Selasa, 27 September 2011

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Pemantauan diperketat

Posted:

Pemantauan diperketat

Pemantauan diperketat

Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI
utusanN9@utusan.com.my


Anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Nilai merampas sebahagian komputer yang dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan mesin judi di sebuah kafe siber di Nilai, baru-baru ini.


SEREMBAN 26 Sept. – Jangan beroperasi sesuka hati atau terlibat dengan aktiviti perjudian melibatkan pusat siber atau berhadapan dengan tindakan tegas!

Ingatan itu dinyatakan oleh Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seremban (MPS) dan Majlis Perbandaran Nilai (MPN), Datuk Abdul Halim Abdul Latif mengenai kegiatan pusat siber di dua daerah berkenaan yang didapati terlibat dengan kegiatan haram itu.

Katanya, pihaknya memandang serius mengenai penglibatan segelintir pusat siber yang cuba berjinak-jinak dengan kegiatan haram berkenaan walaupun pihaknya sendiri masih lagi mengawal pengeluaran lesen pusat siber.

''Kita memandang serius keadaan ini dan kita tidak mahu pemilik pusat siber ini menyalahgunakan lesen yang diperoleh dengan terlibat dengan kegiatan perjudian berinternet.

''MPS dan MPN memberikan lesen kepada mereka untuk berniaga, akan tetapi sekiranya mereka menggunakannya untuk kegiatan haram seperti ini, kita tidak mempunyai sebarang masalah untuk mengenakan tindakan kepada mereka," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Jelas beliau, pihaknya juga akan bekerjasama dengan dengan pelbagai agensi penguat kuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk melaksanakan tindakan undang-undang.

Malah katanya, pihaknya juga akan menjalankan aktiviti penyamaran, khususnya dalam mengesan kegiatan pusat siber yang terlibat dengan kegiatan perjudian Internet.

''Setakat ini kita telah melakukan banyak sitaan di beberapa buah premis di sekitar kawasan MPS dan MPN yang mana kesemua mereka telah pun dikenakan tindakan.

''Malah, kita juga akan meminta kerjasama TNB untuk menjalankan pemotongan bekalan elektrik ke atas premis-premis yang didapati menjalankan aktiviti perjudian melibatkan pusat siber," tegas beliau lagi.

Layang-layang terapi minda

Posted:

Layang-layang terapi minda

Layang-layang terapi minda

Oleh MOHAMMAD DZULHISHAM CHE HASSIM
utusanmelaka@utusan.com.my


PESTA Layang-Layang 1Malaysia yang diadakan di Dataran 1Malaysia, baru-baru ini bukan sahaja disertai peserta tempatan malah menggamit penyertaan peserta dari China.


MELAKA 26 Sept. – Permainan layang-layang bukan sahaja diminati oleh kanak-kanak malah, turut mendapat tempat di hati golongan dewasa namun, matlamatnya adalah sama iaitu untuk hiburan selain sebagai instrumen untuk merehatkan minda selepas penat bekerja.

Permainan layang-layang atau juga dikenali sebagai wau di sesetengah negeri bukan sesuatu aktiviti yang baru malah telah wujud sejak zaman dahulu lagi.

Ini dibuktikan menerusi catatan Tun Seri Lanang pada 1612 yang menyatakan bahawa ayahandanya iaitu Orang Kaya Paduka Raja Ahmad bermain layang-layang bersama pemuda dan kerabat diraja di kampungnya di Johor.

Difahamkan perkataan layanglayang digunakan di kebanyakan negeri di pantai barat dan selatan Semenanjung seperti Selangor, Melaka dan Johor manakala wau pula popular di Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah.

Bagaimanapun, layang-layang di negara ini kian popular dan terus berkembang dengan wujudnya beberapa kawasan yang khusus untuk aktiviti berkenaan di beberapa negeri lain.

Di Melaka pula, lokasi baru untuk mengembangkan lagi aktiviti tersebut ialah Dataran 1Malaysia di Klebang.

Aktiviti tersebut bukan sahaja dijadikan sebagai hiburan malah kini telah mengorak langkah dengan penganjuran karnival dan pertandingan yang bukan sahaja disertai oleh masyarakat tempatan malah menggamit penyertaan negara luar.

Namun, bagi Mohd. Fadzil Ali yang merupakan seorang pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpangkat Deputi Supritendan, bermain layang-layang bukan sahaja sebagai hiburan malah, merupakan satu terapi minda yang sangat berkesan.

Beliau yang bertugas di Bahagian Agama dan Kaunseling, Bukit Aman berkata, dengan bermain layang-layang dia akan merasa tenang dan dapat merehatkan minda selepas seharian bekerja.

"Saya gemar bermain layang-layang sejak 2004 semasa bertugas di Johor dan bermula detik itulah saya mula merasakan bahawa dengan bermain layang-layang ini secara tidak langsung berkesan memberikan ketenangan kepada saya," katanya ketika ditemui di Dataran 1Malaysia, di sini baru-baru ini.

Katanya, selain menjadi 'ubat' merawat tekanan akibat beban tugas, aktiviti berkenaan juga merupakan riadah yang sihat serta dapat dilakukan bersama keluarga.

"Main layang-layang tidak seperti permainan lain, selain untuk hiburan sendiri, isteri dan anak juga turut terlibat dan dengan cara ini hubungan kekeluargaan dapat menjadi lebih erat," katanya.

Sejak melibatkan diri dalam aktiviti ini, beliau yang juga Ahli Jawatankuasa, Majlis Pelayang Malaysia dan Persatuan Pelayang Johor telah ke beberapa negara buah seperti Perancis, China, India dan Indonesia untuk menyertai karnival layang-layang.

Ketika membuat persembahan di negara luar katanya, beliau bukan sahaja mempamerkan layang-layang bercirikan Malaysia tetapi turut memperkenalkan Perdana Menteri yang pertama hingga ke enam melalui paparan imej wajah mereka pada layang-layangnya.

"Semasa di luar negara, ramai orang tanya wajah siapa yang saya paparkan pada layang-layang dan dengan bangganya saya akan memperkenalkan bahawa mereka adalah Perdana Menteri Malaysia," katanya.

Selain itu, layang-layangnya juga digunakan dalam mempromosikan PDRM dengan paparan logo polis dan juga sebagai medium menyalurkan maklumat kepada orang ramai melalui layang-layang Rakan Cop.

Mohd. Fadzil berkata, beliau bukan menjadikan permainan layanglayang untuk berseronok sematamata malah, minatnya itu akan digunakan sebagai aset untuk merapatkan lagi hubungan masyarakat dan polis.

Katanya, menjadi salah satu tugas polis untuk mewujudkan hubungan erat dengan masyarakat dan beliau menggunakan minatnya bermain layang-layang dalam mencapai matlamat tersebut.

"Kalau saya bermain layang-layang pasti layang-layang yang tertera logo polis, Rakan Cop dan wajah Perdana Menteri akan diterbangkan dengan penuh bangga sebab saya cintakan kerjaya dan juga negara saya," katanya.

Menurutnya, kepada yang belum mencuba aktiviti berkenaan disarankan untuk merasainya sendiri dan nescaya akan berasa tenang dan kepada yang mahukan cabaran bolehlah mencuba permainan stunt kite yang memerlukan kemahiran dan stamina untuk mengawalnya di udara.

50% anak Orang Asli enggan ke sekolah

Posted:

50% anak Orang Asli enggan ke sekolah

50% anak Orang Asli enggan ke sekolah

SEREMBAN 26 Sept. - Hampir 50 peratus anak masyarakat Orang Asli di Kampung Kolam Air, Pantai, dekat sini dikenal pasti tidak berminat untuk ke sekolah.

Pegawai Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) daerah, Fauziah Omar berkata, senario tersebut berlaku berpunca daripada kurangnya kesedaran terhadap kepentingan mendapatkan pendidikan di kalangan masyarakat tersebut.

''Ini secara tidak langsung membuatkan anak-anak mereka tidak minat ke sekolah dan berdasarkan statistik, lebih 50 peratus kanak-kanak yang berada di kampung ini 'liat' untuk bersekolah.

''Masalah itu tidak sepatutnya terjadi kerana pihak kami telah menyalurkan pelbagai kemudahan dan bantuan bagi memastikan anak-anak Orang Asli di kawasan ini pergi ke sekolah," katanya di sini baru-baru ini.

Jelas Fauziah, pihaknya bukan sahaja menyediakan bas dengan tambangnya ditanggung sepenuhnya oleh JAKOA, malah, wang saku turut diberikan kepada setiap pelajar Orang Asli sebagai insentif untuk mereka ke sekolah.

''Kemudahan ini tidak disediakan kepada pelajar lain, namun, mereka masih liat untuk ke sekolah," ujarnya.

Sehubungan itu, Fauziah memberitahu, JAKOA juga telah mewujudkan kelas dewasa (Kedap) khusus bagi golongan dewasa yang terdiri daripada golongan ibu bapa yang berminat untuk belajar.

''Inisiatif ini bertujuan menggalakkan ibu bapa mereka untuk mendapatkan pendidikan sekali gus menyedari kepentingan pendidikan," katanya.

Dalam pada itu, katanya, seramai tujuh anak penduduk kampung itu telah berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) awal tahun ini.

''Maka diharapkan ia menjadi titik tolak dan dorongan kepada penduduk di kawasan ini untuk melihat betapa pentingnya pendidikan dalam aspek kehidupan masa kini," jelasnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved