Utusan Online - Politik |
Mat Sabu diminta henti cakap ‘hentam kromo’ Posted: Mat Sabu diminta henti cakap 'hentam kromo'KUALA LUMPUR 20 Sept. – Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor meminta Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu berhenti 'membuka mulut' kerana setiap cadangan dan idea yang dilontarkan beliau menyerlahkan pemikirannya yang cetek dan sering 'hentam kromo'. Terbaru, menurut Rahim, gesaan Mohamad supaya kerajaan memohon maaf kepada mereka yang pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 yang jelas menunjukkan ketidakcerdikan pemimpin yang menyandang jawatan Timbalan Presiden Pas itu. Ini kerana, kata beliau, langkah kerajaan memansuhkan ISA bukan bermakna kesemua yang pernah ditahan di bawah akta tersebut termasuk komunis tidak bersalah sehingga kerajaan perlu meminta maaf kepada mereka. Sambil menyifatkan cadangan Mohamad itu sebagai 'amat dahsyat', Rahim berkata, hanya orang yang tidak berfikir panjang dan memandang remeh semua perkara atau menganggapnya sebagai lawak jenaka akan mengemukakan cadangan seumpama itu. "ISA bukan dilaksanakan baru-baru ini atau 10 tahun lampau, malah, boleh saja kita katakan bahawa 'kegemilangan' ISA menyamai 'kegemilangan' pergerakan komunis yang pernah mahu menghancurkan negara ini dengan kekejaman yang tidak pernah ada hentinya. "Malah, ada pesalah ISA terdiri daripada komunis yang bukan dilahirkan di negara ini, adakah itu bermakna Mohamad Sabu mencadangkan agar kerajaan mencari waris-waris mereka di negara luar semata-mata untuk memohon maaf atas kekejaman yang mereka lakukan," kata Rahim kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini. Beliau mengulas laporan akhbar yang menyebut Mohamad menuntut kerajaan memohon maaf kepada tahanan ISA sepertinya yang ditahan kerana perbezaan aliran politik dan bukan kerana keganasan terutama mereka yang terlibat dalam Ops Lalang 1987. |
Agenda jahat pakatan pembangkang Posted: Agenda jahat pakatan pembangkangKUALA LUMPUR 20 Sept. - Kenyataan wakil rakyat DAP, M. Manoharan yang mahu menukar Jalur Gemilang sekiranya berkuasa memerintah membuktikan pakatan pembangkang mempunyai agenda jahat untuk menimbulkan suasana huru-hara. Yang Dipertua Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah berkata, kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah itu juga menggambarkan sikap tidak patriotik di kalangan pemimpin pembangkang. "Ia merupakan kenyataan hilang akal. Pembangkang seolah-olah tidak menghargai pengorbanan datuk, nenek kita dahulu sehingga mahu mengubah Jalur Gemilang yang merupakan kebanggaan rakyat dan negara. "Niat jahat serta agenda pembangkang semakin hari semakin terdedah. Kini terserah kepada rakyat untuk menilai sendiri tindakan pihak pembangkang selama ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Beliau mengulas kenyataan biadab Manoharan yang mahu menukar Jalur Gemilang sekiranya pembangkang menang dalam pilihan raya akan datang dalam laman sosialnya. Pemerhati politik tempatan, Prof. Madya Dr. P. Sivamurugan pula berpendapat, tindakan pihak pembangkang mahu menukar Jalur Gemilang sekiranya mendapat kuasa untuk memerintah adalah sangat tidak wajar dan isu berkenaan tidak sepatutnya timbul. "Tindakan tersebut juga telah mengukuhkan bukti wujudnya perbezaan pendirian di kalangan pembangkang apabila ada pemimpin parti komponennya menolak idea berkenaan," jelasnya. Sementara itu, Setiausaha Agung Pemuda MCA, Datuk Chai Kim Sen mencabar DAP memecat Manoharan kerana kenyataannya boleh dianggap sebagai menghina negara. Katanya, beberapa ahli DAP pernah dipecat sebelum ini kerana mengkritik pemimpin parti dan adalah sesuatu yang mengejutkan jika tidak ada tindakan diambil terhadap Manoharan yang telah menghina Jalur Gemilang. "Ahli yang mengkritik pemimpin parti (DAP) dipecat tetapi ahli yang menghina negara masih tidak diambil tindakan. Adakah pemimpin DAP lebih penting daripada bendera kebangsaan?" ujarnya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Politik To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan