

Segera tangani fenomena murtad

Segera tangani fenomena murtad

Oleh NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my

PEMERIKSAAN Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas sebuah premis yang dikaitkan dengan Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC), Petaling Jaya pada 3 Ogos 2011 cukup mengejutkan apabila ia mendedahkan bahawa terdapat gerakan tersusun kumpulan tertentu untuk memurtadkan orang Islam.

Majlis makan malam thanksgiving di premis itu telah dihadiri tiga lelaki dan sembilan wanita Islam berusia antara 20 hingga 40-an dari seluruh negara termasuk Melaka, Johor dan Selangor.

Dalam klip-klip video yang dipaparkan di laman YouTube yang dikaitkan dengan majlis yang diadakan di premis berkenaan jelas memaparkan orang Melayu sedang berucap dan secara terbuka mengaku telah murtad.

Bagaimanapun, bagi pensyarah Jabatan Ekonomi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Zaharuddin Abdul Rahman, 36, fenomena berkenaan tidak mengejutkan beliau yang telah terbabit secara langsung memberikan kaunseling kepada pelajar murtad sejak 15 tahun lalu.

''Pada 1996, ketika saya menjadi pemimpin pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di ibu negara, telah terdapat kira-kira 10 pelajar yang murtad.

''Terdapat dua kaedah yang biasa digunakan iaitu bagi pelajar lelaki mereka akan dihulurkan dengan bantuan kewangan oleh kumpulan berkenaan.

''Pelajar perempuan pula akan didekati lelaki bukan Islam yang berpura-pura tertarik dengan Islam dan berharap wanita berkenaan mengajarnya. Apabila pelajar perempuan ini telah jatuh cinta dengan lelaki terbabit, dia akan dipujuk untuk memeluk Kristian secara sukarela.

''Kadang kala pelajar perempuan terbabit terpaksa murtad kerana tiada pilihan setelah terlanjur melakukan zina dengan pelajar lelaki terbabit," jelasnya yang berkelulusan doktor falsafah (PhD) dalam bidang Syariah dan Pengajian Islam dari University of Wales, United Kingdom.

Menurut Zaharuddin, sasaran kumpulan berkenaan bukanlah pelajar perempuan yang kurang pegangan agama sebaliknya di kalangan yang bertudung labuh dan warak.

''Lagi kuat pegangan agama maka lagi banyak ganjaran kewangan yang akan diterima oleh pelajar lelaki ini sekiranya berjaya memurtadkan pelajar perempuan berkenaan," katanya kepada Utusan Malaysia di UIAM, Gombak kelmarin.

Prihatin dengan fenomena yang disifatkannya sangat membimbangkan, Zaharuddin secara sukarela turut menyumbang tenaga bagi menjayakan program Himpunan Sejuta Umat (Himpun) yang dijadual diadakan di Stadium Shah Alam, Selangor pada 22 Oktober ini bermula pukul 2 hingga 6 petang.

Mengulas lanjut, Zaharuddin berkata, beliau bersama-sama pihak sekretariat sedang berusaha untuk mendapatkan khidmat penceramah dari luar negara bagi berkongsi pandangan untuk menghadapi fenomena berkenaan.

''Mereka terdiri daripada kalangan ilmuwan bukan Islam yang sebelum ini sangat anti-Islam tetapi kemudiannya telah mendapat hidayah seperti Sheikh Yusuf Estes dari Amerika Syarikat (AS) dan Dr. Gary Miller yang nama Islamnya Abdul Ahad Omar dari Kanada. Seorang pendakwah terkemuka dari Indonesia, Yusuf Mansur juga telah mengesahkan untuk hadir," ujarnya.

Ditanya kenapa fenomena itu terus menular tanpa sekatan, beliau berkata, kumpulan berkenaan cukup berani kerana merasakan pihak berkuasa tidak akan bertindak tegas terhadap mereka.

''Sebagai seorang ahli akademik, saya faham dilema yang dihadapi oleh Kerajaan Pusat dan juga kerajaan-kerajaan negeri termasuk yang diperintah pembangkang yang bimbang dituduh bersikap dwistandard terhadap agama lain.

''Pendekatan berhati-hati dan bertindak menyelesaikan masalah menerusi perbincangan di sebalik tabir dibuat oleh pihak berkuasa kerana tidak mahu kehilangan undi daripada bukan Islam," ujarnya.

Sehubungan itu, tegasnya, satu-satunya cara untuk menyekat gerakan untuk memurtadkan umat Islam adalah melalui platform NGO.

''NGO Islam akan terus membuat desakan supaya setiap negeri menguatkuasakan sepenuhnya undang-undang yang melarang penyebaran agama lain kepada orang Islam.

''Kita juga mahu kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat mengambil berat resolusi Kongres Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) Seluruh Malaysia baru-baru ini yang mahukan pengurusan hal ehwal Islam di negara ini diperkukuhkan,'' tegasnya.

Dalam pada itu, katanya, penularan fenomena berkenaan juga berpunca daripada sikap orang Melayu yang hanya Islam pada nama tetapi tidak yakin dengan kebenaran agama yang dianuti mereka.

''Ketidakyakinan ini berpunca kerana mereka tidak mendapat penerangan yang sebaik-baiknya daripada para ilmuwan Islam. Ini berlaku kerana ada ulama kita yang merasakan diri mereka agak eksklusif sehingga tidak mahu bercampur dengan masyarakat.

''Ada yang tidak mahu berkomunikasi dengan orang ramai sekiranya tiada temu janji dan mereka juga tidak menggunakan media-media sosial seperti Facebook dan blog untuk berdakwah," ujarnya.

Katanya, sikap ulama itu yang merasakan kenyataan mereka begitu mahal menyebabkan masyarakat yang begitu dahagakan panduan beralih kepada golongan Muslim liberal yang membuat keputusan melalui pemikiran logik sebagai sumber rujukan.

Bagi menangani fenomena berkenaan, tegasnya, kerenah birokrasi yang melibatkan penyaluran wang zakat perlu dikurangkan dan sumbangan badan kebajikan serta syarikat korporat Islam perlu diperbanyakkan.

''Salah satu cara untuk memurtadkan orang Islam adalah melalui bantuan-bantuan kebajikan. Ada yang mendapat bantuan ini orang yang betul-betul susah dan setengahnya pula tidak berapa susah tetapi seronok mendapat pendapatan sampingan tanpa menyedari bahawa akidah mereka sedang dipesongkan," katanya.

Tambah beliau, satu mekanisme tersusun juga perlu diwujudkan bagi membantu orang Islam yang menghadapi masalah membiayai rawatan perubatan untuk mengelak mereka 'terhutang budi' dengan mubaligh yang sering mengunjungi hospital kerajaan bagi menghulur sumbangan.

Full content generated by Get Full RSS.

Membentuk teras rantaian nilai ekonomi berpendapatan tinggi

Posted:

Membentuk teras rantaian nilai ekonomi berpendapatan tinggi

Membentuk teras rantaian nilai ekonomi berpendapatan tinggi

Oleh ROHAMI SHAFIE
PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia

DUA hari sebelum pembentangan Bajet 2012 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, seluruh dunia dikejutkan dengan kematian ikon inovasi terkenal Steve Jobs.

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa beliau mungkin paling layak diberikan gelaran Bapa Inovasi Teknologi Moden yang telah menjadikan teknologi sebagai satu fenomena bagi penduduk dunia.

Kematian beliau "diratapi" oleh peminat-peminat teknologi terkini. Beliau pencetus dan peledak produk-produk hebat seperti iPhone, iPad, dan Mac. Menerusi produk-produk terkini, beliau telah menjadi usahawan dalam kelasnya yang tersendiri.

Mampukah negara kita melahirkan seseorang yang begitu hebat seperti beliau? Senario semasa dan masa hadapan memerlukan warga Malaysia yang kreatif dan berinovasi.

Melalui kreativiti dan inovasi, produk-produk terbaru yang memudahkan manusia bakal dicipta. Dengan kreativiti dan inovasi jugalah sekecil-kecil perkara sehingga sebesar-besar perkara akan mendatangkan manfaat kepada manusia.

Justeru itu, apabila inovasi dan kreativiti dimasukkan sebagai antara komponen utama Bajet 2012, ia perlu direbut oleh semua pihak terutamanya generasi muda.

Tertarik dengan fokus kedua, Bajet 2012 ini yang menekankan aspek kreativiti dan inovasi, mungkin ada yang berpendapat ia khas untuk golongan yang menguasai teknologi terkini.

Pendapat ini tidak benar dan perlu diperbetulkan. Umpamanya, seseorang yang mempunyai idea untuk mengurangkan kos elektrik yang amat tinggi yang terpaksa ditanggung oleh syarikat beliau bekerja juga merupakan seorang yang berinovasi meskipun idea beliau tidak melibatkan teknologi terkini.

Yang penting idea bernas beliau dapat dilaksanakan dengan baik. Sesuatu idea yang kreatif dan inovasi hanya tinggal idea semata-mata jika tidak dilaksanakan.

Untuk berjaya, seseorang itu bukan sahaja wajib mempunyai idea yang mencurah-curah tetapi juga berani untuk membawa idea-idea tersebut di hadapan orang ramai.

Idea-idea yang segar, kreatif dan inovasi apabila diketengahkan mampu menjadi fenomena di seluruh dunia. Ini yang berlaku pada idea "Facebook" yang diketengahkan pada tahun 2004.

Dalam tempoh tidak sampai beberapa tahun sahaja ia telah menjadi satu fenomena di seluruh dunia. Pemiliknya kini mempunyai kekayaan berbilion ringgit Malaysia.

Inilah antara contoh bagaimana kreativiti dan inovasi membentuk teras utama rantaian nilai ekonomi berpendapatan tinggi. Apabila kedua-dua ini dapat diterapkan dalam budaya rakyat Malaysia, tidak mustahil lebih banyak lagi produk komersial yang mempunyai nilai tambah yang tinggi bakal dihasilkan.

Selalunya, inovasi bermula dalam bentuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) tetapi cukupkah hanya sekadar kita bersandarkan pada R&D di universiti-universiti tempatan tanpa adanya sokongan oleh semua pihak terutamanya pihak korporat yang merupakan jurujual dan pemasar bagi produk-produk R&D?

Maka, apabila lebih daripada 300 harta intelek dalam bentuk produk dan teknologi baru daripada universiti ditawarkan kepada sektor korporat, ia seharusnya dipasarkan sebaik mungkin kerana nilai Pendapatan Kasar Nasional (GNI) cukup lumayan iaitu dianggarkan sebanyak RM30 bilion sehingga tahun 2020.

Dengan kata mudah, sokongan kerajaan semata-mata tidak mampu mengubah mentaliti dan membentuk budaya inovasi di kalangan rakyat Malaysia.

Peranan sektor korporat juga amat penting sebagai pemangkin budaya inovasi di kalangan rakyat Malaysia. Bagaimanapun, kerajaan juga berperanan sebagai perintis budaya inovasi di kalangan rakyat Malaysia.

Oleh itu, sebagai permulaan, tahun 2012 diumumkan sebagai Gerakan Inovasi Nasional, dan ini merupakan satu langkah awal yang mampu merealisasikan inovasi sebagai budaya dalam kehidupan rakyat Malaysia.

Dengan berbekalkan peruntukan RM100 juta, pelbagai program inovasi akan dilaksanakan di peringkat sekolah, universiti dan kawasan luar bandar.

Hasil penciptaan rakyat boleh diperagakan melalui program Jejak Inovasi. Tidak ketinggalan, produk-produk inovasi terbaik yang direka cipta oleh pelajar dan belia bakal mendapat pengiktirafan melalui Anugerah Cipta 1Malaysia (CIPTA).

Tidak terkecuali, syarikat modal teroka, MyCreative Venture Capital dengan modal permulaan RM200 juta ditubuhkan bagi menggalakkan generasi muda terlibat dalam bidang industri kreatif. Semuanya ini bagi mencerna kreativiti dan mencetus inovasi di kalangan generasi muda.

Tidak cukup dengan itu, World Innovation Forum dan Asia Business Angel Forum akan dianjurkan pada tahun 2012 bagi memberi ruang yang lebih luas di kalangan pemain produk inovasi dengan cara bersemuka sesama sendiri, seterusnya mencari jalan bagaimana untuk memartabatkan sesuatu produk inovasi dari peringkat awal sehinggalah peringkat pemasaran.

Menyentuh tentang pemasaran, sering kali kita dengar produk-produk R&D tidak mempunyai daya maju komersial dan akhirnya disimpan begitu sahaja. Dengan adanya Market Validation Fund dan dana permulaan sebanyak RM30 juta, produk-produk inovasi dan R&D akan melalui fasa market validation bagi menentukan daya maju komersial.

Diharapkan nanti, dengan tertubuhnya Market Validation Fund, lebih banyak lagi produk inovasi ditentukan daya maju komersial agar dapat membentuk satu rantaian nilai ekonomi berpendapatan tinggi untuk manfaat rakyat dan negara.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved