Utusan Online - Rencana |
Akta keselamatan masyarakat majmuk! Posted: Akta keselamatan masyarakat majmuk!DATUK RUHANIE AHMAD ialah bekas Ahli Parlimen Parit Sulong, Johor dan bekas pelajar pasca siswazah bidang strategi dan keselamatan di UKM. AKTA Keselamatan Dalam Negeri atau ISA yang dimansuhkan baru-baru ini perlu digantikan dengan satu undang-undang baru yang khusus untuk melindungi kesejahteraan rakyat majmuk di Malaysia. Negara memerlukan undang-undang baru ini untuk mencegah sensitiviti agama, kaum, bahasa, budaya dan ekonomi supaya tidak dijadikan punca konflik etnik (kaum) dan identiti (jati diri). Undang-undang ini perlu bagi mengelakkan pertembungan minat yang boleh mencetuskan persengketaan agama dan kaum sehingga menggugat keselamatan nasional dan kelangsungan negara seperti yang pernah terjadi pada 13 Mei 1969. Malaysia memerlukan undang-undang seperti ini kerana negara-negara membangun, termasuk di Asia, adalah "dibentuk untuk keselamatan dan kelangsungan (survival) negara tersebut" (Sity dan Zarina 2005:18). Undang-undang ini juga penting kerana konflik etnik dan identiti adalah punca utama yang menyebabkan umat sejagat berasa terancam (Kaufman2008:201). Ini terbukti bila tahun 1990-an tercetus 50 konflik etnik berbanding dua sahaja konflik antarabangsa di serata dunia. Contohnya adalah konflik etnik dan identiti di Bosnia Herzegovina yang menyebabkan pembunuhan beramai-ramai dan pembersihan etnik tahun 1990-an, dan di Somalia yang menyebabkan ratusan ribu manusia kebuluran dan terkorban hingga ke hari ini. Lantaran inilah mulai awal 1990-an, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta beberapa sarjana kajian keselamatan memperluaskan konsep keselamatan supaya merangkumi pelbagai ancaman bukan tradisional, termasuk ancaman keselamatan insan, khususnya keselamatan masyarakat di negara majmuk. PBB dan sarjana Eropah merangkumkan aspek keselamatan masyarakat ini di bawah konsep keselamatan insan dan keselamatan nasional kerana kebanyakan negara mutakhir ini lebih diancam oleh masalah dalaman, bukannya ancaman ketenteraan luaran. Berdasarkan realiti inilah konsep keselamatan insan versi PBB memfokus kepada ancaman kronik seperti kebuluran, penyakit dan penindasan; dan ancaman serius terhadap kehidupan manusia di rumah, tempat kerja atau di dalam masyarakat (Paris 2000:89). Konsep keselamatan insan versi Eropah, pula adalah berbeza dengan versi PBB. Walaupun ia menghuraikan aspek keselamatan ketenteraan, keselamatan ekonomi, keselamatan politik, keselamatan alam sekitar dan keselamatan masyarakat, huraian versi Eropah ini adalah dalam konteks keselamatan nasional dan kelangsungan sesebuah negara, khususnya negara majmuk. Oleh itu, jika ISA mahu digantikan dengan akta baru, akta tersebut perlulah berasaskan konsep keselamatan insan, terutama sekali keselamatan masyarakat. Kerana keselamatan masyarakat adalah membabitkan masalah kaum dan jati diri yang boleh mengancam keselamatan nasional serta kelangsungan negara Malaysia. Undang-undang keselamatan masyarakat ini wajar berpaksikan Perkara 10 (4) bagi mengawal isu-isu sensitif, termasuk mengenai kebebasan beragama yang termaktub dalam Perkara 11(4), Bahasa Melayu dalam Perkara 152, serta keistimewaan Melayu dan Bumiputera dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Undang-undang keselamatan masyarakat ini juga wajar bersandarkan kepada Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan yang antaranya bertujuan menentang tindakan "menggalakkan permusuhan antara kaum" yang mungkin menyebabkan keganasan di Malaysia sehingga mengancam ketenteraman awam dan kesejahteraan rakyat. Cadangan ini selaras dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, pada 15 September 2011, bahawa dua akta baru yang akan menggantikan ISA adalah "bermatlamatkan untuk memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara." Cadangan ini juga tidak bertentangan dengan prinsip serta amalan demokrasi di Malaysia kerana prinsip ini tidak akan bermakna dan amalan ini akan terancam jika keselamatan masyarakat diabaikan dan keselamatan nasional serta kelangsungan negara tidak dipelihara sepanjang masa. Hakikatnya demikian sebab negara-negara maju yang kini cuba memaksa negara-negara membangun supaya mengamalkan prinsip hak asasi manusia sejagat dan prinsip demokrasi liberal pun pernah menindas umat manusia dengan dahsyatnya berasaskan kepada warna kulit serta mempunyai undang-undang yang disifatkan kurang demokratik. Contohnya, Amerika Syarikat (AS) pernah mengamalkan perhambaan serta penindasan ke atas rakyatnya yang berketurunan Afrika dan berkulit hitam. Dalam tahun 1950-an, AS juga mempunyai Internal Security Act (ISA) 1950 yang juga dikenali sebagai Subversive Activities Control Act atau The McCarran Act. Mutakhir ini, AS mempunyai Patriot Act (Akta Patriot) yang disifatkan sebagai mencanggahi prinsip hak-hak asasi manusia yang dikuatkuasakan demi keselamatan negaranya berikutan tragedi 11 September, di samping melakukan ethnic profiling terhadap umat Islam yang menjadi warganegaranya. Britain pula mempunyai pelbagai undang-undang pencegahan bagi menjamin keselamatan negaranya termasuk Broadcasting Act (Akta Penyiaran) 1981 dan 1990 serta Official Secret Act (Akta Rahsia Rasmi)1989. Maka, rakyat Malaysia tidak wajar terpengaruh dengan konsep kemanusiaan, keadilan dan kesamarataan yang dipropagandakan oleh Barat, khususnya AS. Konsep ini adalah taktik mempengaruhi rakyat asing melakukan pertukaran kepimpinan supaya AS boleh menjadikan negara-negara terbabit sebagai satelit atau proksinya atas kepentingan geopolitiknya di abad ke-21. Kesimpulannya, setelah ISA dimansuhkan, Malaysia memerlukan undang-undang baru untuk menjamin keselamatan masyarakat atau societal security di kalangan warganegaranya yang berbilang agama, bangsa, sosiobudaya dan tahap ekonomi. Kerajaan Malaysia perlu menghimpunkan pakar keselamatan negara dan sarjana kajian keselamatan bukan tradisional daripada institusi pengajian tinggi tempatan untuk menghalusi, memperincikan serta menggubal undang-undang ini secara menyeluruh dan berkesan. Pembentukan undang-undang ini penting untuk mengelakkan masalah kaum dan jati diri sebab masalah ini adalah antara ancaman keselamatan insan yang serius dalam era selepas Perang Dingin, terutamanya di negara majmuk seperti Malaysia. |
Posted: Agenda hapus warisan, sejarah Oleh NIZAM YATIM SUDAH terang lagi bersuluh. Walaupun tiada dokumen rasmi dengan tajuk 'Langkah-Langkah Untuk Menghapuskan Warisan Malaysia', namun tindak-tanduk pemimpin pembangkang sejak 'menang besar' pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 sudah cukup untuk menunjukkan apa yang bakal dilakukan jika memperoleh kuasa. Jika ditakdirkan memerintah negara ini, mereka akan mengubah segala-galanya yang menjadi identiti kebangsaan Malaysia. Ini termasuk Perlembagaan Persekutuan; lambang utama negara seperti Jalur Gemilang, pemakaian songkok dan batik serta sejarah perjuangan menuntut kemerdekaan negara ini. Tidak mustahil akan muncul juga 'idea gila' untuk menggantikan lagu Negaraku dan merobohkan bangunan Parlimen kerana dikatakan mempunyai hubungan secara langsung dengan Barisan Nasional (BN). Perkiraan mereka cukup mudah. Apa sahaja yang didakwa mempunyai kaitan dengan UMNO dan BN perlu dihapuskan tanpa menghiraukan hakikat bahawa perkara itu tidak sepatutnya dipolitikkan kerana ia telah ditetapkan dan dipersetujui semua kaum sejak merdeka. Terbaru, melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah daripada DAP, M. Manoharan yang menegaskan pihak pembangkang akan menukar Jalur Gemilang jika memperoleh kuasa pada PRU akan datang kerana ia mempunyai kaitan dengan BN dan meniru bendera Amerika Syarikat. Peguam yang membuat kenyataan dalam laman sosial Facebook miliknya pada 15 September lalu bertindak mengedarkan bendera parti politik untuk sambutan Hari Merdeka dan Hari Malaysia, sebagai ganti kepada bendera Malaysia yang ditentangnya itu. Sebenarnya, Jalur Gemilang tiada kaitan dengan BN kerana ia dicipta dan dipilih oleh orang ramai menerusi satu pengundian yang dikelolakan oleh sebuah akhbar berbahasa Inggeris. Ia kemudiannya diwartakan dengan persetujuan Majlis Raja-Raja pada 1949, manakala gabungan parti komponen itu ditubuhkan pada 1974. Pemimpin DAP yang aktif dalam pertubuhan haram, Hindraf itu sebenarnya tidak sunyi daripada kontroversi. Pada 2009, beliau telah meluahkan perasaan tidak gembira dengan syarat pemakaian songkok ketika istiadat pembukaan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor. Menurut beliau, syarat itu tidak perlu dipatuhi kerana orang bukan Melayu tidak diberikan status bumiputera dan masih dilayan sebagai kumpulan berbeza. Sehubungan itu, beliau menuntut kerajaan memberikan taraf bumiputera kepada bukan Melayu di negara ini yang lahir selepas 31 Ogos 1957. Penentangan terhadap pemakaian songkok turut dikongsi oleh wakil rakyat DAP lain dan ia terbukti pada Jun tahun ini apabila 12 wakil rakyat parti itu tidak mengenakan pakaian rasmi dan songkok pada upacara pembukaan sidang DUN Sarawak Ke-17. Dalam pada itu, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim lain pula kerenahnya. Ketika menyampaikan syarahan bertajuk Kebebasan dan Musuh-Musuhnya sempena Festival Salihara 2010 di Jakarta, Indonesia pada Oktober tahun lalu, telah menghina batik yang menjadi warisan negara. Beliau menyifatkan ia sebagai jelik sebab ciri-ciri keseniannya cukup rendah sehingga menyebabkan dirinya lebih gemar memakai batik Afrika. Pada masa sama, pada awal tahun ini, kerajaan PKR Selangor telah mencuba untuk meminda Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor 1959. Pindaan itu bertujuan memberikan kuasa kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim melantik tiga pegawai eksekutif negeri termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan memastikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hanya memberi perkenan calon yang direstui kerajaan PKR sahaja. Pengerusi Program Sains Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Azeem Fazwan Ahmad Farouk yang diminta mengulas trend itu menyifatkan ia sebagai membimbangkan kerana perkara-perkara yang telah dipersetujui bersama sejak merdeka sepatutnya tidak diubah. "Perkara-perkara ini seharusnya tidak diubah. Mengapa mempersoalkan kedudukan sultan dan bendera kebangsaan?" katanya. Tegas beliau, langkah itu membuktikan pihak pembangkang tidak serius untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang lebih baik berbanding kerajaan BN seperti yang dicanang-canangkan. "Jika ingin mewujudkan kerajaan lebih baik pihak pembangkang seharusnya membangkitkan persoalan dasar dan bukannya mengenai perkara-perkara yang telah disepakati bersama," ujarnya. Sementara itu, pihak Pas pula mempunyai perancangan lain iaitu bagi mengubah semula sejarah negara. Ini terbukti dengan kenyataan Timbalan Presidennya, Mohamad Sabu ketika satu ceramah di Pulau Pinang, 21 Ogos lalu, yang mahu pengganas komunis, Muhammad Indera yang mengetuai serangan ke atas Balai Polis Bukit Kepong, Muar, Johor diiktiraf sebagai pejuang kemerdekaan. Dalam kejadian menyayatkan hati pada 23 Februari 1950, 25 orang termasuk ketua balai berkenaan, Sarjan Jamil Mohd. Shah terbunuh. Pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohd. Na'eim Ajis menyifatkan kenyataan Mohamad itu hanya akan mewujudkan perbalahan dalam masyarakat. Menurut beliau, malah kini telah muncul dua kelompok iaitu yang menyokong dan membantah kenyataan beliau. ''Saya melihat golongan yang menyokong Mat Sabu hanya menerima bulat-bulat apa yang dikatakan oleh beliau tanpa membuat kajian terlebih dahulu tentang fakta sejarah sedia ada," katanya. Selain gerakan untuk mengubah lambang rasmi dan sejarah negara, terdapat juga trend di kalangan pemimpin pembangkang untuk mengubah Perlembagaan Persekutuan, walaupun hasrat itu tidak diluahkan secara nyata kerana bimbang tidak mendapat sokongan orang Melayu. Penasihat DAP, Lim Kit Siang ketika sesi Dewan Rakyat pada Ogos 2008 misalnya telah mempertikaikan mengapa isu ketuanan dan hak-hak Melayu diberi penekanan sejak kebelakangan ini berbanding perpaduan nasional. Isu terbabit sepatutnya tidak dibangkitkan oleh beliau kerana kedudukan hak-hak istimewa orang Melayu telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Perkara lain yang termaktub dalam perlembagaan tertinggi negara itu yang sering dipertikaikan pihak pembangkang adalah mengenai tanah rizab Melayu, jaminan orang Melayu untuk mendapat lesen, permit dan kuota dalam perniagaan atau pendidikan serta keistimewaan mendapat biasiswa. Segala tindak-tanduk yang ditunjukkan pemimpin pembangkang itu membuktikan jika mereka berkuasa, hak keistimewaan orang Melayu, budaya warisan bangsa, sejarah dan identiti Malaysia yang menjadi kebanggaan kita akan hilang. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan