Khamis, 22 September 2011

Utusan Online - Keluarga


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Persandingan Shahiza mencetus kelainan

Posted:

Persandingan Shahiza mencetus kelainan

Persandingan Shahiza mencetus kelainan

Oleh ZUHAYATI YAZID
Gambar MUHAMMAD IQBAL ROSLI


Pasangan mempelai Shahiza Ghazi dan Budi Kurniawan sama anggun sama segak.


Persandingan bertema semakin popular di kalangan pasangan pengantin hari ini bagi menjadikan majlis sekali seumur hidup itu berlangsung dengan penuh gemilang dan bermakna.

Antara tema atau konsep persandingan yang kerap jadi pilihan ialah seperti persandingan dalam taman, ala-Inggeris, ala-kampung dan sebagainya.

Berbeza pula bagi pasangan pengantin baru, Shahiza Ghazi, 25, dan Budi Kurniawan Selamat, 28, yang memilih rimbunan bambu atau buluh sebagai tema utama majlis persandingan mereka.

Tarikh 10 September lalu menyaksikan pasangan ini disatukan dalam upacara pernikahan yang penuh adat-istiadat sebelum disusuli dengan majlis persandingan yang gilang-gemilang berlangsung di sebuah hotel terkenal di Kuala Lumpur.

Menggunakan persalinan berwarna hijau serindit rekaan Artilia Amani, pasangan mempelai ini kelihatan anggun dan segak, cocok dengan gelaran 'raja sehari'.

Rona hijau jadi pilihan untuk persalinan ahli keluarga mempelai. Lebih menarik apabila fabrik yang digunakan dikatakan mengandungi 30 peratus bahan daripada buluh yang ditempah khas dari China dan Australia.

Bukan itu saja cendera hati untuk tetamu berupa tuala muka juga berasaskan fabrik daripada buluh.

Dalam pada itu, dewan persandingan dihias indah dengan pohon-pohon buluh melatari hampir di setiap penjuru dewan dari ruang laluan masuk hingga ke pelamin.

Diserikan lagi dengan kehadiran jambangan-jambangan bunga segar berteraskan rona putih dan hijau membuatkan jemputan yang hadir bagaikan melangkah ke dalam taman bunga yang redup dan menyamankan.

Idea bagi mengangkat pohon buluh sebagai tema utama persandingan datang dari perempuan sendiri yang kemudian dibantu abangnya, Ashran Ghazi, yang bertindak sebagai perunding perkahwinan mereka berdua.

Menurut pengantin perempuan, idea persandingan ala taman buluh tercetus ketika dia tinggal di Australia kerana melanjutkan pelajaran.

"Di sana ada pelbagai jenis pokok buluh. Melihatkan kehijauan dan kedamaian yang ada pada buluh tersebut mendorong saya untuk mengabadikan buluh sebagai saksi kisah percintaan kami,'' ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Jelas anak bongsu kepada pasangan Datuk Ghazi Sheik Ramli dan Datin Shahrizan Md Noor ini lagi, konsep ini juga bagi memberi kelainan.

"Lagipun konsep ini juga merupakan gabungan klasik dan moden serta menampakkan kelainan yang luar biasa,'' ujarnya lagi yang berkenalan dengan suaminya semasa sama-sama menuntut di luar negara.

Menceritakan persiapan perkahwinannya, Shahiza berkata, dia sekeluarga sepakat mencari kelengkapan untuk di gunakan pada majlis persandingan itu.

"Memanglah bukan tugas mudah untuk menyediakan barangan ini, tetapi inilah kelainan yang cuba ditonjolkan,'' ujarnya.

Ceritanya lagi, sebahagian kelengkapan untuk persandingan termasuk pohon-pohon buluh yang dijadikan hiasan dewan turut diimport khas dari China dan Australia.

Sementara itu, suaminya, Budi Kurniawan, menyifatkan impian isterinya untuk bersanding berkonsepkan buluh adalah suatu perkara yang sukar dilaksanakan.

Namun menurutnya, demi impian isteri yang tertanam sejak belajar lagi, dia sanggup melakukan apa sahaja dan akhirnya tercapai walaupun pada mulanya pelbagai dugaan berlaku.

"Alhamdulillah akhirnya hajat kami termakbul dan berpuas hati atas usaha yang dilakukan selama ini," katanya yang menginginkan tiga cahaya mata.

Bagi pasangan mempelai, pasti majlis persandingan ini menjadi detik paling bermakna dalam hidup mereka.

Kuih seri muka lebih harum

Posted:

Kuih seri muka lebih harum

Kuih seri muka lebih harum

Bagi saya membuat kuih-muih tradisional bukanlah mudah kerana banyak teknik dan petua orang-orang lama yang digunakan bagi mengekalkan keaslian kuih.

Namun ia bukanlah alasan untuk kita tidak mempelajari dan membuat kuih tradisional yang dianggap renyah ini.

Kuih-kuih tradisi perlu dipelajari oleh golongan-golongan muda agar ia tidak dilupakan. Sambutan hari raya baru-baru ini saya berkesempatan untuk belajar membuat kuih tradisional kita iaitu kuih seri muka.

Kuih ini agak popular tetapi ramai yang tidak tahu membuatnya. Saya sendiri mengambil inisiatif belajar dari saudara yang saya panggil Acik Ana yang lebih pakar membuat kuih seri muka.

Pada minggu ini saya akan berkongsi pengalaman dan tip-tip Acik Ana dalam membuat kuih ini.

Tip paling penting adalah gunakan bahan-bahan yang asli untuk mendapat rasa kuih seri muka yang lebih sedap dan aroma yang lebih harum, contohnya menggunakan santan asli dan air kisaran daun pandan.

Kuih ini mempunyai dua lapisan penting iaitu lapisan bawahnya yang berwarna putih yang dibuat daripada beras pulut manakala lapisan atas atau kita panggil kepalanya pula berwarna hijau diperbuat daripada perahan air daun pandan, santan dan tepung serta sedikit pewarna hijau.

Untuk lapisan pertama, beras pulut perlulah di kukus sehingga betul-betul kembang supaya mudah untuk memadatkannya.

Setelah beras pulut kembang alihkan ke loyang lain dan segera padatkan sementara ia masih panas. Anda perlu melakukannya di loyang yang lain bagi mengelakkan pulut melekat ketika memotongnya nanti.

Anda perlu betul-betul memadatkan pulut itu supaya adunan lapisan atasnya nanti tidak meresap ke dalam beras pulut. Jadi ini dapat menjadikan kuih seri muka menjadi dua lapisan yang cantik.

Baiklah untuk lapisan atas kuih seri muka, gunakanlah air kisaran daun pandan untuk mendapat bau yang harum serta rasa yang enak. Bagaimanapun anda perlu menambah sedikit warna hijau agar warnanya lebih berseri.

Untuk lapisan atas kuih seri muka ini bahan-bahannya perlu dibancuh dengan sebati dan kemudian ditapis dengan menggunakan penapis yang halus.

Menapis adunan lapisan atas dapat mengelakkan atasnya menjadi putih yang disebabkan oleh bahan-bahan yang dibancuh tadi tidak sebati.

Menurut Acik Ana putih telur itu boleh menyebabkan permukaan tidak rata jika ia tidak ditapis.

Adalah lebih baik menggunakan sukatan yang betul untuk bahagian atasnya kerana jika konsistensinya (kepekatannya) tidak tepat makan lapisan atas mungkin akan menjadi terlalu lembik atau terlalu keras.

Antara teknik yang saya belajar jika kita mahu mengetahui sama ada konsistensi itu sudah cukup atau tidak adalah dengan menggunakan jari.

Celup jari anda dan lihat jika ia sedikit melekat di jari maka kecairan adunan itu sudah mencukupi. Ini teknik dan petua orang dahulu. Teknik mengukus juga amat penting terutamanya bahagian lapisan atas.

Dengan menggunakan resipi saya ini anda perlu mengukus lapisan atasnya selama satu jam. Ketepatan masa ketika mengukus juga penting agar permukaannya tidak terlalu dipenuhi dengan wap air kukusan yang boleh melembikkan lapisan kepala seri muka.

Setelah dikeluarkan daripada pengukus anda perlu mengeluarkan air yang bertakung di atas kuih ini supaya ia mudah kering dan permukaannya tidak rosak dengan air yang bertakung.

Caranya dengan condongkan loyang dan keluarkan air yang bertakung itu. Tip yang terakhir adalah anda perlu menyejukkan kuih ini selepas masak supaya ia mudah dipotong.

Ini penting kerana jika anda memotongnya sebelum sejuk kuih seri muka tidak cantik dan berseri. Bagi menyerikan hidangan keluarga anda apa kata cubalah resipi yang saya kongsikan minggu ini.

Saya mengucapkan terima kasih kepada Acik Ana kerana sudi berkongsi resipi ini. Sebelum saya mengakhiri jangan lupa untuk mendaftar bengkel masakan saya pada 25 September iaitu Ahad ini kerana ada tiga lagi resipi baru yang boleh anda pelajari.

Anda boleh mendapat maklumat lanjut bengkel dengan menghubungi Tracy di talian 0361426712 atau 0192357388 dan anda juga boleh menonton video saya membuat kuih ini di blog seperti di atas.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved