Utusan Online - Rencana |
Posted: Pasca ISA, ancaman baruOleh REEZAL MERICAN NAINA MERICAN Sememangnya maklum balas yang saya perolehi daripada kalangan orang muda, amat menyanjungi tindakan dan usaha Perdana Menteri untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam masa yang terdekat ini. Kalangan rakan saya yang masih muda, profesional dan berpendidikan tinggi menganggap ini sebagai langkah dan keputusan tepat bagi membawa Malaysia ke suatu tahap demokrasi yang lebih positif dan dihormati. Pandangan positif di kalangan orang muda ini tidak terlalu dikongsi oleh mereka yang lebih berusia. Perbualan dengan beberapa orang pesara polis di kawasan saya di Kepala Batas, memberikan maklumat dan informasi yang lain. Mereka risau dengan suasana baru ini. Apakah kerajaan mampu menangani segala macam isu panas yang berlaku di sekeliling kita? Apakah langkah dan undang-undang yang bersifat pencegahan akan dimansuhkan sama sekali? Ini semua persoalan yang bermain di minda rakyat. Sebagai kalangan anggota yang bertugas sewaktu kemuncak pelaksanaan ISA, mereka masih dapat melihat sisi baik kepada undang-undang ini. Apa pun pandangan dan perspektif kita mengenai ISA - ia mestilah diasaskan kepada pandangan yang objektif dan adil. Soalnya, atas nama kebebasan dan demokrasi total, ISA mungkin sudah mengalami proses 'demonisasi' yang berlebihan oleh kumpulan tertentu. Yang ternampak jelas, hanyalah dosa dan petaka 'politik' yang kononnya dibawa oleh ISA. Yang sering diketepikan adalah bagaimana ISA sudah menyelamat banyak nyawa dan mengisi matlamat 'pencegahannya' yang paling asas. Hakikat ini, kadang kala gagal dihayati dengan minda yang terbuka dan objektif. Sesuai dengan matlamat politik kumpulan tertentu, ISA sudah digambarkan secara halus sebagai 'Akta Politik', digunakan sebagai kaedah menangani kritikan yang melampau kepada kerajaan dan sebagainya. Ini hanya satu perspektif yang terlalu 'politikal'. Bagaimana dengan peranan ISA yang digunakan terhadap mereka yang cuba mencetuskan keganasan dan kekacauan? Apakah ini masih lagi sebuah akta yang draconian; saat nyawa manusia menjadi taruhan? Tidak ramai orang yang memberikan pujian yang objektif kepada ISA yang berperanan langsung dalam menjaga keselamatan negara. Ini termasuklah penahanan mereka yang terlibat dengan Jemaah Islamiah, Darul Islam Sabah/Daulah Islamiyyah dan Gerakan Militan Selatan Thailand. Apakah semua langkah penahanan yang bersifat pencegahan seperti ini tidak mendatangkan sebarang kebaikan kepada rakyat? Sudah pasti, di atas semangat dan matlamat penubuhan ISA - ia mencapai maksud apa yang dihasratkan. Jika tidak, kita akan berdepan dengan dugaan dan ancaman yang bukannya kecil. Ada nyawa yang boleh terkorban, sekiranya unsur-unsur subversif dibenarkan berlegar bebas di kalangan rakyat tanpa sebarang langkah pencegahan awal. Saya kira, rakyat patut berasa lega dengan komitmen Perdana Menteri bahawa dua undang-undang khusus bagi menangani masalah dan ancaman baru akan diwujudkan bagi menggantikan ISA. Kalangan pembangkang mengambil pengumuman ini sebagai modal politik. Mansuh satu, namun tambahkan dengan dua akta baru. Kritikan ini dibuat tanpa menilai dahulu apakah yang bakal dikemukakan ke dalam Dewan Rakyat nanti. Mereka seharusnya belajar untuk bersabar dan mendengar dahulu cadangan yang bakal dinyatakan. Paling asas, Malaysia tidak boleh menolak sama sekali keperluan akta khusus dalam menangani isu-isu keselamatan dan anti-militan. Majoriti rakyat masih mahukan undang-undang yang keras dalam memastikan benih ancaman keganasan ini sama sekali tidak mampu berputik di bumi Malaysia. Semua ini tidak boleh dikompromi. Kita jangan mengambil mudah, walaupun pada hakikatnya kita berada dalam suasana yang sangat aman dan tenteram. Setakat ini, kebanyakan negara di dunia juga mengambil tindakan sama dalam memastikan isu keselamatan dan ancaman keganasan tidak dikompromi dalam apa keadaan sekalipun. Kita tidak boleh mengambil mudah bahawa semuanya akan kekal aman di Malaysia, tanpa sebarang gangguan rangkaian kumpulan pengganas antarabangsa. Sikap sedemikian akan hanya menyebabkan kita leka dan sekali gus meletakkan rakyat dalam keadaan yang kurang selamat. Dalam masa yang sama, kita seharusnya juga mengambil perhatian kepada kumpulan-kumpulan tertentu yang cuba membawa citra songsang dalam menegakkan idealisme yang mengganggu-gugat keselamatan. Ini berlaku di mana-mana. Malahan, dalam banyak laporan keselamatan di peringkat antarabangsa, kewujudan homegrown radicalism (kumpulan radikal setempat) ini adalah ancaman yang nyata. Semua ini hanya mampu ditangani oleh undang-undang pencegahan yang tegas. Negara kita tidak boleh sama sekali mengambil mudah dengan benih 'radikalisme setempat' ini. Ia mesti ditangani dengan bertanggungjawab. Ia mesti ditangani dan diperhalusi secara menyeluruh dalam dua undang-undang baru yang bakal dicadangkan nanti. Kita tidak mahu, pemansuhan ISA dijadikan alasan untuk benih-benih kegiatan subversif menjadi mekar - sedang mereka selama ini kuncup dan gentar dengan ketegasan undang-undang pencegahan yang ada. Lembaran dan penterjemahan baru kepada undang-undang pencegahan ini adalah sesuatu yang wajar dan perlu. Tidak ada mana-mana pihak yang perlu mempolitikkan perkara ini. Keselamatan dan maruah persempadanan negara tidak boleh menjadi isu dan permainan politik. Ini suatu isu yang mesti ditangani secara tuntas oleh wakil rakyat, tanpa mengira kiblat politik dan naungan kepartian. Dewan Rakyat akan menjadi saksi kepada suatu pertanggungjawaban besar yang akan diletakkan di atas bahu semua mereka yang bergelar wakil rakyat. Majoriti rakyat yang waras pastinya mengharapkan penggubalan dua undang-undang baru yang bakal dibentangkan di Dewan Rakyat nanti akan memberi 'ketenangan minda' bahawa keselamatan negara akan terus diangkat sebagai prioriti dan keutamaan kerajaan. ISA sebagai 'alat politik' inilah yang menjadi momokan pihak tertentu bagi menggambarkan kerajaan sebagai pengamal dasar dan undang-undang draconian selama ini. Kali ini, mereka akan kehilangan modal yang sama. Draconian atau tidaknya ISA; kejam atau tidaknya ISA - ia telah memberikan jaminan keselamatan kepada rakyat seluruhnya. Ianya memberi jaminan keselamatan kepada keluarga di kampung, mahukan kepada seorang hartawan yang tinggal di perumahan mewah. Dalam soal ini, ISA sudah pun mencapai maksud dan matlamat asalnya. Jika ditakdirkan ISA menemui ajalnya nanti, ia akan kekal dalam lipatan sejarah sebagai undang-undang preventif yang berkesan dan mampu menjaga kepentingan rakyat. Ancaman dan gugatan keselamatan boleh datang dalam pelbagai bentuk, radikalisme agama, ideologi ekstrem, ketaksuban kepada individu - dan semuanya sudah dan pernah ditangani oleh ISA. Namun masanya sudah tiba, untuk ISA dimansuhkan dan digantikan dengan undang-undang yang lebih selari dengan citra demokrasi zaman ini. Mereka yang bersorak gembira, sekali gus menekan bahawa kerajaan meninggalkan sama sekali perundangan yang bersifat 'pencegahan' perlu mencari semula kewarasan pemikiran mereka. Mereka yang bersuara atas landasan 'demokrasi total' dan hak asasi manusia - perlu menilai semula tekanan dan pandangan yang sedemikian sifatnya. Perubahan yang dianjurkan oleh Perdana Menteri dan kerajaan ini memerlukan sokongan dan dokongan semua rakyat biasa. Jangan kita bersandarkan semua pandangan kepada 'akar politik'; tetapi gagal melihat kepada dedaun keamanan dan buah kesejahteraan yang lebih mampu mengisi kehendak majoriti rakyat. |
Bila terkena batang hidung sendiri... Posted: Bila terkena batang hidung sendiri...Oleh ZULKIFLI JALIL BILA terkena batang hidung sendiri, barulah merasai bahangnya. Acap kali memprovokasi pihak lain tetapi bila membabitkan malu anggota atau pemimpin parti sendiri, tahu pula merayu pihak yang selalu menjadi bahan lekehnya untuk tidak pula mengecam partinya. Itulah gelagat Setiausaha Kebangsaan DAP yang juga Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok ketika membela wakil rakyat partinya, ADUN Kota Alam Shah, M. Manoharan yang mendesak supaya ditukar Jalur Gemilang. Dipetik oleh organ DAP, Roketkini baru-baru ini, Teresa meminta BN khususnya UMNO tidak memainkan isu itu untuk kepentingan politik dengan 'menyerang' Manoharan dan pakatan pembangkang di media arus perdana. Sepatutnya, ujar Teresa, para pemimpin BN menumpukan lebih perhatian kepada isu yang jauh lebih penting iaitu berkenaan penggubalan dua undang-undang baru yang dikatakan akan menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Barangkali Teresa tidak mengerti atau pura-pura 'membutakan hati' dengan menganggap isu ditukarkan sahaja Jalur Gemilang yang dihasut oleh Manoharan hanya isu remeh dan akan lenyap begitu sahaja dari ingatan rakyat Malaysia apabila Manoharan memadamkan komen kontroversinya itu di facebook. Cuba Teresa bayangkan jika hasutan Manoharan ini tidak dibantah keras di media arus perdana sehingga mencetuskan api amarah - mungkin Manoharan akan lebih angkuh lagi mahu mengubah sejarah warisan negara yang lain. Ironinya, kenyataan-kenyataan berunsur kontroversi daripada para pemimpin DAP bukan benda baru. Di Sarawak pada kempen pilihan raya negeri itu April lalu, calon DAP, Violet Yong dikatakan menghina kaum Melanau dan Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dalam satu ceramahnya di Kuching. Antara lain, dia menyebut, Abdul Taib tidak layak memerintah Sarawak kerana Ketua Menteri itu dari keturunan Melanau yang juga kaum minoriti di negeri itu. Tambahnya lagi, hanya Cina yang layak memerintah Sarawak kerana Cina majoriti di sini. Sentimen perkauman diambil kesempatan secara licik oleh DAP dengan menguar-uarkan dalam kempen agresifnya mendesak pengunduran segera Abdul Taib tanpa belas kasihan. Mengundi BN, dakwa DAP, bermakna menyokong Abdul Taib untuk terus berkuasa. Sedangkan kalau direnung-renungkan kepimpinan Penasihat DAP yang juga penyandang kerusi Ipoh Timur, Lim Kit Siang, peguam, Karpal Singh serta Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga memasuki usia senja. Gelagat menghina kepimpinan kerajaan negeri Sarawak semakin teruk, poster Abdul Taib dipaparkan dengan ayat menghina dan mengundang rasa tidak puas hati penyokong dan ahli BN. Satu perkataan dalam ayat itu adalah 'asuk' yang bermaksud anjing dalam bahasa Sarawak bersama gambar seekor anjing berhampiran gambar Abdul Taib. Pemasangan poster itu yang turut diletakkan di beberapa kawasan awam khususnya tumpuan ramai termasuk Padang Merdeka, turut dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang kemudian menurunkan bahan kempen berkenaan. Sepanjang kempen di Miri, DAP memasang pelbagai sepanduk memburukkan kerajaan BN di sepanjang laluan utama yang menjadi tumpuan ramai antaranya kawasan sekitar bulatan Pujut dan sepanjang Jalan Kuala Baram yang sentiasa sesak dengan lalu lintas terutama pada waktu puncak. Dan apabila Abdul Taib merasmikan gereja di Mukah, pembangkang mendakwa pula Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bukan orang Islam sejati, sedangkan kerajaan negeri mengamalkan ajaran Islam sebenar. Paling ketara di Sarawak tempoh hari ialah konsep kempen DAP yang 100 peratus menampakan permainan sentimen perkauman. Apabila ada sebilangan orang Melayu bercakap berkenaan nasib bangsa Melayu dan hak-hak orang Melayu, maka akan kedengaranlah perkataan rasis. Tetapi apabila DAP terang-terangan menggunakan isu perkauman tiada orang yang membangkitkan perkataan rasis. Berbalik kepada Manoharan, dia barangkali cuba meraih 'publisiti murahan' untuk memastikan namanya berada dalam fikiran rakyat tetapi dalam kaedah yang amat dangkal sekali. Ternyata, Manoharan tidak belajar dari sejarah. Salah satu kutipan yang paling terkenal mengenai sejarah dan pentingnya kita belajar mengenai sejarah ditulis oleh seorang ahli falsafah Sepanyol, George Santayana. Katanya: "Mereka yang tidak mengenal masa lalunya, dikutuk untuk mengulanginya." Ahli falsafah Jerman, Georg Wilhelm Friedrich Hegel pula mengemukakan dalam pemikirannya tentang sejarah: "Inilah yang diajarkan oleh sejarah dan pengalaman, bahawa manusia dan pemerintah tidak pernah belajar apa pun dari sejarah atau prin sip-prinsip yang didapati darinya." Ungkapan ini diulang kembali oleh negarawan Inggeris, Winston Churchill. Kata beliau: "Satu-satunya hal yang kita pelajari dari sejarah adalah bahawa kita tidak benar-benar belajar darinya." Teresa mungkin cepat bertindak apabila menolak pandangan Manoharan sebagai bukan melambangkan pendirian DAP dan mengingatkan Manoharan supaya lebih berhati-hati bila mengeluarkan sebarang kenyataan. Namun banyak gelagat DAP selama ini dilihat melukakan hati orang Melayu. Antaranya cuba mahu menghalang perarakan Maulidur Rasul di Pulau Pinang dan beberapa lagi. Dengan pelbagai pihak sedang giat dan teruja membuat persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13, 'kempen' secara agresif oleh pihak tertentu dipercayai akan mewarnai situasi pilihan raya umum kelak. Apatah lagi difahamkan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah pun berdikit-dikit membuat persiapan menggerakkan proses PRU 13. Dikatakan sebilangan tender untuk bekalan alat-alat tulis ke seluruh pejabat SPR negeri yang akan digunakan oleh hampir 200,000 petugas baru sahaja ditutup. Peti-peti undi mana yang pecah dan hilang, telah dikira untuk diganti. Demikian juga dengan nama para pegawai pengurus (RO) dan timbalannya, senarainya sudah pun ada di tangan suruhanjaya. Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) pun telah dimaklumkan tentang jumlah kakitangan kerajaan yang akan dilibatkan untuk urusan pilihan raya. Dalam sibuk memperkatakan isu Manoharan dan kenyataan 'membela' ADUN Kota Alam Shah oleh Teresa itu, di satu sudut lain, sikap acuh tak acuh Pas terhadap sekutunya itu menimbulkan banyak persoalan yang hingga kini belum terungkai. Dengan Pas yang hanya bertanding sejumlah 67 kerusi Parlimen dari lebih 200 kerusi, sekali pun ia memenangi kesemua 67 kerusi itu, parti itu masih belum mampu untuk menjadi satu "force of simple majority" untuk membolehkannya membentuk kerajaan. Dan yang lebih pasti, DAP tidak akan membenarkan Pas merampas leading role dalam kerajaan bayangan mereka. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan