Selasa, 27 September 2011

Utusan Online - Feminin


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Feminin


Hannah mahu wanita hebat berkomunikasi

Posted:

Hannah mahu wanita hebat berkomunikasi

Hannah mahu wanita hebat berkomunikasi

Oleh MERAN ABU BAKAR
Gambar MOHD AZIM ABD RAHMAN


Di Stylo International Hannah Nawi membantu wanita membina keyakinan diri melalui kemahiran berkomunikasi.


BERPERWATAKAN menarik dan petah bercakap, Hannah Nawi adalah seorang yang mudah didekati.

Dalam dunia yang penuh mencabar ini, sudah semestinya seseorang itu perlu memiliki pelbagai kemahiran dan salah satu yang penting ialah kemahiran berkomunikasi untuk dapat bersaing dengan orang lain.

Hannah yang berdarah campuran Melayu di sebelah bapa dan Inggeris di sebelah ibu ini ingin turut membantu orang lain untuk memiliki kemahiran tersebut yang begitu kekurangan pada sesetengah orang.

Katanya, ramai yang memiliki kepintaran yang mengkagumkan dalam bidang akademik namun lemah daripada segi kemahiran berkomunikasi. Ini membuatkan mereka tidak dapat melangkah lebih jauh kerana tidak mempunyai keyakinan diri dengan apa yang dimiliki.

''Kanak-kanak sekarang banyak menghabiskan masa di depan komputer dan berinteraksi secara dalam talian (online) sehingga terlupa bagaimana hendak berkomunikasi secara berdepan dengan orang lain. Mereka asyik dengan gajet mereka dan tidak mempedulikan sekeliling.

''Ibu bapa dan ahli keluarga yang lain juga terlalu sibuk sehingga tidak mempunyai masa hendak bercakap antara satu sama lain.

"Apabila keluar bersama contohnya makan di restoran, ke rumah saudara-mara dan sebagainya pun anak-anak masih asyik dengan gajet mereka dan masing-masing buat hal sendiri.

''Berkomunikasi dengan elektronik adalah satu jenis komunikasi yang kaku kerana gajet tidak mempunyai emosi dan tiada bahasa tubuh. Ini yang kurangnya dalam masyarakat hari ini. Kita telah kekurangan nilai-nilai asas,'' kata Hannah.

Sebenarnya kepintaran dalam akademik dan kemahiran berkomunikasi katanya, harus seimbang supaya seseorang itu dapat melangkah lebih jauh dalam bidang yang dipilih.

Pintar dalam akademik memang digalakkan katanya namun sebagai seorang manusia, seseorang itu perlu juga memiliki kemahiran berkomunikasi.

Berpandukan pada tempoh 10 tahun pengalaman di sektor kerajaan dan swasta, Hannah berpendapat kemahiran bertutur dan berkomunikasi dalam urusan pekerjaan amat berkurangan.

Justeru itu, anak kepada Kolonel Bersara Nawi Abdullah ini sanggup meletakkan jawatan demi membantu orang lain membina keyakinan diri dengan menyertai Stylo International pada tahun 2009 sebagai Pengarah Projek.

Di Stylo Academie, Hannah perlu melaksanakan misi akademik tersebut memimpin individu mencapai potensi tertinggi mereka melalui pembinaan keyakinan diri, kemahiran berkomunikasi dan pembentukan imej.

''Yang kurang dalam masyarakat kita hari ini ialah sopan-santun. Oleh itu sudah menjadi tanggungjawab kita bagi mendidik masyarakat daripada sekarang. Ibu bapa bekerja, datuk nenek tiada untuk memberi tunjuk ajar dan anak-anak membesar sendiri.

''Saya berharap dapat bekerjasama dengan pihak sekolah, kolej dan universiti ke arah melahirkan generasi masa depan yang pintar akademik dan berkomunikasi.

''Pihak kami menerima pelanggan daripada semua peringkat usia, iaitu kanak-kanak, pelajar, lulusan universiti, suri rumah dan sebagainya. Contohnya, bagi para graduan, kursus-kursus yang ditawarkan dapat membantu mereka dengan kemahiran berkomunikasi apabila mereka berada di alam pekerjaan nanti.

''Bagi isteri-isteri ahli perniagaan atau orang korporat juga boleh mengikuti kursus di sini tentang cara pergaulan, etiket, berbual dan cara makan. Kadang-kadang kesilapan kecil tentang adab di meja makan boleh memalukan suami.

''Selain itu, kami turut memberi pendidikan khusus untuk kanak-kanak disleksia yang dijalankan oleh pakar dalam bidang tersebut,'' ujarnya lagi.

Berkelulusan dalam bidang bioteknologi daripada Universiti Western Australia pada tahun 1998 ini memulakan kerjayanya sebagai penyelidik perubatan di Perth, Australia.

Hannah kemudian pulang ke Malaysia dan bekerja di Toyota's Assembly Services Sdn Bhd (ASSB).

Beliau meneruskan kerjayanya dengan menyertai beberapa organisasi sebelum dilantik memegang jawatan sebagai Pegawai Khas kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi. Tugas tersebut memerlukan beliau bekerja rapat dengan menteri, kementerian dan agensi kerajaan yang lain serta terdedah kepada pesaing-pesaing lain dalam industri bio teknologi.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved