Utusan Online - Pahang |
Posted: Rumah Belia terbiar usangAHMAD Ruzaidi Musa menunjukkan Rumah Belia 4B yang uzur dan usang di Kampung Lubuk Kulit, Kuala Lipis, baru-baru ini. Saudara pengarang, Rumah berkenaan yang dibina sejak 20 tahun lalu tidak lagi digunakan memandangkan struktur binaan seperti 'kandang kambing' dan tidak sesuai dijadikan tempat pentadbiran hal-ehwal berkaitan kegiatan belia kampung ini. Sebelum ini, Gerakan Belia 4B Kawasan Cameron Highlands cawangan Kampung Lubuk Kulit menjadikan rumah itu sebagai bilik gerakan untuk bermesyuarat dan melaksanakan pelbagai program untuk mengisi masa lapang ahli. Memandangkan premis tersebut tidak sesuai digunakan untuk kerja pentadbiran lalu kami membenarkan seorang ahli belia menjadikan tempat itu untuk menjual makanan dan minuman. Namun, premis berkenaan tidak lagi digunakan memandangkan ia sudah uzur dengan struktur papan sudah dimakan anai-anai manakala atapnya bocor. Permohonan untuk membaik pulih rumah berkenaan sudah dikemukakan kepada wakil rakyat Jelai sejak tiga tahun lalu dan pada awalnya kami memperoleh respons yang positif. Pihak berkenaan bersetuju membaik pulih premis itu dengan peruntukan RM30,000 dan belia kampung ini menarik nafas lega berikutan keprihatinan yang dizahirkan oleh pemimpin. Setelah empat tahun menantikan perubahan, rumah berkenaan masih belum dibaik pulih malah tiada tanda projek itu akan diteruskan. Seingat saya, sudah dua kali semasa menghadiri majlis jamuan Hari Raya Aidilfitri pihak berkenaan berjanji untuk membaik pulih premis itu, tetapi janji berkenaan mencetuskan kehampaan belia di sini. Senario ini membantutkan urusan pentadbiran belia kampung ini kerana ketiadaan bilik gerakan atau tempat bermesyuarat, pusat akses maklumat (Internet) dan program membabitkan ahli komuniti di sini. Menerusi ruangan Rakan Pahang, kami berharap pihak berwajib mempercepat projek menaik taraf premis berkenaan termasuk kemudahan padang permainan di Kampung Lubuk Kulit untuk golongan belia melakukan kegiatan bermanfaat pada sebelah petang dan hujung minggu. AHMAD RUZAIDI MUSA Timbalan Pengerusi Gerakan Belia 4B Kampung Lubuk Kulit, Lipis |
Kawasan larangan jadi tempat buang sampah Posted: Kawasan larangan jadi tempat buang sampah PENDUDUK KECEWA Saudara pengarang, Papan tanda tersebut hanya sekadar hiasan kerana penduduk langsung tidak mengendahkan arahan itu kerana sampah-sarap dilihat semakin banyak di kawasan itu. Bukan setakat sampah kecil malah sofa, perabot dan tayar kenderaan dicampak di kawasan itu yang menyebabkan air bertakung serta menjadi habitat pembiakan nyamuk dan binatang berbisa. Walaupun ramai penduduk di taman perumahan ini terkena demam denggi namun, mereka masih belum sedar bahayanya. Sikap membuang sampah di kawasan larangan itu mengundang bahaya kepada ramai orang dan mentaliti masyarakat dalam pengurusan sampah masih belum berubah walaupun pelbagai kempen kebersihan dijalankan. Selain itu, kawasan tersebut juga menjadi tempat pembiakan binatang perosak seperti tikus dan serangga terutamanya lipas. Saya kesal kerana sikap sesetengah penduduk di situ mengambil langkah mudah membuang sampah di kawasan yang tidak sepatutnya. Justeru, saya berharap, supaya MPT mengambil tindakan tegas dan membangunkan kawasan itu supaya penduduk tidak lagi membuang sampah sesuka hati. Saya juga menyeru Kawasan Rukun Tetangga (KRT) perumahan tersebut memainkan peranan dalam membendung gejala kurang sihat itu. |
RM15 juta latih golongan miskin Posted: RM15 juta latih golongan miskinOleh SALEHUDIN MAT RASAD RAUB 29 Sept. – GiatMara memperuntukkan sebanyak RM15 juta bagi melaksanakan Skim Latihan 1Malaysia bagi melatih ibu tunggal, suri rumah dan golongan miskin dengan pelbagai kemahiran ekonomi tahun ini. Pengerusinya, Datuk Shahiruddin Abd. Moin berkata, program jangka pendek itu berupaya meningkatkan kemahiran ekonomi dalam bidang yang dipilih seperti membuat kuih tradisional dan moden, katering, masakan, anyaman, salon, solekan dan jahitan. ''Kursus itu diadakan antara tempoh seminggu atau sebulan bergantung pada jenis kursus diambil yang dapat mengukuhkan lagi keyakinan mereka memulakan perniagaan secara kecil-kecilan,'' katanya. Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas menyampaikan bantuan kepada 458 ibu tunggal di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Dong di Kampung Lechar Dong di sini baru-baru ini. Menurutnya, GiatMara bersedia membantu mana-mana lepasan kursus asas skim tersebut dalam menyediakan bantuan modal asas bagi memulakan perniagaan. Katanya, pihaknya menyasarkan kira-kira 20 hingga 100 usahawan daripada golongan terbabit dapat dilahirkan pada setiap tahun menerusi skim tersebut. Beliau berkata, mereka yang berminat menyertainya boleh mengunjungi mana-mana cawangan GiatMara atau menghubungi ketua kampung, penghulu dan wakil rakyat untuk mendapatkan maklumat lanjut. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan