Utusan Online - Jenayah |
Hospital didakwa jual buah pinggang Posted: Hospital didakwa jual buah pinggangOleh ASSIM HASSAN dan ABDUL HAKIM RAHMAN KUALA LUMPUR 27 Sept. – Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar (gambar) berkata, polis akan menyiasat berhubung dakwaan wujudnya kegiatan pemerdagangan manusia di negara ini bagi tujuan mendapatkan organ secara haram. Menurut beliau, setakat ini, pihaknya masih meneliti kesahihan dakwaan itu sebelum mengambil sebarang tindakan. Beliau berkata, pihak bertanggungjawab seperti doktor atau pengamal perubatan yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta memaklumkan kepada pihak polis. "Kita akan menilai perkara itu terlebih dahulu dan jika ada asas kita akan siasat. Perkara seperti ini sangat serius dan kita tidak boleh mengambil tindakan terburu-buru," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis rumah terbuka anjuran Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di Taman Tasik Permaisuri di sini hari ini. Hari ini, sekumpulan doktor dan pengamal perubatan membuat laporan di Balai Polis Tun H. S. Lee mengenai dakwaan tersebut dan meminta pihak berkuasa iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan mengenainya. Menurut Presiden Persatuan Transplan Malaysia, Datuk Dr. Harjit Singh, pihak polis perlu menjalankan siasatan terperinci berhubung dakwaan itu supaya doktor dan klinik yang terlibat dengan penjualan organ secara haram ini dapat diambil tindakan. Jelasnya, sekiranya hasil siasatan mendapati dakwaan itu tidak berasas maka, pihak polis perlu memaklumkan perkara itu kepada umum agar tiada tanggapan negatif terhadap Malaysia. "Pihak polis diminta mengambil tindakan berdasarkan undang-undang sekiranya laporan itu benar berlaku," katanya. Jelas Harjit, pada 21 dan 22 September lalu, dua buah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan bahawa pihak polis Bangladesh menyiasat satu sindiket antarabangsa penjualan organ manusia yang melibatkan beberapa negara Asia Tenggara. Beliau berkata, laporan akhbar berkenaan juga menyatakan bahawa pihak penyiasat telah mengenal pasti sebuah rangkaian hospital antarabangsa yang beroperasi di negara berdekatan dan termasuk sebuah hospital di Selangor yang terlibat dalam aktiviti penjualan organ buah pinggang. |
Budak 13 tahun mengaku curi barang kemas Posted: Budak 13 tahun mengaku curi barang kemasMELAKA 27 Sept. - Seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan menceroboh sebuah rumah dan mencuri pelbagai barangan bernilai RM3,500 di Kampung Jambatan Duyong pada bulan puasa lalu. Tertuduh yang berasal dari Taman Seri Duyung 2 mengaku bersalah atas tuduhan melakukan pecah rumah dengan memasuki sebuah kediaman di Kampung Jambatan Duyong di sini pada pukul 4.45 petang, 19 Ogos lalu. Pelajar tingkatan satu itu dituduh mencuri tiga utas rantai leher emas, empat gelang tangan emas, dua bentuk cincin emas, dua gelang kaki emas, tiga buah telefon bimbit, aksesori pengantin dan wang tunai RM250 yang keseluruhannya bernilai RM3,500. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda. Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Cif Inspektor Muhamad Juhari Haron manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela. Kes disebut semula pada 4 November ini. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Jenayah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan