Utusan Online - Muka Hadapan |
- Mat Sabu didakwa tohmah polis
- Judi haram makin banyak di Melaka
- PM, isteri fail permohonan ketepikan sapina
Posted: Mat Sabu didakwa tohmah polisOleh AZELI ALI
BUTTERWORTH 21 Sept. – Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan membuat tohmahan memburukkan nama baik anggota polis dan keluarga mereka yang terlibat dalam tragedi serangan pengganas komunis di Balai Polis Bukit Kepong. Beliau didakwa melakukan perbuatan itu dalam ceramahnya di Pusat Asuhan Tadika Islam (Pasti) Al Fahmi, Markas Tarbiyah Pas Padang Menora, Tasek Gelugor antara pukul 10 malam hingga 12 tengah malam, 21 Ogos lalu. Mohamad atau Mat Sabu dipercayai ahli politik pertama yang didakwa di mahkamah atas tuduhan membuat tohmahan terhadap anggota polis dan kaum keluarga mereka yang terlibat dalam peristiwa bersejarah yang berlaku lebih 60 tahun lalu di Johor. Dalam pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Ikmal Hishan Mohd. Tajudin, Mohamad didakwa memfitnah anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan pengganas komunis di Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Februari 1950 dengan membuat tohmahan yang boleh merosakkan nama baik mereka. Beliau turut dikenakan tuduhan pilihan iaitu memfitnah tiga anggota polis, Konstabel Marin Abu Bakar Daud, Konstabel Jaafar Hassan dan Konstabel Yusoff Rono serta ahli keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam peristiwa tersebut, dengan membuat tohmahan dalam ucapan kepada orang ramai pada masa, tarikh dan tempat yang sama. Mohamad yang berbaju T hijau, berseluar hitam dan berjaket biru kelihatan tenang sewaktu pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dan mengangguk tanda faham atas pertuduhan tersebut. Beliau didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. Pertuduhan dibuat selepas aduan daripada tiga orang ahli keluarga anggota polis yang terkorban dalam serangan pengganas komunis di Balai Polis Bukit Kepong iaitu Jamilah Abu Bakar, Azlas Jaafar dan Nazir Yusoff. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan, Mohamad Hanafiah Zakaria bersama Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusoff dan Suhaimi Ibrahim manakala Mohamad diwakili peguam Mohamed Hanipa Maidin dan Aminuddin Zulkifli. Mohamad Hanafiah memohon agar Mohamad diikat jamin RM50,000 sementara menunggu tarikh sebutan namun jumlah itu dibantah oleh Mohamed Hanipa yang menyatakan anak guamnya telah memberikan kerjasama kepada pihak polis. Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Oktober ini untuk sebutan kes sementara perbicaraan dijadualkan dari 5 hingga 9 Disember depan. Mohamad dibebaskan selepas membayar wang ikat jamin pada pukul 12 tengah hari. Ahli politik parti pembangkang itu ditahan petang semalam setelah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang selepas beliau menyerah diri susulan waran tangkap yang dikeluarkan terhadapnya. Beliau bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis pada malam tadi setelah percakapannya dirakam. Memetik laporan akhbar hari ini, Ketua Polis Negeri, Datuk Ayub Yaakob berkata, pihaknya menerima 1,013 laporan polis berhubung kenyataan yang dibuat oleh Mohamad termasuk oleh anggota keluarga mereka yang terkorban dalam tragedi Bukit Kepong itu. Mohamad dalam ceramahnya itu antara lain menyifatkan pengganas komunis yang menyerang Balai Polis Bukit Kepong di Muar, Johor pada 1950 ialah wira sebenar, bukannya 25 anggota polis serta keluarga mereka yang terkorban dalam kejadian tersebut. Mat Sabu menerima kecaman hebat apabila klip rakaman video ceramahnya itu disebarkan menerusi Internet dan mendapat liputan meluas pihak media. | ||
Judi haram makin banyak di Melaka Posted: Judi haram makin banyak di MelakaOleh AMRAN MULUP MELAKA 21 Sept. – Sebahagian daripada penduduk di negeri ini kini melahirkan kebimbangan dengan kewujudan pusat-pusat perjudian haram yang tumbuh membiak bagai cendawan di negeri itu tanpa tindakan tegas pihak penguat kuasa. Pusat perjudian yang beroperasi di kafe-kafe siber di seluruh negeri ini dikatakan turut menimbulkan rasa tidak puas hati kepada pemimpin kerajaan negeri ini. Menurut sumber, kerajaan negeri pernah melahirkan rasa tidak puas hati itu kerana pihak berkuasa tidak tegas dalam menangani kegiatan itu. Namun, pengusaha premis perjudian berkenaan pula semakin rakus mengaut keuntungan apabila kegiatan mereka berjaya menarik minat ramai pelanggan berpendapatan rendah, golongan belia, pelajar sekolah dan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT). Ahli Jawatankuasa Gerakan Belia 4B Bukit Katil, Adnan Saad ketika mendedahkan permasalahan itu mendakwa, lebih daripada 100 premis menjalankan kegiatan perjudian berkomputer secara terbuka dan beroperasi tanpa lesen di beberapa daerah di negeri ini. Menurutnya, kebanyakan premis berkenaan beroperasi di sekitar Alor Gajah, Masjid Tanah, Merlimau, Jasin, Melaka Tengah dan Ayer Keroh. "Orang ramai kecewa dengan sikap tidak endah pihak berkuasa yang dilihat tidak serius mengambil tindakan terhadap kewujudan semakin banyak pusat judi berkomputer di negeri ini. "Kami diberitahu, setiap kali serbuan hendak dilakukan melalui kerjasama pihak berkuasa dan pihak berkuasa tempatan (PBT) ia sering kali gagal. "Apabila serbuan dibuat, premis berkenaan tidak beroperasi. Serbuan itu gagal kerana pemiliknya seolah-olah sudah tahu mengenai operasi tersebut," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini. Baru-baru ini, Bahagian Penguat Kuasa Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) merampas 35 unit komputer yang menjalankan kegiatan judi haram manakala Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) pula menyita 37 unit. Adnan turut mendakwa ada premis berkenaan yang beroperasi berdekatan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di Bukit Beruang dan berhampiran Balai Polis Simpang Ampat di Alor Gajah. Beliau melahirkan rasa kecewa dengan pihak berkuasa yang langsung tidak ambil peduli terhadap maklumat yang diberikan kepada mereka mengenai premis yang menjalankan kegiatan tersebut. "Saya pernah memaklumkan kepada pihak berkuasa mengenai sebuah pusat siber menjalankan kegiatan judi berkomputer di Melaka Tengah tetapi malangnya mereka tidak datang bertindak atau menahan pemiliknya," ujarnya. Justeru, katanya, beliau bersama 60 ahli Gerakan Belia 4B termasuk orang ramai terpaksa mengambil tindakan sendiri apabila berjumpa dengan pemilik premis berkenaan dan meminta mereka menutup operasi premis tersebut. Adnan menambah, sekiranya pihak berkuasa tidak mengambil sebarang tindakan wajar membanteras premis berkenaan, ahli Gerakan Belia 4B seluruh negeri melibatkan 6,000 orang akan membuat demonstrasi aman. | ||
PM, isteri fail permohonan ketepikan sapina Posted: PM, isteri fail permohonan ketepikan sapinaKUALA LUMPUR 21 Sept. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor hari ini memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi di sini untuk mengetepikan sapina yang menghendaki mereka sebagai saksi pembelaan dalam kes liwat membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dalam permohonan tersebut, mereka menamakan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu dan pihak pendakwaan sebagai pihak responden. Kira-kira 45 minit selepas permohonan itu difailkan pada pukul 3.30 petang ini, pihak media dimaklumkan bahawa kesemua pihak yang terlibat akan bertemu dengan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah esok bagi menetapkan tarikh pendengaran permohonan berkenaan. Permohonan tersebut difailkan di Kaunter Pendaftaran Mahkamah Tinggi Jenayah di sini oleh peguam-peguam, Datuk Salehuddin Saidin, M. Athimulan, Hisyam Teh Poh Teik dan Datuk Ghazi Ishak yang hadir mewakili pasangan berkenaan. Kesemua peguam terbabit bagaimanapun enggan memberikan sebarang maklumat lanjut mahupun alasan-alasan yang dikemukakan dalam permohonan tersebut sehingga mahkamah mengeluarkan salinan yang sudah dimeterai. Pada perbicaraan kes liwat pertama pada 1998, lima individu termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad membuat permohonan yang sama dan dibenarkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar kes tersebut. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Muka Hadapan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan