Utusan Online - Agrobiz |
UniMAP ceburi pertanian teknologi tinggi Posted: UniMAP ceburi pertanian teknologi tinggiOleh LAUPA JUNUS Dr. Rezuwan Kamaruddin meneliti pertumbuhan tanaman herba di Stesen Penyelidikan Agroteknologi, UniMAP, Sungai Cucuh, Padang Besar, Perlis. UNIVERSITI Malaysia Perlis (UniMAP) yang diwujudkan bagi memperkasa pelbagai bidang kejuruteraan, memanfaatkannya untuk pembangun teknologi tinggi dalam bidang pertanian. Dengan kepakaran yang dimiliki, UniMap mengambil pendekatan melestarikan teknologi rumah hijau dan fertigasi untuk pengeluaran sayur-sayuran dan buah-buahan bernilai tinggi di kawasan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER). Rumah hijau versi tropika dibina menggunakan persekitaran terkawal bagi membolehkan tanaman bernilai tinggi seperti kubis, bunga kubis, brokoli, tomato dan tembikai wangi di tanam di dataran rendah. Teknologi tersebut dimajukan oleh Prof Dr. Rezuwan Kamaruddin yang juga Dekan Pengurusan Akademik UniMAP sebagai peneraju dan penggerak. Menurut beliau, rumah hijau yang dibangunkan dapat mengatasi masalah berterusan pengeluaran tanaman di ladang terbuka. "Risiko pengeluaran tanaman di ladang terbuka sangat tinggi akibat kemusnahan akibat hujan lebat, persaingan rumpai, serangan serangga dan penyakit," kata beliau ketika ditemui di pejabatnya di Perlis baru-baru ini. Sementara sistem fertigasi yang semakin popular ketika ini adalah teknologi yang membekal air dan larutan baja terus ke zon secara tepat mengikut keperluan peringkat pertumbuhan tanaman. Penjimatan air dan larutan baja dapat dicapai sehingga sembilan kali ganda berbanding dengan pengeluaran di ladang terbuka. Justeru aplikasi teknologi rumah hijau dan sistem fertigasi dapat membantu meningkatkan hasil tanaman bernilai tinggi sehingga dua atau tiga ganda, berkualiti tinggi, sekali gus memberi keuntungan berbanding dengan pengeluaran konvensional di ladang terbuka. Beliau yang pernah berkhidmat dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), memberitahu, beberapa buah rumah hijau dan sistem fertigasi telah dibangunkan untuk pengeluaran tanaman bernilai tinggi di Stesen Penyelidikan Agroteknologi, UniMAP, Sungai Cucuh, Padang Besar, Perlis. Selain untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran, kemudahan tersebut juga berperanan sebagai hub rujukan setempat bagi pengusaha-pengusaha komersial di kawasan zon utara. Malah, katanya beberapa penyelidikan lanjutan sedang dijalankan untuk penambahbaikan teknologi tersebut. Teknologi berkenaan juga telah diguna pakai oleh beberapa buah sekolah menengah di Perlis untuk mendorong murid-murid sekolah menjadi petani moden apabila mereka menamatkan pengajian. Di samping itu, kemudahan tersebut menyediakan platform aktiviti kelab agroteknologi dan juga berfungsi sebagai makmal pengajaran dan pembelajaran secara praktikal bagi matapelajaran sains pertanian atau biologi. Antara sekolah yang aktif adalah Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra, Sekolah Menegah Dato' Sheikh Ahmad dan Sekolah Menegah Padang Besar. Menurut Rezuwan, sehingga kini beberapa agensi kerajaan dan swasta telah menerima pakai teknologi yang telah dibangunkan. Antaranya Malaysian Agrifood Cooperation (MAFC) iaitu salah sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) telah menerima pakai teknologi berkenaan dalam pengeluaran tanaman bernilai tinggi terpilih di dataran tinggi dan dataran rendah. Satu perjanjian persefahaman telah dimeterai antara UniMAP dengan Pihak Berkuasa Pelaksanaan NCER untuk membangunkan rumah hijau dan sistem fertigasi untuk pengeluaran tanam-tanaman bernilai tinggi secara besar-besaran di kawasan koridor terbabit. Katanya lagi, pembangunan teknologi pertanian tersebut adalah teknologi moden berasaskan input-input daripada multi-disiplin bidang kejuruteraan di UniMAP. Teknologi seperti ini versi temperat telah diguna pakai secara meluas di negara maju seperti Belanda, Amerika Syarikat dan Jepun. Katanya lagi, masa depan industri pertanian negara akan berkembang lebih pesat apabila teknologi rumah hijau dan sistem fertigasi dapat digunakan secara meluas. Ini dapat membatu mengurangkan bill import bahan makanan yang mencecah RM27.9 billion setahun berbanding eksport negara hanya RM7 bilion setahun. Full content generated by Get Full RSS. | ||
Posted: Penjaga Taman LautOleh ASHRIQ FAHMY AHMAD
Jika disebut tentang pulau pasti yang terlintas difikiran adalah kejernihan air, deruan ombak dan desiran angin laut sepoi-sepoi bahasa menyapu pipi. Malaysia merupakan antara 12 negara mega biodiversiti yang kaya dengan sumber asli dan memiliki keindahan pulau serta hidupan marin terbaik di dunia. Lihat sahaja kawasan yang tumpuan pelancong untuk aktiviti menyelam seperti di Pulau Sipadan, Pulau Tioman, Pulau Redang dan sebagainya senantiasa menawarkan panorama yang indah dan kaya dengan kehidupan marin. Kawasan pulau ini bukan sahaja menjadi tarikan pelancong dari dalam bahkan juga luar negara ia juga menjadi kawasan penempatan bagi penduduk setempat. Ia berikutan kawasan pulau-pulau di negara memiliki pelbagai kekayaan serta peluang untuk rakyat negara ini mencari rezeki antaranya adalah Pulau Tinggi di Johor yang juga telah diwartakan sebagai kawasan taman laut negara. Kelebihan yang dimiliki pada setiap pulau seharusnya dimanfaatkan dengan baik, justeru penglibatan komuniti setempat dalam membantu kerajaan untuk memastikan sumber yang terdapat disetiap pulau ini terjaga dengan baik amat diperlukan. Jelas Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE), Tan Sri Joseph Kurup, Pulau Tinggi merupakan antara pulau yang kaya dengan sumber biodiversiti marin dan memiliki keunikannya yang tersendiri. "Oleh yang demikian, pengurusan secara berkekalan sumber ini amat penting bagi memastikan ia dapat terus dinikmati oleh generasi kini dan akan datang. "Dalam hal ini, usaha Jabatan Taman Laut (JTLM) dalam penambahbaikan pengurusan taman-taman laut melalui penglibatan aktif komuniti setempat amatlah bertepatan," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Taman Laut Bersama Komuniti Pulau Tinggi, Johor baru-baru ini. Jelas Joseph, komuniti pulau merupakan masyarakat setempat yang tinggal di pulau dan terlibat secara langsung dengan sektor pekerjaan berasaskan marin dan eko-pelancongan. "Pekerjaan ini termasuklah seperti pengusaha resort, operator pelancongan, operator selam, nelayan selain menghasilkan produk kraftangan dari kayu kayan dan rotan yang terdapat banyak di sini," katanya. Justeru, ujar beliau komuniti itu harus menyedari bahawa tanggung jawab memelihara pulau yang telah diwartakan oleh kerajaan sebagai taman laut itu bukan sahaja terletak di bahu kerajaan semata-mata. Tambah beliau, kekayaan biodiversiti tersebut sekiranya tidak diurus, dipelihara dan dilindungi sebaiknya boleh memberi kesan negatif kepada sektor pelancongan dan taraf hidup masyarakat setempat. Ketua Pengarah JTLM, Dr. Sukarno Wagiman pula berkata pelbagai program turut diadakan bagi melibatkan komuniti pulau dalam usaha memelihara serta menjaga kawasan taman laut. Antara yang melibatkan komuniti pulau adalah seperti Pemerhati Batu Karang dan Badan Komuniti melalui Program Pembang Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP). "Melalui program ini, komuniti setempat ini boleh menyalurkan maklumat kepada pihat JTLM untuk membantu pihak kami mengatasi isu-isu pengurusan taman laut. "Ini kerana komuniti ini hidup dalam kawasan taman laut justeru mereka lebih peka malah bantuan serta maklumat awal yang diberikan kepada pihak JLTM memudahkan pihak kami untuk mengatur langkah bagi mengatasi masalah yang dihadapi dengan lebih pantas," katanya. Jelas Dr. Sukarno lagi, apabila kesedaran serta tanggungjawab menjaga taman laut dapat dipupuk dalam diri setiap komuniti tersebut ia akan memastikan setiap kawasan taman laut dapat dijaga dan dilindungi dengan lebih berkesan. Pulau Tinggi merupakan antara 42 buah pulau yang diwartakan sebagai taman laut di negara ini. Taman Laut Pulau Tinggi terdiri daripada perairan di sekitar 13 buah pulau termasuk Pulau Harimau, Pulau Mensirip, Pulau Goal, Pulau Besar, Pulau Tengah, Pulau Hujung, Pulau Rawa, Pulau Mentinggi, Pulau Sibu, Pulau Pemanggil dan Pulau Aur. Terletak kira-kira 20 batu nautika dari selatan Tenggara Mersing , ia mendapat nama demikian kerana puncak pulau tersebut mempunyai ketinggian mencecah 2,000 kaki dari aras laut. Malah, pulau ini juga memiliki kepadatan penduduk yang lebih besar berbanding pulau-pulau lain di Timur Negeri Johor. Kebanyakan penduduknya menetap di Kampung Tanjung Balang, Kampung Pasir Panjang dan Kampung Sebirah Besar. Penglibatan penduduk Pulau Tinggi dalam usaha konservasi serta pemuliharaan kawasan pulau turut disokong sepenuhnya oleh ketua kampung pulau tersebut. Dikenali sebagai Tok Mok atau nama sebenar beliau Rahaman Ali berkata, tugas sebagai ketua kampung Pulau Tinggi bukanlah sesuatu yang mudah jika tiada sokongan serta kerjasama daripada setiap penduduk di pulau tersebut. Ujar beliau, program penerangan yang dilakukan oleh JLTM banyak membuka mata penduduk kampung akan kepentingan menjaga kawasan Pulau Tinggi. "Malah, rata-rata penduduk kampung ini banyak memberi kerjasama seperti dari segi menjaga kebersihan pantai serta hidupan lautnya. "Kita juga sering mengadakan gotong royong pembersihan kawasan jika terdapat pencemaran dan bekerjasama sepenuhnya kepada JTLM dalam memberikan maklumat seperti kes pencerobohan ke atas kawasan taman laut," katanya. Dianggarkan hampir 500,000 pelancong datang ke taman laut seluruh negara setiap tahun. Kehadiran pelancong tersebut merupakan menyumbang terbesar terhadap peningkatan sektor pelancongan negara serta mampu menambah pendapatan serta membuka peluang pekerjaan kepada komuniti setempat. Jelas, penglibatan komuniti setempat dalam membantu kerajaan khususnya melalui agensi seperti JTLM mampu menyelamatkan kawasan kepulauan serta terumbu karang yang memiliki kekayaan biodiversitinya. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Agrobiz To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan