Utusan Online - Hiburan |
Solehah mencari pendakwah wanita Posted: Solehah mencari pendakwah wanitaOleh MOHD. IFQDAR ABDUL RAHMAN
JIKA dilihat kepada kecenderungan penerbitan program realiti televisyen pada waktu ini, bilangan program realiti berkisar tentang keagamaan agak kecil jumlahnya berbanding program realiti sedia ada yang banyak menjurus kepada aspek hiburan. Justeru, kewujudan program realiti berjudul Solehah, terbitan TV AlHijrah yang bakal menemui penonton tidak lama lagi dijangka mampu menjadi program pendidikan Islam tidak formal yang mengiktiraf peranan dan sumbangan wanita terhadap agama, bangsa dan negara. Bertujuan untuk melahirkan pendakwah wanita unggul, Solehah tampil selayaknya untuk melahirkan bakal pelapis kepada muslimah yang mampu memimpin dan berdakwah secara lisan mahu pun melalui tulisan. Pada tanggal 13 September lalu, telah diadakan majlis memperkenalkan para peserta Solehah yang dirasmikan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom di Dewan Muktamar, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Kuala Lumpur baru-baru ini. Menurut Khir, walaupun hanya 600 orang sahaja yang menghadiri sesi uji bakat Solehah yang telah diadakan pada 18 dan 19 Jun lalu, namun dia tetap berbangga dengan kehadiran yang dicatatkan. "Memandangkan sesi tersebut hanya diadakan selama dua hari, angka 600 adalah satu jumlah yang boleh dibanggakan. "Ini bermaksud, generasi muda sekarang bukan sahaja memandang ke arah program berbentuk hiburan, malah minda mereka lebih terbuka untuk menerima cetusan idea baru yang mampu merubah persepsi sejagat," katanya. Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Bukhari Che Muda pula memberitahu, Solehah merupakan sebuah program yang unik kerana kesemua 10 peserta yang dipilih, tidak akan disingkirkan hinggalah pada peringkat akhir ia ditayangkan. Jelasnya, keunikan format itu memberi peluang kepada setiap peserta Solehah untuk menuntut ilmu sebanyak mungkin secara sama rata. "Pada peringkat akhir yang akan berlangsung kelak, semua peserta akan bersaing sesama sendiri. "Tidak seperti program realiti yang lain di mana hanya menampilkan sebilangan peserta terbaik sahaja. "Di pentas akhir itu nanti, markah keseluruhan dari minggu pertama hinggalah ke minggu terakhir akan dikumpulkan dan akan menjadi sebahagian daripada markah akhir untuk menentukan kemenangan. "Cuma, peratusan markah peringkat mingguan tidak akan diumumkan awal supaya para peserta sentiasa bersedia menghadapi kemungkinan yang ada," katanya di sidang akhbar sejurus tamatnya sesi pengenalan 10 peserta Solehah. Menyentuh soal ganjaran yang bakal diterima oleh pemenang sulung Solehah, Bukhari memberitahu, perkara berkenaan akan diumumkan kelak dalam satu sidang akhbar berasingan. Tambahnya, hadiah kemenangan tersebut dirahsiakan dahulu bagi mewujudkan elemen kejutan. "Secara tidak langsung, ia menggalakkan kesemua peserta akhir agar bersaing secara telus tanpa memikirkan sangat habuan yang ditawarkan. "Sekali gus, objektif dan mesej yang mahu disalurkan menerusi penerbitan Solehah sampai kepada penonton," ujarnya. Sepanjang program ini berlangsung, mereka akan diadili oleh tiga orang juri iaitu Prof. Madya Dr. Sharifah Hayaati Syed Ismail, Prof. Madya Dr. Mariani Md. Nor dan Isfadiah Mohd. Dasuki. Sementara itu, barisan tenaga pengajar atau disebut musyrifah ialah Ustazah Norsalehah Mohd. Saleh, Ustazah Norhafizah Musa, Ustazah Suriani Sudi dan Haslina Mohd. Ali. Solehah akan disiarkan sebanyak 13 episod bermula hari ini di TV AlHijrah pada pukul 8.30 malam. | ||
Posted: Magis YunaOleh MUHAMMAD SYAFIQ ROOS ANNUAR
PERNAH memenangi anugerah Artis Baru Terbaik pada Anugerah Industri Muzik Ke-17 (AIM17) tahun lalu melalui album mininya Yuna, ternyata tugas Yuna untuk menghasilkan album terbarunya bukan mudah. Bagi anak kelahiran Alor Setar, Kedah ini, walaupun sudah mencipta 30 buah lagu bagi kemunculan terbarunya nanti, Yuna masih mencari lagu magis yang mampu memikat telinga pendengar. Kesempatan Hits bertemu Yuna yang pulang ke tanah air baru-baru ini, sedikit sebanyak memberi peluang kepada pelantun lagu Dan Sebenarnya ini bercerita mengenai kegiatan seninya. Menurut Yuna atau nama sebenarnya Yunalis Zarai, kini, dia terlalu sibuk dengan persiapan album barunya yang dijangka diedarkan pada tahun hadapan. Selain itu, gadis ini juga turut terlibat dalam penggambaran iklan komersial untuk Canon. "Buat masa sekarang, saya sibuk membuat persiapan untuk menyiapkan album baru. "Tidak dinafikan kadang-kadang tidak cukup tidur juga dibuatnya, tapi Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar," ujarnya. Kesungguhan Yuna dalam memastikan album barunya mendapat tempat di hati peminat dapat dilihat apabila dia hanya meluangkan masa di tanah air sehingga minggu ketiga raya. "Saya sudah sampai di Malaysia lima hari sebelum Aidilfitri lalu dan sangat bersyukur kerana dapat beraya tanpa sebarang gangguan kerja, " kata Yuna yang telah mengadakan persembahan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 12 dan 13 September lalu. Yuna yang berlepas ke Amerika Syarikat (AS) Rabu lalu berkata, dia terharu sambutan terhadap persembahannya di DFP. "Saya terharu dan sangat berterima kasih dengan sokongan peminat. Tiada apa yang lebih berharga daripada menerima sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada peminat," ujar gadis yang turut melayan peminatnya melalui laman sosial Twitter. Kembara di negara Uncle Sam Bagi gadis yang sudah mencipta lagunya sendiri seawal 19 tahun, kembara seninya tidak akan terhenti selagi apa yang diingininya tidak tercapai. Berada di bawah label rakaman Fader Label di AS, Yuna beruntung kerana syarikat rakaman itu sentiasa mengambil berat dan memberi sokongan terhadapnya. Selain itu, bagi Yuna yang menetap di Downtown, Los Angeles, kehidupannya kini tidak jauh berbeza. "Sejak menjejakkan kaki di sana, saya cuba menyesuaikan diri dengan persekitaran dan juga cara hidup di sana. "Selain itu, tidak dinafikan, Islamophobia memang wujud tetapi tidaklah seteruk yang dilaporkan oleh media Barat. "Alhamdulillah, setakat ini, perkara tersebut tidak membuatkan saya berhenti daripada imej bertudung," katanya tegas. Gemar memenuhi aktiviti terluang dengan berbasikal, Yuna juga menganggap ia sebagai pelepas tekanan setelah berada terlalu lama dalam studio rakaman. "Berada dalam studio terlalu lama juga tidak elok. Jadi, apabila ada kelapangan, saya akan berbasikal bagi mengisi masa tersebut," katanya sambil tersenyum manis sebelum mengakhiri perbualan. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan