Utusan Online - Kota |
- Penduduk diutamakan – PKNS
- Universiti, hotel hijau di Putrajaya
- Banduan ditahan bersama dadah dalam penjara
Posted: Penduduk diutamakan – PKNSKUALA LUMPUR 22 Sept. – Penduduk pangsapuri Seksyen 17 Petaling Jaya tidak perlu bimbang dengan cadangan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) untuk membangunkan semula kawasan itu. Mereka bukan sahaja akan dipindahkan semula ke situ setelah pembangunan itu disempurnakan, malah tidak perlu menanggung sebarang kos untuk berpindah semula ke rumah baru mereka. Pengurus Perhubungan Awam PKNS, Azilah Arshad berkata, selain itu, setiap penduduk yang terlibat juga akan menerima saguhati sebanyak RM5,000 ketika berpindah keluar dan RM8,000 lagi semasa berpindah semula ke situ nanti. Menurutnya, mereka juga akan menerima elaun sebanyak RM500 bagi pemilik rumah dua bilik dan RM750 (rumah tiga bilik) sepanjang tempoh pembangunan dilaksanakan serta ditawarkan pajakan hakmilik tanah baru selama 99 tahun. "Sebagai sebuah pemaju hartanah yang prihatin, PKNS sentiasa mengutamakan kepentingan para penduduk dalam setiap pembangunan semula yang dirancang dan memastikan nasib mereka sentiasa terbela," katanya dalam satu kenyataan di sini. Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia baru-baru ini mengenai kebimbangan penduduk terhadap nasib mereka berikutan cadangan PKNS untuk memajukan kawasan kediaman mereka itu. Azilah berkata, projek yang bakal dilaksanakan dengan kerjasama DKLS Berhad itu bakal menawarkan kediaman yang lebih selesa dan kondusif untuk para penduduk. Katanya, penduduk juga bakal mendiami kediaman yang lebih luas berbanding sekarang iaitu dari 592 kaki persegi kepada 700 kaki persegi bagi rumah dua bilik dan 860 kaki persegi kepada 900 kaki persegi bagi rumah tiga bilik. Beliau menambah, bagi memastikan nilai yang berpatutan ditawarkan untuk penduduk, PKNS telah menggunakan khidmat Jabatan Penilai bagi menilai harga rumah mengikut pasaran semasa. Berdasarkan penilaian jabatan itu, PKNS menawarkan rumah dua bilik yang harga asalnya adalah dari RM19,000 hingga RM37,800 pada harga antara RM80,000 dan RM95,000. Bagi rumah tiga bilik (harga asal RM45,000 - RM55,000), harga yang ditawarkan adalah RM125,000 manakala bagi rumah kedai (harga asal RM48,600 - RM70,000, harga ditawarkan ialah RM160,000. Selain itu, kata Azilah, penduduk mempunyai pilihan sama ada mahu mendiami kediaman baru di kawasan yang sama atau menjual rumah itu kepada PKNS mengikut harga pasaran semasa. Sehubungan itu, katanya, PKNS menasihati penduduk supaya tidak terpengaruh dengan khabar angin kerana pihaknya sedia mendengar sebarang cadangan, permohonan ataupun tuntutan daripada penduduk bagi mendapat jalan penyelesaian terbaik. |
Universiti, hotel hijau di Putrajaya Posted: Universiti, hotel hijau di PutrajayaPUTRAJAYA 22 Sept. - Kehadiran sebuah universiti dan hotel baru menjelang 2014 akan menjadikan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini lebih bertenaga. Kedua-dua mercu tanda baru tersebut akan dibangunkan sebagai bangunan hijau selari dengan usaha kerajaan untuk menjadikan Putrajaya sebagai sebuah bandar hijau. Ketua Pegawai Eksekutif Putrajaya Holdings (PjH), Datuk Azlan Abdul Karim (gambar) berkata, dua projek terbaru itu selari dengan perubahan fokus pembangunan di sini daripada pembinaan bangunan pejabat kerajaan kepada pembangunan kawasan komersial. "Sebuah universiti yang mempunyai reputasi dari United Kingdom bersetuju untuk membuka kampus di sini dan perjanjian mengenainya akan dimuktamadkan pada tahun ini juga. "Universiti ini dijangka mula beroperasi menjelang September 2014 melalui pengambilan kumpulan pertama pelajar sebanyak 3,500 orang. "Kehadiran kumpulan pelajar termasuk dari luar negara ini akan menjadikan Putrajaya lebih bertenaga," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran Pertandingan Seni Bina anjuran PjH dengan kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini. Pertandingan tersebut merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial PjH yang bertujuan mencungkil bakat mahasiswa seni bina. Sementara itu, Azlan berkata, sebuah hotel perniagaan bertaraf tiga bintang akan dibuka bersebelahan pusat beli-belah Alamanda di sini. "Hotel ini sedang dibina, ia dijangka siap pada September 2012 dan mula beroperasi pada suku pertama 2013," katanya. Dalam pada itu, beliau berkata, PjH menyiapkan kira-kira 80 peratus hingga 90 peratus bangunan kerajaan manakala bakinya akan disiapkan dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang. "Kita mula beralih fokus kepada pembangunan kawasan komersial dan ini termasuk pembinaan pejabat-pejabat swasta. "Putrajaya merupakan tempat strategik untuk membuka pejabat kerana lokasinya yang berhampiran dengan pejabat kerajaan dan bebas kesesakan lalu lintas," katanya. |
Banduan ditahan bersama dadah dalam penjara Posted: Banduan ditahan bersama dadah dalam penjaraKUALA LUMPUR 22 Sept. - Seorang banduan berusia 21 tahun yang dimasukkan ke Penjara Sungai Buloh di sini atas kesalahan dadah, ditahan kerana memiliki dadah di dalam penjara. Dia yang berasal dari Pasar Sentul di sini dan menjalani hukuman di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 ditahan oleh warden penjara bersama enam bungkusan plastik berisi pil Eramin 5 kelmarin. Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, kegiatannya itu terbongkar apabila wardan berkenaan terserempak dengan banduan terbabit dalam keadaan mencurigakan di dalam tandas semasa membuat rondaan pada pukul 4.10 petang. "Wardan terbabit berasa curiga apabila melihat suspek seolah-olah sedang menyembunyikan sesuatu dalam tong sampah dalam tandas berkenaan. "Apabila membuat pemeriksaan dalam tong sampah tersebut, dia menemui enam bungkusan plastik yang diikat dengan pelekat berwarna hitam mengandungi 180 biji pil Eramin 5 seberat 49.90 gram," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini. Beliau berkata, pihak penjara kemudian menyerahkan suspek kepada polis untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952. Abdul Rahim berkata, pihaknya sedang menyiasat bagaimana banduan terbabit boleh membawa masuk pil Eramin 5 ke dalam penjara yang mempunyai kawalan ketat. "Kita akan siasat dari semua sudut termasuk kemungkinan ia ada kaitan dengan orang dalam atau diseludup masuk dengan bantuan ahli keluarga atau rakan-rakan suspek," ujarnya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan