Utusan Online - Utara |
Posted: Masakan Cina halal Oleh ASLIZA MUSA Azlan Mohd. Said bersama pekerjanya di depan Restoran Mali Ipoh Seafood di Ipoh, baru-baru ini. IPOH 19 Sept. - Bandar raya ini sememangnya terkenal dengan kepelbagaian makanan sama ada berasaskan hidangan Melayu, India atau Cina. Malah, kerana kepelbagaian itu ada yang melabelkan bandar raya ini sebagai 'syurga' makanan. Tidak sukar untuk menikmati hidangan Melayu dan India kerana terdapat banyak gerai dan restoran yang menawarkan pelbagai jenis makanan berkenaan. Bagaimanapun, jika teringin dan beralih selera menikmati makanan Cina mungkin timbul sedikit kesulitan ekoran timbul persoalan tentang halal dan haram. Keenakan masakan Cina bukan sahaja digemari dan membuka selera masyarakat berbangsa Tionghua malah, ia turut menjadi pilihan masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Sememangnya diakui masakan Cina digemari ramai kerana keenakannya selain menggunakan bahan-bahan segar. Bahkan keenakan masakan itu lebih terasa disebabkan kaedah masakannya yang ringkas dan cepat, maka, kesegaran serta rasa makanan itu kekal terjamin. Namun, untuk mencari hidangan yang benar-benar asli dan terpelihara status halalnya agak sukar. Tidak semua ramuan dalam masakan Cina halal dinikmati, justeru status halal hidangan Cina pastinya menjadi halangan untuk orang Muslim menikmati hidangan tersebut. Kini, persoalan mengenai status halal itu bukan lagi menjadi halangan bagi penggemar masakan tersebut kerana Restoran Mali Ipoh Seafood di Jalan Raja Nazrin di sini menyediakan hidangan juadah Cina halal istimewa untuk orang Islam. Pengurusnya, Azlan Mohd. Said berkata, restoran yang mula beroperasi Ogos lalu itu dibuka bagi memberikan kepelbagaian hidangan masakan Cina untuk dinikmati penggemarnya tanpa was-was. "Ipoh sememangnya terkenal dengan pelbagai makanan terutamanya masakan Cina yang enak dan menyelerakan. "Namun, tidak semua ramuan yang ada dalam masakan Cina halal, justeru status halal hidangan Cina pastinya menjadi halangan untuk orang Muslim menikmati hidangan ini. "Oleh itu, dengan adanya restoran Mali Ipoh ini, penggemar masakan Cina beragama Islam boleh datang ke sini tanpa keraguan kerana ia disediakan oleh tukang masak berbangsa Melayu dan beragama Islam selain dibantu oleh pekerja melayu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini. Katanya, sehingga kini, Mali Ipoh Seafood yang beroperasi di bangunan dua tingkat itu mempunyai enam tukang masak dan 12 pekerja termasuk pelayan dan pembantu dapur. Jelas Azlan lagi, kesemua sos dan tepung yang digunakan untuk masakan dibuat dan diadun sendiri bagi memperoleh rasa yang istimewa. Katanya, paling istimewa, makanan laut seperti ikan, udang dan ketam yang masih hidup (dalam akuarium) boleh dipilih mengikut kesukaan pelanggan dan dimasak seperti diminta. Katanya, antara hidangan yang menjadi kesukaan pengunjung adalah haruan mangga, ketam marmite, kepala ikan norway masam pedas, asam kari kepala ikan, lam ko kicap, sotong mongolia, kailan dua rasa, tilapia stim ros, kari kepala kerapu dan ikan bawal claypot. "Di sini kita menyediakan hidangan yang segar iaitu pengunjung boleh memilih sendiri hidangan laut yang mereka mahukan melalui akuarium dan dimasak mengikut kesukaan mereka. "Ini bagi membolehkan kesegaran hidangan terjamin selain dimasak dengan cara yang betul bagi memastikan rasa hidangan tidak terjejas dan keenakan hidangan dikekalkan," katanya. Restoran yang sesuai untuk seisi keluarga itu juga turut menyediakan hidangan masakan Melayu dan barat. Restoran yang boleh memuatkan 160 pelanggan dalam satu-satu masa itu dibuka setiap Isnin hingga Jumaat dari pukul 11 pagi hingga 11 malam manakala pada hari Sabtu dan Ahad dibuka pukul 11 pagi hingga 12 malam. Bagi membuat tempahan orang ramai boleh menghubungi 05 2341618. |
'Samseng parkir' kuasai Padang Kota Posted: 'Samseng parkir' kuasai Padang KotaPULAU PINANG 19 Sept. - Orang ramai yang berkunjung ke kawasan rekreasi Padang Kota di sini bukan sahaja dikenakan caj letak kereta oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), malah terpaksa membayar upah tambahan kepada 'samseng' di situ. Mereka terpaksa menghulur antara RM2 hingga RM5 kepada sekumpulan lelaki yang menjalankan kegiatan haram itu kerana bimbang kenderaan masing-masing dicalarkan. Lebih dikesali, pejabat MPPP terletak di dalam kawasan tersebut. Ketua Pemuda Parti Cinta Malaysia (PCM), Liew Yeow Hooi berkata, tiada guna MPPP memasang meter bayaran letak kereta sedangkan agensi berkenaan tidak mampu menangani masalah tersebut. "Kerajaan DAP Pulau Pinang melanjutkan masa kutipan caj letak kereta hingga pukul 12 tengah malam bagi mengelak kegiatan haram ini tetapi ia masih berlaku. "Jika MPPP tidak mampu bertindak, cabut sahaja tiang meter letak kereta," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini. Menurutnya, masalah tersebut turut berlaku di kawasan-kawasan lain di negeri ini. Beliau berkata, MPPP perlu menjalankan pemantauan lebih kerap bagi membendung masalah tersebut. |
Posted: BUNGA MALAIKETUA UMNO Bahagian Pokok Sena, Datuk Ahmad Lebai Sudin (dua, kiri) dan isteri Datin Rashidah Ahmad (dua, kanan) beramah mesra dengan Ketua MIC Bahagian, K Varatharajoo (kiri) dan Ketua Wanita MIC Bahagian Pokok Sena, A Jeeva (kanan) yang menghadiahkan bunga malai pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di Taman Bandar Baru, Pokok Sena, Alor Setar, kelmarin. Turut hadir Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pokok Sena Syed Ali Syed Ratan, Ketua Pemuda UMNO Bahagian itu, Haris Che Mat dan 71 anak yatim Darul Aitam Wal-Masakim. Pelbagai juadah makanan istimewa seperti ketupat, lemang, sate, nasi kandar, ais kacang dan buah-buahan disediakan kepada lebih 5,000 pengunjung pelbagai lapisan masyarakat setempat terdiri daripada kaum Cina dan India. Majlis rumah terbuka anjuran UMNO Bahagian Pokok Sena itu bermula pada 12 tengah hari hingga 4 petang turut diserikan dengan nyanyian lagu-lagu dari pancaragam 6 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kepala Batas. – BERNAMA |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan